Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,302
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

PETANG itu, selepas kelas terakhir Indra, Jeff dan Amir singgah di Restoran Rahmad Bistro di kejiranan Alam Budiman. Jeff beriya-iya mahu menghilang dahaga di situ, entah apa yang menarik perhatiannya? Bukannya di kejiranan Saujana Utama tidak ada restoran mamak. Boleh kata bersepah, seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Lagi banyak daripada yang terdapat di kejiranan Alam Budiman itu.

            “Kau ni macam dah tak ada kedai mamak lain, RB ini jugak kau nak jadikan port. Apa yang istimewa sangat kat sini?” Amir mengeluh bersama satu soalan ketika mereka memarkir motosikal masing-masing. Padahal dia sendiri selalu curi-curi melepak di situ bersama rakan sekelasnya di luar pengetahuan Indra dan Jeff.

            “Entah-entah kau dah kena mandrem si mamak Rahmad ni,” tambah Indra bersama tawa trademarknya. Dia menanggalkan jaket Lonsdalenya untuk menghilangkan rasa hangat. Di dalam bilik kuliahnya tadi tak terasa hangat kerana suhu dalam bilik itu 16 darjah celcius.

            “Kejap lagi kau orang berdua akan tahu, sabar.” Jeff cuba bermain dengan teka-teki. Meniti senyum nakal di tubir bibirnya. Amir juga, kerana dia sendiri sudah tahu tarikan magnet pengunjung-pengunjung ke restoran itu.

            Mereka bertiga kemudian melabuh punggung pada kerusi di meja yang terletak di kaki lima restoran. Sengaja mereka memilih lokasi itu untuk pandangan televisyen yang lebih jelas. Tika itu, di skrin televisyen sedang menayangkan siaran ulangan perlawanan Arsenal menentang Liverpool.

            “Mir, kau doa-doalah. Mana tahu Arsenal menang game ini?” ujar Indra,  sempat mengusik Amir ketika punggungnya melabuh sauh. Tawa trademarknya tak pernah tinggal. Amir hanya mampu mengukir sengih kelat. Merah juga telinganya. Jeff apa lagi, menumpang sekaki. Namun tawa Jeff itu tak sempat berpanjangan.

            “Hah, itulah sebab musabab aku suka melepak kat sini!” Jeff meningkah bila matanya terpandang sebuah Suzuki Swift berwarna biru gelap masuk ke satu petak parkir di hadapan restoran itu.

            “Alice? Oh, kau nak cuci mata rupanya.” ungkap Indra yang memanjangkan lehernya. Amir turut menghantar pandangan matanya ke arah ruang parkir. Mulutnya juga mula menganga. Nasib baik tak ada lalat. Lelaki kalau tengok perempuan cantik dan seksi memang secara automatik akan ternganga mulut, eh?

            Seketika kemudian Alice Lim yang terkenal dengan keseksiannya keluar dari kereta buatan Jepun itu. Makin membulat mata Amir bila melihat Alice yang berbaju ketat. Jelas bentuk badan Alice yang ramping dan menggiurkan. 

            “Tutup mulut itu sikit, Mir. Kan tak pasal-pasal masuk lalat,” tegur Indra yang dapat melihat mulut Amir melopong.

            "Bukan setakat lalat kalau dah ternganga luas macam tu, tebuan pun boleh telus." Jeff menokok.

            “Fuh, marvellous!,” ungkap Amir sambil menjilat bibirnya. Keletahnya itu cukup membuatkan Indra dan Jeff membahak tawa.

            “Jeff, kau pergi cari tempurung cepat!” Arah Indra.

            “Tempurung? Kau nak buat apa?” Soal Jeff, berkerut  sedikit dahinya.

            “Nak ketuk kepala lutut Amir ini lah.Tu tengok, burung dalam seluarnya dah bangun,” jawab Indra. Jawapan Indra itu membuatkan tiga sahabat itu menderai tawa lagi. Amir segera membetulkan dudukannya untuk menyembunyikan gelembung di bahagian alat sulitnya.

            “Kalau kau nak tahu, itu penyokong setia Chelsea,”beritahu Jeff. Secara tindakan refleks juga hidungnya mengembang.

            “Pandailah kau. Mana kau tahu?” Amir menyanggah, seperti tidak berpuas hati.

            “Itu kau tak nampak stiker kat cermin belakang keretanya,” ujar Jeff lagi. Indra dan Amir mula bersetuju dengan pendapat Jeff itu.

            Di sebelah kiri kereta itu, keluar pula Farah Wong. Tak kurang juga seksinya. Kedua-dua sahabat baik itu mengatur langkah kawalan ayu seumpama catwalk model-model jelita di pentas peragaan menuju ke perut restoran itu. Maklum sahajalah di kaki kedua-dua jelitawan itu tersarung high heel. Sekali imbas, mereka umpama kembar. Irasnya sudah ada. Lebih-lebih lagi juga Farah berdarah separuh Cina.

            “Hah, itu pulak penyokong setia Arsenal!” Tingkah Amir dengan mengukir senyum bangga. Indra dan Jeff tiada bangkangan. Jelas Farah seorang penyokong Arsenal berpandukan anak baju di balik jaket yang dipakainya.

            Ketiga-tiga sahabat itu kemudiam terdiam bila Alice dan Farah menghampiri meja mereka. Waktu itu agak ramai pengunjung di restoran itu. Meja-meja juga  penuh. Cuma meja yang bercantum dengan meja mereka itu sahaja yang tinggal kosong bersama satu meja berdekatan dapur. Alice dan Farah kemudian mengambil keputusan untuk mengambil tempat di meja bersebelahan Indra, Amir dan Jeff. Gadis cantik yang selalu menjaga penampilan diri seperti mereka mana mahu menghirup asap dari dapur.

            Amir memandang dua jelitawan itu tak berkejit. Indra yang melihat telatah Amir itu segera menyepak kaki Jeff di bawah meja. Jeff  mengukir senyum senget.

            “Harumnya…” ucap Amir tanpa sedar. Dia seperti terbuai-buai. Alice dan Farah yang dapat mendengar katanya itu tergelak kecil.

            “Hai Jeff, Amir, Indra,” sapa Alice dengan nada yang cukup lembut. Sememangnya dia mengenali tiga budak nakal UiTM Puncak Perdana itu walaupun dia dan Farah mengambil jurusan berbeza dengan tiga sahabat itu. UiTM Puncak Perdana tak besar mana. Pusing-pusing jumpa orang sama juga. Bangunan pun macam Tesco aje.

            “Hai, Alice. Hai, Farah,” balas Jeff dan Amir serentak.

            “Yang seorang lagi itu tak nak ucap hai pada kami berdua ke?” Ungkap Farah pula dengan suara manjanya.

            “Bukan tak nak ucap, tapi terkelu lidah bila disapa dua jelitawan,” balas Indra dengan senyum miang kucingnya. Sengaja dia mahu memancing dua gadis di depannya itu. Nyata jawapannya itu cukup untuk membuatkan Alice dan Farah mengukir senyum bangga.

            “Boleh ke kami lepak kat sini?” Soal Alice. Gadis berketurunan Cina itu memang lebih jelita bila di depan mata sebegitu. Rupanya persis Jasmine Chin, wartawan sukan seksi yang selalu muncul di stadium setiap kali ada siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia.

            “Eh, apa salahnya! Meja dan kerusi ini pun bukan kami punya, mamak Rahmad yang punya,” balas Indra dengan menciplak nada suara jin penjaga gua dalam cerita Ahmad Albab. Berderai tawa Alice dan Farah dibuatnya.

            “Manalah tahu, kut-kut abang bertiga ini tak selesa,” ujar Alice di hujung tawa.

            “Eh, apa pulak tak selesanya! Terlebih-lebih selesa. Lagi-lagi ditemani dua jelitawan yang persis bidadari. Mata sedap memandang, bau pula harum mewangi,” tingkah Amir, mula menyusun ayat-ayat bunganya. Maklum sahajalah siswa penulisan kreatif, memang dah terbiasa dengan kata-kata indah walaupun sampai sekarang belum ada gadis yang tersangkut dan cair dengan kata-kata puitisnya itu.

            Makin kembang senyum di tubir bibir Alice dan Farah dibuatnya. Memang mereka berdua suka dipuji.

            “Manalah tahu kan, dah reserve kerusi-kerusi ni untuk makwe masing-masing.” Farah kemudian mencelah. Senyumnya cukup untuk menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik.

            “Kami bertiga ni mana ada makwe lagi. Tak ada orang yang sudi nak dekat. Maklum sahajalah kami ni bukannya berupa sangat pun.” Amir terus menyusun kata-kata floranya. 

            “Eh, yang tiada rupa kau! Muka macam jalan raya berlopak. Aku ada jugak iras-iras Zul Ariffin. Jeff pulak ada iras-iras Que Haidar.” Indra cepat-cepat membangkang. Niatnya tak lain tak bukan mahu menyakat Amir. Sempat juga dia menyelit sakatan untuk Amir waktu-waktu begitu. Sakatannya itu membuatkan Jeff, Alice dan Farah menderai tawa.

            “Zul Ariffinlah sangat, dogol macam flower horn aje aku tengok.” Amir cuba meredakan rasa malunya. Makin gamat suasana di meja itu bila melihat mimik muka Amir yang mencebik.

            “Jeff diam aje, tak nak tambah apa-apa ke?” Farah mendorong Jeff yang kaku membisu. Hanya bibirnya saja kelihatan bergerak mengukir senyum dan tawa. Jeff, Nampak aje brutal, tapi depan perempuan pemalu bukan main.

            “Err…”

            “Abang Jeff kita ni dah terkelu lidahnya, bila ada si cantik manis penyokong setia Chelsea di depan matanya. Sama dengannya, penyokong fanatik The Blues.” Belum sempat Jeff membuka mulutnya, Indra memotong. Niatnya lebih untuk mendorong sebenarnya.

            “Betul ke, Jeff? You minat Chelsea?”Alice jadi teruja.

            Jeff yang malu-malu kucing mengangguk.

            “Wow, tak sangka Jeff ini penyokong Chelsea. Selalu lepak tengok bola di mana?” Soal Alice lagi, mula mesra dengan tiga sahabat itu.

            “Kat Lepak Port, Saujana Utama,” balas Jeff cepat-cepat. Hatinya bukan kepalang gembira dapat berbual dengan Alice sebegitu. Selama ini dia selalu berangan dapat berbual-bual dengan gadis yang tak kurang terkenal di kampus UiTM Puncak Perdana itu. Maklum sajalah, Alice juga sering muncul di tv sebagai pengacara sebuah segmen bercorak hiburan. Kini angannya itu dah jadi reality.

            “Oh, port sebelah Petronas itu ke?” duga Alice.

            “Ya, Alice tahu ke?” Jeff mula hilang kekoknya.

            “Tahu, ada rakan yang cakap kat situ happening jugak, ada busking kan?”

            “Ya, memang happening. Yang busking itu, kamilah!” Jeff tiba-tiba jadi bersemangat.

            “Wow, mesti best!”Alice jadi makin teruja. Farah juga dengan anggukan dan senyuman selebar kelopak bunga yang mekar dipancar mentari.

            “Saya pula penyokong setia Arsenal,”celah Amir tanpa ditanya dengan buat muka tak malunya. Indra yang tidak dapat menahan geli hatinya terus mendekah tawa.

            “Choi, kelab loser kau jangan sebut kat sini! buat malu aje,” hambur Indra bersama tawanya. Namun tawanya itu tak berpanjangan bila dia menyedari Farah ada di situ. Dapat dilihatnya riak wajah Farah sedikit berubah. 

            “Oops, sorry Farah. But honestly, Arsenal memang loser. Tengok kat tv itu. Resultnya tetap sama, 3-4. Ingatkan perlawanan ulangan Arsenal boleh menang, sekali kalah jugak rupanya. Atuk Wenger itu dah patut bersara,” ujar Indra lancar. Tawa menjengkelkannya bersambung kembali. Nyata dia tidak pandai untuk bermuka-muka.

            “Awal lagi, baru first game,” balas Farah dengan senyuman bera,  seperti cuba menyedapkan hatinya sendiri. Makin rancak keriangan di situ jadinya.

            Tanpa disedari dalam kerancakkan mereka berbual dan bergelak tawa, Ameera dan Juliana muncul di restoran itu. Menyertai bersama mereka ialah Reza Asyraf yang baru tiba dengan Ducati merahnya. Mereka terpaksa mengambil meja yang berdekatan dengan bahagian dapur, kerana meja itu satu-satunya  yang masih kosong tika itu. Pasti nanti akan selalu terbersinlah mereka menghidu mamak menggoreng bawang.

            Jeff yang menyedari kehadiran mereka pantas menyepak kaki Indra di bawah meja sambil membuat isyarat dengan menjuihkan bibirnya. Indra segera memanjangkan lehernya ke arah yang dimaksudkan oleh Jeff.

            “Alamak, kesialan dah muncul lah pulak,” keluh Indra sambil menyedut sisa-sisa teh o ais limaunya dengan cepat-cepat.

            “Kesialan? What do you means?”Alice kehairanan tatkala mendengar keluhan Indra itu.

            “Si Setan merah dah masuk restoran ini. Serigala Jadian pun ada sekali” balas Indra secara berkias. 

            “Setan merah? Serigala Jadian? Mana?”Giliran Farah pula kebingungan.

            “Nun di hujung sana,” balas Indra sambil menjuih bibinya. Farah dan Alice segera menghantar pandangan ke arah yang dimaksudkan oleh Indra. Mereka kemudian mengukir senyum hambar. Sudah mereka maklum permusuhan Indra dengan Ameera. Kadangnya, tertanya-tanya juga mereka mengapa Indra dan Ameera saling membenci? Kalau disebabkan pasukan bola yang disokong, seperti tidak lojik pula. Kalau betul itu puncanya, mengapa Indra tak bersikap demikian terhadap mereka berdua sedangkan mereka juga menyokong pasukan yang berseteru dengan pasukan kegemaran Indra.

            “Yang Setan Merah itu saya faham, tapi yang Serigala Jadian itusaya tak faham?” tingkah Alice.

            “Mamat yang perasan jejaka terakhir Malaya itulah, siapa lagi?” Jeff mencelah. Hatinya masih berbekas rasa geram terhadap Reza kerana pernah memalukannya di khalayak pelajar lain suatu ketika dahulu. Hampir juga Indra menghempuk pemuda itu dengan topi keledar cengkeram kura-kuranya. Nasib baik muncul polis bantuan universiti tika itu. Kalau tidak, pasti Indra akan dikenakan tindakan disiplin buat kali kedua sepanjang dia di kampus itu. Puncanya berebut tempat parkir motor. Kesalahan pertamanya dahulupun masih lagi belum terpadam dalam rekod lembaga tatatertib universiti.

            “Pasal apa gelar dia Serigala Jadian?” Farah sedikir kamur dengan gelaran yang diberi mereka terhadap Reza.

            “Sebab sekejap dia jadi manusia,sekejap dia jadi serigala. Macam cerita Twilight. Farah dan Alice kena hati-hati dengan dia itu, nanti kena gigit kat leher.” Amir menggambil giliran untuk mencipta jenaka. Tercuit hati semua mereka lalu menderai lagi tawa di situ. Ternyata gelak tawa mereka itu mereka itu cukup untuk membuatkan Ameera, Juliana dan Reza menjeling ke arah mereka.

           Menyedari Ameera menjeling ke arahnya, Indra segera mengangkat jari tengahnya. Cepat-cepat Ameera mengalih pandangan. Melihat situasi itu, lima muda-mudi itu sekali lagi meletus derai tawa. Kali ini lebih kuat.

           Selama ini pun, Alice dan Farah sememangnya cukup berbulu dengan Ameera. Biasalah pelajar perempuan, macam persaingan nak rebut takhta prom queen. Bagi Alice dan Farah, Ameera ialah penggugat populariti nombor satu mereka di UiTM PuncakPerdana itu. Peluang untuk menyakitkan hati Ameera sebegitu sudah pasti tidak akan dilepaskan.

           Geram dengan situasi itu, Reza cuba menunjuk heronya dengan memanggil seorang pelayan untuk menukar siaran Astro. Pelayan itu menuruti arahannya dan menukarkan kepada siaran yang menayangkan ulangan perlawanan antara pasukan Manchester United dan Bournemouth, sebuah kelab yang baru dipromosikan ke EPL dari liga divisyen dua.

          “Choi, dia main tukar siaran tv pulak. Hoi, Ali apa kelas siaran pasukan setan merah lawan team ayam! Tak ada feel lah nak tengok! Permainan lebih kurang aje, ayam lawan ayam! Kalau dah ayam lawan ayam, ibarat ayam berak kapur lah!” Laung Indra kepada pelayan itu tanpa mempedulikan pengunjung lain di sekelilinya. Pelayan bernama Ali itu hanya mampu menunjukkan barisan giginya yang putih melepak, kontra sekali berbanding kulit mukanya.

         Apa lagi, bergegak-gempita lagilah meja lima muda-mudi itu dengan ilai tawa.

         Pastinya  laungan penuh sindiran Indra itu membuatkan Reza makin rasa mendidih. Makin merah padam wajahnya. Dia pulak lebih sudu daripada kuah. 

         “Hoi, penyokong looserfool!  The fact is Man.United won the league title more than your team! Jadi, team mana yang ayam sekarang?” Reza dengan lagak machonya cuba menyanggah kata-kata Indra. Ternyata apa yang dikatakannya itu benar, Manchester United telah memenangi 20 gelaran berbanding Liverpool dengan 18 gelaran liga. Tapi itu di masa lalu, dah jad isejarah dah pun.

          “Alamak, penyokong Man. City pulak yang kecoh!” Indra tak mahu mengaku kalah. Apa lagi, tempelakannya itu menghadirkan gelak tawa yang lebih kuat daripada Jeff dan Amir. Sampai bergendang-gendang meja mereka. Alice dan Farah menumpang sekaki. Padu sekali Indra membalas menyebabkan Reza terduduk begitu sahaja. Mana tak terduduk, rahsia dirinya cuba ditelanjangkan oleh Indra.

          Semua pelajar di kelas Skrin 1 dah tahu sikap sebenar Reza. Dia itu pandai berupa-rupa, sekejap dia jadi penyokong Manchester United, sekejap jadi penyokong Manchester City.  Mungkin esok jadi penyokong pasukan lain pulak. Sebab itulah dia digelar Serigala Jadian. Hanya Ameera sahaja yang belum celik matanya.

           “Apa maksud mereka penyokong Man. City?” Soal Ameera pantas selepas melihat Reza yang terkedu. Siapa tak bengang kalau melibatkan pasukan musuh tetangga pasukan kegemarannya itu. Ibarat Liverpool dengan Everton, walaupun setempat tapi tak sebulu seperti Korea Selatan dan Korea Utara.

            “Err… entah!  Entah apa yang mereka merepek,” tergagap Reza memberi jawapan kepada Ameera, takut temelangnya pecah.

            Melihat Reza yang tiba-tiba mati kutu, makin kuat letusan tawa Indra, Jeff dan Amir. Ditambah pula sokongan yang diterima daripada Alice dan Farah.

            “Okeylah, Alice, Farah. Lagi lama kami kat sini, makin cepat urat kentut kami putus. Tak tahan nak gelak lagi dah. Lain kali kita lepak bersama lagi. Kalau rajin, datanglah ke Lepak Port. Kami selalu ada di situ setiap malam, terutamanya malam minggu.  Boleh kita sama-sama bersorak,” kata Indra setelah minumannya hanya bersisa ais yang belum cair. 

            “Okey, seronok dapat bersembang dan bergelak tawa, dengan kau orang, guys.” Alice membalas, mewakili Farah juga yang sudah berair matanya kerana terlampau banyak ketawa.

            “Alice dan Farah minum teh o ais dengan milo ais kan?” soal Indra ketika bangun dari labuhan punggungnya, berpura-pura untuk menjadi gentleman.Tapi sebetulnya sedang memasang umpan terhadap dua gadis cantik di depannya itu.

            “Eh, tak payah susah-susah. Nanti kami bayar sekali minuman Indra, Jeff dan Amir,” tingkah Alice menahan. Hatinya cukup senang bila banyak dipuji tadi.

            “Eh, betul ke ni?” Soal Indra. Sekilas dia mengenyit mata kepada Jeff dan Amir. Sekilas juga terukir di bibirnya satu senyuman. Pancingnya telah mengena. Jeff dan Amir turut menumpang senyum itu kerana mengerti maksudnya. Indra sememangnya seorang yang licik dan mereka berdua juga pasti akan meraih sama hasil kelicikan itu. Jimat poket mereka.

            Alice bersungguh mengangguk kepalanya. Farah pula menyokong dengan senyuman yang melirik.

            “Terima kasih Alice, Farah,” ucap Indra. Ucapan itu juga kemudiannya hadir dari mulut Jeff dan Amir.

            Ketiga-tiga budak nakal itu kemudian memacu motosikal masing-masing ke arah kejiranan SaujanaUtama.




Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan