Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,306
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

MALAM itu di tapak peniaga kecil Lepak Port bersebelahan stesen minyak Petronas Saujana Utama meriah dengan pengunjungnya. Seperti malam-malam minggu sebelumnya, ramai yang datang melepak di situ. Layar gergasi yang memancarkan siaran langsung EPL menjadi faktor utama akan sambutan hangat itu.  Sejak wujud Lepak Port itu, adalah sedikit saingan kepada restoran-restoran mamak yang bersepah di Saujana Utama. Maka monopoli pemamakkan dapatlah juga dikurangkan serba sedikit.

            Seperti biasa, gerai burger Abang Botak Hot mendapat tumpuan pelanggan. Memandangkan pihak persatuan peniaga disitu menetapkan polisi satu gerai satu menu, jadi tidak wujud persaingan daripada gerai burger lain. Namun begitu, realiti sebenarnya gerai burger lain bersepah di Saujana Utama itu seumpama restoran mamak juga. Hanya di Lepak Port sahaja kawalan itu dikuatkuasakan.

            Indra, Jeff dan Amir sejak dari sebelum maghrib tadi lagi tidak menang tangan melayani pelanggan mereka. Keenakan burger mereka juga menjadi magnet yang kuat untuk menarik pelanggan gerai ke gerai mereka, bukan hanya kerana kawalan yang dikuatkuasakan oleh persatuan peniaga di situ semata-mata.

            “Bang, burger daging special tiga!” Dalam kesibukan itu tiba-tiba datang satu pesanan. Melihat gadis yang membuatpesanan, Indra dan Amir terkejut besar. Jeff juga, tapi lebih kepada buat-buat. Namun, rasa yang dibuat-buat itu menjadi betul-betul terkejut bila melihat kelibat Ameera turut muncul di perkarangan Lepak Port itu, berbeza dengan apa yang diberitahu oleh Juliana sebelumnya.

            Juliana sekadar mampu mengukir senyum walaupun dia faham reaksi terkejut di wajah Jeff.

            Indra juga seperti Jeff. Amir pula masih melopong mulutnya, reaksi officialnya bila terpandang gadis-gadis jelita. Pasti sekejap lagi cair air liurnya di pinggir bibir.

            Dalam kekeluan Indra menjeling kepada Jeff. Jeff yang gelabah segera melarikan pandangannya. Nyata dia faham maksud jelingan Indra itu.

            “Err, duduk dulu ya, nanti kami hantar pesanan ke meja.” Jeff cuba berlagak bersahaja.

Kata aluan dan lagak bersahajanya itu makin mengundang kekeluan kepada Indra dan Amir. Mereka saling berpandangan. Kemudian, pandangan bertanda tanya itu berkalih ke tubuh Jeff.

            “Err, musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Ingat pesanan Amy Mat piah.” Jeff mencipta satu alasan untuk menyelamatkan diri.

            “Ada ke Amy Mat Piah melontarkan dialog tu?” Indra makin berkerut dahinya. Dialog Amy Mat Piah memang satu-satu dihafalnya.

            Jeff sekadar mengukir sengih. Juliana turut tercuit dengan pertanyaan Indra itu.

            “Betul juga kata Jeff tu, musuh jangan ditolak, rezeki jangan dicari… eh silap, musuh jangan di cari, rezeki jangan ditolak.” Amir tiba-tiba menjadi pak badut. Juga mula naik sheikh .Matanya jadi juling tatkala melihat Fatihah dan Linda yang tak kurang jelita melabuh punggung mengapit Ameera di sebuah meja di tengah dataran terbuka. Namun, bila matanya bersabung dengan Ameera, julingnya itu segera pulih.

            Juliana kemudiannya meninggalkan mereka untuk menyertai kembali Ameera, Fatihah dan Linda.

            “Aku masih pelik ni?” Indra masih tak boleh menerima kenyataan itu.

            “Apa yang peliknya, mereka datang sebagai pelanggan. Bukannya datang sebagai musuh,” balas Jeff. Raut wajah dan lagaknya yang bersahaja itu sebenarnya mengundang rasa pelik kepada Indra.

           “Itu aku tahulah, yang aku pelik sekarang aku tengok kau macam ada apa-apa aje dengan Juliana sejak duduk dalam satu kumpulan projek video muzik itu.” Indra memberi lebih kefahaman.

            “Ada apa-apa apanya?” Jeff sedikit gabra. Tak sangka pula kritis sekali fikiran Indra sampai boleh menjejak ke situ.

            “Betul, aku setuju!” Amir bagaimenyenduk nasi tambah.

            “Setuju apa? Aku lepuk hang dengan botol sos ni kan!” Jeff buat-buat bengang.

            Amir segera melarikan kepalanya.Terkekek dia ketawa.

            “Kalau tak ada apa-apa, masakan muka kau merah macam tu.” Amir terus menyakat. Makin kuat juga kekekan tawanya. Pantang dapat peluang pasti takkan dilepaskan untuk menyakat Jeff. Laksana perlawanan separuh akhir piala Liga Juara-Juara Eropah, ada timbal balik. Sebelum-sebelum ini, asyik dia aje yang merah telinga. 

            “Hai, si loser Arsenal ni nak makan penerajang aku malam ni!” Jeff bertambah bengang dengan sikap menambah-nambah Amir itu.

            Mahu tak mahu, Indra harus menerima kenyataan itu. Ikutkan hati yang membengkaknya, tak mahu sudah dia berurusan jual beli dengan 4 sahabat itu. Namun, demi prinsip perniagaan yang bertunjangkan permintaan dan penawaran, dia akur.

            “Banyak-banyak tempat makan yang ada, kau bawak aku ke sini?” Seperti juga Indra, Ameera pantas menunjuk rasa bengangnya dengan situasi itu. Hatinya yang sediakala disimbah minyak tanah, ibarat menanti untuk dilemparkan puntung mancis yang digores. Adegan yang selalu ada dalam filem koboi.

            Sebetulnya Ameera telah pulang ke Kuala Lumpur untuk satu majlis pertemuan dengan keluarga Reza yang telah diaturkan oleh ibu Reza sendiri. Alih-alih Reza pula buat hal, terlupa akan pertemuan keluarga itu kerana sibuk bermadu asmara dengan Irma hingga ke puncak Genting. Perbincangan tentang projek semester akhirnya dengan Irma berlangsung sehingga ke bilik hotel. Licik pula dia memberi alasan bahawa Amirul ditimpa kecemasan kerana diserang gastrik kepada Ameera dan kepada keluarga kedua-duannya. Jadi, dia mereka-reka cerita membawa Amirul ke hospital. Amirul pulak bersubahat mengesahkan alibinya itu. 

           Ekoran pembatalan pertemuan keluarga itu, Ameera kembali ke Alam Budiman dengan perasaan bengang. Anak gadis zaman sekarang, bila dah terlepas bebas seperti burung, mana tahan lagi duduk lama-lama di rumah mak ayah.

            “Hai, tadi kan kata tak kisah makan kat mana-mana.” Juliana cuba membela dirinya.

            “Ya lah aku tak kisah kat mana-mana, tapi bukannya kat gerai si skin tu!” Ameera membalas. Ketara mukanya bengang. Seperti sudah berasap kepalanya.

            “Alah Mer, you tak nak makan burger boleh aje order makanan lain. Kan banyak gerai lain kat sini. Happening apa, sambil-sambil makan boleh jugak kita layan bola.” Fatihah pula bersuara.

             Ameera terdiam. Buat pertama kali kuasa vetonya tiada sokongan. Muncungnya bertambah berberapa inci lagi dan makin bertambah apabila di layar gergasi di hadapan mereka mula menayangkan siaran perlawanan pasukan Liverpool menentang Burnley FC, sebuah pasukan yang baru dipromosikan dari kejohanan liga divisyen dua di England.

            Dalam kesibukan Indra dan Amir menyiapkan pesanan, Jeff cuba merungkai kekeliruannya dengan menghantar pesanan WhatsApp kepada Juliana. Juliana yang dapat merasa getaran telefonnya segera memeriksa.

            Kata Mer tak ada? Tertera kata tanya daripada Jeff di skrin.

            Family gatheringnya tak jadi. Balas Juliana pantas.

            Beberapa saat kemudian datang lagi pesanan daripada Jeff.

            Hope tak meletuslah perang malam ni.

            Harap begitulah, tapi tengok muncungnya dah tebal lebih 4 inci. Doa-doa ajelah everything is ok. Julianamembalas dengan ikon senyum.

            Perlakuan Jeff  berbalas mesej itu disedari Indra. Sekilas juga dia menjeling Juliana yang turut kelihatan sibuk dengan telefonnya. Lalu berpandukan cerekarama itu, dia dapat satu kesimpulan. Namun, dipendam sahaja dahulu keinginannya untuk menyakat Jeff. Lagipun, dia harus bersikap rasional, tiada salah Jeff dan Juliana bersahabat. Kalau lebih daripada itu pun, tiada juga haknya untuk menghalang.

           Setelah selesai menyiapkan pesanan Juliana tadi, timbul pula rasa serba salah siapa yang perlu menghantar pesanan itu ke meja Juliana dan rakan-rakannya. Indra pastinya awal-awal lagi mahu mengelak. Jeff pulak, tidak mahu menunjuk-nunjuk kemesraan yang baru terjalin antaranya dengan Juliana. Amir sahaja tinggal pilihan yang ada.  Budak nerd itu, kalau disuruh berurusan dengan gadis-gadis cantik ibarat kepala disorong bantal lah. 

            “Err… Mir, tunggu! Biar aku ajelah yang hantar.”

            Saat Amir mahu melangkah untuk menghantar pesanan, Indra menahannya. Tanpa sempat Amir berkata apa-apa, Indra merampas dulang yang menatang tiga biji burger daging yang bersalut telur mata kerbau dari tangan Amir. Tergaru-garu kepala Amir dibuatnya.

            “Alamak! Meletus pulaklah perang malam ni!” Jeff menepuk dahinya.

            Indra yang tiba-tiba datang idea mahu membalas dendam diejek Ameera semalam menonong ke arah meja  musuh ketatnya itu. Seperti pintu fikirannya sudah diketuk sesuatu ilham untuk membalas dendam terhadap Ameera

            “Okey, sudah siap burger special Abang Botak Hot. Sehebat pasukan Liverpool di layar gergasii itu, begitulah juga hebatnya burger Abang Botak Hot ini. Sekali makan sampai licin. Sebab itu burger kami sering menjadi tumpuan di sini,” Indra dengan manis muka pura-puranya meraikan Juliana, Fatihah dan Linda. Sempat juga dia menjeling nakal kepada Ameera. Seperti selalu, Ameera pantas melarikan pandangannya daripada berlaga dengan mata Indra. Dia tahu, Indra sengaja mahu menghangatkan hatinya.

            “Betul ke burger Abang Botak Hot ini menjadi tumpuan di sini?” Fatihah bodoh-bodoh lurusnya menyoal.

            “Kalau adik-adik manis tak percaya lihat saja meja-meja di sekitar, berapa ramai yang sedang menikmati burger handmade saya ini? Ibarat lagu tema pasukan Liverpool, adik-adik manis tidak bersendirian di sini. Walk on, walk on, with hope in your heart, and you’ll never… you'll never walk alone. YNWA!” Indra menyusun baik plot membalas dendamnya.Cukup bersemangat sekali dia menyanyikan lagu tema pasukan Liverpool itu.

            Tatkala mendengar jawapan berlagu Indra itu, tiga gadis di hadapannya itu mengekek tawa. Namun, tawa mereka tidak sempat berpanjangan bila melihat Ameera membuntangkan matanya kepada mereka. Hanya Indra sahaja boleh mematahkan celangannya itu. Senang hati Indra bila melihat Ameera berwajah bengkek sebegitu. Namun, hatinya masih belum berasa puas.

            “Cik adik yang berwajahbengkek seorang ini tak mahu ke merasa burger Abang Botak Hot YNWA ini?”

            “Tak hingin aku!” Bentak Ameera.

            Bentakkan itu membuatkan Indra menderai tawa dengan kuat sekali. Namun, tawa keriangannya itu tak sempat berpanjangan.

            “GOLLLLL!”

            Ameera seperti disampuk hantu, menjerit sekuat hati sambil melompat-lompat keriangan. Tidak peduli lagi orang ramai yang memerhatinya di sekeliling. Tak kisahlah orang-orang sekeliling itu mahu menganggapnya gadis buruk perangai sekalipun. Perasaan gembiranya tak mahu ditahan-tahan. Bukan selalu dia mendapat peluang seumpama itu.

            “Dengan pasukan baru naik liga pun boleh kena! Laung Ameera dengan dekah-dekah tawanya yang seperti tak mahu dihentikan.

            Liverpool 0 Burley 1. Lebih tepat lagi, Indra kosong Ameera satu!

            Indra dengan muka tebal 14 inci segera angkat kaki. Terasa seperti berkumandang lagu Rela Kupujuk dari kumpulanSpider yang telah diubah liriknya saat itu.

            Aku memang lelaki yang tewas…

            “SIAL!”

            “Tiga kali SIAL sejak semalam! Esok lusa pun pasti bertambah lagi SIAL tu!” Ameera melaung balas.

            Rasa bengkek kini bertukar tempat.

 



Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan