Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,311
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

MERAH. Merah dan merah. Segenap bilik tidur itu melata warna darah. Cadar yang membalut tilam. Langsir yang terbuai-buai ditiup angin. Jam loceng di pojok meja. Banting kain yang bercop sebuah logo sebuah kelab bola sepak juga. 

            Di belakang pintu, tergantung sebuah poster gergasi Steven Gerrard yang kelihatan menjerit kepuasan sambil menjulang piala UEFA Champion League. Di pintu almari baju pula tertampal poster band skinhead A.C.A.B dan grafik sebuah vespa. Betapa menjelaskan penghuni kamar itu cukup fanatik dengan ketiga-tiganya.

            Mentari pagi sudah mula meninggi.Cahayanya juga sudah menyimbah ke serata kawasan. Namun, penghuni kamar tidur itu masih nyenyak dibuai mimpi di atas katil. Sebuah peta yang tak dikenali juga hampir siap terlukis di sarung bantal. Dia bermimpi menjadi seorang hero menyelamatkan seorang gadis daripada lemas. Cukup dramatik sekali mimpinya sehinggakan tidak menyedari waktu kini menghampiri waktu kuliah pertamanya pada hari itu.

            Kebiasaannya jam loceng di pojok meja akan menjerit dan mengejutkannya setiap pagi menggantikan kokokan si jalak lenteng yang hari-hari mengepak dada nun jauh di kampung halamannya. Namun lewat malam tadi, dia terlupa mengunci jam itu.Itulah bahana jika tidur lewat malam. Malam tadi dia berjaga sampai jam 2 pagi kerana menonton siaran langsung satu pertarungan epik antara dua pasukan bola sepak yang cukup gah di kancah Liga Perdana Inggeris.

            BANG! BANG!

            “Bangun bro!” Kedengaran pintu diketuk bersama satu suara laungan  dari arah luar bilik.  Bunyi ketukan dan suara laungan itu cukup untuk mengejutkan Indra, remaja berusia 22 tahun dari lena panjangnya.

            “Celaka! Aku kesiangan!” Indra menyeranah diri sendiri selepas melihat jam loceng di pojok meja. Pantas dia bingkas bangun. Dia tidak boleh terlepas kelas pada pagi itu kerana dia perlu membuat satu perbentangan tugasan yang telah diberi oleh pensyarahnya. Perbentangan itu penting kerana pasti akan mempengaruhi carrymarks semester akhirnya. Terkocoh-kocoh dia ke bilik air membuatkan Amir, rakan serumahnya di muka pintu seperti menonton rancangan tv Mr. Bean seketika. Terhibur rakannya itu sampai kelihatan gigi bawahnya yang bersilang-silang sambil menggeleng-geleng kepala.

             Indra menyental gigi dengan pantas sehingga berdarah gusinya. Jelas warna merah bersama buih-buih putih yang diludahnya di lubang singki. Seperti warna merah itu tidak boleh dipisahkan dari hidupnya.

            Selepas berkumur, tuala yang membalut pinggang hingga ke lututnya dilucutkan dan terus mencapai gayung. Jika dia mengguna air dari pancutan, pasti masa akan terbuang lebih lama lagi. Menunggu air dari batang paip itu terjun ke tubuhnya dengan kuantiti yang mencukupi amatlah menyeksakan. Lumrah tinggal di tingkat paling atas, tekanan air selalu menjadi satu masalah.Lebih-lebih lagi di waktu puncak. Dijirusnya air yang digayung dari baldi tadahan ke tubuhnya dua tiga jirus sebelum dia mencapai semula tuala untuk mengelap tubuhnya. Gaya mandi kerbau ala-ala cerita Bujang Lapok kini menjadi realiti dan terbukti benar, bukan satira untuk menggeletek perut lagi. Lawak P.Ramlee tak pernah tiada maksud tersirat. Idea geliga dan sarkastiknya melangkaui zaman.

            “Itulah engkau! Balasan menganjing aku malam tadi. What goes around comes around. Sekarang aku gelak kat kau pulak. Padan muka kau!” perli Amir yang sudah tidak dapat menahan geli perutnya. Meletus tawanya bak seekor anjing yang terbersin. Namun, perlian Amir itu hanya sepintas lalu masuk ke halwa telinga Indra kerana di kotak fikirnya masih segar kisah pasukan Liverpool menewaskan pasukan Arsenal malam tadi.  Lebih manis lagi, pasukan bola sepak kegemarannya itu menang di Stadium Emirates, gelanggang keramat pihak lawan. Pasti itu akan menjadi modal berganda untuknya memperlekehkan Amir berhari-hari.

            Indra berlari anak masuk semula ke bilik tidurnya. Kemudian, dia menyarung apa saja baju dan seluar yang tercapai oleh tangannya walaupun menyedari jersi berwarna merah saga dan seluar slek Dickies coklat cerah itu sudah dua hari tak berbasuh. Jaket Lonsdale hitam dipadankan pula dengan jersi dan seluar slek itu. Tak perlu dia menyikat rambut kerana rambutnya berpotongan tipis hingga menampakkan kulit kepala, potongan tradisi seorang skinhead sejati. Terus saja dia menggalas beg sandang dan menyaut kasut Adidas hitam comotnya di rak kasut. Selalunya dia bergaya dengan kasut kulit Dr. Martens paras betis. Namun, dia tidak mahu mengambil lebih masa untuk mengikat tali kasut itu.

            Ketika mahu memulas tombol pintu, dia berpatah semula ke rak kasut kerana terlupa mengambil topi keledar cengkerang kura-kuranya. Amir yang tiada kelas pada pagi itu terus memerhati gelagatnya dengan hati yang digeletek. Seorang lagi teman serumah mereka sudah tidak nampak batang hidung.

            “Sial punya member! Tak dikejutnya aku. Nasib baik si loser Arsenal itu tolong kejutkan!” Indra menyumpah rakan sekelasnya itu ketika menuju ke ruang parkir motosikal Apartmen Rose.

           Semenjak semester ketiga lagi dia menghuni apartmen itu bersama Jeff dan Amir. Mereka bertiga merupakan pelajar tahun akhir UiTM kampus Puncak Perdana. Ketiga-tiganya belajar di fakulti yang sama iaitu Fakulti Filem, Teater dan Animasi atau ringkasannya FiTA. Dia dan Jeff mengambil jurusan Teknologi Kreatif Skrin, manakalaAmir pula mengambil jurusan Teknolgi Kreatif Penulisan Artistik.

            Boleh saja mereka mengambil beberapa orang lagi rakan serumah. Namun, demi lebih keselesaan dan privasi mereka berpakat untuk tinggal di apartmen itu bertiga sahaja. Rumah itu sebenarnya milik abang ipar Indra dan mereka mendiami rumah itu tanpa sebarang bayaran. Amanat abang ipar Indra, cukup dia dan dua rakannya itu menjaga rumah itu sebaik mungkin. Tapi bil elektrik, air dan bil penyelenggaraan bulanannya kenalah bayar jugak.  Kena lahusaha sikit, tidaklah macam menunggu subsidi kerajaan jatuh ke riba semata-mata!

            Oleh kerana tempat tinggal yang macam tagline iklan Trivago di televisyen, yang berbunyi Mengapa perlu bayar lebih, kalau anda boleh berjimat! membuatkanmereka sanggup berulang-alik sedikit jauh ke kampus mereka.

            Di apartmen itu, Indra memilih sebuah bilik untuknya menepati kelayakan sebagai ketua rumah. Manakala Amir dan Jeff berkongsi satu bilik. Namun Amir dan Jeff mendapat kelebihan bilik yang lebih besar dan mempunyai bilik air sendiri. Apartmen itu sebenarnya masih mempunyai sebuah lagi bilik. Tapi bilik itu dijadikan bilik studio yang menempatkan komputer dan alat muzik milik Indra dan Jeff. Jika bilik itu tidak digunakan sebagai bilik menyiapkan assignment dan berlatih bermain muzik, bilik itu digunakan oleh tiga sahabat itu untuk bermain permainan video di komputer, terutama Jeff yang hantu Dota. Sesuai dengan bilik yang kalis bunyi itu kerana di segenap dindingya  sudah ditampal sarang telur. Jenuh jugak mereka nak kumpul benda alah itu.

            Menanti Indra di ruang parkir itu ialah sebuah vespa Super 150, jentera dua roda klasik buatan Itali. Pedal vespa buatan 1971 itu segera ditunjalnya. Namun, enjin vespa itu entah mengapa degil pagi itu untuk dihidupkan seolah-olah merajuk bermandi hujan malam tadi. Ditunjalnya lagi sambil tangannya memulas tali minyak sehabis takuk. Namun, enjin vespa itu masih juga berdegil. Cuba ditarik choke minyaknya pula sebelum sekali lagi menendang pedal penghidup. Tetap juga enjin vespa klasik itu tidak mahu hidup.

            “Please adinda, jangan buat hal waktu macam ni!” rayu Indra dengan nada manja sambil menggoso klembut kepala vespa kesayangannya itu. Vespa itu sudah ibarat Julietnya. Sayang benar dia pada vespa yang dicat merah mengikut warna rasmi pasukan bola sepak kegemarannya. Vespa itu telah dibawanya dari kampung halaman. Sudah tiga tahun dia menunggang vespa itu tanpa banyak ragam. Hanya masalah-masalah kecil seperti tayar pancit atau kehabisan minyak akibat meter minyak tak berfungsi sahaja pernah dialaminya sebelum ini.

            Vespa itu sangat disayanginya kerana dibeli dengan duit hasil titik peluhnya sendiri. Berbulan dia mengumpul duit gaji dan tambahan duit tip daripada pelancong yang menggunakan perkhidmatannya sebagai budak pantai di kampung halamannya, Pulau Pangkor dua tiga tahun lalu. Dia membeli vespa itu daripada seorang veteran pencinta vespa yang hidup sebatang kara. Bimbang vespa itu tiada pewaris dan takut tamat riwayat di kedai besi buruk, veteran yang pernah bekerja di atas kapal korek itu dengan rela hati menjualnya selepas melihat kesungguhan Indra mahu memiliki vespa itu.

             Selain pasukan bola sepak Liverpool, kasut kulit Dr Martens, muzik skindhead, vespa adalah kegilaan Indra. Dia sememangnya seorang pencinta vespa sejati selepas jatuh cinta pandang pertama dengan kenderaan dua roda itu ketika menonton video klip lagu Semi Charmed Life dari band Third Eye Blind, iaitu sebuah kumpulan muzik rock alternatif yang cukup popular pada era 90-an dahulu.

              Dua tiga jenak dia menggaru kepala, akhirnya terlintas di fikirannya satu klu barang kali punca si jantung hatinya itu meragam. Lalu dia segera  membuka penutup tangki minyak untuk memeriksa petrol.

            “Lah, patutlah, minyak tak ada rupanya.” Keluhnya sambil menjeling ke panel meter. Pasti meter minyaknya itu rosak lagi kerana jarum meter minyak menunjukkan kondisi minyak di dalam tangki berada pada paras separuh.

            “Aduh, apa nak buat ni?” Keluhnya lagi sambil menepuk topi keledar yang sudah tersarung di kepalanya. Stesen minyak terdekat hampir 1 km juga dari apartmen itu. Nak menolak vespa ke situ sambil menapak pasti berpeluh ketiak.

            “Hah! Cuba teknik ini dahulu. Mana tahu nak hidup dan sempat ke stesen minyak.” Akhirnya selepas memerah otak, dia mendapat satu solusi. Solusi ini pernah dipraktik oleh rakan sepermainannya di kampung suatu ketika dulu. Mulutnya segera dirapatkan ke lubang tangki minyak. Kemudian, dia meniup tangki itu beberapa kali sebelum menutup semula lubang itu dengan penutupnya.

            “Please God, harap-harap menjadi.” Doanya sebelum kaki menunjal kembali pedal minyak. Waktu susah macam itu baru ingat tuhan. Sekali tunjal sahaja, enjin vespa tua itu meraung.

           “Thanks God!” Ucapnya sambil menadah tangan dan mendongak ke langit. Tanpa berlengah terus dia memasukkan gear dan memacu vespanya itu ke arah stesen minyak. Satu kelegaan kepadanya bila enjin vespanya itu betul-betul mati di hadapan stesen minyak. Selepas mengisi minyak, dia memecut sehabis maksima daya vespanya itu ke arah Puncak Perdana, kira-kira 8 kilometer dari  kejiranan Saujana Utama.

            Rupa-rupanya bukan Indra sahaja yang terlewat ke kelas pagi itu, tapi juga Ameera Natasha Moore. Gadis kacukan Melayu-Australia itu juga kesiangan bahana EPL yang baru membuka tirai musim baru. Kemenangan perlawanan pertama pasukan kegemarannya telah melekakannya dengan keraian di sebuah restoran mamak hingga ke lewat malam bersama rakan-rakan rapatnya.

            Seperti juga Indra, Ameera menyewa sebuah apartmen di luar kampus bersama-sama rakan baiknya. Sebab itulah mereka bebas seumpama berada di syurga. Tiada lagi yang peduli mereka tidur pukul berapa dan tidak perlu lagi berpayah memanjat pagar kolej kediaman yang akan ditutup tepat jam 12.00 tengah malam atau ditangkap polis bantuan kerana pulang lewat. Tiada lagi juga warden yang membuat spot check kilat ke bilik asrama masing-masing. Resam bergelar pelajar senior, terpaksa menyewa di luar kolej kediaman yang disediakan oleh pihak kampus kerana tempat yang terhad. Walaupun terpaksa mengeluar belanja lebih untuk membayar sewa, mereka tidak kisah kerana mereka tidak lagi terikat dengan undang-undang penjara kolej kediaman yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.

            Dia memecut Honda Jazz putih solidnya keluar dari kejiranan Alam Budiman menuju ke Puncak Perdana, kira-kira 5 minit sahaja dari lokasi kediamannya itu. Di sebelahnya bersandar Juliana, rakan sekelas yang juga rakan sebiliknya. Mata Juliana ketara masih mengantuk. Sesekali rakannya itu menguap panjang.

            SRRETTTT!!!

            “Woi, berilah laluan pada aku dulu! Kerbau pendek punya minah kacuk!” Pekik Indra ketika vespanya hampir bergesel dengan kereta Ameera di simpang masuk ke UiTM Puncak Perdana.

            “Budak skin bodoh!” Balas Ameera. Namun balasannya itu tak didengari Indra kerana terhalang tingkap keretanya yang tertutup rapat. Gerutuannya itu sekadar bergema di telinga sendiri dan juga gegendang telinga Juliana di sebelahnya. Juliana yang pada awalnya tersenguk-senguk, terjenggil biji matanya. Kepalanya juga hampir terhentam ke papan pemuka kereta akibat tidak memakai tali pinggang keledar ketika Ameera membrek mengejut tadi.

            “Kenapa  Mer?” Soal Juliana yang termanggu-manggu.

            “Celaka punya budak skin, dia yang salah nak salahkan aku pulak. Aku yang masuk simpang dulu, dikatanya aku yang salah!’ bentak Ameera yang masih bengang.

             TOK! TOK!

             Indra mengetuk cermin tingkap kereta Ameera.

            "Hah! Kau nak apa?" Sergah Ameera keras selepas menurunkan cermin tingkap keretanya.

           "Woi, Setan Merah! Itu kat tepi stereng ada satu alat yang dicipta untuk memberi signal kalau nak membelok! Takkan sekolah memandu kau dulu tak ajar cara nak nak gunakkannya!" Indra membentak. 

           Ameera terkesima seketika. Tak terdaya untuk menyangkal fakta itu. Pantas juga dia sedar akan kesilapannya itu. Juliana di sebelah berkalih ke arah lain seketika untuk melindungi senyuman geli hatinya daripada dilihat oleh rakan karibnya itu.

           Indra kemudian meneruskan perjalanannya. Namun, rasa berang masih membengkak di hatinya. Lalu secara spontan dia mengangkat tangan dan melurus jari tengah tangan kirinya itu ke udara, isyarat lucah yang biasa ditunjuk muda-mudi zaman sekarang untuk mezahirkan rasa tidak puas hati ketika dia melepasi kereta Ameera.

            “Kau tengok! Sial punya skinhead!”Sekali lagi Ameera meletuskan rasa geramnya, cuba menutup rasa beranya.

            “Sabarlah Mer, bukan kau tak tahu Indra itu,” pujuk Juliana yang cukup mengenali Indra yang juga rakan sekelas mereka.

            Selepas menongkat vespa di parkir motosikal, Indra berlari anak ke arah tangga. Kelasnya terletak di aras dua bangunan tiga tingkat itu. Begitu juga Ameera dan Juliana kerana mereka sudah terlewat hampir 15 minit. Sekali lagi tiga remaja sebaya itu bertembung di tangga.

            “Kau apehal? Dah dua kali nak cari pasal dengan aku hari ini!” Herdik Indra selepas Ameera melanggar bahunya.Pelanggaran itu cukup untuk menjatuhkan topi keledar yang dijinjingnya. Buku-buku yang dibawa oleh Ameera juga jatuh bertaburan di lantai tangga.

            “Siapa yang cari pasal? Kau yang letak mata kat kepala lutut!” balas Ameera keras.

            “Nasib baik aku letak kat kepala lutut, kalau aku letak kat kepala lain silap-silap kau extend kelas sebab bercuti 60 hari,” ujar Indra bersama tawa yang menjengkelkan. Seperti sengaja mahu menghangatkan lagi hati Ameera. Dia segera mahu angkat kaki meninggalkan Ameera yang sedang mengutip buku-bukunya yang bertaburan di lantai tangga.

            “Alah, sikit hal saja ini Indra, apa salahnya kau tolong kutip buku Mer ni, lepas itu berdamai,” Juliana cuba berdiplomasi untuk mendamaikan ibu singa dan bapak naga itu.

            “Tak kuasa aku, kau ingat aku apa? Mat Romeo Robert Pattinson dalam movie pontianak Twilight itu ke? Dipersilakan sendiri kutip!” Indra berkata angkuh dan terus berlalu pergi. 

            “Hisyy… payah betul! Dua-dua tak nak beralah,” keluh Juliana hampa. Akhirnya dia yang membantu Ameera mengutip semua buku yang bertaburan itu.

            “Orang macam itu kau nak aku berbaik-baik? Sorry naik lori! Jauh panggang dari api! Orang macam itu layak sahaja dimaki. Tak ada adab! Memang dasar budak skinhead setan! Perangai dengan mulut sama-sama sial!” Hambur Ameera yang makin membengkak rasa geramnya. Juliana tersenyum melirik entah mengapa. Cukup untuk membuatkan Ameera mengerutkan dahinya.

            “Yang kau senyum melirik ni kenapa?Aku tengah hot bukannya buat lawak!”

            “Sempat lagi kau cipta pantun 3 kerat walaupun dalam marah, Sorry naik lori, jauh panggang dari api, orang macam itu layak sahaja dimaki,” balas Juliana mengulangi semula kata-kata Ameera.

            “Ada ke pantun 3 kerat?” Ameera menggaru sedikit kepalanya sebelum kedua-duanya membahak tawa. Begitulah Juliana, pandai mengembalikan semula mood rakannya itu.

            Berbalik semula kepada Indra. Sememangnya dia dan Ameera saling membenci antara satu sama lain. Mereka telah bermusuh sejak hari pertama mendaftar di FiTA itu lagi. Tak pernah sebulu. Tak pernah sependapat. Berbalas senyum jauh sekali.

           Setiap kali bertembung pasti akan meletus perang mulut dan berbalas makian. Semua pelajar di FiTA itu juga sudah maklum akan permusuhan mereka itu. Sampaikan pensyarah-pensyarah mereka sendiri sudah habis daya untuk mendamaikan mereka berdua. Puncanya dari Indra sendiri kerana cukup membenci orang yang berdarah kacukan. Dia ada sejarah hitam dengan kalangan berdarah kacukan. Rasa bencinya terhadap Ameera makin membuak apabila mengetahui Ameera ialah penyokong setia dan fanatik pasukan bola sepak Manchester United, seteru utama pasukan bola sepak kegemarannya. Ibarat dua pasukan yang bermusuh itu, begitulah juga permusuhan mereka. Jadi, fakta mengatakan sukan itu boleh dijadikan jambatan persaudaraan sedikit bergoyang.



Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan