Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
KASIH IBU TIRI


KAMILIA rasa bengang, bingung dan berputar seluruh alam. Gelap seketika pandangan matanya. Lalu dia letakkan gagang telefon dan mencari tempat untuk melabuhkan punggung seketika. Terngiang suara di hujung talian.

“Minta maaf, Encik Nik Arif sedang bercuti.Ada kenduri kahwin di kampung isterinya.”

Doom! Seperti ada benda berat yang jatuh di atas kepalanya. Jantungnya terasa berhenti berdenyut. Tanpa disedari, air mata berjuraian menuruni pipi. Nik Akmal dipeluk erat. Nik Aleya dan Nik Asila pula seperti faham apa yang sedang berlaku, datang memeluknya erat. Perasaannya semakin tergugat. Walaupun anak-anak itu tidak lahir daripada rahimnya, tetapi mereka seperti faham apa yang sedang Kamilia tanggung.

“Ibu, janganlah menangis,” kata Nik Aleya yang memang petah berkata-kata.

Kamilia menarik Nik Aleya ke dalam pelukannya. Tangisannya semakin mendayu. “Sampai hati ayah buat kita macam ni...” rintihnya. Dia benar-benar terluka. Sangat sakit. Untuk pertama kali, dia mula mencurigai cinta suaminya. Cinta suaminya hanya pura-pura!

Keesokannya, beras dalam bekas simpanannya hanya tinggal segenggam. Tentunya tidak cukup untuk mereka berempat. Dia memang boleh tahan lapar. Tetapi bagaimana dengan budak-budak tu? Dia tidak akan membiarkan mereka menangis kelaparan. Tidak. Dia tidak akan menjadi ibu tiri yang zalim.

Tiba-tiba tergerak di hatinya untuk meminjam dari jiran sebelah. Namun, segera pula rasa malu muncul di celah hatinya.

“Ibu, kakak lapar,” rengek Nik Aleya. Adik-adiknya masih tertidur lena.

Kamilia panik seketika. Dia tiba-tiba hilang arah. Namun, dia menahan air matanya. Nik Aleya tidak boleh melihat air matanya. Nik Aleya tidak boleh tahu akan kepayahan yang sedang dilalui mereka ketika itu.

“Leya, pergi duduk kat depan dulu ya. Nanti ibu masak,” pujuk Kamilia tanpa menoleh.

Anak itu patuh.Dia segera masuk dan berbaring di sebelah adik-adiknya.

Sedang dia termenung itu, tiba-tiba dia terpandangkan batas keledek dan rimbunan pokok ubi kayu yang ditanamnya di belakang rumah. Sepantas kilat dia keluar ke belakang rumah. Dengan sebilah parang dan cangkul, bertemankan air mata dia terus mencangkul dan menggali ubi keledek dan ubi kayu itu. Tidak lama, berhasil juga dia mengumpulkan enam ketul isi keledek dan beberapa batang ubi kayu.

“Alhamdulillah, syukur kepada-MU ya ALLAH kerana memberikan rezeki untuk mengenyangkan anak-anak yang tidak berdosa itu,” ucap Kamilia sambil mendongak ke langit.

“Banyak ubinya Lia?”

Tiba-tiba dia ditegur oleh Cikgu Halimah, jirannya.

“Ada juga cikgu,” jawab Kamilia dengan senyum senang.

“Lia nak buat kuih ke?”

Kamilia gugup. Dengan cepat dia mengangguk. Cikgu Halimah terus masuk ke dalam. Hati Kamilia lega. Sekurang-kurangnya orang tidak tahu bahawa keledek dan ubi kayu itu adalah untuk mengisi perut tiga anak tirinya.

Kalau orang tahu, mungkin dia akan dituduh mendera anak tiri. Sekarang bukan zaman Jepun dan bukan zaman darurat hingga terpaksa ubi dan keledek.

Kamilia merebus keledek dan ubi kayu bersama segenggam beras yang ada. Dia menambahkan sedikit garam dan sedikit gula. Nik Aleya dan Nik Asila sedang menyanyi-nyanyi sambil menonton siri kartun Tom And Jerry kegemaran mereka.

Hati Kamilia ikut terhibur. Walaupun sebenarnya jauh di sudut hatinya dia amat sedih dengan apa yang sedang dilalui itu. Anak-anak itu masih terlalu kecil untuk merasai semua itu. Mereka bukan anak orang susah. Mereka anak pegawai kerajaan gred A. Namun bersama ibu tiri, mereka terpaksa makan nasi campur ubi kayu.

“Ya ALLAH...” ucap Kamilia dengan sebak.

Dalam remang cahaya lampu mentol bulat, mereka duduk bersila mengelilingi hidangan nasi bercampur ubi kayu itu. Sepinggan penuh mereka hadap bersama penuh selera. Kamilia menyuap mereka bergilir-gilir. Sambil itu dia bercerita kisah Sang Kancil Dengan Harimau. Tujuannya agar anak-anak itu terleka dan tidak menyedari mereka sedang makan ubi.

“Sedapkan bu ubi ni?” tiba-tiba Nik Aleya bersuara dengan mulut yang penuh.

Kamilia mengangguk menahan pilu. Samada ubi itu memang sedap atau mereka sedang lapar, hanya ALLAH sahaja yang Maha Tahu.

Makan malam pun itulah hidangan yang ada.

‘Kalau dia seksa aku, aku tak kisah sangat.Ini, dia seksa anak-anak dia yang tak berdosa. Kalau mereka mati kebulur, tidakkah aku yang kena dakwa. Masyarakat tak akan percaya kalau diberitahu, ibu bapa mereka pergi makan angin tanpa meninggalkan sebarang pesan dan duit. Mesti ibu tiri juga yang disalahkan!’ Itu yang ada dalam fikiran Kamilia ketika itu.

Selepas makan malam, mereka tertidur dengan lena. Hanya Nik Akmal yang meragam dan merengek-rengek. Badannya panas. Petanda dia akan demam. Kamilia segera ke dapur, mencari panadol yang masih berbaki di botol.

Dengan sesudu panadol, akhirnya Nik Akmal terlena dalam buaian. Semuanya sudah tertidur. Ketika itu baharu Kamilia teringat untuk mengusap-usap perutnya.

“Sampai hati ayah buat ibu begini. Sampai hati dia jadikan kita penunggu rumah. Tak apalah anakku. Lahirlah kau dengan selamat. Ibu tak kisah kau lelaki atau perempuan. Yang penting, kita akan bersama-sama dalam suka dan duka ini...” rintih Kamilia dengan usapan kasih sayang yang tulus.

Nasib baik Nik Akmal tidak demam. Keesokan paginya dia kelihatan ligat bermain dengan kakak-kakaknya. Dunia kanak-kanak memang tidak pernah susah. Mereka tidak pernah kisah, ada beras atau tidak.

Kamilia mengambil peluang itu untuk memcuci kain baju dan lampin. Di rumahnya tidak ada mesin basuh. Dia mencuci menggunakan tangan. Setiap hari, dengan perut yang memboyot dia terpaksa mengadap sebesan besar kain. Sungguh mencabar tugas sebagai ibu kepada anak-anak yang bukan anaknya itu.

Dari dalam bilik air, dia terdengar suara anak-anak riang berteriak memanggilnya.

“Ibu! Ibu! Cepat datang, ayah dah balik. Yeah! Ayah balik!” Nik Aleya datang menarik tangannya.

Hati Kamilia berderau. Terlalu banyak perkataan yang dia simpan dan disusun sejak semalam. Begitu banyak juga air matanya yang masih berladung bersama hati yang terluka itu. Namun, bolehkah dia keluarkan semuanya?

Dia keluar menyambut suami yang pulang dengan penuh hormat.Tangan Nik Arif disalami dan dicium tanpa gerak cuak. Kemudian seperti biasa pula Nik Arif memeluk dan mencium pipi Kamilia, tanpa rasa bersalah!

Nik Arif membawa bermacam-macam makanan dan barang permainan untuk anak-anaknya. Mereka bergurau dan bermain, namun Kamilia tetap berwajah muram dan bersikap dingin. Kamilia sedang menahan sebuah lava marah yang yang bakal meledak, menunggu masa.

Nik Arif terus leka melayan anak-anaknya. Seharian dia bersantai di rumah Kamilia. Entah apa alasan bohong yang diberikan kepada isterinya, fikir Kamilia. Nik Aleya, Nik Asila dan Nik Akmal begitu riang bermain dengan mainan yang dibawakan oleh ayah mereka.

Hanya Kamilia yang menyepi diri.

“Abang tengok sejak tadi, Lia diam dan muram aje.Kenapa?” Akhirnya Nik Arif perasan juga.

Kamilia rasa dia diberi peluang untuk melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia tidak akan menyimpan lagi. “Lia tak puas hati dengan apa yang abang buat pada Lia,” kata Kamilia dengan suara yang bergetar. Tiba-tiba Nik Arif memeluknya. Dia mengusap-usap kepala Kamilia dengan mesra.

Kamilia tahu itu cara Nik Arif untuk menyejukkan hatinya. Namun kali ini, semuanya tidak berjaya. Darah yang memang sudah berhari-hari panas tidak mungkin dapat disejukkan dengan sikap kasih sayang Nik Arif yang dianggap pura-pura itu.

“Cuba berterus-terang dengan Lia, kenapa abang berkahwin dengan Lia?” tanya Kamilia sambil cuba melepaskan dirinya daripada pelukan Nik Arif. Tiba-tiba dia rasa mual dan muak dengan pelukan itu.

“Kenapa ni?” tanya Nik Arif dengan wajah hairan. Langsung tidak terasa dia sudah melukakan hati seorang isteri.

“Kenapa apa? Baru sekarang Lia sedar dan perasan semuanya. Abang kahwin dengan Lia sebab nak balas dendam pada bekas suami Lia, kan? Abang tak pernah cintakan Lia pun! Abang cuma berpura-pura aje selama ini. Atau abang kahwin dengan Lia kerana abang nak jadikan Lia pengasuh anak-anak abang. Abang dengan isteri abang nak cari jalan senang. Kahwin dengan Lia dan bawa budak-budak ni ke sini. Kemudian biarkan Lia begitu aje!” kata Kamilia dengan suara yang semakin tegang.

Nik Arif merenung wajah Kamilia yang merah padam. Ternyata, memang Kamilia sedang marah. Hati Kamilia memang sedang terluka.

“Siapa cakap macam ni? Abang tak pernah ada niat macam tu. Abang kahwin dengan Lia sebab abang memang sayangkan Lia. Tak pernah ada niat lain. Percayalah,” kata Nik Arif, cuba membuat Kamilia yakin.

“Kalau macam tu, kenapa buat Lia macam ni?”

“Buat apa?” tanya Nik Arif, membeliakkan matanya kepada Kamilia.

Ketika itu Kamilia dihurung keliru. Nik Arif benar-benar tidak tahu kesilapannya selama ini atau Nik Arif berpura-pura tidak tahu untuk menutupnya?

“Dah hampir setahun kita kahwin, tapi abang masih sembunyikan status Lia sebagai isteri abang. Abang masih berahsia dengan Kak Midah. Abang buat Lia macam tak ada harga langsung!” Kamilia menjerit. Dia sudah tidak tertahan lagi. Dia mula menangis. Hatinya seperti dihiris-hiris. Sakit. Pedih. Ngilu.

“Kan abang dah kata, keadaan masih belum sesuai.Abang sedang menunggu masa yang baik. Abang tak nak hal ini kecoh. Abang tak nak bergaduh. Jadi biarlah kita sabar dan tunggu,” kata Nik Arif. Dia seperti sedang menagih simpati dari Kamilia.

“Nak tunggu sampai bila? Sampai anak Lia dah berderet-deret?” Kamilia tidak mahu bersimpati. Kesabarannya sudah berselerak, tidak mampu dikawal lagi. Seperti tangisnya juga, tidak mahu berhenti.

“Tak lama lagi Lia akan bersalin.Tentunya abang tak akan ada di sisi Lia. Dengan siapa Lia nak mengadu kesakitan itu nanti?”

Nik Arif mendengus kasar. “Takkan abang ni begitu zalim nak tinggalkan Lia sakit sendirian!”

Kamilia mengesat air matanya. Dia tahu Nik Arif tidak akan menyerah salah. Lalu dia juga tidak akan menyerah kalah.

“Itulah yang Lia akan terima. Sekarang pun dah nampak contohnya. Sepuluh hari abang tak datang, abang ke mana?” sambung Kamilia sambil merenung Nik Arif. Sengketa itu perlu selesai. Dia tidak mahu menyimpan lama-lama dalam dirinya hingga ia menjadi kudis yang busuk.

“Abang sibuk uruskan majlis kahwin adik Kak Midah,” jawab Nik Arif selamba.

“Langsung tak beritahu Lia. Langsung tak ingat ada tiga orang anak abang bersama Lia di sini?”

“Abang ingat. Mana boleh abang tak ingat!” Suara Nik Arif berubah, kasar.

“Kalau ingat, datang tengok. Kalau ingat, sebelum pergi ke Melaka tinggalkan Lia duit dan makanan yang cukup agar kami tak kebulur!”

“Mana Lia tahu abang ke Melaka?” Nik Arif segera merenung tajam ke arah Kamilia. Ada rona marah pada renungan mata itu.

“Lia telefon pejabat abang.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.