Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
JANJI MANISMU SEMUANYA PALSU


KAMILIA cuba memujuk hatinya agar bersabar.Dia ringankan kaki ke rumah Dani untuk mencari cerita. Dia perlu mencari jawapan untuk semua persoalan yang berlegar-legar di mindanya.

“Dani merajuk habis semalam,” kata kakak Dani ketika Kamilia ke rumahnya.

“Mana dia kak?” Kamilia menjengahkan kepala ke arah bilik Dani.

“Dia dah balik KL. Dia tak cakap dengan Lia ke?”

Kamilia menggeleng.

“Eh, bertuah sungguh budak ni. Datang dan pergi macam tu aje!” tambah kakak Dani.

Kamilia diam. Sebenarnya waktu itu dia sedang menahan gelora rasa yang sedang membadai hati. Dia rasa ingin menangis. Namun, dia cuba menahannya. Dia rasa malu kalau keluarga Dani melihat air matanya.

“Kak, tak apalah. Mungkin dia terlupa,” kata Kamilia perlahan.

“Terlupa?Takkan nak ucap selamat tinggal pun boleh terlupa.Kenapa dia merajuk sampai begitu? Kamu berdua bergaduh ke?”

Kamilia menggeleng. Kalau boleh dia tidak mahu mereka tahu apa yang berlaku antara dia dan Dani.

Seminggu selepas itu, Kamilia menerima surat daripada Dani.

Kekasihku Lia, Dani minta maaf kerana bertindak mengikut perasaan. Dani tahu Lia sedih kerana Dani balik ke KL tanpa beritahu Lia. Dani bersalah. Sekarang Dani terjerat dengan rasa bersalah itu. Maafkan Dani.

Lia, sebetulnya memang Dani amat kecewa dengan penolakan Lia. Namun, Dani tidak boleh memaksa perkara yang Lia tidak suka. Dani sebenarnya tidak sanggup menunggu lama. Dani bimbang kalau Lia berubah hati. Dani tak dapat bayangkan kalau nanti Lia tinggalkan Dani. Tak dapat nak bayangkan hidup Dani tanpa Lia.Dani benar-benar sayang dan cintakan Lia. Jangan tinggalkan Dani. Tolonglah...

Surat Dani itu amat meruntun hati Kamilia. Lalu dia segera membalas surat itu.

Dani kekasihku,

Memang Lia rasa begitu sakit hati dan sedih dengan apa yang Dani buat itu. Berhari-hari Lia hidup dalam air mata. Sampai hati Dani...

Namun, kini Lia mula faham kenapa Dani buat begitu. Lia amat hargai cinta dan kasih sayang Dani. Memang perasaan itu juga yang ada dalam hati Lia selama ini. Cuma, tolonglah faham cita-cita Lia. Lia ingin belajar. Lia mempunyai cita-cita untuk ke menara gading. Lia ingin menggenggam segulung ijazah.

Lia tidak menafikan kebenaran pendapat Dani, bahawa Lia masih boleh belajar walaupun selepas kahwin. Tapi, Lia tidak mahu menjadi isteri yang tidak mampu menguruskan suami dan rumah tangga dengan baik. Menjadi isteri dan pelajar adalah dua situasi yang berbeda. Masa dan komitmennya juga berlainan cara. Lia harap Dani faham.

Menolak rancangan Dani untuk segera berkahwin bukan bermakna Lia tidak sayangkan Dani. Untuk itu, sama-samalah kita berdoa agar ALLAH letakkan takdir yang terbaik kepada kita. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan itu adalah milik-Nya. Kita hanya mampu berdoa dan mengharap.

Selepas itu, Kamilia meneruskan hidupnya sebagai pelajar macam biasa. Dani juga begitu. Surat-suratnya juga tetap tiba tepat pada masanya. Surat-surat itulah yang banyak memberikan Kamilia semangat untuk terus gigih berjuang dalam pelajaran.

Akhirnya Kamilia selesai menghadapi STPM dengan dada yang lapang.Dia menarik nafas lega kerana dia sudah membuat yang terbaik untuk masa depannya. Dia telah bertungkus lumus belajar tanpa kenal erti jemu.

Dalam tempoh menunggu keputusan STPM selama tiga bulan, Kamilia ke Johor untuk menghabiskan cuti sambil mencari pekerjaan.Sebulan pertama, surat-surat Dani masih tiba dengan kata-kata sayang dan cintanya. Namun, masuk bulan kedua semakin jarang. Alasan yang diberikan ialah dia terlalu sibuk dengan tugas seharian.

Kamilia menerima alasan itu dengan dada terbuka dan fikiran yang lapang. Kadang-kadang kalau dia terlalu rindu kepada Dani, dia akan menangis.

Pada bulan ketiga, Dani terus hilang begitu saja. Kamilia tidak menerima apa-apa berita daripada Dani lagi. Dia menunggu dengan sabar. Rindu diubat dengan tabah.

Akhirnya pada satu hari, Kamilia menerima surat yang amat ringkas daripada Dani. Namun, surat itu telah benar-benar menimbulkan rasa curiga dan ragu-ragu di hati Kamilia.

Lia,

Dani sangat rindukan Lia. Namun, dalam masa terdekat ini ada banyak tugas yang perlu Dani selesaikan. Kita akan jumpa di kampung, bila Lia dah balik nanti.

Salam sayang daripada Dani.

Surat itu terlalu pendek. Untuk pertama kalinya, Kamilia menerima surat yang seringkas itu daripada Dani. Tanpa kata cinta dan tanpa pujuk rayu. Kenapa?

Hati Kamilia pula asyik berdebar-debar hingga tidurnya sering terganggu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung lebih awal daripada masa yang dijangkakan. Sepanjang jalan dia terbayangkan wajah Dani.

Dia sampai di kampung pukul 8.00 pagi. Tanpa berlengah, dia terus pulang ke rumah untuk menghantar beg pakaiannya. Selepas mandi dan menyalin pakaian, dia segera menaiki bas ke rumah Dani.

Dalam bas, dia terserempak dengan Kamaruzaman yang juga sahabat baik Dani.

“Bila Lia balik?”

“Baru pagi ni. Man nak ke mana?” tanya Kamilia dengan senyum ramah, macam biasa.

Kamaruzaman tidak menjawab sebaliknya melarikan pandangannya ke arah lain. Lama mereka diam.

Kamilia tidak tahu bagaimana untuk terus menyambung bicara. Walaupun Kamaruzaman adalah sahabat baik Dani dan sering datang ke rumahnya bersama Dani, namun Kamilia masih segan dan malu ketika berdepan dengannya.

“Lia dah tahu ke?” Tiba-tiba Kamaruzaman bertanya. Wajahnya nampak gelisah dan menyimpan satu rahsia. Matanya mensasarkan ke arah wajah Kamilia sambil menanti jawapan.

“Tahu apa?”

“Tak apalah. Sekarang Lia nak ke mana ni?” tanya Kamaruzaman, mengubah topik dan cuba meredakan rasa pelik yang mula bersarang di minda Kamilia.

“Nak ke rumah Dani,” jawab Kamilia dengan jujur.

Diam. Perbualan mereka tamat di situ. Kebetulan bas berhenti betul-betul di hadapan rumah Dani.

Kamilia bangun.

“Harap Lia akan sabar,” ucap Kamaruzaman ketika Kamalia melangkah turun dari bas.

Kamilia menoleh hairan tetapi dia sudah tidak cukup masa untuk menyoalnya. Dia turun. Ketika itu dia melihat Kamaruzaman melambaikan tangan dengan mata yang sayu.

Suasana di rumah Dani sepi. Di hadapan rumahnya terdapat dua khemah dan kerusi meja yang belum dikemas. Seperti mereka baru saja selesai mengadakan majlis perkahwinan. Siapa yang kahwin? Pertanyaaan itu menghantui Kamilia.

“Assalamualaikum!” Kamalia memberi salam. Senyap. Tidak ada suara yang menjawab dan bunyi derap kaki yang mendekat. Salam diulang lagi. Lama. Baru kedengaran derap kaki dari arah dapur.

“Waalaikummussalam!” Satu suara menjawab.

Kamilia kenal benar dengan suara itu. Sejak dia bercinta dengan Dani, suara itu yang sering memanggilnya dengan manja. Suara itu menggantikan suara seorang ibu. Suara ibu Dani, Hajah Gayah.

Pintu dibuka. Wajahnya tersembul. Awalnya dengan senyum. Tapi hanya seketika. Tiba-tiba wajah itu muram.

“Mak, apa khabar mak?” Kamilia terus menyalaminya penuh hormat.

Hajah Gayah tidak menjawab. Sebaliknya, dia memeluk Kamalia dengan tangisan yang mendayu. Ketika itu adik beradik Dani yang mendengar tangisan itu terus keluar. Masing-masing terkejut melihat Kamilia.(delete melihat)

“Mak, sudahlah. Mari kita ajak Lia duduk dulu,” kata salah seorang kakak Dani.

Pelukan dileraikan. Kamilia dipimpin untuk duduk. Hajah Gayah masih teresak, namun tidak sekuat tadi.

“Kenapa mak? Apa yang terjadi?” tanya Kamilia. Dia amat keliru dan perlu mencari jawapan.

“Lia, kami semua sayang Lia. Kami dah lama anggap Lia seperti keluarga kami. Tidak pernah terlintas di hati kami, kalau ini penyudah segalanya...” jawab kakak Dani, menggantikan suara Hajah Gayah yang memang tidak mampu untuk berkisah.

Kamilia semakin keliru.

“Kak, janganlah berpusing-pusing kata. Cakaplah terus terang, apa sebenarnya yang dah berlaku? Lia tengok depan rumah ada khemah. Macam baru lepas kenduri kahwin aje.Siapa yang kahwin kak?” tanya Kamilia, polos.

“Ya ALLAH! Ya ALLAH!”Tiba-tiba Hajah Gayah meraung lagi. Kali ini dia merebahkan dirinya ke lantai dan menutup mukanya dengan sehelai kain.

Kamilia terpempan. Dia rasa bersalah. “Mak, maafkan Lia kalau pertanyaan Lia tadi menyakitkan hati mak,” ujar Kamilia sambil memeluk tubuh Hajah Gayah yang kelihatan lemah itu.

Suasana di rumah itu mula haru biru. Bukan hanya Hajah Gayah yang menangis, malah adik-beradik Dani yang ada di ruang tamu itu turut menangis.

Kamilia semakin dihurung pelik dan hairan. Namun, dia tidak berani untuk bertanya lagi. Dia membiarkan mereka menangis sepuas-puasnya.

“Lia, kau terlalu jujur dan polos. Kami sedih melihat kepolosanmu ini, Lia,” kata kakak Dani di celah esakannya.

“Cakaplah, kak. Lia sedia mendengarnya. Buruk atau baik, Lia akan dengar dengan tenang,” kata Kamilia perlahan. Ketika itu dia seperti dapat mengagak bahawa dia akan berdepan dengan sesuatu yang buruk.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.