Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
110,786
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 27

Hannah menangisi nasib yang telah menimpa dirinya. Sepanjang dua minggu ini dia tidak mampu tidur dengan tenang. Mimpi buruk sentiasa menemani tidurnya.

“ Suami adalah pakaian kepada isteri dan isteri adalah pakaian kepada suami. Jadi peranan suami isteri adalah saling lengkap melengkapi,” kata Puan Hajjah Salamah sambil memegang telapak tangan Hannah.

Hannah hanya mengangguk. Sisa airmatanya masih lagi basah di pipinya namun dibiarkannya sahaja.

“ Hannah sebagai seorang isteri hendaklah selalu bersabar dengan karenah Rayyan. Hannah tahu bukan yang Rayyan tak boleh terima lagi kenyataan ini jadi ibu harap Hannah banyak-banyak bersabar. Mohon petunjuk dari Allah. Disebalik kelukaan dan kesedihan kita pasti ada hikmahnya,” nasihat Puan Hajjah Salamah lagi.

“ Entahlah ibu, Hannah sendiri buntu dengan perkahwinan yang mendadak ini. Hannah sendiri macam Rayyan juga tidak boleh menerima dugaan ini tetapi Hannah tak de lah macam dia, nak mengamuk je memanjang,” kata Hannah meluahkan perasaannya.

“ Ibu faham perasaan Hannah ditambah lagi perkahwinan Hannah ini bukannya atas dasar suka sama suka. Ibu dulu pun pernah mengalami perasaan yang sama seperti Hannah. Kekadang hati kita sebagai seorang isteri sakit bagai dihiris-hiris tetapi apabila ibu kenangkan yang semua manusia bukan sempurna membuatkan ibu terima suami ibu seadanya. Buruk ke, malas ke sakit hati dengan dia ke ibu rela. Kekadang kebahagian melupakan kelukaan di hati. Hannah, tak baik sakiti hati suami, apatah lagi mendendami suami. Berdoalah kepada Allah agar Hannah dan Rayyan perolehi kebahagian.”

Hannah hanya menyepi. Pandangannya jauh melayan perasaannya. Hatinya kuat mengatakan yang rumahtangganya dengan Rayyan bagaikan sudah tiada harapan. Lagipun mereka berdua tiada persefahaman dan untuk apa lagi dipertahankannya.

“ Ibu, kalau Hannah kata Hannah mahu bercerai dengan Rayyan, ibu marah tak?” Tanya Hannah tergagap-gagap. Bimbang bicaranya ini akan menyakiti hati ibu mertuanya.

Puan Hajjah Salamah menggeleng apabila mendengarkan bicara Hannah itu. Ternyata Hannah dan Rayyan berfikiran cetek dan masih tidak matang dalam menangani isu rumah tangga.

“ Kenapa perlu bercerai? Tahu tak Hannah perkara yang halal di sisi Allah tetapi yang tidak disukai Allah adalah perceraian. Dan mana-mana wanita meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya maka haram ke atasnya bau syurga. Hannah mahukah begitu?”

“ Tetapi Hannah dah tak tahan dengan perangai Rayyan. Kami bukannya saling mencintai dan buat apa kami perlu bersama lagi,” kata Hannah cuba mempertahankan hujahnya.

“ Sebab itulah Hannah perlu belajar mengenali Rayyan. Walaupun ego lelaki tinggi tetapi ia akan lemah dengan wanita kalau kena dengan caranya. Sebagai seorang isteri Hannah kena faham dengan perangai Rayyan. Kena pandai ambil hatinya. Kalau Rayyan tengah marah, jangan melawan. Kalau tidak pergaduhan antara kauorang berdua akan jadi lebih teruk lagi. Sebenarnya Hannah, lelaki ini akan berlembut kalau perempuan berlembut dengannya,” nasihat Puan Hajjah Salamah.

Hannah mengangguk. Satu persatu nasihat Puan Hajjah Salamah di sematnya di dalam hati. Memang benar setiap kali Rayyan naik angin, Hannah bagaikan sengaja menyimbah minyak menyebabkan pergaduhan mereka semakin meleret.

“ Kalau berlaku pergaduhan tak salah kalau kita sebagai isteri mengalah. Mengalah tidak bererti kita kalah.”

“ Rayyan sebenarnya baik orangnya mungkin disebabkan dia tidak dapat menerima perkahwinan ini membuatkan dia bersikap kasar dengan Hannah. Tetapi percayalah, Hannah, semua ini tidak lama. Lama kelamaan Rayyan akan sedar akan kesalahan dirinya cuma Hannah perlu bersabar. Sekali sekala cubalah puji Rayyan sebab lelaki memang suka dipuji apatah lagi yang memujinya adalah isterinya sendiri,” kata Puan Hajjah Salamah.

Hannah tersenyum. Puji? Bolehkah dia memuji Rayyan? Tidak fasal-fasal Rayyan katakan yang dia buang tebiat pula. Entah-entah Rayyan perasan yang pujiannya tidak ikhlas.

“ Iskh bolehkah ibu? Nanti tak fasal-fasal Rayyan marahkan Hannah lagi,” kata Hannah.

“ Pernahkah ada orang marah sebab dapat pujian? Hannah, bahagia atau tidak sesuatu rumah tangga itu bergantung kepada diri kita sendiri. Justeru Hannah mesti selalu fikir yang apa jua yang berlaku dalam rumah tangga pasti ada hikmahnya. Dan cara yang mudah Hannah sejukkan hati ialah dengan menganggap Rayyan sedang cuba menyesuaikan dirinya dan jangan sesekali mencabar dirinya.”

“ Sebagai hamba Allah kita kena muhasabah diri dan menilai serta memikirkan tujuan kita hidup di dunia dan bekalan untuk akhirat. Setiap manusia yang lahir tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan tak akan terlepas dari mendapat ujian dan dugaan. Bersabarlah dan berdoalah banyak-banyak dengan apa yang telah Allah uji kepada kita kerana disebalik ujian itu tersimpan bermacam kebaikan bagi orang-orang yang berfikir. Ingatlah Hannah, janji Allah amatlah besar. Kasih sayang manusia hanyalah sementara tetapi kasih sayang Allah untuk selama-lamanya. Senyumlah sayang kerana Allah masih sayangkan kita,” kata Puan Hajjah Salamah sambil mencuit pipi Hannah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.