Setelah
2 minggu di Tanah Suci Mekah, Zarith akhirnya kembali semula ke tanah air. Ketika
itu, hanya papanya dan Haziq sahaja yang menyambutnya di lapagan terbang. Mama
dan adiknya hanya menunggu di rumah, sibuk membuat persiapan menyambut
kepulangan dia katanya. Mereka terus pulang ke rumah tanpa singgah ke
mana-mana.
Sampai
sahaja di rumah, mamanya terus menerkam dan memeluknya. Dia benar-benar rindu
pada anak itu. Rasa marahnya sudah hilang seiring dengan waktu berlalu. Zarith
membalas pelukan mamanya dengan senang hati. Sudah lama dia tidak dimanjakan
seperti itu, asyik-asyik dimarahi sahaja sebelum ini. Tan Sri Rahim dan
adik-adiknya tersenyum senang. Lega dengan perubahan wanita itu.
“Jomlah
kita makan, along pun dah lapar tu. Tak makan lagi katanya tadi,” ajak Tan Sri
Rahim.
Mereka
berlima terus bergerak ke ruang makan. Deretan makanan sudah tersedia di atas
meja. Semua makanan kegemaran mereka ada di situ. Puan Sri Khaleeda terus
mencedok nasi ke dalam pinggan mereka satu persatu.
“Wow, banyaknya mama masak! Dah lama
angah tak makan masakan mama. Bestnya makan hari ni!” Haziq bersuara girang.
Hari ini dia betul-betul gembira, alongnya sudah pulang dan mamanya tidak lagi
marah-marah.
“Sengaja mama memasak hari ini untuk
anak-anak mama, terutamanya along. Dah lama mama tak tengok along tau! Angah
dengan Yana jangan cemburu pulak!” Puan Sri Khaleeda sudah mampu ceria semula,
dengan senang hati dia melayan karenah suami dan anak-anak kesayangannya.
“Semua nampak gembira je malam ni.
Errr… ada berita gembira ke?” Zarith cuba berkias. Jujur dia sebenarnya tidak
sabar untuk mengetahui tentang lamarannya terhadap Marissa. Keceriaan ibu dan
adik-adiknya yang seolah-olah tidak ada masalah yang berlaku memberinya sedikit
sinar harapan.
“Berita apa maksud along?” soal Puan
Sri Khaleeda berpura-pura tidak tahu. Wajahnya agak kelat. Pertanyaan Zarith moodnya
hilang, namun kali ini dia tidak cepat melenting. Dia tidak mahu merosakkan
suasana. Anaknya baru sahaja pulang, rindu juga masih belum hilang, masak dia
mahu mengajak Zarith bergaduh pula!
“Errr…. tentang lamaran along
terhadap Marissa. Dia terima ke?” soal Zarith berterus-terang.
“Tak, dia tak terima.” Selamba
jawapan mamanya.
Wajah Zarith yang tadinya ceria berubah
muram. Terkejut, sedih dan kecewa!
“Tak pelah, nak buat macam mana.”
“Padan muka along! Tulah, dulu
suka-suka je tolak anak orang. Sekarang ni rasakan macam mana kecewanya bila
cinta ditolak. Mama tabik pada Marissa sebab dia dah berjaya sedarkan anak mama
ni yang bukan semua orang sukakan along. Sekarang baru tahukan macam mana
rasanya?” Puan Sri Khaleeda menghentam anak sulungnya. Sengaja dia berbuat
seperti itu supaya anaknya mengerti perasaannya selama ini.
“Along tak akan menyerah mama. Kalau
selama ni along berjaya dapatkan semua projek-projek besar dan berjaya kalahkan
semua saingan along, along yakin akan dapatkan Marissa. Along tak akan mengalah.
In sha ALLAH, jika dia benar-benar jodoh along, cepat atau lambat along pasti
akan dapatkan dia juga,” bicara Zarith lagi, penuh dengna keyakinan.
“Tapi Marissa tu orang, bukan
seperti projek atau barang! Dia ada perasan, entah-entah dia dah ada pilihan
sendiri. Dahlah, tak payah fikirkan sangat pasal ni. Jom, kita makan!” Puan Sri
Khaleea tidak mahu memanjangkan cerita. Dia terus mengisi lauk kegemaran anak
sulungnya itu ke dalam pinggan.
“Betul cakap mama kamu tu. Jangan
difikirkan sangat. Apa pun yang along nak buat, pastikan semuanya dengan cara
yang betul. Jangan sia-siakan hidup semata-mata kerana seorang perempuan,” penuh
makna Tan Sri Rahim menasihati anaknya.
“Insya-ALLAH, along akan selalu
ingat pesan papa. Tolong doakan untuk along ya?” pintanya lirih.
“Sudah-sudahlah, long. Mama selalu
doakan along. Dahlah, tak payah cakap lagi pasal ni. Jom, makan!”
Zarith tersenyum pahit. Perutnya
tiba-tiba sahaja terasa kenyang, namun demi menjaga hati mamanya yang telah
bersusah payah memasak untuknya, Zarith menjamah jua sesuap dua. Nasi ditelan bersama dengan kekecewaan.
Rasanya hambar dan pahit.
“Errr… mama, esok angah nak bawa
kawan datang rumah boleh tak?” soal Haziq setelah keadaan mulai tenang.
“Bawa jelah. Tak payah nak
minta-minta izin. Macam tak biasa pulak,” jawab papanya selamba.
“Bukan kawan biasalah tu bang
agaknya… tak pernah-pernah minta izin selama ni. Ish, abang ni! Macam tak faham
pulak…” Puan Sri Khaleeda tersenyum penuh makna memandang anaknya.
Haziq tersengih-sengih. Wajahnya
bersinar-sinar. Ceria!