Home Novel Cinta Jantung Hatiku
Jantung Hatiku
CikSiti Amna Nazia
30/12/2014 21:12:52
51,296
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 1

Malam bulan dipagar bintang kelihatan begitu indah menggamit perasaan. Angin bayu laut dari ufuk timur yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitu sejuk sehingga menusuk ke tulang hitam. Saat semua insan sedang enak melayari bahtera mimpi masing-masing, penghuni rumah teres dua tingkat di pinggir kota ini masih lagi belum melelapkan mata. Masih banyak urusan yang perlu diselesaikan.

Marissa sudah menguap beberapa kali. Matanya sudah mengantuk. Di fikirannya hanyalah tilam dan bantal empuk, menari-nari di ruang mata. Dia mengerling ke sebelah, melihat mamanya yang masih lagi tekun membuat gubahan.

“Mama, banyak lagi ke kita nak buat ni? Rissa dah mengantuklah ma. Sekarang ni dah pukul 1.30 pagi. Esok pagi-pagi lagi Rissa nak kena hantarMirul pergi kuliah. Dah banyak kali Rissa tak dapat tunaikan janji Rissa dengan dia. Kita sambung esoklah ma,” dia bersuara manja, memujuk mamanya untuk berehat barang sepicing dua.

“Sikit je lagi, semua ni nak kena siapkan cepat. Majlis tu dah esok lusa. Nak tunggu esok-esok banyak lagi benda yang tak beres. Ni baru untuk satu majlis, ada lagi dua majlis lepas tu. Kalau berlengah-lengah bila nak siap semua? Nak pasang khemah lagi, pelamin lagi... banyak benda tau tak.” mamanya mula membebel.

Marissa mengangguk, mengiakan kata-kata mamanya.

“Dah adat kita ni orang berniaga, kenalah cepat dan efisyen. Barulah orang tak serik nak gunakan khidmat kita. Kalau tak, sia-sia je usaha mama dengan papa selama ni. Kita ni wedding planner yang paling top kat bandar ni!” sambung mamanya lagi.

“Tapi kalau buat dalam keadaan tergesa-gesa pun, tak cantik jugak. Tengok ni, bunga dah senget-senget. Polistren ni pun makin lama, makin kecik. Dah tak ada rupa. Ni hah, kain pasang, nak buat bentuk angsa dah jadi rupa dinasour dah. Kalau diteruskan lagi rasanya binasa kot,” dia cuba melawak sambil memancing simpati mamanya masih asyik menyiapkan gubahan tepak sirih.

Sedikit pun wanita itu tidak lari fokus, dengan teliti dia ‘menyolek’ par besi tembaga berwarna emas itu dengan sentuhan kreativitinya. Manik-manik sebesar biji kundang digamkan di sekeliling kian renda untuk menambahkan seri. Marissa memang tabik spring kepada mamanya. Masih kuat mata coklat cair itu bertahan sehingga ke dinihari sedangkan dia yang masih muda remaja sudah tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk.

Begitulah rutin harian mereka setiap kali tiba musim perkahwinan. Tidak menang tangan dan tidak cukup tidur dibuatnya. Sudah sepuluh tahun mereka membuka perniagaan berasaskan perkhidmatan perundingan perkahwinan dan catering ini. Bermula daripada perniagaan kecil-kecilan yang hanya menyediakan perkhidmatan catering, mereka mula berjinak-jinak membuka cabang perniagaan yang lain. Dari hari ke hari, perniagaan mereka semakin mendapat tempat di hati penduduk sekitar dan juga beberapa VVIP.

“Kalau Rissa nak rehat, rehatlah. Tapi Rissa tidur kat sini je, temankan mama. Nanti mama dah siap gubah semua ni, mama kejutkan Rissa.” Ujar mamanya. Kesian juga dia melihat anak perempuannya itu sudah keletihan.

Marissa tersenyum senang. Laju dia mencapai bantal kusyen yang ada di tepinya untuk mengalas kepala. Lega dan nikmat begitu terasa. Tubuhnya sudah terlalu letih. Pagi bekerja, petang ke kuliah, malamnya pula sibuk menyiapkan kerja-kerja gubahan ini.

“Eh, Rissa! Kenapa tidur atas lantai macam ni? Sejuk tu, nanti masuk angin. Pergi masuk tidur dalam bilik,”

Teguran daripada Encik Johan mengejutkan mereka berdua. Mata Marissa terus terbuka luas. Papanya sedang berjalan menuju ke mari. Di tangannya ada dua mug kopi. Dia menghulurkan mug tersebut kepada anak isterinya kemudian perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas lantai berhampiran anak isterinya.

“Pergilah masuk tidur dalam bilik,” ujar papanya sekali lagi.

“Tak pelah, Rissa nak temankan mama. Kesian mama sorang-sorang siapkan semua ni. Nak bantu pun Rissa dah tak boleh fokus,” tuturnya.

“Kalau macam tu, Rissa masuk tidur dalam biliklah. Biar papa je yang temankan mama. Lagipun papa nak kira-kira untuk bajet majlis lusa ni,” ujar Encik Johan sambil tangannya ligat mencapai buku log kira-kira yang ada di atas meja kopi.

Tekun dia meneliti perbelanjaan keluar dan masuk untuk majlis. Kalkulator dan pen bergerak seiring. Meleret senyumannya melihat angka-angka yang keluar dari skrin kalkulator Panasonic itu.

“Banyak untung ke papa?” soal Marissa, tidak jadi dia hendak tidur pabila melihat senyuman papanya.

“Tau-tau je Rissa ni! Alhamdulillah… rezeki kita, untungnya berniaga dengan orang-orang kenamaan ni. Banyak yang masuk!” ujar papanya teruja.

“Baguslah kalau macam tu! Kalau macam tu lepas majlis ni bolehlah kita sekeluarga pergi bercuti kan papa? Dah lama kita sekeluarga tak makan angin sama-sama kan?” Marissa girang. Terus segar matanya yang mengantuk tadi.

“Tadi kata mengantuk, nak tidur. Eh, sekarang ni segar bugar pulak mata tu ya? Kalau macam tu jom sambung kerja,” sindir mamanya pula.

“Awak ni, biarlah Rissa nak rehat dulu. Kesian budak ni penat. Dari tadi lagi tak rehat. Awak pun rehatlah, nanti tak pasal-pasal awak pengsan pulak masa majlis tu nanti. Tak ke haru jadinya?” tegur Encik Johan dalam gurauan.

Puan Yunita tersengih, “sikit je lagi bang. Dalam dua dulang lagi. Saya nak siapkan cepat-cepat, esok-esok taklah kalut. Kat butik tu bersusun-susun kerja yang kita kena buat. Takkan awak lupa, hari yang sama kita ada lagi dua majlis. Tak dikira esok dan lusanya lagi. Sekarang ni musim cuti sekolah, orang berebut-rebut nak buat majlis kahwin,” ujarnya.

“Yalah, saya tahu. Mana boleh lupa. Ni periuk nasi kita. Tapi esokkan boleh sambung kat butik. Lagipun, kalau kita siapkan semua kerja ni, pekerja kita nak buat kerja apa? Kita bayar gaji mereka takkanlah kita nak siapkan semuanya. Simpanlah untuk mereka buat pulak,” Encik Johari bersuara lagi.

“Banyak lagi bang kerja yang diaorang kena buat. Kat butik tu banyak lagi kerja-kerja gubahan yang belum selesai. Saya dah bahagikan tugas masing-masing. Yang ini bahagian saya sendiri. Jadi saya kena siapkan ikut dateline lah, bang. Kalau saya sendiri buat kerja last minute je, macam mana nak jadi contoh pada pekerja lain supaya kerja ikut dateline?” bersungguh dia mempertahankan pendapatanya sambil matanya asyik meneliti hasil gubahan yang baru sahaja disiapkannya. Puas hatinya melihat hasil kerjanya kelihatan cantik dan sempurna.

“Dahlah, mama. Rissa tolong mama siapkan cepat-cepat, ya? Nanti bila dah siap kita boleh rehat dengan tenang,” celah Marissa tiba-tiba.

“Macam tulah anak mama! Tak mudah putus semangat dan letih. Kalau macam nilah gayanya, hujung bulan nanti mama bagi bonus,” dalam senyuman Puan Yunita bersuara, memberikan pujian untuk menaikkan semangat anaknya.

Marissa tersengih kelat. Faham benar maksud pujian mamanya sebentar tadi. Tidak tenang dia untuk berehat selagi semua kerja-kerja tidak siap. Sesekali dia mengeliat untuk membetulkan urat sarafnya yang dirasakan agak bersimpul. Rambutnya yang panjang itu disanggul tinggi supaya tidak berserabai dan terjurai menganggu kerja-kerjanya. Kain pasang fabrik sutera rona hijau lembut yang diletakkan di dalam beg kertas itu diambilnya untuk digubah dijadikan bunga teratai.

“Banyak untung kita bulan ni. Nampak gayanya lepas bila semuanya dah selesai, bolehlah kita pergi bercuti. Rissa denganMirul ada kuliah lagi ke bulan depan?” Encik Johan bersuara memecahkan keheningan suasana malam.

Mendengar soalan papapnya, cepat-cepat dia menggelengkan kepala. “Minggu depan Rissa dah viva untuk tesis akhir, jadi lepas tu dah tak ada apa-apa lagi. Tinggal nak konvo jelah.Mirul pun rasanya dah mula cuti,” balasnya laju.

“Baguslah kalau macam tu. Tepat sangatlah timingnya. So, ke mana kita?” soal Encik Johan.

“Dubai?” jawab Marissa dalam soalan, mengharapkan papanya mengiakan.

“Bercuti dalam negara dahlah.. tak payah nak membazir sangat,” tingkah mamanya.

Marissa memuncungkan bibirnya, tidak puas hati dengan jawapan mamanya. “Ala, baru je nak merasa bercuti luar negara. Sekali-sekala bolehlah, ma.” Pujuknya.

“Duit tu banyak lagi nak pakai sayang oii... daripada habiskan kat tempat orang baik kita laburkan kat tempat kita sendiri,” sanggah mamanya lagi.

“Hmm… tapi barang-barang kat sana murah-murah dan lawa-lawa, tak sama dengan tempat kita.” Ujar Marissa.

“Memanglah murah, tapi dengan cukai penerbangan lagi, caj itu caj ini, sama jelah.”

Encik Johan menggeleng kepala mendengar perbualan anak isterinya. Ada-ada sahaja yang tidak sebulu. Dia faham dengan niat anak isterinya. Isterinya cuba berjimat untuk ekonomi keluarga sementara anaknya tidak pernah merasa semua itu. Hidup mereka susah selama ini. Usahkan hendak melancong di luar negara, untuk makan sehari-hari pun dia terpaksa membanting tulang empat keratnya untuk mendapatkan sesuap nasi. Menyedari kesusahan itu,dia sebagai ketua keluarga berusaha sekeras mungkin untuk memastikan hidup mereka senang.

Masih diingat lagi bagaimana dia berjuang untuk meneruskan kehidupan keluarganya setelah kembalinya dia daripada bumi Jerman. Ketika sampai di sini, dia hanya sehelai sepinggang dan tidak punya apa-apa. Segala certificate yang dimiliknya tidak sempat dibawa pulang, menjadikan dirinya susah untuk meminta pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya. Pelbagai kerja dilakukannya. Daripada seorang engineer, dia pernah menjadi kuli.

“Sudah-sudahlah Nita, Rissa… In sha ALLAH duit kita cukup untuk pergi melancong ke luar negara. Jangan fikir sangat pasal duit. Duit tu kita boleh cari, yang penting sekarang ni kita usaha. Untung bulan ni cukup untuk kita bawa anak-anak melancong,” ujar Encik Johan menenangkan hati anak isterinya.

Marissa tersenyum senang. Gembira dengan lampu hijau daripada papanya. Kini cuma menunggu persetujuan dari mamanya sahaja.

“Hmm.. tak pelah kalau macam tu. Nanti esok kita bincang lagi hal ni dengan Amirul sekali,” kata Puan Yunita. Dia sebenarnya ingin juga melancong ke luar negara. Sudah lama dia tidak merasai semua itu. Tapi dia tidak mahu mengharapkan lebih daripada itu kerana tidak mahu membebankan suaminya.

“Yes!!!”

Marissa menjerit kegembiraan. Impiannya hampir tercapai. Sudah lama dia mengimpikan untuk melancong ke luar negara. Selalu dia dan adiknya berangan-angan untuk membuat percutian di negara luar. Tidak kisahlah kalau bukan di Dubai sekali pun, asalkan di luar negara. Dubai hanya rancangannya, tapi kalau adiknya ingin ke Machanster sekali pun dia tidak kisah. Asalkan boleh bercuti, hilangkan stress yang menimbun di kepala!

“Rissa syukur sangat dengan apa yang kita ada hari ni. Kalau diingat-ingatkan dulu, Rissa tak pernah bermimpi untuk hidup senang macam ni. Dulu, Rissa tak pernah rasa yang Rissa akan hidup sampai besar, dapat sekolah, dapat kawan… Rissa ingat Ris..”

“Dahlah, tak payah kenangkan cerita lama lagi. Benda dah lepas, buat apa nak ingat-ingat lagi? ” mamanya meningkah cepat. Dia tidak mahu anaknya terus hidup dalam kenangan pahit. Dia sendiri cuba melupakan semua itu. Tidak sanggup dia mengenangkan peristiwa itu.

“Errr… maaf, Rissa tak berniat nak buat mama sedih.” Menyedari kesilapan bicaranya, Marissa meminta maaf.

“Tak pelah… mama tak sedih pun. Cuma mama jadi teringat pada atuk kamu,” Puan Yunita bersuara perlahan, menelan rasa sebak di hati.

“Atuk kamu tak jahat sebenarnya. Dialah orang yang paling baik pada papa. Dia banyak bantu papa sepanjang berada di sana. Dia tak pernah beza-bezakan pekerjanya. Walaupun papa bukan orang tempatan, tapi dia tak pernah diskriminasikan papa. Dia sangat prihatin,” Encik Johan bersuara, meredakan suasana yang tegang. Dia tidak mahu anaknya terus-terusan menganggap datuknya seorang yang jahat.

“Mama rindu pada dia?” soal Marissa, menduga hati mamanya.

Puan Yunita tersenyum, lantas mengusap lembut ubun-ubun anaknya. “Rasa rindu tu mesti ada dalam diri setiap anak. Sama macam Rissa sayangkan papa, mama pun sayangkan atuk,” jelasnya.

“Kalau macam tu kita pergi sana. Nak tak?” tanya Marissa.

“Susah sayang…” balas Puan Yunita.

“Kalau kita rasa susah, susahlah. Kalau kita rasa senang, benda susah pun jadi senang.” Ujar Marissa, kecewa dengan dalih mamanya.

Puan Yunita menunduk. “Rissa, kalau dah siap pergilah masuk tidur. Mama pun dah nak masuk rehat ni,” dalih mamanya tidak mahu memanjangkan cerita. Dia terus menyimpan peralatan yang digunakan ke dalam beg khas.

“Mama, nanti Rissa cuba pujuk Mirul ya? Kalau dia ok, nanti kita pergi sana ya?” Marissa masih lagi tidak berpuas hati. Entah mengapa dia berasa rindu dengan masa silamnya, rindu kepada datuknya.

Puan Yunita mengangguk sekadar melegakan hati anak itu. Marissa tersenyum senang.

Previous: prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh CikSiti Amna Nazia