Mata Marissa terbeliak luas. Jam
loceng berwarna merah berbentuk hati di atas meja tepi katil menunjukkan jam 9
pagi. ‘Ya ALLAH! Dah pukul 9.00 pagi?
Argh!’ Dia menepuk dahi.
Serta merta wajah Amirul, adik kesayangannya itu terbayang
di ruang mata. Semalam, beria-ia benar dia berjanji dengan untuk menghantarnya
ke kampus. Tapi kali ini sekali lagi dia terlepas menunaikan janjinya. Kalau
hari-hari sebelumnya dia terpaksa mengungkir janji kerana ada kerja yang tidak
dapat dielakkan, hari ini dia terlewat bangun pula. Semalam jam tiga pagi
barulah dia selesai membuat gubahan bersama mamanya. Dia tidur sebentar dan
bangun sekejap untuk solat subuh. Dek keletihan, dia terus menyambung tidur
sehingga langsung tidak terjaga ketika jam loceng berdering.
‘Nampaknya dia naik teksi lagilah tu. Kesian adik aku,’
keluhnya sendirian. Dia rasa bersalah pula.
Marissa menguap lagi. Matanya yang masih mengantuk meminta
untuk dilenakan semula. Memandangkan Amirul pun pastinya sudah berangkat ke
kuliah, jadi dia mengambil keputusan untuk menyambung tidur barang seminit dua.
“Marissa…”
Belum sempat dia berbaring semula, namanya dipanggil dari
luar. Pintu biliknya diketuk dengan agak kuat. Niatnya untuk menyambung tidur
terbantut. Dengan perasaan malas, dia perlahan-lahan bangun membuka pintu
biliknya.
Wajah mamanya terjengul di muka pintu dengan manisnya.
“Rissa baru bangun?” soal mamanya lembut.
“A’ah… semua ni sebab mamalah. Dera Rissa buat kerja
sampai ke pagi. Jadi jangan salahkan anak dara kalau bangun lewat ya?” balasnya
dalam gurauan. Tubuh mamanya dipeluk erat. Pipi mamanya dicium kiri dan kanan.
“Ish, Rissa ni! Busyuklah… dah pergi mandi cepat. Lepas ni
kita sarapan sama-sama. Papa dah tunggu kat bawah. Kejap lagi kita berangkat
kerja sama-sama,” ujar mamanya riang. Pipi anaknya dicubit sayang.
“Yalah, yalah. Baru je nak sambung tidur balik,” rengeknya
manja. Pelukan terhadap mamanya masih lagi belum dilepaskan.
“Kata nak melancong ke luar negara… kalau nak ke Dubai
kenalah kerja keras sikit sayang oii…” kata Puan Yunita.
Marissa tersengih. “Mama, Mirul dah berangkat ke? Dia
pergi dengan apa? Teksi lagi ke?” soalnya.
Puan Yunita menangguk. Rasa terkilan pula kerana memaksa
Marissa berjaga sehingga ke lewat malam. Wajah anak itu kelihatan sangat letih.
Namun dia tidak boleh terlalu memanjakan anaknya. Biar anak itu tahu erti
pengorbanan untuk mengecapi kejayaan. Bukan senang hendak senang.
“Tak pelah kalau macam tu, Rissa pergi mandi dan siap-siap
dulu,”
“Yalah, tapi jangan lama-lama sangat tahu!” ujar Puan
Yunita seraya beredar dari situ untuk memberi ruang kepada Marissa
bersiap-siap.
SEBUAH kereta Toyota Vios hitam berhenti betul-betul di
hadapan stesen bas Fakulti Kejuruteraan UPM. Amirul tersenyum senang melihat
kakaknya. Dia terus membuka pintu kereta, lalu memboloskan diri ke dalamnya.
Aroma Ambi Pur Floral And Daring For Her menusuk deria baunya. Dia
mengenyeh-genyehkan hidung, kurang senang dengan bau feminin itu.
“Akak, tukarlah perfume kereta ni! Gunalah yang fresh
and nature sikit.” Dia bersungut.
Marissa mencebik. “Okey apa bau ni! Wangi kot!” sanggah
Marissa.
“Memanglah wangi, tapi not for me okey!” balas
Amirul.
“Yalah, yalah… nanti akak tukarlah kalau Mirul nak
belanja,” Marissa tersengih-sengih menjawabnya.
“Memang taklah kalau Mirul nak belanja… duit minyak lagi,
duit makan lagi. Tu tak campur dengan nak bayar motor yang tengah repairkat
bengkel tu lagi. Eh, mimpi apa akak datang jemput tengahari ni? Selalunya asyik
miss je janji. Pagi tadi pun puas Mirul ketuk pintu bilik tak jugak akak
bangun,” celotehnya.
“Sorrylah. Pagi tadi akak tak sedar langsung. Letih
sangat, semalam dekat pukul tiga baru akak tidur. Ingatkan lepas subuh tu dah
okey, tapi terlelap pulak. Sorry eh?” Dia berasa agak bersalah. Sejak
berjanji, baru hari ini dia berkesempatan untuk mengambil adiknya dari kuliah,
itu pun masih lagi terlewat.
“It’s okay!
Mirul faham yang akak sibuk sekarang ni. Maklumlah, sekarang ni kan musim
kenduri. Dah biasa dah macam ni, cuma
dulu masa ‘awek’ sihat senang sikit nak ajak dia ke hulu ke hilir.
Sekarang ni dia dah masuk wad. Tu yang susah sikit tu,” balasnya dalam gurauan.
Marissa tergelak mendengar celoteh adiknya. Gelaran kepada
motosikal Honda NSC50R itu menjentik hatinya.
Macam-macam bahasa budak-budak sekarang! Getusnya sendirian.
“Sebagai permintaan maaf, Mirul boleh claim duit
tambang teksi yang Mirul guna selama seminggu ni dengan akak. Setuju?” tanya
Marissa.
“Tak payahlah, kak. Selama ni Mirul tak keluarkan duit
satu sen pun untuk tambang teksi,” tolaknya bersahaja.
Berkerut dahi Marissa mendengar penolakanya adiknya.
Setahunya, mama dan papanya tidak pernah memberikan wang saku yang lebih kepada
Mirul untuk tambang teksi. Sejak kecil dibiasakan untuk menguruskan segala
perbelanjaan dan keperluan harian dengan menggunakan elaun bulanan yang
diberikan. Dengan wang itu, pandai-pandailah mereka menggunakannya. Jangan
haraplah mama dan papanya memberi wang saku yang lebih untuk mereka.
“Maksudnya?” Marissa tertanya-tanya.
“Panjang ceritanya, nantilah Mirul ceritakan lain kali.
Kak, laparlah. Jom kita makan tengahari. Akak belanja ya?” jawabnya tanpa
menjurus kepada soalan Marissa.
“Yalah. Kesian dia… lapar ya? Ni mesti ikat perut sebab
nak bayar bil hospital ‘awek’ tu kan?” soalnya bergurau.
“Mestilah. Mahal kot. Sebulan gaji tu…” ujar Amirul
beria-ia.
Marissa tersengih mendengarnya. Matanya terus
melilau-lilau mencari restoran berdekatan untuk mengisi perut. Restoran Tepi
Jalan yang lokasinya memang di tepi jalan menjadi pilihan mereka berdua.
Marissa memakirkan keretanya dibirai jalan. Amirul turun
terlebih dahulu. Lapar benar dia nampaknya. Hidangan lauk-pauk makan tengah
hari yang menyelerakan membuatkan mereka rambang mata untuk memilihnya. Penuh
pinggan lauk-pauk diambil bersama.
Usai memilih makanan, mereka mencari tempat duduk yang
selesa. Seorang pelayan datang mendekat, mengambil pesanan minuman. Marissa
memesan jus epal sementara Amirul memesan dua jenis minuman, tembikai sirap
laici dan Lay Chee Kang. Alang-alang orang belanja katanya. Tanpa menghiraukan
keliling, laju sahaja Amirul menyuap nasi ke mulut.
“Marissa!”
Marissa berpaling ketika namanya disapa. Amirul juga turut
sama. Seorang lelaki berpakaian kemas datang menghampiri kakaknya dengan
senyuman.
“May I join you?”
tegur lelaki itu.
Marissa kelihatan teragak-agak. Dipandang adiknya sekilas,
meminta persetujuan. Amirul mengangguk lalu mempersilakan lelaki itu duduk di
sebelahnya.
“Siapa ni kak?” soal Amirul separuh berbisik.
“Mirul, kenalkan ni kawan akak, Fareez. Fareez, ni adik I,
Amirul Reeza. Panggil Mirul je,” balasnya, saling memperkenalkan mereka berdua.
“Hai, abang Fareez...” sapa Amirul mesra. Dia menghulurkan
salam.
“Hai, bakal adik ipar...” sapa Fareez sambil berjabat
tangan. Begitu selamba dia membahasakan Amirul sebagai adik iparnya.
Amirul mengecilkan matanya, sempat mengerling ke arah kakanya
yang kelihatan menggelabah. Satu senyuman penuh tanda tanya dilemparkan buat
kakaknya itu. “Wow… adik ipar? Is he someone special to you, sis?” soalnya
tanpa berselindung.
“Fareez, awak jangan nak mengarutlah! Mirul, Fareez ni
kawan baik akaklah,” Marissa bersuara, cuba membetulkan tanggapan adiknya
terhadap lelaki itu.
Amirul sekadar mengangguk, cuba berlagak tenang walau
hatinya masih ragu dan dipenuhi dengan berjuta pertanyaan. Wajah menggelabah
kakaknya diperhatikan dalam diam. Silih berganti dengan wajah Fareez yang
berubah riak. Amirul kemudian tersengih kelat. Dibiarkan sahaja mereka berdua
tanpa membuat sebarang provokasi.
“Rissa, you selalu nak mengelak tentang status kita.
Sampai bila you nak mengelak? Takkan depan adik you pun younak mengelak
jugak?” Suara lelaki itu kedengaran agak
tidak puas hati dengan penafian yang keluar dari mulut Marissa.
“Kita bincang hal ni kemudian ya?” ujar Marissa, tidak
mahu membahaskan hal ini lagi.
Fareez mengeluh dalam. Masih lagi tidak berpuas hati namun
demi melihat adik Marissa yang sedang
memandangnya dengan penuh curiga, dia terus berdiam diri. Dia tidak mahu
dipandang bukan-bukan oleh Amirul, nanti apa yang dikejarnya berciciran.
“Abang Fareez dah lama kenal kakak saya?” soal Amirul,
mula bertindak sebagai wartawan tak bertauliah. Matanya tepat memandang wajah
Fareez yang sedikit tegang.
“Dalam tiga tahun,” balasnya ringkas.
“Hmmm… lama tu. Pandai akak sembunyikan daripada Mirul.
Patutlah akak nampak gembira semacam je bila tengok Abang Fareez tadi,” ujar
Amirul, sekadar mahu menyenangkan hati Fareez.
“Ya ke?” Wajah lelaki itu kelihatan agak gembira mendengar
kata-kata Amirul sebentar tadi.
“Yalah, saya tak tipu!” Bersungguh-sungguh Amirul
menggiat, sengaja dia mahu memancing emosi lelaki itu.
“Mirul, habiskan makanan tu cepat. Akak tak ada banyak
masa hari ni,” tegur Marissa.
“Ala... baru je nak berbual-bual dengan Abang Fareez.” Dia
tidak puas hati. Masih banyak soalan yang ingin ditanyanya.
Marissa memandang tajam.
“Yalah…” Amirul mengalah. Pandangan kakaknya jelas
menunjukkan ketidaksenangan hati. Dia terus melajukan suapannya.
“Okeylah kalau macam tu, waktu rehat I pun dah nak habis.
I pergi dululah ya? See you again, Amirul.” Menyedari kehadirannya tidak
diperlukan, Fareez terus meminta diri.
“Okey, sorry Fareez,” balas Marissa. Segaris
senyuman diukirkan buat lelaki itu.
Melihat senyuman Marissa, hati Fareez sedikit senang. Dia
terus bangun, lalu pergi meninggalkan mereka berdua.
“So?”soal
Amirul sepatah sambil memandang kakaknya dengan wajah yang serius.
Pertanyaan itu singkat, namun cukup difahami Marissa. Dia
menarik nafas panjang. Kerlingan nakal adiknya membuatkan dia gelisah. “Makan
cepat! I’m totally bussy today.Nak hantar Mirul balik lagi, masuk kerja
lagi...” arah Marissa serius.
Amirul mencebik. “Yalah, yalah! I’m totally bussy
today…” Dia mengajuk gaya percakapan kakaknya. Amirul tidak bertanya lagi.
MASING-MASING berdiam diri semasa perjalanan pulang. Baik
Amirul, mahupun Marissa, masing-masing lebih memilih untuk berdiam diri sambil
melayan lagu yang diputar di corong radio. Dari hujung mata, Amirul
memerhatikan kakaknya yang sedang memandu. Banyak persoalan yang bermain di
fikiranya ketika ini. Hatinya masih belum puas selagi tidak mendapat jawapan
yang pasti daripada kakaknya. Tentunya pertemuan dengan Fareez tadi membuatkan
dia tidak sabar untuk menjadi ‘wartawan’.
Gatal mulutnya untuk menyoal sudah tidak tertahan lagi.
Dia berpaling ke sebelah, memandang tepat ke arah kakaknya.
“Kak, kenapa akak tak beritahu Mirul yang akak dah ada pakwe?”
soalnya berani.
Marrisa memandang adiknya sekilas. Terdengar keluhan
kecilnya. Pertanyaan Amirul sememangnya sudah dijangka dan dia sudah pun
merangka jawapan.
“Okay, akak mengaku yang sebenarnya kami dalam proses nak
kenal hati budi masing-masing. Tapi buat masa ni status kami tak lebih daripada
kawan baik. Dia bukan pakwe akak. Akak tak sedia lagi nak bagi komitmen, banyak
benda lagi yang akak belum capai dalam hidup ni. Akak tak nak sia-siakan dengan
benda-benda yang tak perlu,” balas Marissa panjang lebar.
“Benda-benda yang tak perlu?” Amirul membuat parafrasa.
“Ya, benda-benda yang tak perlu macam bercinta-cinta ni.
Akak tak rasa ini masa yang tepat untuk fikir benda-benda macam ni. Banyak lagi
perkara yang lebih penting yang perlu akak fikirkan,” ujar Marissa.
“Bukan masa yang tepat? Benda ni tak penting ke? Alahai…
akak sekarang ni dah 26 tahun tahu tak? Lagi empat tahun nak masuk 30, dah tua
tu! Takkan nak tangguh-tangguh lagi?” guraunya sambil ketawa.
Marissa menjeling sekilas, satu cubitan singgah di peha
kanan adiknya
“Akak muda lagi okey? Mana ada tua! Biasalah tu orang
zaman sekarang ni, bukannya zaman datuk nenek kita dik ooiii!!” omelnya tidak
geram.
Amirul mengaduh dalam sengihan. Senang hatinya dapat
mengenakan kakaknya.
“Akak, orang perempuan
ni saham dia makin lama makin turun tahu tak? Nak tunggu apa lagi? Mirul tengok
Fareez tu okey je, atau akak nak tunggu anak Tan Sri masuk pinang? Hmm.. kalau
taste akak macam tu Mirul boleh tolong carikan,” usiknya nakal.
Marissa mencebik. “Tak naklah! Daripada Mirul carikan
untuk akak, baik Mirul carikan untuk diri sendiri. Diri sendiri pun tak ada
calon, nak mengata orang,”
“Mana akak tahu Mirul tak ada calon? Tolong sikit eh, kak…
orang handsomemacam Mirul ni bersusun-susun yang nak tahu,” ujar Mirul
membela diri.
“Hah, habis kalau macam tu bawaklah sorang datang jumpa
mama dengan papa,” tempelak Marissa disambut dengan tawa adiknya.
“Mana boleh langkah bendul! Akaklah dulu bawa Fareez jumpa
mama dengan papa,” tingkah Amirul.
Sedang mereka bertikam lidah, terdengar bunyi isyarat
mesej dari telefon bimbit Marissa.
“Dik, tolong ambil baca jap,” Marissa mengarahkan adiknya
agar membaca pesanan ringkas tersebut bagi pihaknya memandangkan dia sedang
memandu.
Amirul menurut sahaja. Dia terus menyeluk beg tangan
Marissa lalu mengeluarkan telefon bimbit kakaknya itu. Dia terus membuka mesej
ringkas itu. Senyumannya tiba-tiba meleret.
“Siapa?” soal Marissa.
“My future brother-in-law!
Dia ajak akak keluar malam ni,” balas Amirul tersengih-sengih.
“So, should I reply it? Yes or no?”
soal Amirul kemudiannya.
“Eh, jangan! Biar akak sendiri yang balas,” cepat-cepat
Marissa menegah.
“Okey… tapi akak nak keluar tak dengan dia?” soal Amirul
lagi.
“Errr… maybe yes and maybe no, tapi Mirul jangan
beritahu mama dengan papa ya? Akak tak nak dia orang salah anggap,” pinta
Marissa resah.
Amirul tidak terus menjawab. Dia berfikir seketika, “Okey,
tapi ada satu syarat. Akak kena tanggung kos yang terpaksa Mirul keluarkan
untuk baiki motosikal Mirul tu. Boleh?” Dia membuat tawaran di atas situasi
ini. Sengaja!
“Okey, no hal!” sahut Marissa yakin.
“Yes!!!”
Amirul bersorak gembira apabila mengenangkan beratus-ratus
elaun bulanannya yang akan terselamat daripada dibelanjakan. Bukan seratus dua
perlu dikeluarkan, hampir 500 ringgit juga menurut kata tauke kedai baru-baru
ini. Dengan duit yang telah diperuntukkan itu bolehlah dia gunakan untuk
membeli gitar yang diidam-idamkan sejak sekian lama. Lebar senyumannya
sepanjanga perjalanan sehinggalah sampai ke muka pintu rumah.
MARISSA kembali semula butik pengantin milik mereka
sekeluarga setelah selesai menghantar Amirul pulang dengan selamatnya ke rumah.
Dia menolak daun pintu dengan cermat, langkah kakinya di atur ke ruang tengah
yang menempatkan set sofa untuk tetamu. Kelihatan mamanya sedang rancak
berbual-bual dengan seorang wanita berusia sekitar awal 50-an yang masih tampak
muda dan anggun. Gayanya kelihatan seperti wanita kelas atasan, kalah Kak Ton!
Marissa merapikan penampilannya sebelum menyertai mereka
berdua. Tudungnya yang senget dibetul-betulkan agar tidak kelihatan selekeh.
Bedak kompak yang sentiasa dibawa di dalam tas tangannya diambil lalu disapu
nipis ke muka, supaya tampak lebih bermaya. Lipstik merah jambu dioles nipis ke
bibir mungilnya. Penampilannya sangat-sangat dijaga. Pantang dia kalau
kelihatan selekeh dan comot di depan orang. Maklumlah, sebagai usahawan dalam
bidang ini, dia harus menjaga penampilannya. Setelah berpuas hati dengan
penampilannya, dia terus mendapatkan mamanya yang sedang berbual bersama pelanggan.
“Assalamualaikum.” Suaranya lembut menyapa mereka berdua.
Tangan mamanya disalami sambil mencium kedua-dua belah
pipi wanita itu seperti biasa. Sebelum dududk di sebelah mamanya, dengan
sopannya dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan dengan wanita anggun
tersebut.
Wanita itu terus menyambutnya dengan senyuman. “Siapa ni,
Nita?” soalnya. Mata wanita itu tidak berkelip memandang raut wajah Marissa.
“Kenalkan Puan Sri,
ni anak perempuan, Marissa Liyana. Kenalkan ni Puan Sri Khaleeda, mak pengantin
perempuan yang nak kahwin lusa ni.” Puan Yunita memperkenalkan mereka berdua
dengan ramah.
Marissa tersenyum manis. Dia sedikit menunduk, tanda
menghormati wanita itu.
“Cantik… macam mama dia,” puji Puan Sri Khaleeda spontan.
Malu-malu Marissa dibuatnya. Namun dalam hati kembang
setaman. Dia sudah lali dipuji seperti itu. Wajah pan-Asia miliknya seringkali
menjadi perhatian setiap yang mengenali.
“Marissa masih belajar lagi ke?” soal Puan Sri Khaleeda
sekadar ingin tahu. Wajah baby face anak gadis itu membuatkan dia
tertanya-tanya. Dari raut wajah gadis itu nampak seperti baru berusia belasan
tahun, tapi gayanya seperti sudah bekerja.
“Saya sambung
master. Sambil-sambil tu kerja bantu apa-apa yang patut kat sini dulu, cari
pengalaman,” balasnya.
“Bagusnya!” getus wanita itu kagum. Tidak lepas memandang
keayuan wajah milik gadis itu. Wajah campuran Melayu-Jerman ini sungguh indah.
Alisnya terbentuk sempurna. Bentuk wajahnya tidak terlalu bujur, tidak terlalu
bulat, sedang-sedang sahaja. Kecantikannya makin terserlah dengan kesopanan
tingkah laku.
“Marissa tak berminat nak minta kerja kat syarikat besar
ke?” soal wanita itu lagi.
Marissa menggeleng. “Tak kot, buat masa ni saya nak
fokuskan pada perniagaan keluarga. Yalah, daripada saya curahkan keringat dan
buah fikiran saya untuk datangkan keuntungan kepada orang lain, lebih baik saya
curahkan semuanya untuk majukan perusahaan keluarga sendiri. Walaupun
perniagaan kami taklah sebesar mana, tapi sekurang-kurangnya setiap keuntungan
yang terhasil daripada usaha dan titik peluh saya, semuanya memang hak milik
keluarga saya sendiri, bukan hak orang lain.” Dia menyatakan pendapat.
Puan Sri Khaleeda mengangguk kecil. “Saya setuju dengan
pendapat Marissa. Kata-kata Marissa sebiji macam anak saya. Dulu dia pernah
kerja dengan orang luar, kononya nak cari pengalaman. Tapi yalah, macam Marissa
cakap tadilah. Kerja dengan orang, untung semua dia dapat. Lepas tu terus dia resign
dan kembali kerja dengan papa dia,” ujar Puan Sri Khaleeda sambil tertawa kecil
mengenangkan karenah anaknya.
“Yang nak kahwin ni ke?” soal Marissa ramah.
Puan Sri Khaleeda berubah riak. Wajahnya kini tidak
seceria tadi. “Taklah! Yang nak kahwin ni anak bongsu saya. Yang tu anak sulung
saya, masih bujang lagi. Adik dia dulu yang kahwin. Entahlah…” jawabnya berat.
Melihatkan riak wajah Puan Sri Khaleeda yang agak berubah,
Marissa tidak lagi berani untuk bertanya. Bimbang jika tersalah bicara akan
menyinggung perasaan pelanggannya. Mungkin ia agak peribadi wanita buat wanita
di hadapannya itu. Suasana agak sunyi seketika. Marissa memadang mamanya,
mengharapkan mamanya berbuat sesuatu agar suasana tidak kaku seperti ini.
“Errr… Puan Sri, hantarannya dah siap. Puan Sri nak tengok
sekarang ke? Atau nanti kami hantar ke rumah petang nanti?” Suara Puan Yunita,
sengaja menarik perhatian Puan Sri Khaleeda yang kelihatan muram.
“Oh, ya ke? Kalau macam tu saya nak tengok sekaranglah,”
ujarnya sedikit ceria., menghambat perasaan sedihnya tadi.
“Kalau macam tu jomlah kita ke ruang sana,” ajak Puan
Yunita sambil mengunjukkan ke ruang di sebelah.
Ruang itu direka seperti bilik pameran. Luas dan kosong. Hanya beberapa
buah meja panjang sahaja diletakkan di situ. Ruang itu berfungsi sebagai ruang
pamer dan juga ruang untuk meletakkan gubahan-gubahan yang sudah siap digubah.
Mereka bertiga terus bangun ke ruang pameran. Di situ
terdapat beberapa gubahan yang di taggingmengikut nama pemiliknya. Puan
Sri Khaleeda meneliti gubahan miliknya. Dia tersenyum senang. Gubahan itu
menepati citarasanya, nampak mewah dan moden.
“Kebanyakannya Marissa yang gubah,” ulas Puan Yunita.
“Ya ke? Tak hairanlah kalau semua gubahan hantaran ni
semuanya cantik-cantik. Rupa-rupanya tuan yang gubahnya pun cantik jugak!” puji
Puan Sri Khaleeda.
“Mana ada Puan Sri… gubahan saya cantik sebab pemilik
semua barangan ni pun cantik,” Marissa membalas pujian itu kembali.
“Ada-ada je Marissa ni! Jadi perasan pulak saya.” Dalam
malu-malu, Puan Sri Khaleeda bersuara. Agak kembang juga hidungnya apabila
dipuji sedemikian rupa.
“Saya cakap apa yang betul Puan Sri. Memang Puan Sri
nampak cantik dan masih muda. Kalau saya tak kenal Puan Sri, mati-mati saya
ingat Puan Sri sebaya saya,” ujar Marissa.
Tersenyum-senyum Puan Sri Khaleeda mendengarnya. Suka
benar dia dipuji sedemikian.
“Macam mana, Puan Sri puas hati ke?” soal Puan Yunita
kemudiannya.
Puan Sri Khaleeda mengangkat ibu jarinya, “Tip top!”
ujarnya beria.
Marissa dan Puan Yunita saling berpandangan. Ada senyuman
di wajah masing-masing. Berbalas penat lelah mereka berjaga semalaman untuk
menyiapkan gubahan-gubahan tersebut.
“Eh, dah lewat ni!
Saya kena balik sekarang, ada banyak lagi urusan yang nak diselesaikan kat
rumah. Hantaran ni hantarkan kat rumah ya petang nanti,” ujarnya kalut.
“Baik, Puan Sri. Petang ni kami akan hantar. Sambil-sambil
tu nak terus pasang khemah, siapkan bilik pengantin dan buat pelamin sekali.
Puan Sri jangan risau, tepat pukul lima kami akan sampai,” ujar Puan Yunita
meyakinkan pelanggannya.
“Baguslah macam tu. Saya berangkat dululah ya,” Puan Sri
Khaleeda meminta diri.
Puan Yunita dan Marissa terus mengiringi wanita itu. Kereta Toyota Estima hitam metalik siap
menunggu wanita itu diluar. Mereka berpisah di muka pintu.