Home Novel Cinta Prank-Prank Cinta
Prank-Prank Cinta
Zulkifli Zakaria
17/3/2018 18:23:31
13,937
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 05

Nazirah suka kenakan Adnan daripada Tadika membawa ke dewasa. Adnan pula jujur budaknya tapi bila Adnan bunuh diri kerana prank, kehidupan Nazirah berubah 180 darjah. Jika Adnan cinta pertamanya, mampukah dia memutar kembali masa?

Tapi Tak Payah Nak Bereal sangat, Okey!


"ADNAN!!" AKU MENJERIT kecil dari kejauhan sebaik melihat kelibatnya yang sedang duduk di atas bumbung rumah flat, tempat pertemuan biasa kami.

Dia tidak membalas lambaianku, menyebabkan aku pelik. Dia tidak seceria dia yang biasa. Dalam telefon petang tadi pun dia tidak bersuara. Hanya 'hello' dan 'hmm' sahaja sampai habis.

Sementara Linda dan Aina kulihat sudah mula mengambil tempat dengan kamera mereka masing-masing. Sebelum tiba ke sini tadi aku sudah arahkan mereka mengecas kamera sampai penuh termasuk juga bateri simpanan bagi mengelakkan gangguan pada rakaman di malam yang penuh gilang-gemilang ini.

"Hey Adnan, awak okey?" aku menyapa sebaik sahaja sampai.

Dia jelas terlihat sugul, tidak bermaya. Rambut cacaknya serabut sekali. Dia tidak mandi mungkin seharian hari ini, membuatkan aku terkaku lagi.

Dia tersenyum nipis, tidak mengarahkan senyumannya kepadaku seperti kebiasaannya.

"Saya dah tahu," mendatar sahaja suaranya sebelum sempat aku melabuhkan punggung ke atas bangku kayu.

"Eh?" Aku tidak memahami.

"Ini semua prank je kan?"

Senyuman gembira menghilang daripada wajahku, berubah jadi kerutan. Jadi Adnan dah tahu? Ah... tak seronok langsung lah projek kali ini.

Aku dapat rasakan yang air liur membanjiri kerongkong. Sebahagiannya akibat cemas dan sebahagian lagi kerana skrip dalam kepala aku sudah bercampur-baur. Bila Adnan tahu ini adalah prank, bermaksud aku perlu langkau 12 hingga 17 dialog dan penyudahnya aku hanya pandang pada dua butir kamera di kiri dan kanan aku. Aku dan Adnan menghadap terus ke arah tangki air setinggi 20 kaki di sebelah kiri kami sementara lampu simbah berwarna putih menyinari tempat duduk, memudahkan proses rakaman.

"Awak suka pada saya, awak tak beri saya pergi UM konon awak akan rindu pada saya, awak mahu saya kekal di sini, semuanya... prank, bukan?" dia tidak memandang padaku menjadikan aku agak risau. Dia marah.

Aku telan air liur yang bertakung resah di kerongkongan, "bagi saya jelaskan pada awak..." lantas suaraku berubah perlahan, hampir mendekati sebuah bisikan. Aku tutup mikrofon pada baju dengan ibu jari, tidak mahu kata-kata itu masuk dalam rakaman kerana semuanya telah terkeluar dari skrip.

Linda kerutkan wajah sambil buat isyarat tiada audio. Dia tidak mendengar apa-apa, menjadikan aku lega.

Ini tidak sepatutnya terjadi. Dan apa yang sepatutnya jadi? Aku jangka Adnan tidak tahu tentang ini kemudian aku akan cakap, "awak dah kena prank!" dan segalanya akan jadi baik dengan gelak tawa daripada kami tapi ini lain. Sungguh lain dan aku tidak bersedia.

Dia layangkan tangannya ke udara, tidak mahu mendengar sebarang kata yang bakal terbit dari mulutku.

"Adnan..." rayuku, sambil memeluk sebelah lengannya, minta dia bertenang.

Dia tidak pernah marah menyebabkan aku tidak bersedia hendak memujuk. Hampir selalunya aku yang merajuk dan dia memujuk. Kalau aku buat salah pun dia lekas memaafkan tanpa mengungkitnya lagi. Tapi bukan hari ini, bukan malam ini dan bukan kali ini. Dia hilang dirinya yang dahulu. Adakah aku sudah melampaui batas?

"Saya minta maaf okey," pintaku lagi. Otak sudah berhenti fikir tentang prank dan hanya fokus mahu membujuknya.

Dia menggeliat, menolak genggaman tanganku. "Diorang cakap saya bodoh sampai mudah dipermainkan,"

"Tak... awak tak... Tch! Siapa yang cakap macam tu? Sini biar saya cabai-cabaikan mulut dia!" mengubah intonasiku jadi seperti gurauan.

"Awak mudah sangat mainkan saya, macam saya tak bernilai pun bagi awak,"

"Adnan! Awak dengan saya daripada sejak kita budak-budak lagi. Takkan untuk perkara kecil macam ni awak tak boleh tolak-ansur? Okey, ini prank. Ini semua prank. Tapi sebahagian yang saya cakap tu betul. Memanglah ada tambah-tambah sikit. Sikit je lah,"

"Awak... benci sangat ke dengan saya? Sampai awak nak malukan saya macam ni?"

"Adnan! Tak!"

"Awak malu ada kawan bodoh yang senang dipermainkan macam saya?"

"Adnan! Tolong jangan bercakap yang bukan-bukan. Kita stop! Okey kita berhenti dekat sini," Aku angkat tangan menyerah. Tangan laju sahaja membuka pin mikrofon mengeluarkan lingkarannya daripada dalam tudung dan aku letakkan di atas bangku. "Mikrofon, off," sebutku lagi sambil menolak butang mikrofon tanpa wayar ke posisi tutup.

"Kamera, kamera," aku tunjukkan tangan ku pada 2 butir kamera lalu buat isyarat menghentikan rakaman, "off dan off," sebutku kemudiannya.

Linda dan Aina berhenti merakam, monyok sahaja wajah keduanya kerana rancangan tidak berjalan seperti yang diharapkan.

"Okey, saya berhenti bercakap yang bukan-bukan," Adnan sepertinya bertenang.

"Adnan... awak tak bodoh. Sikit pun tak. Awak tahu kan benda ni main-main,"

"Main-main?" ada sinis dalam getar suaranya.

Aku tidak tahu hendak membalas kerana jauh di luar skrip, kata-kata tidak dapat dipastikan tepat ataupun tidak.

"Senang bagi awak kan? Buat salah dan minta maaf, buat orang marah dan apa? Main-main? Itu yang paling baik bagi awak? Sekarang ni saya dah tak tahu apa yang bukan main-main. Boleh jadi..." dia bangun daripada bangku.

"Boleh jadi hidup saya ni cuma main-main bagi awak," sebutnya, seolah-olah kata-kata yang meleret tanpa sebarang erti pada pendengaran. Dia memanjat tangga tangki air yang setinggi 20 kaki.

"Adnan, awak nak pergi mana?" gesaku lagi, menghalang dia daripada meneruskan.

"Saya tak boleh terima satu pun daripada apa yang berlaku. Saya ni bodoh, saya ni cuma main-main, saya tak patut wujud pun di dunia ni,"

"Adnan..." aku merengek cuma dari bawah. Berat mahu menurutinya memanjat tangga tangki. Dada kian berdebar dengan ketidakpastian. Adnan akhirnya berhenti memanjat di pertengahan tangga, lebih kurang 12 kaki daripada lantai. Aku lega juga pada mulanya namun tidak bila dia capai sesuatu yang bergayut dalam kegelapan. Sebaik sahaja lampu simbah menyuluh pada apa yang ada di tangannya, jantungku serta-merta berhenti berdegup. Lututku terasa lemah. Itu tali. Tali yang diikat jauh di puncak tangki dan berakhir dengan jerutan di hujungnya.

Tak mungkin! Bentakku. Tak mungkin dia fikirkan apa yang aku fikirkan! Tak mungkin! Laungku dalam hati berkali-kali. Mulut ternganga tidak percaya sambil minda meminta masa untuk percaya apa yang sedang kulihat ini.

Sebaik sahaja dia menyarungkan jerutan ke lehernya, terasa bergoncang bumi. Tak mungkin lah bodoh!!! Tak mungkin! Raungku lagi sekuat-kuat hatiku tanpa ada yang mendengar.

"Adnan! Adnan!!!" aku menjerit menghentikan perbuatannya. Kasut di kaki aku lempar sekuat hati, memegang pemegang tangga dan mendaki naik dengan laju, selaju mulut yang merayu-rayu "Jangan Adnan, tolonglah! Kau satu-satunya yang aku ada! Tolonglah!"

"Jangan susahkan diri kau lagi Jira!"

"Kau tahu!!! Kau tahu satu perkara yang aku tak pernah tipu?! Aku suka kau. Adnan Iskandar, aku suka kau daripada sekolah tadika. Kau yang pegang tangan aku, tenangkan aku bila ayah tak ada bersama aku. Aku sayang kau. Aku jatuh cinta dengan kau Adnan! Jangan buat macam ni!"

"Selamat tinggal... Jira," dia lepaskan genggaman tangannya daripada pemegang tangga, membiarkan tubuhnya menggelupur bergayut pada tangki air dengan hanya selembar tali menjerut di tengkuk.

"Adnan! Adnan!! Adnan!!! Tidak!!! Tolong!!! Seseorang, tolong aku!!!" jeritan berubah tangisan dalam sekelip mata. Aku tidak tahu setinggi mana aku terjun dari tangga kerana tubuhnya tergantung jauh daripada tangga yang sedang kupanjat itu. Aku tenjetkan kaki sambil menjulurkan tangan, cuba menahan tubuhnya daripada terjerut dek tali yang terikat pada lehernya. Kakinya menggelupur hebat, tidak tetap pada tempatnya sedang tangan halusku pula hanya sekadar menyentuh hujung tumitnya. Kakinya menggelupur kian perlahan. Sedang aku pula gagal berfikir dalam keadaan panik, masih melompat setinggi mungkin, cuba untuk menyelamatkannya.

"Adnan, bertahan Adnan,"

"Tolong! Tolong!!! Tolong aku!!! Adnan!!!" rayuan bercampur raungan.

Ketika itu barulah Linda dan Aina tiba di tempat aku berdiri. Wajah mereka lebih biru daripada nila melihat apa yang tergantung tinggi di udara. Mayat Adnan.

"Bodoh!!! Kau memang bodoh Adnan! Kau tak perlu pilih jalan ni bodoh!" raungku lagi, terduduk tidak bermaya. Aku meraung sekuat-kuatnya, menyesali segala kebodohan yang muncul pada hari ini. Keterlanjuran yang tidak boleh diundurkan kembali.

"Aku suka kau, aku betul-betul suka kau..." rintihku lagi tanpa henti.

Rintihan terhenti sebab aku hilang sepenuh tenaga dengan mengongoi panjang. Ada titisan basah yang menitis tepat di belakang tanganku. Merah. Darah.

Rintik hujan mula turun dari langit. Semakin lama semakin lebat. Seolah-olah Tuhan sedang menyuci mayat seorang insan yang telah berdosa besar. Yang dosanya berasal daripada satu dosa besar insan yang lain. Aku.

Dan selebat mana pun titis hujan, tidak akan mampu membasuh darah yang mengotori kedua tanganku sampai bila-bila. Sampai matahari terbit dari barat, sampai semboyan ditiup untuk menghidupkan kembali apa yang telah pun mati.

"Aku betul-betul sukakan kau Adnan Iskandar... kau tak patut buat macam ni..." bisikku lagi, bingung dalam fikiran bercampur aduk. Marah dan sedih. Sakit dan pedih. Segalanya berputar sampai aku tidak tahu mahu merasa yang mana dan penyudahnya alam jadi hitam tiba-tiba. Hanya panggilan sayup Aina dan Linda yang bersilih-ganti memanggil namaku berulang-kali. Semakin lama semakin jauh hingga akhirnya aku bersendirian di dalam satu kegelapan yang panjang tanpa penghujung.

Aku berharap.

Berharap agar kegelapan jangan berakhir. Aku selesa disini, tidak melakukan apa-apa, tidak berfikir apa-apa lagi selain dari kegelapan.


=======================================================

Sebarang cadangan hantarkan kepada [email protected]

Fastabiqul Khairaat

-Zulkifli Zakaria-

Shareislam.com Team

======================================================

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulkifli Zakaria