Home Novel Cinta Prank-Prank Cinta
Prank-Prank Cinta
Zulkifli Zakaria
17/3/2018 18:23:31
13,947
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 01

Nazirah suka kenakan Adnan daripada Tadika membawa ke dewasa. Adnan pula jujur budaknya tapi bila Adnan bunuh diri kerana prank, kehidupan Nazirah berubah 180 darjah. Jika Adnan cinta pertamanya, mampukah dia memutar kembali masa?

Dan Pengakhiran Sebuah Prank Ialah

Sekurang-kurangnya itulah apa yang aku ingat tentang Adnan dan juga aku. Tentang permulaan kisah bagaimana Adnan mula-mula jadi pembawa beg dan tukang pimpin aku ke sekolah setiap hari, setiap tahun.Semenjak daripada Tadika, kemudian darjah 1, 2, dan 3. Masa darjah 4 tu Adnan dah dinaik taraf. Daripada sekadar pembawa beg dan tukang pimpin, dia jadi tukang tulis aku pula. Hahaha!

Kejap, darjah 3 ke darjah 4 ek? Entahlah. Tak ingat. Tapi apa yang aku ingat, masa tu tapak tangan aku gatal-gatal, berair dan merekah. Jadi Adnan kena tolong aku salin semua yang dekat papan hitam. Bila tangan mula sihat, dah jadi hobi pula aku mengecat kuku tangan dengan marker merah sementara Adnan lah yang terus bertungkus-lumus menyalin apa yang cikgu suruh. Bila cikgu soal, Adnan tolong jawab yang tangan aku masih sakit. Sampai darjah 6 cikgu tetap menyangka yang tangan aku masih sakit dan tidak sembuh-sembuh semenjak darjah 4. Ah, memang setia betul budak tu.

Secara kesimpulannya, dia buat 2 kerja dalam satu masa jadi dia terpaksa bekerja 2 kali ganda lagi cepat daripada kawan-kawannya. Dia siapkan 2 kerja rumah dan pastilah dia 2 kali ganda lagi faham daripada kawan-kawan sebaya yang lain. Adnan buat 2 kali latihan Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam sementara aku pula, 0. Kosong. Kalau Adnan 2 kali ganda lebih pintar daripada orang lain, aku ni 2 kali ganda lagi bodoh daripada orang lain.

Tapi tak mengapa. Tak kisahlah sebab: untuk apa diciptakan kelas hujung kalau bukan untuk orang-orang macam aku di sekolah menengah nanti?

Masa sekolah menengah, Adnan masuk kelas pertama. Aku jadi rodong kelas terakhir sementara Adnan dilantik pengawas dan Ketua Kelas. Berkawan dengan budak nakal menjadikan aku sebagai aku dan berkawan dengan budak nerd menjadikan Adnan sebagai Adnan. Perbezaan antara kami dah mula jadi macam langit dan bumi. Adnan budak baik, aku budak jahat. Adnan langit, aku bumi.

Kali pertama aku prank Adnan adalah pada waktu rehat, ketika kantin sekolah dilimpahi dengan pelajar. Aku nampak dari jauh lagi kelibat Adnan yang sedang mengambil makanan menggunakan tray. Aku juihkan mulut pada Linda dan Aina yang memang menjadi sahabat baik aku semenjak tingkatan 1. Kedua-duanya mengalih pandangan lalu tersenyum jahat. Menggigil-gigil Linda dan Aina menahan gelak ketawa.

“Wei, kita belum mula lagi, okey!!” Aku memberikan amaran keras, meminta mereka berhenti ketawa.

“Aku dah boleh bayang yang benda ni bakal jadi kelakar,” Linda memintas.

“Kawal! Kawal! Tu dia datang tu!” Aina mendesis perlahan,meminta Linda mengawal air muka.

“Pastikan kau rakam muka dia betul-betul, Aina. Aku tak nak jadi macam video minggu lepas masa kita prank Cikgu Shahril dengan panggilan telefon daripada hospital. Muka Cikgu tak masuk frame langsung!”

“Kan... kau ingat tak macam mana muka Cikgu Shahril masa tu? Biru beb lepas dapat panggilan!” Linda menambah lantas tertawa.

“Siapa tak biru muka bila ‘pihak hospital’ maklumkan yang pelajar kesayangan dia a.k.a aku mengandungkan anak luar nikah dan namakan dia sebagai bapa kepada bayi dalam kandungan aku. Hmm... Bijak tak?” aku mencuba memuji diri sendiri yang telah menjadi dalang kepada prank tersebut.

“Pfffttt!” Menyembur air liur Aina bila teringat sebelum akhirnya menyampuk, “Cikgu Shahril siap cakap apa?! Ehem ehem,” membetulkan tekaknya untuk mengambil suara garau, “ya, saya bapa kepada bayi tu,” suaranya muncul macam suara Cikgu Shahril juga. Hampir sama garaunya.

“Dia bagi nombor I/C dia pada ‘pihak hospital’ untuk dimasukkan ke dalam sijil lahir!!!” dalam keadaan lemas dengan ketawa, Linda masih mahu menambah rencah.

Aina dan Linda sudah merah muka bila kemahuan untuk ketawa dan bernafas sama-sama naik. Tapi kedua-duanya tak nampak pun macam nak berhenti. Masih ketawa sampai kemerah-merahan wajah keduanya.

“Oi, oi!” semua tu jadi lagi best kalau kau rakam...” tangan aku pula laju memulas telinga Aina daripada bawah tudung, “...kalau kau rakam betul-betul dalam frame kamera!” tukasku geram.

“Adeh deh! Aku tak tahan. Aku tak tahan bila cikgu tutup telefon tu dengan tangan dan cakap... Hahaha,” walaupun sakit dipulas telinga, tetap juga ketawa. Berdehem untuk membetulkan suara sekali lagi, “ya, saya bapa kepada bayi tu,”

Serentak Linda dan Aina ketawa lagi. Linda dah tak boleh menahan sebab perutnya kejang akibat ketawa terlalu banyak. Dia mengerekot, untuk sambung ketawa sampai air liur meleleh atas meja makan. Kerusi terjungkir dan Linda jatuh bergolek atas lantai macam nangka busuk.

Aina mula panik, cepat-cepat bangun untuk membantu Linda yang berguling atas lantai. Ketawanya termati serta-merta.

“Linda kau okey?” terkocoh-kocoh dia bertanya lalu membantu mengebas-ngebas pakaian Linda.

Linda pandang wajah Aina lalu tak semena-mena ketawa kuat. Aina terikut juga ketawa, teringat perbualan mereka tadi, “ya, saya bapakepada bayi tu,” dalam kesibukan ketawa Aina sempat lagi mengulangi kata-kata tersebut.

“Dah, jangan buat aku ketawa! Aku tak boleh nak angkat kau nanti!” Aina cuba menghentikan Linda.

Tapi Linda menggeleng, tidak mampu berhenti walau sekejap. Kedua-duanya ketawa bersama-sama. Lemah lutut sebab ketawa sampai tak mampu bangun dari lantai lagi.

Aku melihat ke arah dua orang sahabat baikku itu. Menggeleng, bersimpati. “Memang takde harapan dah korang dua ni... Siap-siaplah tempah wad psikiatri wahai sahabatku...” ujarku dengan riak menjengkelkan. Aku berpaling ke tengah kantin, melihat kehadiran target, Adnan.

“Oh, Adnan! Sini!!” aku mengangkat dua belah tangan menggamit sebaik melihat Adnan berjalan ke arahku. Tangan menepuk ruang kosong di hadapan, mempelawa dia untuk duduk.

Adnan seperti biasa, tersenyum simpul penuh ceria.

“Awak belum makan lagi?” dia menyoal berbasa-basi.

“Saya tunggu awak,” memulakan lakonanku. Satu tupperware kecil aku tolak ke hadapannya, “untuk awak,”

“Apa tu?”

“Sup...” tidak menghabiskan kata-kataku. Kaki menyepak punggung Aina, meminta dia untuk habiskan ketawa dan bangun dengan kadar yang segera kerana kamera berada di tangannya untuk merakam detik-detik bersejarah itu.

“Sup!” wajah Adnan sudah berubah ceria. Tangan laju sahaja mahu membuka penutup, tidak ingat lagi pada lauk-pauk di dalam tray. Dia sememangnya terkenal hantu sup. Apa sahaja yang dimasak berkuah dengan bawang putih goreng, bagi pada dia lah. Mungkin sebab itu lah mata dia sepet macam cina.

“Hepp!” aku menampan tangan Adnan yang mula menjulur ke dalam kuah sup kerana kamera masih belum bersedia.

“Aina!!!” desisku.

Aina bangun serta-merta, kembali duduk di kerusinya.

“Hai Adnan,” sapanya dengan wajah merona merah. Masih mencuba menahan gelak.

Aku kulumkan wajahku geram, “rakam!” arahku dengan tegas.

Aina angkat kamera dan memulakan rakaman, sementara Linda yang berguling di lantai dah mula bangun dengan muka merah menyala. Dia pun sama juga. Terlalu banyak ketawa macam Aina.

“Kenapa dengan kamera?” Adnan menyoal, aneh dengan rakaman yang kini fokus pada wajahnya.

“Saya nak rakam saat-saat menggembirakan ini bersama-sama dengan awak. Saya tak nak lupakan waktu ini sampai bila-bila,” pembohonganku mengalir bagai air.

“Ta-da!” aku bukakan penutup tupperware, mendedahkan sup pekat yang sudah pastinya mengecurkan liur Adnan waktu itu. Aku cedokkan sesudu dan menyuapkan ke mulutnya, “cuba rasa,” pintaku padanya.

Dia menyorongkan wajahnya, menghirup dari hujung sudu. Matanya tiba-tiba terbuntang luas. Jelas gembira yang teramat sangat. “Sedapnya!” pujinya sepatah dengan wajah tidak percaya.

“Saya letak minyak bawang putih banyak-banyak sebab saya tahu awak suka. Sedap?” soalku sekali lagi untuk mengesahkan.

“Ha ah!” dia mengangguk laju-laju.

“Nah, ambil kuah banyak sikit,” aku bantu tuangkan kuah dalam tray, tahu benar gaya Adnan. Dia paling suka order sup daging dan nasi putih lepas tu tuang nasi putih dalam mangkuk sup sebelum makan dengan sudu. Itu sememangnya style Adnan setiap kali kami keluar makan.

Dia makan dengan lahapnya sambil berterusan mempamerkan wajah gembira. Adnan kalau suka, hidung dia kembang dan mata sepet dia jadi lebih sepet sampai nampak macam sedang tidur nyenyak. Melucukan. Rambut cacak dia tu memang semula jadi. Kadang-kadang aku rasakan yang dia ni anak orang cina yang dibuang ke laut masa nenek moyang dia melarikan diri lalu dikutip untuk dijadikan anak angkat.

“Sedap?” sengaja aku menyoal sekali lagi. Bibir dah mula senyum sinis, sedia untuk masuk ke tahap yang seterusnya.

“Mmm... Dapp... Saya tak pernah makan sup yang sesedap ni!”

Itulah dia Adnan. Kalau makanan sedap dia akan cakap yang dia ‘tak pernah makan’.

“Hmm... saya pun rasa yang awak tak pernah makan juga sup ni, budak-budak kelas Biologi tu lah, diorang kata sayang nak buang ni lepas pembedahan semalam,”

Dia berhenti mengunyah, nampak terkejut benar.

“Pp... Pem... Pembedahan?” gagap-gagap dia cuba mengesahkan dengan mulut yang dipenuhi nasi.

“Iye... diorang kena tangkap ni sendiri. Lepas tu bedah untuk tengok organ bajet-bajet macam doktor gitu. Lepas tu diorang kata sayang... Saaayyyaaannnggg sangat! Ada yang sampai menangis-nangis bila nak buang dalam tong sampah. Yelah, binatang ni ambil masa berapa tahun nak membesar. Daripada berudu, jadi besar, cari makan sendiri... jadi, saya kutiplah, masak sup...”

“Eh?! Berudu?!”

“Alah... Takyah la buat-buat tak tahu pasal ni awak...” aku korek sudu ke dasar bekas, mengeluarkan seekor katak mainan yang jadi macam katak betul terutama bila minyak dan lemak ayam menyalutinya hingga kulit getahnya nampak berkilau.

Mata sepetnya kembali membuntang, meluahkan semua isi mulut ke dalam tray dan...

“Uwekkk!!” Adnan muntahkan semua isi perutnya termasuk nasi lemak waktu sarapan pagi tadi. Segalanya melambak dalam tray makanan di atas meja.

Tawaku dan dua rakan karibku pecah berderai. Hilai tawa kami bertiga memenuhi hiruk-pikuk kantin sekolah.

Kasihan pula melihat Adnan yang terseksa, “Awak baru sahaja kena prank! Itu katak mainan je lah,”

Dia berhenti dari memuntahkan isi perutnya. Kelihatan mampu bernafas lega. Matanya dah mula berair.

“Jira!!! Awak ni memang lah...” berubah ketawa, “saya ingatkan saya dah makan katak betul tadi,” dia mengelap air mata dan air hidung yang mula meleleh akibat muntah.

“Awak ni kan Adnan... mengecewakan... itu bukan katak mainan, itu katak betul la bodoh!” aku menambah usikan lantas jari memicit perut katak getah. Kuah sup yang bertakung di dalam perutnya memancut keluar seakan-akan jus.

Adnan pekup mulut yang mula rasa mual. Perutnya kembali bergelora dan “uweekkk!!!”

Aku ketawa lagi.

Ya, memang kasihan tapi ini adalah sebuah keseronokan yang tak mungkin aku lepaskan begitu sahaja.

“Hey, dapat rakam tak?” aku menyoal pada Aina untuk mengesahkan.

“Dapat!”

“Uweekkk!!!”

“Okey Adnan, saya minta diri. Waktu rehat dah nak habis. Kami pun tak lalu la nak makan bila tengok awak muntah...” aku bangkit dari kerusi, siap untuk beredar.

“Jira, tunggu—” dia mahu memanggil tapi perutnya bergelora lagi. Tangan memekup perut dengan kemas.

Aku terus beredar, tidak hiraukan keadaannya. “Pergi dulu...” kataku kemudiannya, penuh kesejukan.

Linda dan Aina menuruti di belakang ku. “Pergi dulu Adnan,” ucap Aina sebelum berlari menyaingiku yang sudah jauh di hadapan.

“Jira, uweekkkkkkk!!!”



=======================================================

Sebarang cadangan hantarkan kepada [email protected]

Fastabiqul Khairaat

-Zulkifli Zakaria-

Shareislam.com Team

=======================================================
Previous: PMULAAN
Next: BAB 02

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulkifli Zakaria