Home Novel Cinta Prank-Prank Cinta
Prank-Prank Cinta
Zulkifli Zakaria
17/3/2018 18:23:31
13,950
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 04

Nazirah suka kenakan Adnan daripada Tadika membawa ke dewasa. Adnan pula jujur budaknya tapi bila Adnan bunuh diri kerana prank, kehidupan Nazirah berubah 180 darjah. Jika Adnan cinta pertamanya, mampukah dia memutar kembali masa?

Yang Real

“EH?!” FREKUENSI SUARA Hilman naik secara mendadak menembusi corong telefon.

“Sori Hilman. Aku tak dapat pergi Universiti M dengan kau,”

“Kau dah tak nak sambung belajar?”

“Bukan... Aku... nak pergi tempat lain,”

“Oh, tak apa la macam tu. Kau nak sambung belajar dekat mana?”

“Minggu depan aku masuk Kolej Komuniti dekat bandar,”

“Eh?!!!” makin kuat suara Hilman dalam telefon.

“Maafkan aku Hilman,”

“Maksud kau Kolej Komuniti dekat perumahan sekolah kita dulu?”

“Hmm...”

“Woi Adnan! Kau sedar tak apa kau sedang buat ni?! Ini Universiti M! Universiti yang mendapat tempat pertama dalam Malaysia dan semua orang, SEMUA ORANG, berebut-rebut nak masuk sini tapi kau... Kolej Komuniti? Hah!”

“Aku tahu... ini macam tak dijangka...”

“Kau cakap dengan aku, keluarga kau tak ada duit ke nak hantar kau dekat sini sampai kau terpaksa masuk kolej tu?”

“Tak...”

“Habis tu kenapa?”

“Aku ada sebab yang aku tak dapat bagi tahu kau Hilman,”

“Sebab apa tu?”

“Ah, aku tak boleh...”

“Woi Adnan. Kita kena jumpa malam ni. Kita berdua mesti jumpa malam ni, selesai kan pasal ni!”

“Tapi aku tak ada apa lagi nak bagi tahu. Semua aku dah cakap pada kau,”

“Tempat biasa. Kau mesti datang kalau tak... Persahabatan kita sampai hujung bulan ni je!” ancam Hilman pula.

“Hilman..!”

*********************************************

“KAU CAKAP KITA dua je?! Ini...” Adnan mahu berbisik pada Hilman yang duduk di hujung meja.

“Kita dua? Perkara besar macam ni aku nak kau terus-terang dengan semua geng kita. Kau tahu kan kemasukan tu esok?” Hilman mengulangi pertanyaannya dalam telefon sebentar tadi.

“Aku tahu...” Adnan akur.

“Apa yang aku tak tahu ni? Kemasukan apa?” Muhaimeen mencelah bila melihatkan Adnan dan Hilman yang semakin rancak berbual.

“Universiti M,” Hilman memaklumkan sepatah.

“Ah... ni perjumpaan budak-budak pandai ni. Aku tak patut datang kalau ikutkan,” Yaqeen meluahkan kekesalan bila melihatkan arah tuju perbualan. Berbanding Hilman dan Adnan yang bernasib baik memperolehi tempat di universiti pertama, dia cuma memperolehi tawaran kemasukan ke kolej matrikulasi untuk program satu tahun.

“Isunya sekarang, Adnan tak nak pergi. Daripada Universiti M, mamat ni pilih kemasukan ke Kolej Komuniti belakang sekolah kita,” Hilman menerangkan.

“Hey, Adnan... kau jangan main-main boleh tak?” Yaqeen melangut tak percaya.

“Ah, eloklah macam tu. Boleh aku jumpa kau tiap kali balik cuti,” Muhaimeen kedengaran sakan sebab daripada universiti paling bagus, dia dapat tawaran ke universiti paling utara dalam Malaysia.

“Muhaimeen!” Yaqeen dan Hilman serentak menegur sahabat mereka yang memang suka sangat lari topik dalam apa-apa saja perbualan.

“Oh...” memekup mulut kerana menyedari dia telah tersalah cakap.

“Adnan... kenapa ni?” Hilman mula berubah lembut.

“Ada seseorang yang aku berat untuk tinggalkan...”

“Adnan, bukannya kita pindah sana terus. Waktu cuti kita boleh balik. Siapa? Mak kau?” Hilman mengorek lagi.

Geleng. “Ada lah...” hanya itu jawapannya.

“Wah Adnan. Tak kan girlfriend pula yang kau tak boleh tinggal...” Yaqeen berniat mahu bergurau sahaja tapi tidak jadi apabila melihatkan reaksi Adnan.

“Hehe...” Adnan ketawa malu-malu lantas menggaru belakang kepala menyebabkan semua yang lain termati senyuman.

“Awek?!”

“Serius?!”

“Wah... dah besar kawan aku seorang ni...”

“Muhaimeen!!!” serentak Yaqeen dan Hilman memberikan amaran.

Muhaimeen pekup mulut lagi.

“Kau bagi tahu aku siapa perempuan malang tu?” Hilman semakin berminat untuk tahu. Siapakah gerangan yang menyebabkan Adnan membatalkan kemasukan ke universiti pertama dalam Malaysia?

“Aku tak boleh cakap lah...”

“Woi Adnan! Ini situasi hidup dan mati tahu tak! Kau mesti bagi tahu siapa budak tu kalau tak, aku takkan jumpa kau lagi. Persahabatan kita putus! Habis!!!” tangan Hilman bergerak di atas meja, buat isyarat memotong meja jadi dua. Sebelah untuk Adnan dan sebelah lagi untuk dia, sama seperti persahabatan mereka kalau Adnan terus berkeras.

“Hilman...” Adnan cuba memujuk kerana dalam banyak-banyak kawan, Hilman, Yaqeen dan Muhaimeen adalah yang paling bernilai baginya.

“Ya, ya... aku rasa inilah harinya persahabatan kita berakhir...” Hilman mengancam lagi.

“Jira,” pendek ringkas padat dan tepat jawapannya. Hampir tidak terdengar dek telinga.

“Ha, aku dah cakap pada korang, puas hati?” Adnan menyoal menutup malu yang mula muncul.

“Jira?!” tegak terus badan Hilman.

“Budak yang tak ada masa depan tu?” Yaqeen cuba untuk mengesahkan.

“Aku tak percaya. Aku tak percaya korang dua bercinta. Tengok pada apa yang dia buat pada kau, itu bukan cara melayan orang yang ‘dia cintai’ kononnya...” Hilman cuba menidakkan.

“Aku pun tak percaya juga mula-mula tapi Jira sendiri yang cakap pada aku,”

“Bila?”

“Minggu lepas, dekat Taman Tasik,”

“Kau tahu apa? Aku rasa ni salah satu daripada prank dia juga,”

“Hey...” Adnan tertawa dengan jerangkap samar dari Yaqeen. “Takkanlah dia buat macam tu pada aku. Kau ni main-main pula,”

“Maaf, tapi suasana hari itu... masa dia bagi tahu perasaan dia pada kau tu... kau tak rasa keadaan terlampau sempurna? Perkataan mengalir, tak ada salah faham, seolah-olah ada skrip... Kau tak rasa macam tu?” Hilman cuba mencipta rasional dalam pemikiran Adnan.

“Sempurna? Wahh... untung kau Adnan... itu maksudnya alam semesta merestui hubungan korang berdua. Korang memang soulmate. Confirm!” belum pun sempat Adnan menjawab, Muhaimeen langsung menyampuk menyebabkan Hilman panas hati.

Tangan laju sahaja menyeligi kepala Muhaimeen.

“Argh!” Muhaimeen mengaduh, lantas memandang pada Hilman minta penjelasan namun cuma kumat-kamit mulut Hilman yang kelihatan tanpa suara darinya. Itu pun sudah boleh menyebabkan Muhaimeen mendiamkan diri.

Adnan keliru. Tidak mahu hendak menjawab ya atau tidak, “Err... sempurna lah jugak kot?!”

Hilman mendengus, hilang point disebabkan oleh mulut lancang si Muhaimeen. Dia keluarkan telefon dari kocek.

“Apa ni wei. Ceria lah sikit. Esok korang dua dah nak pergi Kuala Lumpur. Takkan petang ni kita nak bertekak sampai pagi?” Muhaimeen menegur, tidak gemarkan aura pertemuan mereka pada hari ini.

“Ya lah... aku minta maaf sebab tak bagi tahu perubahan rancangan aku awal-awal. Lagipun kita dah jarang jumpa sekarang... tak macam masa sekolah dulu. Masa tu korang sentiasa jadi yang pertama tahu. Aku betul-betul minta maaf,”

“Dah dah dah. Minum, minum!” Muhaimeen sogokkan gelasnya pada Adnan, tidak betah melihat sahabat baik berulang kali memohon maaf atas kesalahan yang kecil begitu. Lagipun bukannya Adnan sengaja.

“Okey. Bagus. Kau pun dah buat keputusan. Aku tak ada bantahan, kecualilah...” Yaqeen lalu jeling pada Hilman yang kelihatan ralit memandang skrin telefon. Berminat dengan senyuman yang terpamer di bibir Hilman.

“Kau tengok apa tu?” Yaqeen menyoal, mengalih perhatiannya ke skrin telefon milik Hilman.

Muhaimeen ikut menyertai, meninggalkan Adnan termangu-mangu keseorangan menghirup jus oren daripada straw.

“Ini kan...” Muhaimeen picingkan matanya untuk melihat dengan lebih jelas. Rakaman kamera agak pudar kerana dirakam secara curi.

“Adnan!” Yaqeen mengesahkan apa yang dilihat mereka.

“Hmm... ini daripada channel Youtube Jira. Queen of Prank.” Hilman naikkan suara telefon. Bunyi rakaman perbualan terdengar bergema dalam ruang kecil restoran tapi Hilman tak hiraukan pengunjung lain kerana apa yang penting Adnan kena dengar semua ni.

“Awak tahu tak yang saya sukakan awak sejak hari pertama awak pegang tangan dan pimpin saya masuk ke kelas. Awak nak saya beritahu baru awak nak faham?”

Bunyi yang muncul dari telefon Hilman cepat menyedarkan Adnan. Pada tahap ini barulah Adnan tahu apa yang berlaku. Itu kata-kata yang sama diucapkan Jira padanya tempoh hari sewaktu pertemuan mereka di taman tasik.

“Tak mungkin!” Adnan cuba menidakkan apa yang baru sahaja didengarinya. Tangan memekup kepala tidak percaya. Cuba memasuk akalkan perkara yang sedang terjadi.

Sekejap! Kalau ini prank... maknanya dia dah malukan dirinya dengan mengakui segala isi hatinya pada Jira! Tak boleh, dia tak boleh biarkan Hilman dan kawan-kawannya yang lain tahu semua yang telah berlaku.

Dia bingkas bangun, cuba merampas telefon daripada Hilman dengan wajah merah padam.

“Okey, aku dapat! Ni semua prank, apa kata korang berhenti. Korang tak ada hak nak menyibuk apa yang berlaku antara aku dengan Jira!”

“Ehei!” Hilman mengalihkan telefon daripada capaian Adnan.

Adnan dah naik atas meja, menjulur tangannya untuk cuba mendapatkan telefon.

“Hep!” Muhaimeen tarik tangan Adnan dan diikuti oleh Yaqeen yang turut melakukan yang sama, memasung Adnan ke tengah-tengah meja.

Hilman kembali meletakkan skrin di tengah-tengah antara 3 sekawan, membiarkan bingit speaker menggetarkan telinga Adnan yang terbaring di atas meja, tidak mampu bergerak.

“Berhentilah! Aku cakap berhenti!” Adnan memberikan amaran, maruahnya bakal lebur kalau mereka tahu.

Hilman tekan kepala Adnan ke atas meja, cuba mendiamkan Adnan sementara mereka menonton apa yang telah pun berlaku.

“Jira, saya pun... saya suka awak!”

“Saya betul-betul sukakan awak. Daripada hari pertama saya pimpin tangan awak, saya dah jatuh cinta. Saya betul-betul jatuh cinta.”

“Kau mengaku?!” Hilman hentikan video serta-merta terkejut yang amat sangat.

“Adnan!” masing-masing melepaskan pegangan mereka terhadap Adnan, membiarkan dia terus terbaring di atas meja makan.

Terlambat sudah. Adnan sembunyikan wajah di antara lengannya, malu yang tidak dapat dibendung lagi.

“Aku tak tahu pun itu prank...” menjawab tanpa menunjukkan wajahnya.

“Ah...” Muhaimeen mengeluh diikuti oleh Yaqeen yang turut mengeluh kuat.

“Ah...!”

“Aku dah tak dapat nak tolong kau Adnan. Kau tahu tak yang video ni dah viral?” Hilman menyoal.

“Mana aku tahu nak jadi macam ni!”

“Maksud aku kalau dah tahu suasana tu terlalu sempurna, ayat sempurna, pencahayaan sempurna, apa lagi kalau bukan penggambaran dan ini bukan filem meletup yang kita bincang, ini adalah prank!” Yaqeen menerangkan sambil mata bulat memerhatikan skrin, masih menonton video tersebut di laman Youtube.

“Eh, berapa view?” Muhaimeen nampaknya berminat untuk tahu sesuatu yang lain.

Yaqeen pandang maklumat pada skrin dan tak semena-mena buntang matanya “Hah! Terbaik!!!” menunjukkan skrin kepada Muhaimeen sambil berkata, “dekat 2 juta view dalam masa 3 hari upload,”

“Apa?! Wah... Ini box office ni!” Muhaimeen tutup mulut tak percaya, “artis kau sekarang Adnan...” menepuk bahu Adnan sebagai ganti tahniah sebelum berhenti di pertengahan sebaik sahaja dia merasakan yang dia tidak layak untuk buat begitu pada seorang selebriti terkenal seperti Adnan.

“Kau ni memang lah Adnan... Kau mungkin dapat nombor satu dalam kelas, atas kertas, tapi ini. Dalam bab ni kau memang tak ada IQ langsung,” Hilman menuduh.

“Ya ya... aku tak ada IQ... Aku bodoh...” Adnan terdengar lemah.

“Adnan... bukan tu maksud aku...” Hilman membetulkan bila Adnan sepertinya terasa dengan kata-katanya sebentar tadi.

“Okey, I get it... maksud kau aku tak layak kawan dengan korang dan aku tak layak hidup atas muka bumi ni,”

“Adnan... kita kawan. Sampai bila-bila pun kita kawan. Tapi sebagai kawan kau tahu tak sakitnya hati aku bila kawan aku diorang buat macam ni? Diorang reka pembohongan dan letak kau dalam situasi yang paling jujur. Apa yang keluar dari mulut Jira adalah penipuan, skrip semata-mata dan apa yang dia dapat sebagai balasan? Kebenaran. Isi hati kau yang paling dalam. Ini semua tak adil,”

“Aku tak tahu pun itu prank dan aku tak sepatutnya cakap yang aku suka dia,”

“Dan lagi satu, Jira tahu yang esok kau akan pergi Universiti M tapi dia mainkan kau semata-mata untuk channel sampah dia ni? Apa? Queen of Prank?!” Yaqeen nampaknya naik darah juga dengan apa yang berlaku.

Telefon Adnan berdering dalam kocek tapi dia terlalu malu untuk mengangkat wajahnya daripada tengah meja. Dia teruskan berbaring tanpa hiraukan bingit telefon.

“Jawablah telefon tu,” Hilman mengarahkan.

“Bodoh sangat ke aku ni?” Adnan masih meleret menyoal.

“Kau bukan bodoh... kau cuma naif sikit lah dalam bab ni. Jawablah telefon tu, mana tahu itu si Jira,” Hilman membalas.

“Aku rasa Jira lah tu,” Yaqeen meneka dengan mudah.

“Dia ada cakap dekat hujung video yang dia akan reveal prank pada malam terakhir sebelum kau pergi Universiti M. Aku rasa malam ni lah kot...” hujahnya lagi.

“Serius?” Hilman soal balik pada Yaqeen.

“Aku tengok sampai habis,” Yaqeen menjelaskan.

Muhaimeen bangkit, meraba kocek seluar Adnan untuk mengeluarkan telefon yang sedang berdering rancak.

“Hmm... memang Jira,” Muhaimeen membaca nama pada pemuka telefon.

Loudspeaker,” Hilman mengarahkan.

“Hello, Jira,” Muhaimeen memulakan perbualan, berniat mahu bertanya khabar sebelum Hilman cepat-cepat memekup mulutnya.

“Hai Adnan! Boleh awak datang perumahan sekolah pukul 8 malam ni? Saya tunggu awak dekat rooftop,” Jira meneruskan dengan permintaannya.

“Hmm...” Kali ini Hilman yang menjawab bagi mengelakkan kebocoran rancangan jika dibiarkan Muhaimeen yang meneruskan panggilan. Mulut Muhaimeen ni entah kenapa lah suka sangat bercakap dan selalu sahaja menimbulkan masalah dengan perangai terus-terang dia.

“Jumpa awak malam ni okey...” terdengar ceria suara jira dari dalam telefon.

“Hmm...” hanya hmm ringkas oleh Hilman sebelum panggilan diputuskan.


=======================================================

Sebarang cadangan hantarkan kepada [email protected]

Fastabiqul Khairaat

-Zulkifli Zakaria-

Shareislam.com Team

======================================================

Previous: BAB 03
Next: BAB 05

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulkifli Zakaria