Home Novel Cinta Prank-Prank Cinta
Prank-Prank Cinta
Zulkifli Zakaria
17/3/2018 18:23:31
13,949
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 02

Nazirah suka kenakan Adnan daripada Tadika membawa ke dewasa. Adnan pula jujur budaknya tapi bila Adnan bunuh diri kerana prank, kehidupan Nazirah berubah 180 darjah. Jika Adnan cinta pertamanya, mampukah dia memutar kembali masa?


Prank-prank Lama-lama Menjadi


“MELAMPAU BETUL BUDAK kelas hujung tu!” komen Muhaimeen sambil melihat Adnan yang berterusan muntah dalam baldi yang terletak di hadapannya.

“Adnan... kau okey tak?” Hilman menyoal dengan riak simpati.

Adnan mengangguk, cuba untuk membalas pertanyaan Hilman itu sebelum rasa mual datang kembali menyebabkan dia terpaksa menyorongkan wajahnya ke dalam baldi yang diletakkan dekat kaki kerusi. Dia mahu muntah tapi hanya air liur yang keluar kerana segala isi perutnya telah keluar pada waktu kejadian di kantin tadi. 

“Aku dengar diorang bertiga prank guru kelas diorang sendiri,” Yaqeen menambah berdasarkan apa yang dia dengar.

“Serius?” Muhaimeen kelihatan kagum lantas turun daripada atas meja yang sedang didudukinya.

“Mm... Aku harap diorang berhenti sebelum ada yang terbunuh dalam prank diorang,” Yaqeen mengulas membenarkan dakwaannya sebentar tadi.

“Benda ni macam penyakit. Kalau sampai tak tahu bila nak berhenti, Tuhan je lah yang boleh tolong...” Hilman menambah sambil menghulurkan tisu muka pada Adnan.

“Kasihan betul kau Adnan... isy... macam mana la kau boleh terlibat dengan budak Jira tu?” dia meluahkan sebagai tanda simpati.

“Ad, kau tak apa-apa?!” Amri, budak kelas B tiba-tiba meluru masuk ke dalam kelas A, risau dengan keadaan Adnan selepas mendengar mengenai kekecohan yang berlaku di kantin sekolah sebentar tadi.

“Aku... okey...” masih menunduk ke dalam baldi yang dipenuhi air liurnya.

Amri ambil katak getah dekat atas kamus dewan milik Adnan, “kau bagi tahu aku siapa yang kacau kau Ad?” menyapu tangannya pada bontot seluar bila minyak daripada katak getah melekat pada tangannya.

“Jira, kelas D,” Muhaimeen menjawab bagi pihak Adnan. Tidak memandang muka Amri sebab mereka bukannya rapat sangat pun. Walaupun Adnan dan Amri adik-beradik, Amri bukan pengawas macam Adnan. Dia cuma pelajar biasa daripada kelas nombor 2.

Amri bertindak keluar dari kelas, menuju ke kelas D. Masa rehat masih berbaki beberapa minit, sempat lagi kalau dia bergegas.


***********************************


“JIRA MANA?” SESEORANG terus masuk kelas tanpa memberi salam lalu berhenti di hadapan kelas. Mengimbas seorang demi seorang daripada tempat dia berdiri untuk mencari orang yang dimaksudkan.

Aku, Linda dan Aina berhenti ketawa dekat belakang kelas serentak mengangkat wajah memandang ke arah pintu. Mengenali wajah Amri yang selalunya datang ke sekolah bersama-sama Adnan. Daripada perangainya itu aku tahu dia ni memang daripada keturunan kurang ajar. Berbelas tahun dia datang ke sekolah dengan Adnan, tak pernah sekali pun jawab sapaan aku mahupun senyum balik pada aku.

“Nape?” kaki yang naik atas meja tidak kuturunkan, menyerahkan kamera pada Linda dan Aina.

Amri maju ke arahku dengan wajah bengis.

“Kau buat apa pada Ad?” soalnya lantang daripada tengah kelas lagi sebelum sampai depan aku.

Semua yang ada dalam kelas mula memandang ke arahku. Rata-rata ahli kelas D dah pun masuk ke dalam kelas dan mereka semua tahu apa yang berlaku dekat kantin sekolah sebentar tadi.

“Aku cuma bagi dia makan sup,” balasku tanpa unsur bersalah dalam suaraku.

Satu kelas terdengar menahan ketawa. Mataku sempat melihat kekecohan yang timbul daripada perangai nakal budak kelas D. Aan dan Ban dekat depan membentuk mulut, menyebut ‘katak’ ke arah satu sama lain tanpa suara. Can pula buat bunyi katak kuat-kuat sebelum Dan tepuk kepalanya dengan buku ‘marilah membaca’, memaksa Can diam.

“Orang tengah angin tu!” Dan mengingatkan Can yang bertindak melampau.

Amri pejam mata. Tahu benar perangai budak kelas D yang gemar cakap belakang selain suka memperbodohkan orang lain yang tidak sebodoh mereka sampai meringkuk dekat kelas akhir.

“Aku nak kau minta maaf!” arahnya dengan tegas.

“Ah...” aku memahami permintaannya tapi kami budak kelas D tak semudah itu untuk dengar cakap orang. Aku menghulur dua belah tangan ke depan, perlahan-lahan menadah macam peminta sedekah, “okey... mintak maaf sikit... boleh?” kumerdukan suara lengkap dengan lemah gemalainya.

Terus, satu kelas mendekahkan tawa. Aku tersengih sumbing. Gembira kerana jadi pelawak kelas. Tapi cuma Amri seorang yang tak ketawa. Senyum pun tidak. Wajahnya berkerut serius. Ah, budak kelas B memang begini. Tak terlalu cerdik untuk faham dan tak terlalu bodoh untuk salah faham. Secara ringkasnya, mereka memang makhluk yang membosankan.

“Hello... aku mintak maaf ni... kau ada tak maaf tu?” tambahku lagi, menyebabkan kelas ketawa buat kali ke 2 sampai Ean dan Fan menepuk-nepuk meja tak tahan dengan lawak yang kuungkapkan.

Dia sambar dua belah tanganku, menggenggam kedua-duanya dengan hanya sebelah tangannya dan sebelah tangan lagi dimasukkan ke dalam kocek seluar. Dia menarik tanganku lalu berputar ke belakang.

“Weh! Kau nak bawa aku pergi mana?” soalku kaget dengan tindakannya yang secara tiba-tiba.

Dia mengheret dengan seluruh kekuatan badannya hingga aku tidak dapat melawan. Aku hanya menurut sambil membongkokkan badan untuk menahan tarikan tangannya yang menggenggam cukup kuat dan adalah mustahil untuk aku lepaskan diri.

“Aku nak kau minta maaf pada Ad sekarang!”

“Weh, aku tak nak lah!”

Dia masih mengheret aku sampai ke depan kelas, menuju ke arah pintu hadapan.

“Kenapa kau serius sangat dengan semua benda, itu main-main je lah... Chill la...”

“Chill? Kau nak aku chill dalam semua  perkara? Ikut perangai kau yang tak pernah serius dengan semua benda sampai makanan orang pun kau nak main-main?!”

Aku terdiam. Mulutnya boleh tahan juga. Dek sakit hati sangat, aku halakan gigi pada pergelangan tangannya, menggigit sekuat-kuat hati seolah-olah tengah menggigit paha ayam goreng. Dia lepaskan genggamannya dengan serta-merta, menggosok tangan kanannya yang berbekas merah kesan gigitanku.

Aku berlari ke belakang kelas dan dia yang semakin berang terus mengejarku.

“Aku tak nak lah..!”

“Minta maaf pada Ad!” Ulangnya sekali lagi masih terus mengejar.

“Dia okey je, kau tu yang beria.”

Kelas D bangun daripada kerusi sebaik sahaja guru matematik berbangsa cina, Cikgu Gan masuk daripada pintu hadapan. Amri dah pun memegang tanganku waktu itu tapi sebaik sahaja cikgu masuk, Amri memandang ke arahku dengan wajah tidak pasti. Tidak punya pilihan, akhirnya dia melepaskan genggamannya, menghilangkan diri melalui pintu belakang. Amri tidak pernah lagi mengungkit pasal hal katak semenjak dari itu.

Yup! Dia cakap benda yang betul. Aku tak pernah serius dengan semua benda. Mungkin disebabkan kami ni budak kelas hujung, pengalaman merasai bagaimana kerdilnya bila dianaktirikan oleh sekolah dan tidak mendapat apa yang orang lain boleh dapat dengan mudah, kami berpendapat, bahawa dalam dunia ni tak ada perkara yang besar atau perkara yang kecil. Semuanya sama. Disebabkan itu lah aku tak pernah cerewet sangat dalam bab prank ni. Apa sahaja dan di mana sahaja boleh dijadikan prank.

Sekolah menengah dipenuhi dengan prank tanpa mengira siapa. Kawan rapat, cikgu dan yang paling teruk kena prank adalah Adnan.


=======================================================

Sebarang cadangan hantarkan kepada [email protected]

Fastabiqul Khairaat

-Zulkifli Zakaria-

Shareislam.com Team

=======================================================

Previous: BAB 01
Next: BAB 03

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulkifli Zakaria