“MAKAN?”
tegurku kepada Liana, teman serumahku ketika aku sedang duduk makan di dapur. Namun
Liana hanya senyum. Dia menggeleng perlahan sebelum masuk ke dalam biliknya.
Aku
sambung makan. Kemudian, telefon berbunyi. Aku sengih sebaik sahaja melihat
nama si pemanggil.
“Kau
dah dapat rumah sewa ke?” tanya Jun setelah aku jawab panggilannya.
“Dah.
Dah pindah pun,” jawabku sambil menyuap masuk nasi ke dalam mulut. Aku tahu,
sekejap lagi Jun pasti marah sebab aku tidak beritahu dia yang aku sudah pindah
rumah.
“Kenapa
kau tak beritahu aku?”
“Bukan
tak nak beritahu, cuma aku tak nak susahkan kau. Ala, jangan risaulah. Semua tu
dah selesai. Lepas ni, kau dah tak perlu susah-susah hantarkan aku pergi kerja
lagi setiap pagi. Rumah sewa aku ni dekat aje dengan tempat kerja aku.”
Aku
dengar Jun menghela nafas panjang.
“Kau
sewa dekat mana?”
“Dekat
Flat Marie.”
“Hah?
Beraninya kau sewa kat situ.”
Suara
Jun seperti orang terkejut melihat hantu walaupun aku tahu dia sendiri tidak
pernah nampak hantu.
“Apa
hal pulak? Okey apa. Dahlah murah, suasana persekitaran dia aman damai je.
Nanti kalau kau ada masa kau datanglah sini. Tidur kat rumah aku.”
Aku
teruja mengajak Jun datang ke rumah sewa aku. Dalam banyak-banyak rumah yang
pernah aku sewa sebelum ini, rumah inilah yang aku rasa paling selesa diduduki.
Aku tidak menyesal berpindah dari rumah sewa terdahulu yang rumahnya macam tongkang
pecah.
“Berapa
orang yang menyewa kat situ?”
“Dua
orang je. Tapi kau jangan risau, housemate aku tu okey. Tak cara orang.”
“Hmm,
yalah. Kalau aku free nanti aku datang ke sana. Kalau kau perlukan apa-apa,
jangan segan-segan call aku.”
“Okey.
Jangan risaulah.”
Aku
sengih lepas selesai berbual dengan Jun. Aku sambung makan semula. Dalam asyik
menikmati Nasi Goreng Cendawan yang aku beli di kedai tadi, telinga aku
menangkap bunyi orang sedang mandi di bilik air. Bila masa pula Liana masuk
ke dalam bilik air?
*****
“AWAL
keluar pagi ni? Kerja shift pagi ke?” soalku kepada Liana ketika kami sama-sama
masuk ke dalam lif. Sebelum ini, jarang aku bertembung dengan dia semasa hendak
keluar pergi kerja. Setahu aku, masa bekerja Liana tidak menentu. Kadang-kadang
nak bertemu muka dengan dia pun payah.
Liana
cuma senyum. Angguk tidak, geleng pun tidak.
“Kau
janganlah malu-malu dengan aku. Kalau kau segan, aku pun segan jugak,” kataku
lagi. Bukan apa, sepanjang aku tinggal bersamanya, aku tengok Liana seperti
malu-malu hendak bercakap dengan aku. Kalau aku tidak mulakan dahulu perbualan,
memang mimpi sahajalah hendak dengar suara dia. Itu pun kadang-kadang aku tanya,
dia jawab dengan senyuman dan gelengan kepala sahaja.
Pintu
lif terbuka di tingkat dua. Seorang lelaki masuk ke dalam.
“Aku
nak pergi makan sekejap kat kedai Kak Melah. Kau nak ikut? Mehlah makan sekali.
Aku belanja kau,” pelawaku. Aku tengok jam masih awal. Mungkin sempat aku isi
perut sekejap sebelum masuk ke pejabat.
“Awak
tanya saya ke?” soal lelaki yang baru masuk dalam lif tadi.
“Ha?”
Aku
melopong memandang lelaki itu. Bila masa pula aku cakap dengan dia? Aku cakap
dengan Lianalah.
“Taklah.
Saya tanya kawan saya kat sebelah ni.”
Aku
lihat lelaki itu pandang ke sebelah aku. Dahinya berkerut. Namun aku buat endah
tidak endah sahaja. Sampai di tingkat bawah, aku dan Liana berpecah. Sambil
berjalan sempat aku perhatikan Liana. Dia berjalan ke arah taman berdekatan.
Eh, bukan kilang tempat Liana bekerja di depan sana ke?
*****
PETANG
Sabtu itu, Jun datang ke rumah aku setelah aku pujuk dia supaya datang bermalam
di rumah sewaku. Teruja benar aku bila ada kawan datang ke rumah.
Sekurang-kurangnya, adalah teman untuk bersembang.
“Kenapalah
kau sewa dekat blok belakang ni. Blok depan tak ada kosong ke? Jenuh aku nak
cari rumah kau tadi.”
Jun
merungut sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah aku.
“Blok
depan dah penuh. Tinggal blok belakang je yang kosong. Tapi okeylah sebab view
dia pun cantik. Cuba kau tengok kat belakang tu. Hijau dan redup je mata
memandang. Macam ni, barulah best.”
Aku
sengih memandang Jun sambil membawa Jun pergi ke balkoni. Pemandangan
bukit-bukau yang menghijau itu menjadi salah satu faktor aku tertarik menyewa
di rumah itu. Malam-malam kalau aku susah nak tidur, aku selalu juga duduk
melepak sambil minum di situ. Kalau pagi-pagi pula, pemandangannya memang
mendamaikan perasaan. Dengan kabus yang tebal dan sejuk yang mencengkam
sehingga ke tulang, terasa macam duduk di luar negara pun ada.
“Tempat
seram macam ni kau cakap best? Kau tahu tak masa aku naik lif tadi lampu lif tu
sekejap buka, sekejap tutup. Takut aku
tau. Kalau aku lah, tak adanya aku nak sewa dekat sini,” balas Jun.
“Biasalah
tu. Kalau lama tak servis macam tulah jadinya. Eh, kau duduk dulu ya. Aku pergi
dapur kejap buat air untuk kau.”
Aku
tinggalkan Jun keseorang di situ. Setelah buat air ala kadar, aku keluar semula
ke ruang tamu. Aku ajak Jun duduk minum di atas tikar nipis di depan
televisyen. Kami bersembang rancak. Leka bergelak ketawa, aku terdengar bunyi
pintu gril dibuka. Aku agak itu tentu Liana.
“Liana,
baru balik ke? Ni, kawan aku ada datang nak tumpang tidur sini malam ni. Kau
tak kisah, kan?” sapa aku setelah melihat Liana berjalan masuk.
Liana
hanya membalas dengan anggukan.
“Eh,
kau nak minum? Mehlah duduk sekali.”
Aku
pelawa mesra tetapi Liana menolak. Selepas itu, dia terus berjalan masuk ke
bilik. Aku faham dan tidak ingin memaksa. Aku fikir, mungkin Liana segan hendak
duduk sekali dengan aku dan Jun.
“Kau
cakap dengan siapa tu, Mel?” soal Jun. Dia pandang aku hairan.
“Dengan
housemate aku.”
“Mana?
Tak nampak sesiapa pun.”
Mata
Jun meliar ke segenap ruang di dalam rumah. Setelah itu terkelip-kelip dia
pandang aku semula.
“La,
kau tak nampak ke dia masuk dalam rumah tadi? Pakai spek tebal macam tu pun
masih rabun lagi ke?”
Laju
aku bidas Jun. Aku berasa tidak logik pula apabila Jun berkata begitu. Takkanlah
Liana sebesar itu pun Jun boleh tidak nampak? Memang teruk sangat dah tu tahap
rabun dia.
“Masalahnya,
aku memang tak nampak siapa-siapa. Ke kau ni cakap dengan hantu?”
“Ish,
mana ada hantulah! Mulut kau tu, jangan celopar sangat.”
Aku
cubit paha Jun. Aku bukannya duduk di rumah hantu nak bercakap dengan hantu. Tengok
hantu pun tidak pernah seumur hidup aku.
Jun
hanya ketawa.
“Manalah
tahu. Eh, aku nak pergi toilet sekejap. Kat mana toilet rumah kau ni?”
“Masuk
dapur, tepi singki. Belah kiri. Kanan bilik mandi.”
Jun
segera bangun dan pergi ke dapur. Tinggal aku keseorangan di ruang tamu.
Sementara tunggu Jun kembali, aku tonton televisyen. Tiba-tiba aku terdengar
suara Jun menjerit kuat. Bergegas aku berlari ke bilik air.
Jun
tergesa-gesa keluar dari bilik air dengan wajah yang pucat.
“Kau,
kenapa?” soalku.
Jun
pantas mencapai tanganku dan heret aku keluar dari dapur. Pegangannya terasa
begitu kuat mencengkam pergelangan tanganku.
“Kenapa
dengan kau ni? Kenapa kau jerit tadi? Ada katak ke dalam toilet tu?” tanyaku
sambil tidak berkelip pandang muka Jun.
“Aku….”
Kata-kata
Jun terputus di separuh jalan. Seperti susah sekali dia hendak bercakap.
“Aku
apa? Cakaplah,” desakku lagi.
“Mel,
aku rasa aku tak jadilah nak tidur kat rumah kau malam ni. Lain kali jelah ya.
Aku minta diri dulu.”
“Eh,
kenapa pulak ni?”
Aku
terpinga-pinga melihat Jun yang sudah pun mencapai beg dan meluru ke arah
pintu. Jeritan aku tidak dipedulikannya. Aku mengeluh sendirian. Apa yang buat
Jun tiba-tiba mengubah fikiran dia?
© Reeani Annur 2013
-TAMAT-