Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan (Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 3)
Peduli Insan (Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 3)
nzamwhid
31/10/2018 13:37:02
1,874
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULIINSAN

Denyut nadi gelandangan: Kisah percintaan jalanan IV

 

 

"Abang turun je! Ada gelandangan dengan abang parking tu suruh saya panggil abang!" ujar teman si Aisyah tadi. Aku berlari menuju ke tempat yang dimaksudkan. Tiba disana, aku sedikit terkejut apabila melihat ibu sedang terbaring dengan posisi mengiring di atas kaki lima. Dari kedudukan badannya kelihatan seperti dia telah tumbang sewaktu sedang duduk.

 

"Dia pengsan ke?" Aku bertanya kepada salah seorang gelandangan yang berada di situ. Dia hanya menggeleng kepala, tidak tahu. Aku menyuruh Man parking memegang pergelangan tangan ibu, mencari denyut nadi.

 

Bila Man meletakkan tangannya pada pergelangan tangan ibu, dia terus memandangku. Muka Man berubah. "Ada lagi ke Man?" Tanyaku gementar.

 

Man hanya menggeleng kepala seraya berkata "Call ambulans Zam," tak sedar jari aku mengigil menekan nombor 999 di skrin telefon. Setengah jam kemudian ambulans dari Jabatan PertahananAwam (JPA) tiba. Mereka memeriksa ibu satu persatu sehinggalah akhirnya keputusan disahkan.

 

Innalillahi wainna ilaihi rojiun.

 

Ibu telah meninggal dunia. Bilangan mereka yang berkerumun di kaki lima restoran mamak semakin bertambah. Kereta peronda PDRM juga telah tiba. Salah seorang anggota PDRM mengambil keterangan daripada aku memandangkan akulah individu yang bertanggung jawab menghubungi ambulans dan PDRM.

 

"Bang, cuba cek kat poket beg dia. Tak silap ada IC dia kat situ.Nama penuh dia saya tak pasti ..." Jelasku sambil cuba membantu anggota PDRM itu mencari sebarang dokumen pengenalan tentang ibu. Aku membuka beg arwah, namun hampa. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Anggota JPA pula menggeledah sekitar pakaian ibu untuk melihat sekiranya ada sebarang dokumen, juga tiada. Pengumuman turut dibuat seandainya ada dalam kalangan gelandangan yang kenal dan tahu latar belakang Ibu. Mereka semua hanya diam dan saling berbisik sesama sendiri. Aku yakin, jikalau ada yang tahu pun mereka tidak akan tampil ke depan untuk berkongsi. Masing-masing bimbang akan ditahan. Itulah persepsi mereka terhadap mana-mana agensi kerajaan. Lagi-lagi bila melibatkan pihak berkuasa PDRM.

 

Uncle Adam masih tidur disebelah ibu. Dia langsung tak sedar apa yang telah berlaku. Mungkin uncle terlalu letih mencari kotak dan sampah siang tadi. Semua kotak dan sampah yang boleh dikitar semula akan dijual kerana itulah sumber pendapatan utamanya.

 

Aku merapati uncle.Simpati aku melihat dia tidur hanya berseluar jeans pendek serta tidak berbaju.Lantai kaki lima itu dialas dengan kepingan kotak untuk menghilangkan bisa sakit badan kerana kerasnya simen. Aku mengerakkan uncle. Dia sedikit terkejut apabila melihat orang ramai berkerumun di tempat tidurnya. Lebih terkejut apabila melihat anggota PDRM dan anggota JPA turut berada di situ.

 

"Uncle, makcik dah meninggal. Uncle tau mana ICdia?" Perlahan aku bertanya kepada dia. Uncle masih terpinga-pinga dalam keadaan mamai.

 

"Saya tak tahulah," uncle mengosok mata beberapa kali.

"Lu sudah cari ka pada poket seluar dan beg dia?" Uncle bangun dari tempat tidur, bergerak menjauhi jenazah ibu yang terbujur kaku bersebelahannya semasa tidur tadi.

 

"Tak ada uncle," jawabku perlahan. Uncle merupakan salah seorang teman baik ibu. Dia sering belanja ibu minum kopi apabila kepingan kotak yang dikutipnya habis terjual. Malahan aku sendiripun kadang-kala turut bersama mereka berdua menikmati kopi di restoran itu sambil menonton TV.

 

Pendek cerita, jenazah ibu dimasukkan ke dalam ambulans dan dibawa pergi ke Hospital besar Kuala Lumpur(HKL). Sedikit demi sedikit mereka yang berkumpul di kawasan itu mula beredar.Kelihatan Aisyah keluar dari McDonald's berjalan ke arah aku bersama pasanganJo. Aku memberi isyarat pada Jo agar datang mengambil teman wanitanya itu.Pesan aku pada mereka berdua agar jangan lupa esok pagi. Jam 8.30-9.00 pagi waris remaja perempuan itu akan datang mengambil mereka berdua untuk dibawa pulang berjumpa ibu bapa di kampung. Mulut Jo tak henti-henti mengucapkan terima kasih. Dia berjanji akan cuba buat yang terbaik menjaga remaja itu.

 

"Saya janji bang. Terima kasih banyak bang." Tangan aku digenggam erat. Matanya bergenang air mata, mungkin sebak.

 

"Jangan janji saja. Stop ambik ubat!" Tegasku padanya.

 

Aku tidak menunggu lama disitu. Aku sudah berjanji untuk membawa Aisyah dan temannya ke SEGI kolej bagi melihat kehidupan jalanan di sana. Aku pun sebenarnya memang tidak mahu lama berada di situ. Bimbang perasaan semakin sayu mengenangkan arwah ibu. Jujurnya aku tidak mahu ternampak sedih di depan Aisyah dan temannya. Tidak mahu mereka terlihat aku tidak mampu mengawal emosi.

 

Setelah membawa mereka berpusing-pusing sekitar SEGI kolej, aku mengambil keputusan untuk pulang. Kami menuju semula ke bangunan Suria kerana aku dan Aisyah meletakkan kereta di situ. Perjalanan menuju ke bangunan Suria akan menyebabkan kami melalui semula restoran mamak, tempat kejadian arwah ibu meninggal dunia sebentar tadi.

 

Tiba saja berhampiran restoran mamak, aku lihat bilangan gelandangan yang berkerumun di kaki lima bertambah semula. Tapi kali ini yang datang adalah daripada kelompok gelandangan muda. Mungkin sekitar usia bawah 30an.

 

Aku berlalu sambil melihatmereka begitu sahaja. Kelihatan beberapa orang gelandangan perempuan muda sedang menangis kesedihan di atas pemergian ibu. Mereka ditemani oleh beberapa orang gelandangan lelaki lain. Apabila semakin dekat barulah aku perasan,rata-rata mereka semua adalah daripada kumpulan gelandangan Bangkok bank.

 

Tiba-tiba pandangan aku tertarik pada salah seorang dari sekumpulan gelandangan perempuan yang sedang menangis. Perempuan itu berambut panjang tetapi diikat kurang kemas ke paras bahu. Aku yakin aku tak tersilap dan cukup yakin aku kenal perempuan itu! Tapi perut dia?


Ya Tuhan, dia mengandung lagi!

 

Aku hampir terlupa kali terakhir aku bersamanya, dia sedang hamil beberapa minggu. Kini sudah berbulan aku tidak melihat dia. Maka tidak hairanlah jikalau kandungan itu semakin besar. Di kaki lima pula kelihatan seorang lelaki sedang duduk berhampiran tempat arwah ibu tidur. Dia merenung tepat ke arahku. Aduhhh.. Aku sudah tidak boleh melarikan diri lagi.

 

"Abang kejap bang!" Lambai lelaki itu kepadaku. Aku serba salah. Perlu ke aku mara atau pergi begitu saja.

 

"Lama tak nampak? Apa khabar?" Aku cuba beramah mesra menghilangkan gugup di hati.

"Saya baru keluar bang. Dang Wangi tahan saya. Saya bergaduh pukul budak tempohari..." Panjang lebar dia menerangkan tanpa ditanya.

 

"Sekarang pun saya tak puas hati. Saya nak cari balik budak tu"

"Apa nak jadi, jadilah .." Getus dia dengan penuh emosi.Kelihatan pipinya bergerak-gerak mengetap gigi. Mungkin tanda marah atau sengaja menunjukkan kemarahan.

 

Aku mula gelisah. Aku lihat sekeliling ada lebih kurang 6-8 orang teman-temannya berdiri berhampiran aku.Masing-masing hanya diam sambil memandang aku. Ah, Jantung mula berdebar laju.Habislah aku kalau kena serbu. Tawakal saja pada Tuhan. Aku menjeling ke sebelah, mencari sahabat HUMANITY dan pelajar lelaki UKM. Kebetulan mereka semua duduk agak jauh daripada aku, berada di belakang. Apa punya kawan, masani pula kau boleh duduk jauh. Aisyah juga berdiri bersama mereka. Dia hanya memerhatikan saja perbualan aku dan lelaki itu.

 

"Saya dengar abang ambik Adam? Abang rampas Adam?" Bulat matanya memandangku.

 

Ah sudah, perkara yang akudoa-doa tidak keluar akhirnya terkeluar juga! Perempuan mengandung tadi hanya menjeling tajam. Cukup benci benar dia kepadaku. Cara dia memandang pun sudah menzahirkan perasaannya. ‘Ah Ita, kau memang tak habis-habis buat masalah ...’Bisikku dalam hati. Kepala aku ligat memikirkan alasan untuk melepaskan diri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.