Home Novelet Cinta HADIR BAGAI TAKDIR
HADIR BAGAI TAKDIR
Tinta Biru
6/2/2018 15:27:15
46,198
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
SINOPS

SINOPSIS

 

Nuha Farieha, seorang pelakon serba boleh yang mendapat pengiktirafan juri dan pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik beberapa kali. Dia punya kedudukan dan kelas tersendiri dalam industri seni tanah air. Namun, bakat dan kebolehan yang dia ada tidak pernah dijadikan tiket untuknya mendabik dada serta memandang rendah pada kredibiliti orang lain.

            Bertahun dia menyulam cinta dengan Nazim, seorang anak muda yang berasal daripada golongan VVIP. Nazim mengambil alih urusan perniagaan arwah ayahnya dan mengetuai tampuk pimpinan syarikat pada usia yang begitu muda. Hubungannya dengan Nuha tidak pernah dihalang oleh keluarga, malah ibunya sangat menyenangi wanita itu.

            Satu peristiwa terjadi, dan Nazim harus memilih satu antara dua. Meninggalkan Nuha atau memenuhi permintaan ibunya. Dia lelaki yang dibesarkan dengan didikan untuk sentiasa mengutamakan keluarga dalam segala hal. Ada budi yang tak terbeli, ada cinta yang sukar untuk dia khianati dan semuanya harus dinoktahkan dalam masa tiga hari.

            Nazim akhirnya memilih berkorban rasa demi maruah keluarga. Nuha dan dia, haluan keduanya sudah berbeza…putus Nazim akhirnya. Wanita itu berlalu tanpa meminta asbab perpisahan, bagi Nuha tiada guna merayu kasih. Bertahun menyulam kasih dengan lelaki itu, malah impian sendiri terabai sama tetapi akhirnya yang tinggal hanya lipatan memori.

            Demi mengejar semula mimpi yang ditinggal sepi, dan menjahit semula hati yang lompong…Nuha Farieha pergi membawa diri ke negara seberang. Minatnya dalam bidang rekaan fesyen diteruskan. Tawaran-tawaran daripada negara jiran dipenuhi dengan lapang dada. Ditemani Dahlia, dia terus membina nama di sana.

            Fathul Amri, jejaka tinggi lampai dan bertubuh sasa yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pencinta drama di Malaysia. Memiliki rupa paras dan fizikal yang menarik menjadikan dia pelakon kegemaran setiap penerbit. Populariti yang diraih selepas membintangi satu drama rantaian popular menjadikan dia selebriti paling berpengaruh. Apa sahaja produk yang menjadikan dia sebagai duta pasti laku keras.

            Fathul Amri dan Kyra dipertemukan atas dasar kerja dan profesionalisma. Kyra, seorang pereka fesyen muda yang sedang meningkat naik. Pakaian Fathul Amri ditaja oleh butik Kyra sepanjang penggambaran sebuah drama yang telah melonjakkan namanya. Bertitik tolak daripada itu, Fathul Amri dan Kyra semakin akrab dari hari ke hari. Walaubagaimanapun, hubungan mesra antara keduanya tidak dapat dihidu oleh pihak media kerana Kyra mengambil pendekatan mengunci mulut berkenaan keakraban mereka.

            Berkali Fathul Amri menyuarakan hasrat hati mahu bertemu dengan orang tua Kyra, dia ingin menoktahkan perhubungan mereka dengan satu ikatan yang sah. Namun, Kyra sering berdolak-dalih ditambah pula dengan penerimaan mummy, Datin Aida terhadapa Fathul Amri. Mereka datang dari dua dunia yang berbeza, umpama langit dengan bumi. Seorang dilahirkan dalam serba sederhana, manakala yang satu lagi penuh kemewahan sejak kecil.

            Pada saat hati masih ragu-ragu dengan Fathul Amri, Irsyad hadir mengetuk pintu hati Kyra. Atas restu keluarga yang sama taraf dan kedudukan, Irsyad dan Kyra mengikat tali pertunangan. Perasaan Fathul Amri dicampak ke tepi, dia ditinggalkan Kyra tanpa pamitan. Hati yang telah dicarik luka itu ditanggung sendiri hari demi hari.

            Bertahun menyepi dan membawa diri,Nuha akhirnya kembali mewarnai persada seni demi memenuhi permintaan peminat yang merindukan kemunculannya. Menerusi lamaran sutradara yang kian meningkat naik, Johan…Nuha Farieha dan Fathul Amri disatukan sebagai tunjang utama sebuah drama rantaian.

            Fathul Amri yang pada mulanya kekok dengan Nuha Farieha semakin serasi dari hari ke hari. Nuha menjadi tempatnya bercerita, meluahkan kelukaan lama yang membelenggu dada. Raut wajah yang tenang, keramahan dan kekuatan yang dipamerkan wanita bernama Nuha Farieha mula mencuit ruang dalam hati Fathul Amri.

            Gandingan mereka mula menjadi sebutan dan fenomena satu Malaya sehingga keduanya dianggap sebagai pasangan paling ideal baik di layer televisyen atau sebaliknya. Dalam satu insiden,Fathul Amri telah menyelamatkan Nuha Farieha yang dianaiya atas dasar iri hati manusia. Dari situ, keduanya mula menaruh rasa dalam diam tanpa suara.

Saat keduanya sudah boleh menerima kelebihan dan kekurangan yang ada, mereka diuji dengan fitnah dunia. Demi maruah dan harga diri, Nuha Farieha melangkah pergi…bertemu Allah di bumi suci. Jauh dari negara sendiri, jauh dari manusia yang mencaci maki..demi mencari kekuatan diri.

            Indahnya aturan Allah, di bawah langit Yang Esa…Jabal Rahmah jadi saksi, Nuha Farieha ditemukan dengan Fathul Amri. Dibumi suci, seorang lelaki bernama Fathul Amri menyatakan hasrat hati…NuhaFarieha mahu disunting menjadi bidadari menemani suka, duka, sunyi dan sepi.

            Masa dipinta Nuha Farieha daripadaFathul Amri, dirinya tidak mahu lagi terluka. Segalanya diserahkan pada Yang Esa. Perjalanan Nuha ke desa Jatiluwih menemukan dia dengan cinta. Aisyah mengajarnya tentang penyerahan jiwa pada Yang Utama. Lewat istikharah di bumi Jawa, pertanyaan si gadis dijawab ketika lena.

            Turki membawa Fathul Amri lebih dekat dengan ujian Illahi. Jauh kakinya melangkah, bukan lari dari hambatan media sebaliknya dia pergi mencari kekuatan untuk mendepani segala ujian. Pertemuan dengan Luqman dan Irwan meninggalkan kesan mendalam. Sabar! Itu kunci kemenangan atas segala kebatilan yang dikaburkan.

            Kebenaran dibongkar akhirnya dengan bantuan sahabat setia. Fathul Amri dan Nuha Farieha ternyata hanya mangsa sifat dengki manusia. Dalam satu majlis penuh barakah, dua pasang mata yang sudah lama terpisah akhirnya bertaut kembali. Dengan lafaz Bismillah, Nuha dilamar lagi sekali oleh Fathul Amri.

            Nuha adalah takdir terindah Fathul Amri. Manakala Fathul Amri pula hadir sebagai takdir yang melengkapi perjalanan seorang Nuha Farieha. Andai sudah ditakdirkan Allah, maka tiada suatu tangan pun yang bisa menghalang. Doa yang diutuskan di Jabal Rahmah akhirnya membawa mereka ke mahligai yang sakinah.

Next: PROLOG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Tinta Biru