Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
Akan Terbit... petikan keempat
ADUKA menjaga kemudi sampan di belakang manakala Rasan dan Kamel mendayung sampan. Syeikh Maulana pula duduk di tengah-tengah sampan. Lidahnya tidak berhenti berzikir. Memuji ALLAH yang Maha ESA. Mereka sudah jauh meninggalkan pangkalan Lenggong. Kini mereka berada berhampiran pekan Gerik. Sebentar nanti mereka akan mendayung menghampiri perkampungan orang asli.

“Astaghfirullah al azim. Masya-ALLAH,” ujar Syeikh Maulana secara tiba-tiba.

“Kenapa Pak Syeikh?” tanya Aduka.

“Nampaknya kampung anak telah dipagari. Hamba tidak nampak kampung anak. Tidak mengapa, teruskan mendayung. Hamba akan cuba,” ujar Syeikh Maulana.Kamel dan Rasan yang berhenti mendayung apabila mendengar Syeikh Maulana beristighfar meneruskan dayungan hingga ke pangkalan orang asli. Mereka berhenti sebentar untuk Solat Zuhur dan Hajat selain mengisi perut. Kemudian mereka kembali bertolak. Baru sahaja menjauhi pangkalan, Syeikh Maulana meminta mereka membaca ayat-ayat Rukyah.Aduka berasa pelik kerana setahunya sudah lama Kamel dan Rasan mendayung tetapi tetap tidak sampai-sampai ke pangkalan kampungnya. Sedangkan dari kampung orang Asli ke kampungnya tidaklah jauh.

“Kita berlabuh kat tebing sana tu,” arah Syeikh Maulana.Kamel Dan Rasan mendayung menghampiri tebing pasir. Apabila sampai di tebing, Rasan segera turun dari sampan dan mengikat tali sampan di salah satu banir. Syeikh Maulana keluar dari sampan dituruti Kamel dan Aduka.

“Sebenarnya kita dipermainkan makhluk terkutuk itu. Mereka memegang sampan kita dan menyebabkan sampan kita tidak bergerak. Hakikatnya tadi kita tidak ke mana-mana. Hanya saya yang nampak kita berada di kedudukan yang sama. Sebab itulah saya menyuruh kita berlabuh. Kita jalan kaki ke kampung anak semua,” jelas Syeikh Maulana.

“Tapi saya tengok sampan kita bergerak. Di kiri kanan pokoknya tidak sama,” ujar Kamel.

“Memanglah. Sebab pandangan anak semua telah dikaburinya, tetapi hamba tidak,” jelas Syeikh Maulana

.“Kalau begitu kita ikut kata Pak Syeikh. Kita berjalan kaki,” sokong Aduka.

“Jaga-jaga. Mungkin kita akan diserang semasa melalui denai-denai hutan. Sentiasa memohon pertolongan daripada ALLAH. Baca ayat-ayat suci. Insya-ALLAH kita akan selamat. Bersiap siaga dengan senjata. Ingat, senjata itu alat. Yang Maha berkuasa adalah ALLAH,” ujar Syeikh Maulana.Mereka bertiga mengangguk. Mereka mengambil bekalan dan juga bungkusan yang mengandungi kain baju. Aduka mengusap keris milik ayahnya yang telah ditawarkan. Keris itu sudah tiada lagi kesaktian. Semuanya diserahkan kepada ALLAH. Mereka memasuki hutan untuk ke kampung Aduka.

“DENGAN ilmu dan pengetahuan Syeikh Maulana, mereka berempat berjaya sampai ke kampung Aduka dengan jayanya. Ketika itu isteri Aduka, Dang Suria sudah pun beranak anak sulungnya. Dinamakan Badar, nama yang diberikan Aduka sebelum dia berangkat,” cerita Osman.

“Lah, tu aje ceritanya? Aku ingatkan adalah lawan-lawan dalam hutan,” ujar Mail Keding.
“Syeikh Maulana tu tinggi ilmunya. Kau ingat senang-senang saka tu nak melawan dengannya. Saka takut dengan Syeikh Maulana.”

“Yalah. Kemudian apa yang terjadi?” tanya Rafael.

“Kemudian...”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.