Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
83,881
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 7

Bab 7

Bab 7

DARI kedai Muthu, Lim membuat keputusan untuk balik sahaja ke rumah. Bau busuk yang belum hilang dari bajunya, membuatkan dia berasa tidak selesa untuk balik semula ke tempat kerja. Tentu nanti semua rakan sepejabatnya bising-bising. Dia juga yang serba salah untuk menceritakan hal yang sebenar.

“Cepat balik?” tegur Gark yang baru keluar dari arah dapur bersama muk di tangan. Jelas dia terkejut dengan kepulangan Lim pada tengah hari itu.

Tanpa menghiraukan teguran Gark, Lim tanggalkan baju kemeja berlengan pendek yang dipakai. Dibawa ke dapur dan dicampakkan ke dalam besen dalam bilik air. Dipasang air paip lalu dibiarkan sahaja.

Gark memandang Lim dari atas ke bawah. Dahinya berkerut-kerut. “Apa bau busuk ni? Kau pijak najis ka? Aiyaa…”

Lim buat tidak tahu sahaja.

“Macam telur busuk pun ada.” Hidung Gark terherot-herot, kembang kempis menahan bau.

Lim mengeluh. Kepalanya mula sakit. Akhirnya dia menuju ke arah peti ais dan mengeluarkan sebotol air sejuk. Kemudian mengambil sebiji muk putih lalu menuangkan air sejuk ke dalamnya. Dia harap Gark meninggalkan dia bersendirian. Terlalu banyak perkara yang bermain dalam fikirannya.

“Eh! Kau ada pergi kedai Muthu?” tanya Gark pula. Masih tercegat di pintu dapur.

Lim berpaling. Sejujurnya dia agak terkejut dengan pertanyaan Gark.

“Tengah hari tadi. Kenapa?”

“Aku dengar macam-macam cerita pasal kedai tu.”

Lim mula tertarik dengan kata-kata Gark. Apa yang Gark dengar? Beberapa hari ini banyak betul cerita yang beredar pasal kedai Muthu. Dia percaya tentu ada dalangnya.

“Apa yang kau dengar?” Dia pandang muka Gark terus-menerus.

Gark termenung seketika. Kemudian menjawab, “Ada orang kata nampaklengkwai.”

“Lengkwai?”Lim spontan tergelak. Lengkwai…atau hantu yang berupa seorang perempuan yang cantik. Begitu bertentangan, kata hatinya.

“Mengarutlah. Mana ada,” katanya pula.

“Ya,” balas Gark dengan suara yang menekan. “Ada orang nampak dia dalam kedai.”

“Bukanlengkwai…. Mungkin perempuan yang datang makan.”

Lim cuba berfikiran rasional. Kalau benarlengkwai, sudah tentu berterabur orang lari. Tapi tadi pun orang lari juga. Lari sebab tidak tahan dengan bau telur tembelang yang pecah di tangannya.

“Kau gelaklah,” balas Gark dengan muka yang tidak puas hati.

“Macam mana mereka boleh katalengkwai?Apa buktinya?”

“Muka cantik. Pakai baju kebaya hitam tapi…”

Lim angkat kening. Kata-kata Gark buat tengkuknya meremang. Untuk sesaat apa yang dilihat di dalam cermin semalam terlintas di fikiran. Kebaya hitam? Mungkinkah itulengkwai yang disebut-sebut orang? Ish!

“Badan berdarah-darah,” sambung Gark.

“Aiya…. Kenapa tak tolong? Mungkin dia mau pergi hospital ka,” balas Lim main-main.

Bagi dia cerita itu sudah melampau. Entah siapa yang mengarang cerita sebegitu rupa. Prempuan yang dia nampak di cermin semalam elok sahaja cuma muka sahaja tidak kelihatan. Jadi bukanlah hantu. Fuh! Lega.

“Ketawalah, nanti jumpa baru tau.” Gark tarik muka masam. “Tapi bukan tu saja orang jumpa.”

“Apa lagi?”

“Macam-macam,” balas Gark tanpa mahu memperincikan apa-apa lagi. “Ada orang nampak perempuan bermuka hitam. Terbakar satu badan.”

Kali ini Lim menggeleng.

“Tipulah. Aku hari-hari makan situ. Kalau betul ada, aku nampak dululah,” balasnya.

“Ada juga nampak benda lain.” Gark masih belum mahu mengalah.

Lim tunggu sahaja.

“Ada benda duduk depan kedai. Banyak buruk. Tinggi. Mata merah. Badan hitam. Bau busuk.”

Lim menarik nafas berat. Semakin lama, semakin banyak pula cerita Gark. Tetapi apa tujuan Gark menceritakan semua itu kepada dia?

“Sampai hari ni aku tak pernah nampak apa-apa.” Dia masih berkeras. Sedih dengan nasib Muthu yang difitnah sebegitu rupa sekali. Ternyata persaingan dalam dunia bisnes amat kejam.

“Lebih baik jangan makan situlah,” kata Gark. “Sebelum nampak apa-apa.”

Lim tidak mahu memberikan apa-apa keputusan. Mungkin niat Gark baik, fikirnya. Gark abang, dia adik. Akhirnya dia diam sahaja.

“Ada orang kata Muthu pakai hantu kasi orang ramai datang situ,” tambah Gark dengan selamba. “Tapi Muthu lupa kasi makan hantu, hantu buat kacau sama kedai dia.”

Telinga Lim panas. Hati sudah mendidih. Cerita-cerita buruk begitu dia tidak suka. Dia kenal Muthu, Pooja dan Devi. Dia tidak percaya Muthu sanggup buat perkara itu. Tidak sedar mukanya merah padam menahan marah.

Melihatkan Lim tidak mahu berbual lagi, Gark letak muk yang dipegang ke dalam sinki. Sebelum beredar, dia sempat berkata, “Bulan depan aku sewa kedai hujung tu.”

“Aik? Dalam sibuk-sibuk cerita pasal hantu, sempat lagi cari kedai?”

Lim pandang muka Gark. Dia sudah lama tahu rancangan Gark untuk membuka kedai menjual CD di lot hujung bangunan yang sebaris dengan kedai Muthu. Lot itu sudah lama kosong. Di kawasan itu memang belum ada kedai CD.

“Isy! Tengok orang la. Apa aku mau mesti dapat punya.” Gark sengih sebelum beredar meninggalkan Lim.

Setelah Gark pergi, Lim termenung di situ. Dia gembira kerana akhirnya hajat Gark akan kesampaian juga. Walaupun Gark sudah mempunyai perniagaan lain namun dia sudah lama tahu Gark mengintai lot kosong itu. Dia tidak ada halangan. Mungkin semua itu elok untuk masa hadapan Gark, Janet dan Ben.

Namun jauh dalam hatinya merintih; teringatkan Suzy dan perancangan masa hadapan mereka. Disebabkan itu, walau apa pun kata orang mengenai kedai Muthu, dia akan tetap mengunjungi kedai itu. Hanya di situ dia merasakan Suzy sentiasa ada di sampingnya.Lengkwai ke, apa ke, takkan dapat menghalang dia. Rindunya kepada Suzy mengatasi segala-galanya. Suzy masih menjadi semangat dia.

Sedang memijak tangga untuk naik ke bilik, terasa bahunya dipaut dari belakang. Dia hampir terjatuh tetapi sempat berpaut pada pemegang tangga. Dia toleh ke sisi. Tiada siapa. Yang ada hanyalah rasa pautan di bahu yang begitu mesra. Dia terpinga-pinga. Sejak semalam kejadian itu sering sahaja berlaku. Bagaikan ada yang mengikutnya ke mana sahaja.

******

GARK keluar ke halaman. Hajat di hati mahu membasuh kereta yang comot terkena becak. Sebelum itu dia sempat membuka pintu kandang Lassie dan mengisi bekas makanan dengan makanan kering. Air minuman Lassie masih ada.

“Keluarlah,” tegur Gark.

Pada waktu itu Lassie masih duduk diam di dalam kandang. Selalunya Lassie tidak sabar-sabar mahu keluar. Tetapi petang ini Lassie bagaikan berubah laku. Asyik menderam dan menunjukkan gigi. Malam tadi pun asyik menyalak sahaja.

Tanpa berlengah, Gark hulurkan tangan untuk menarik kolar leher Lassie tetapi hampir lagi digigit.

“Hey!”

Gark bertempik sambil menepuk kepala Lassie. Dia mula marah. Dia tidak sangka Lassie anak anjing yang sangat disayanginya sanggup berbuat begitu. Akhirnya dia biarkan sahaja pintu kandang itu terbuka. Dia sudah malas mahu memujuk. Terpulanglah kepada Lassie mahu keluar ataupun tidak.

Dia pergi pula membuka paip. Air bercucuran keluar melalui getah paip berwarna kuning jernih. Pada mulanya lancar tetapi kemudian tersekat-sekatdan bergetar. Dia tarik getah paip. Dia fikir getah paip itu berlipat. Selepas ditarik-tarik air mula lancar semula tetapi tidak lama. Air jernih yang keluar mula bertukar warna. Dari jernih ke keruh kemudian berwarna merah darah.

Getah paip terlepas dari tangan. Air berwarna merah darah membasahi lantai simen bercampur gumpalan rambut dan ketulan-ketulan hitam berupa daging yang berulat. Bau busuk bangar meruap dan naik ke hidung.

Gark berlari masuk ke dalam rumah. Kemudian ke dapur lalu muntah di dalam bilik air. Lassie di dalam kandang lari ke sudut paling dalam sambil menderam-deram.

*****

LIM baru sahaja lepas mandi. Rambut yang basah dikeringkan dengan tuala sementara dia hanya berseluar pendek. Baru hendak bercermin, dia terdengar suara yang riuh-rendah di tingkat bawah.

“Lim! Lim!” Janet memanggil.

Pintu yang sememangnya renggang dikuak lebar. Cara Janet memanggil buat dia cemas. Apa pula yang berlaku di bawah? Dia terus turun.

“Kenapa?”

Dia terus bertanya sambil mengikut arah bunyi bising. Rupa-rupanya kesemuanya ada di dapur. Tambah mengejutkan apabila terpandang Gark yang sedang menggelupur di atas lantai bagaikan orang kena sawan. Dia terus mendekat. Tangan Gark dipegang. Rasanya berbahang.

“Apa jadi?” Dia tanya Janet.

“Tak tau. Gua balik dia sudah macam ni. Dalamtoilet pun ada muntah dia. Banyak busuk.” Janet berkerut muka. Ben sekadar memerhati dengan wajah takut.

“Hantar hospital.” Lim terus berdiri. Belum sempat Janet membantah, dia sudah berlari naik ke tingkat atas untuk menukar pakaian. Setibanya di tingkat atas dia pakai sambar sahaja apa yang dia jumpa. Selepas siap, dia berlari lagi ke tingkat bawah.

Dengan susah payah dia papah Gark ke kereta. Lalu dihantar ke hospital. Pada petang itu dia menemani Gark yang ditahan di wad kerana sawan dan demam panas. Dia tidak tahu selepas petang itu hidupnya akan berubah sekali lagi.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.