Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,750
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Bab 6

Bab 6

DARI jauh lagi dia sudah dapat melihat wajah Pooja begitu keruh. Begitu juga dengan wajah Raju dan Murugan. Dada Muthu seperti dihempap batu besar. Senak.

“Apa lagi?” Dia terus bertanya sebaik sahaja masuk ke dalam kedai.

“Lauk basi,” bisik Pooja dengan kerutan dahi yang berlapis-lapis.

Untuk sesaat, keindahan wajah Pooja yang selalu dipujanya dahulu seakan-akan sirna dari matanya. Basi? Macam mana boleh basi? Mereka sudah cukup berhati-hati pagi itu.

“Tak mungkinlah.”

Tanpa menghiraukan Pooja, dia melangkah laju ke arah periuk yang mengandungi kari kambing. Diceduk dan dibawa ke hidung. Ah! Menggigil tangannya. Diceduk pula kuah kurma, juga sama. Bahkan kuah kurma itu sudah berlendir dan berbuih-buih. Dia termenung. Bingung lagi.

“Kenapa tak jaga?” Suaranya mula keras.

Pooja dan Raju hanya mampu menggeleng dan diam tanda tidak bersalah.

Muthu segera tahu dia perlu membuat keputusan dengan cepat. Waktu itu jam sudah hampir ke pukul 12.00 tengah hari. Sekejap lagi ramai pelanggan datang.

“Periksa semua lauk yang ada. Kalau basi, masak semula. Tak payah banyak, asalkan ada untuk dimakan pelanggan sekejap lagi. Masak yangsimple-simple.”

Pooja dan Raju bergegas ke dapur. Muthu pula ke kaunter makanan. Ketiadaan Balan menjadikan kerja setiap orang di situ bertambah. Semua lauk-pauk di situ dicium satu persatu. Kesemuanya basi dan busuk. Dia rasa seperti mahu menjerit. Darahnya terasa sejuk. Apatah lagi pelanggan mula datang.

*****

“HAI!” tegur Lim yang baru masuk ke kedai.

Muthu pandang sahaja wajah Lim. Untuk seketika, dia tidak tahu mahu berkata apa kepada Lim dan pelanggan lain yang sudah mula mencari tempat duduk seperti biasa. Tentu mereka semua mahu makan dan minum seperti selalu, sedangkan pada waktu itu rak hidangan masih kosong. Yang terhidang hanyalah sayur campur dan telur masin.

Dia sudah mula berpeluh sejuk.

“Hari ni roti tak ada. Lauk pun... baru masak sikit.”

Akhirnya dia cuba menenangkan keadaan termasuk hatinya sendiri. Mungkin keadaan tidaklah seteruk yang dia bayangkan. Sekejap lagi tentu semua masakan yang dimasak Pooja siap. Biarlah hari itu kedainya dapat banyak sedikit jualan. Semalam tidak sampai seratus ringgit.

Lim termangu-manggu memerhati ke sekeliling.

“Kasi apa yang ada sajalah,” katanya sambil menarik kerusi.

Muthu terus beredar meninggalkan Lim. Sementara Raju menghidangkan nasi di atas daun pisang untuk Lim, dia pula menceduk sepiring sayur campur lalu membawanya ke meja Lim. Tidak lupa diletakkan sebiji telur masin.

“Air sudah minta?”

Lim angguk.

“Uncle. Macam mana Devi?”

“Ada baik sikit. Tapi kena cuti sampai boleh jalan,” balas Muthu.

Baru dia sedar Lim sudah maklum kejadian yang menimpa Devi semalam walau entah daripada siapa. Melihatkan Lim sudah mula mahu menjamah nasinya, Muthu ke dapur untuk melihat apa lagi yang sedang dimasak Pooja. Mungkin ada kari ayam yang baru dimasak, boleh juga dihidangkan kepada Lim. Kasihan pula dia melihat Lim hanya makan berlaukkan sayur goreng.

“Kari sudah masak ka?” Dia pandang dapur yang agak berkecah. Dia dapat melihat garis kepenatan di wajah Pooja yang sudah dua kali memasak hari itu.

Pooja angguk. Diceduknya semangkuk kari lalu dihulurkan kepada Muthu.

Muthu tersenyum tawar. Lega hatinya sedikit lalu tergesa-gesa dia melangkah mendekati Lim. Belum sempat sampai, Lim sudah terjerit dan melompat jauh dari meja. Sikap Lim menarik perhatian semua yang ada di situ. Muthu tergamam.

“Aiyaa....” Lim mengibas-ngibas baju dan seluarnya yang terdapat kesan kehitaman. Bau busuk mula menyerbak hingga ada yang menutup hidung. Bahkan yang ada yang berlari keluar kedai dan termuntah di longkang.

Kedai mula kecoh. Mangkuk dalam pegangan Muthu hampir sahaja terlurut ke lantai.

*****

“KENAPA ni?”

Muka Muthu sudah terasa sejuk bagaikan air batu. Walaupun dia nampak jelas apa yang baru berlaku namun dia masih bingung dengan kejadian yang menimpa Lim itu.

“Banyak busuk ooo...” Lim tinggalkan meja lalu tergesa-gesa menuju ke bilik air.

Muthu tidak dapat mengangkat muka kerana terlalu malu dengan apa yang berlaku. Belum pernah dia berdepan dengan situasi yang begitu aneh. Bagaimana telur masin yang sudah terawet berbulan-bulan dan sudah direbus elok, boleh bertukar menjadi telur tembelang yang meletup begitu sahaja? Dia bingung lagi. Apatah lagi pelanggan-pelanggan yang ada di situ sudah mula merenungnya dengan pandangan yang aneh. Bahkan ada yang terus meninggalkan kedai.

“Boleh cuci?” Dia bertanya kepada Lim yang baru meninggalkan bilik air. Apa pun caranya dia harus meminta maaf kepada Lim. Lim pelanggan tetapnya, dia berasa amat bersalah.

“Tak berapa mau hilanglah bau dia.” Lim menjawab tanpa riak lega.

“Sorry ha.... uncle pun tak tau macam mana boleh jadi macam ni.” Muthu mengeluh sebelum menggeleng lesu.

Lim tepuk bahu Muthu.

“Tak apalah,” balasnya lalu bergerak ke hadapan kaunter. Diletaknya sekeping duit sepuluh ringgit.

Cepat-cepat Muthu menolak. “Tak payah bayarlah.”

“Ambillah. Duit air....” pujuk Lim sambil menyuakan juga duit itu ke tangan Muthu namun Muthu tetap menolak. Oleh kerana Muthu terus berkeras, Lim akhirnya mengalah dan meminta izin untuk meninggalkan kedai itu dan kembali ke tempat kerjanya.

“Apa bau ni?” tegur seorang lelaki India bertubuh besar dan berperut boroi yang baru masuk ke dalam kedai bersama seorang lagi lelaki. Wajahnya berkerut hairan.

Muthu tidak terus menjawab walaupun dia berharap lelaki berdua itu tidak datang ke situ pada waktu itu.

*****

KEDAI kembali kosong. Semua pelanggan sudah meninggalkan kedai itu seperti semalam. Hati Muthu menangis. Dia betul-betul tertekan.

“Macam mana bisnes?”

Muthu pandang sahaja wajah Natesh, lelaki berperut boroi itu. Tanpa bersuara, dikeluarkan sekeping cek yang sudah siap disediakan sebentar tadi. Cek itu dihulurkan ke arah Natesh.

“Bagus,” jawabnya mendatar. Segala yang dirasai saat itu ditelan dalam-dalam.

“Apa bau lain macam ni? Ada kucing mati ka?”

“Telur pecah tadi.” Muthu pandang ke arah lantai yang sudah dibersihkan oleh Raju. Sayangnya tempat itu belum sempat disembur dengan pewangi. Bau busuk itu masih ada. Hidungnya sendiri kembang kempis.

“Kosong saja kedai hari ni? Selalu penuh.” Natesh lihat jam tangannya. Sudah dekat pukul 2.00 petang tetapi kedai itu lengang. Hanya dia dan kawannya yang ada di situ.

“Beginilah. Kadang-kadang penuh, kadang-kadang kosong,” balas Muthu acuh tidak acuh.

Walhal dalam hati, rasa jengkel sudah bergumpal-gumpal. Namun dia tidak akan mengalah di hadapan Natesh. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan Natesh hilang kepercayaan kepadanya. Susah nanti. Tentu Natesh akan minta semua wang yang telah dipinjamkan kepada dia untuk membuka restoran itu. Dia belum mampu untuk membayar dengan sekali harung.

“Tu ada pelanggan.” Kawan Natesh pula bersuara sambil menunjukkan seorang lelaki Cina yang sedang menghala ke kedai mereka. Sayangnya apabila sampai sahaja di hadapan pintu kedai, lelaki itu menunjukkan reaksi terperanjat. Kemudian lari lintang-pukang.

Muthu yang melihat kejadian itu tercengang. Begitu juga dengan Natesh dan kawannya yang tergesa-gesa meminta diri selepas itu.

“Tak minum dulu?” tanya Muthu.

“Tak apa. Tak apa.” Natesh menggeleng dan terus melangkah pergi dengan cepat.

Tinggal Muthu di hadapan kedai tertanya-tanya dengan apa yang baru berlaku.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.