Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,415
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

ZAMIL terus beredar setelah menghantar Dian ke rumahnya di Sungai Ramal Luar. Memang tidak sangka sungguh rupanya jodohnya dengan orang yang dekat sahaja.

Bagaimanalah dia boleh tidak pernah terserempak dengan gadis ini di mana-mana? Padahal dirinya pula cuma tinggal di Sungai Ramal Dalam sahaja. Tidak sejauh mana pun. Begitu pun, di sudut yang lain tetap jauh.

Ini memang kali pertama dia berjumpa dan melihat Dian. Menurut pandangannya, dia memang serba sederhana tetapi ada daya tarikan yang tersendiri. Tidak seperti kebanyakan gadis yang lain. Dian nampak begitu yakin sekali apabila berbicara.

Asyik sangat melayan perasaan, dia terlepas pula simpang masuk ke rumahnya. Dia tersenyum sambil geleng kepala. Nasib baik dia sendirian. Andai adik perempuannya ada bersama, mahu tidak berhenti-henti dia menyakatnya.

Dia bernyanyi-nyanyi ketika keluar dari keretanya.Setelah masuk ke rumah, dia terus menghempas dirinya atas sofa di ruang tamu. Sukar baginya untuk menyatakan apa yang bermain di fikirannya saat ini.Entahlah, rasanya inilah pertama kali dia mengalami perasaan seumpama ini.

‘Inikah cinta? Rasa bagai berada di dalam mimpi pula. Masakan dirinya jatuh cinta pandang pertama?’ Suara hatinya berkata-kata. Ini bukan kali pertama dia melihat perempuan. Staf di pejabatnya sahaja lebih separuh adalah perempuan. Macam-macam fesyen dan perangai ada di pejabatnya.

“Macam mana dengan janji temu abang?” Ida bertanya sambil duduk di sebelah abangnya. Sebenarnya sedari tadi lagi dia menunggu kepulangan abangnya. Dengar sahaja bunyi kereta, terus dia menuju ke ruang tamu.

“Rahsia,” jawabnya sepatah. ‘Adik yang seorang ini, kalau tidak menyibuk pasti tidak sah,’ getusnya.

“Cakaplah cepat, okey tak orangnya?” soal Ida bagai tidak sabar-sabar pula.

Zamil diam sahaja tanpa menjawab pertanyaannya.

Geram pula rasa hati Ida apabila abangnya buat tidak reti sahaja. Dia memang begitu teruja hendak mendapat kakak ipar. Dapatlah kawan baru, boleh ajak buat bermacam-macam aktiviti bersama. Dalam kepalanya memang sudah banyak perancangan yang disusun.

“Abang ni… orang dah tak sabar nak tahu ni,” ujar Ida sambil memegang tangan abangnya.

“Hisy, sibuklah Ida ni.” Zamil menepis tangan adiknya. Terasa rimas pula ketika ini.

“Abang ni tak sporting langsung!” tingkah Ida. Wajahnya yang tadinya ceria kini telah berkerut apabila Zamil bagai tidak mahu melayan pertanyaannya.

“Yang Ida nak tahu sangat ni kenapa? Tunggu sajalah, tak lama lagi Ida akan tahu sendiri,” marah Zamil. ‘Dua minggu lagi? Aduhai, kenapa tiba-tiba dia rasa lamanya masa berlalu? Apa sudah jadi dengan diri ini?’ Dalam marah-marah sempat juga hatinya berbicara. Tanpa sedar, dia juga sudah tersenyum.

“Tengok tu, dah tersenyum kambing pulak macam orang tak betul,” ujar Ida sambil menjeling abangnya. Penat-penat dia menunggu, sudahnya abangnya tidak mahu bercerita juga.

“Suka hati abanglah nak senyum kambing ke senyum sumbing ke. Yang Ida nak tahu sangat ni kenapa?” Sengaja dia hendak membuat adiknya bertambah bengang.

“Cis! Berlagak pulak abang ni ya? Hari tu bukan main lagi tak setuju, sekarang boleh pulak senyum-senyum. Dasar muka tak malu.” Kini giliran Ida pula hendak membuat abangnya berangin.

“Mulut Ida tu jaga sikit ya, nanti ada yang kena cili,” ujarnya yang terasa hati juga dengan bicara adiknya.

“Tak mahu cakap sudahlah. Nanti kalau ada apa-apa, tak ingin Ida nak tolong abang,” balas Ida sambil bangun meninggalkan abangnya.

Geram sungguh hatinya dengan perangai abangnya. Ini yang membuat dia bagai tidak sabar hendak menunggu dua minggu lagi. Abangnya yang hendak berkahwin, dirinya pula yang berlebih. Apa tidaknya, dalam keluarga mereka yang tiga beradik ini hanya dia seorang sahaja perempuan.

Apabila dapat kakak ipar tentu sahaja rasa seronok sebab lebih mudah hendak berbincang berbagai-bagai perkara apabila sama jantina. Selama ini dia memang rapat dengan abangnya kerana dia seorang yang mudah diajak berbincang, tetapi tetap terbatas juga.

Apabila bab perasaan dan hati, memang tidak bolehlah hendak diluahkan kepadanya. Bab-bab begini, awal-awal lagi abangnya memang angkat tangan. Paling-paling pun dia hanya sedia mendengar tetapi tidak akan komen apa-apa.

Tempoh hari, tiba-tiba abangnya berubah perangai gara-gara terpaksa bersetuju dengan calon pilihan ayah mereka. Tetapi kini, dia rasa abangnya setuju dengan rela hati setelah bertemu dengan bakal isterinya. ‘Hmm… sudah berkenanlah tu,’ duganya.

USAI solat isyak, Dian berehat sahaja. Sambil memandang siling biliknya, dia mengimbau pertemuan dengan Zamil petang tadi. Dia sendiri tidak tahu apa hendak dikata. Ya, mereka berdua sememangnya berbeza dan kelainan itulah yang perlu disesuaikan kelak.

‘Mampukah aku menyerap semuanya agar boleh hidup bersama dengannya? Menyesuaikan diri dengan suasana baru, juga keluarga baru?’ Dia tertanya sendiri.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Di skrin tertera nama Asmidar.

“Assalamualaikum…” ucapnya sebaik mengangkat telefon.

“Waalaikumussalam. Kenapa tak beritahu aku?”Terus sahaja Asmidar bertanya.

“Beritahu apa?” Sengaja dia berpura-pura tidak faham. Padahal, tadi ibunya ada memberitahunya yang sahabatnya itu ada singgah ke rumah mencarinya.

“Amboi, buat tak tahu pulak minah ni,” perli Asmidar. Tiba-tiba rasa bengang juga dengan sahabat baiknya ini.

“Kalau kau tak cakap dengan jelas, macam mana aku nak tahu,” balasnya pula.

“Kau ni, teruk betullah! Lagi dua minggu hendak bernikah, sikit tak cerita dengan aku. Jin punya kawan!” marah Asmidar. Kecil sungguh hatinya apabila dapat tahu berita itu hanya daripada Puan Anim.

“Aku memang nak beritahu kau tapi asyik tak sempat saja.” Sengaja dia memberi alasan.

“Tak sempat atau sengaja nak rahsiakan daripada aku?” marah Asmidar.

“Kau kan kawan baik aku, masakan aku nak rahsiakan? Nanti siapa pulak nak jadi pengapit aku?” Dia cuba mengambil hati Asmidar.

“Banyak kau punya pengapit? Tak ingin aku kalau macam ni gayanya,” ujar Asmidar yang masih tidak berpuas hati.

“Sebenarnya aku pun tak tahu macam mana nak cerita kepada kau,” terangnya.

“Apa cerita sebenarnya?” tanya Asmidar, ingin tahu. Semasa Puan Anim memberitahunya petang tadi, dia terpaksa berlagak selamba walaupun sebenarnya dia amat terkejut. Tidak sangka Dian langsung tidak memberitahunya.

“Aku memang ada cakap dengan ibu suruh cari calon, tapi tak sangka pulak rupanya siang-siang lagi ayah dan ibu aku dah cari,” jelasnya.

“Habis tu?” tanya Asmidar terkejut.

“Habis tu apa lagi? Dah aku yang terlepas cakap, kenalah terima.” Selamba sahaja dia menjawab.

“Takkan semudah itu?” soal Asmidar.

“Sebetulnya, ayah dan ibu aku dah buat keputusan sebelum beritahu kepada aku,” terangnya.

“Jadi, macam mana sekarang ni?” Asmidar pula yang jadi tidak keruan. Padahal Dian yang hendak berkahwin.

“Macam mana apa lagi? Kahwin sajalah.”

“Astagfirullahalazim… Kau biar betul Dian?” Pelik sungguh dia dengan Dian ini. ‘Soal kahwin dia buat main-main,’ detiknya dalam hati.

“Betullah… aku kan anak soleha.”

“Soleha apa bendanya? Ini soal masa hadapan kau, sudah fikir habis-habis ke?” tanya Asmidar bagai tidak percaya.

“Kalau aku fikir masak-masak pun bukan boleh mengubah keadaan. Jadi terima sajalah,” jawabnya.

“Kau ni… aku serius tau, bukan main-main.”

Asmidarterasa geram dengan sikap Dian.

“Aku pun tak main-main. Memang aku akan berkahwin betul-betul,” jawabnya dengan selamba.

“Hmm… siapa nama bakalnya?” Dalam bengang Asmidar, hendak tahu juga siapa bakal suami Dian.

“Zamil…” jawabnya.

“Kau dah jumpa dia?” tanya Asmidar.Satu nama yang memang asing di telinganya.

“Dah, semasa kau datang cari aku petang tadi,” jawabnya tanpa berselindung.

“Macam mana orangnya?” Asmidar pun hendak tahu juga.

“Memandangkan aku ni boleh tahan manis, Zamil itu pun boleh tahan kacak jugak.” Sengaja dia hendak bergurau. Namun, tidak dinafikan wajah Zamil memang segak. Terpikat jugalah!

“Kahwin jugak sudahnya kau Dian…” Tiba-tiba nada suara Asmidar berubah lembut pula.

“Kau doakan aku ya,” pohonnya.

“Okey. Kau pun doakanlah agar aku pun cepat bertemu jodoh,” pinta Asmidar pula.

“Insya-ALLAH… pasti di luar sana ada seorang jejaka sedang menanti kau.”

“Amin… tapi aku nak minta maaf banyak-banyak kepada kau,” pohon Asmidar.

“Kenapa?” tanya Dian terkejut.

“Aku tak dapat nak hadiri kenduri kau. Pada masa itu aku sudah ada di Labuan,” jawab Asmidar sedikit terkilan kerana tidak dapat menghadiri majlis Dian.

“Sampai hati kau buat aku macam ni,” keluhnya.

“Siapa suruh kau rahsiakan daripada aku?”

“Tak boleh tunda ke?” tanyanya dengan penuh harap, semoga sahabatnya dapat datang.

“Minggu hadapan aku akan bertolak ke sana. Sebulan jugak aku ditugaskan di cawangan Labuan tu,” terang Asmidar.

“Alah, sedihnya aku kalau macam ni…” balasnya dengan rasa kecewa.

“Kawan pejabat kau, kan ada?” pujuk Asmidar.

“Tak sama,” balasnya dengan nada sedih.

“Okeylah, kiranya akulah orang pertama yang ucap selamat pengantin baru kepada kau walaupun belum berlangsung. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.”

“Terima kasih...” ucapnya.

“Sama-sama,” balas Asmidar mengakhiri perbualan.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.