Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
192,951
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

MAJLIS kenduri kahwin Dian dan Zamil berlangsung dengan meriah. Kedua-dua belah pihak bersetuju melangsungkan majlis serentak pada hari yang sama. Sebelah siang di rumah Dian dan sebelah malam pula di rumah Zamil.

Zamil bagai tidak percaya dirinya kini telah bergelar suami kepada seorang gadis yang dia tidak kenali langsung. Walaupun pada awalnya penat melayan tetamu dan penat berlakon gembira, tetapi dia memang betul-betul rasa bahagia dengan apa yang dialaminya.

Begitu juga dengan gadis yang telah sah menjadi isterinya. Dari awal majlis hingga kini, wajah Dian sentiasa ceria dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya. Walaupun penat, mereka berdua tetap melayan tetamu yang hadir sebaik mungkin.

“Dah sampai ke mana ni?” Tiba-tiba seseorang telah menepuk bahunya.

“Kau ni… buat aku terperanjat saja,” marahnya pada Sharif, sahabat baik dan juga sepupunya.

“Seronok dapat berkahwin?” usik Sharif. Sedari tadi lagi dia tengok kawan dia yang seorang ni bukan main gembira lagi. Sampai tersenyum sorang-sorang.

“Ada ke tanya soalan tu? Kalau tak seronok pun aku akan kata seronok jugak,” jawabnya sambil tersenyum.

Kebanyakan tetamu telah mula meninggalkan majlis. Kelihatan beberapa pekerja katering mengambil tempat menjamu selera setelah bertungkus lumus menyediakan hidangan dan berkemas.

“Kenapa cakap macam tu pulak?” tanya Sharif, hairan dengan jawapannya.

“Sebab nak pujuk hati sendiri. Orang lain tidak akan tahu apa yang ada dalam hati kita melainkan diri kita sendiri,” jelasnya buat Sharif makin tidak faham.

Zamil yang dia kenali asyik sibuk dengan kerja dan langsung tidak memikirkan soal teman hidup. Sebelum ini sepupunya itu mengamuk juga. Lebih-lebih lagi setelah semuanya ditetapkan baru ayahnya berterus terang. Peliknya dia akur juga akhirnya.

Namun tatkala terpandang wajah Dian, cara dia melayan tetamu, Sharif tahu kenapa akhirnya Zamil setuju juga. Bukan sahaja dia, malah andai dirinya masih bujang, dia juga pasti akan berebut dengannya. Dari kawan baik boleh sahaja bertukar jadi musuh ketat. Dia tersenyum sendiri.

“Yang kau tersenyum sorang-sorang ni kenapa?” tanya Zamil pula.

“La… takkan nak tersenyum pun tak boleh?” soal Sharif balik, cuba berdalih.

“Atau kau berangan nak kahwin satu lagi?” Saja dia hendak mengusik pula.

“Nak menempah maut? Yang satu itu pun tak terjaga lagi nak tambah satu lagi,” jawabnya.

“Mana tahu? Kau tu bukan boleh percaya sangat. Pantang nampak perempuan berdahi licin, mulalah naik daun,” ujar Zamil sambil tersengih.

“Apabila dah ada anak ni, aku dah berubah. Aku nak jadi suami dan ayah yang bertanggungjawab,” balasnya. Sebenarnya dia baru sahaja seminggu bergelar bapa kepada bayi perempuan yang comel.

“Alhamdulillah,” ucap Zamil sambil meraup mukanya sebagai mengaminkan doa.

“Kau nanti cepat-cepatlah. Tak dapat digambarkan bagaimana seronoknya jadi seorang bapa,” ujar Sharif sambil menampar lengannya.

“Sabar-sabarlah. Aku pun tak sempat lagi berkenalan dengan isteri aku tu,” balasnya.

“Lupa pulak kau tu berkahwin atas pilihan keluarga…” Sengaja Sharif hendak memerlinya.

“Ops… sebelum ni memang Dian pilihan ayah aku, tapi kini dia memang pilihan hati aku,” ujarnya.

“Macam mana ayat itu boleh berubah pulak?” usik Sharif kemudian tertawa.

“Suka hati akulah,” balasnya sambil bangun meninggalkan rakannya itu.

“Apa-apa ajelah, asal bahagia…” ujar Sharif sambil memandang Zamil yang kini menuju ke arah Dian yang sedang berbual dengan rakan-rakannya.


MALAMNYA, hampir pukul 11.30 baru mereka berdua dapat merehatkan diri. Sejak pukul 8.00 lagi, tetamu tidak putus-putus datang. Mereka berdua bagai sudah tidak boleh bernafas. Entah idea siapalah buat majlis serentak begini.

Petang tadi, pukul 6.30 petang baru mereka berdua sampai ke rumah Pak Karim. Selepas maghrib, sekali lagi mereka kena bersiap-siap untuk menyambut tetamu yang datang. Mujur tiada acara persandingan dan hanya makan beradap sahaja. Kalau tidak, mahu kedua-duanya pengsan.

Kini jam sudah menghampiri angka 12.00 tengah malam. Dian meminta diri untuk masuk ke bilik. Tadinya dia terpaksa melayan Ida yang begitu beria-ia mahu berbual dan bercerita dengannya. Padahal dia memang sudah mengantuk, malah dia juga belum bersolat isyak lagi.

Zamil sememangnya awal-awal lagi telah masuk ke bilik.Perlahan-lahan dia membuka pintu. Kelihatan suaminya sedang berehat di sofa. Dia berdiri di sudut bilik sambil memandang suaminya yang begitu asyik membaca buku.

Mulai hari ini, dia akan cuba kuatkan hati dan perasaannya. Ikatan perkahwinan ini akan dijaga hingga ke akhir hayat. Sejak pertemuan tempoh hari, dia memang telah kosongkan hatinya. Dia akan cuba menyayangi dan mengasihi lelaki ini seikhlasnya.

Seluruh jiwa dan raganya hanya untuk Zamil seorang. Semua nama yang pernah singgah di hatinya perlu dipadam. Mampukah dia mengalih cintanya kepada lelaki ini pula? Hatinya berbicara.

“Abang,” tegurnya perlahan.

Zamil menoleh, dia memang tidak perasan langsung ketika mana Dian masuk. Tiba-tiba dia berasa bahagia sangat dengan panggilan Dian terhadap dirinya. Terasa sedap di pendengarannya. Tidak sama seperti ketika Ida memanggilnya begitu.

“Abang dah solat isyak?” tanyanya.

“Belum lagi. Cadangnya nak solat sekali dengan isteri abang ni,” ujarnya sambilmengukir senyuman.

“Okeylah. Dian pergi ambil wuduk dulu,” ujarnya.

“Yalah, nanti abang pulak,” balas Zamil kemudian bangun dan membentangkan sejadah.

ZAMIL berasa syahdu dan gembira sekali dapat solat berjemaah bersama Dian buat pertama kalinya. Kali ini pendek sahaja doanya, yang penting semuanya sudah selamat.

Saat Dian menyalam dan mencium tangannya terasa begitu indah. Dia pula yang teragak-agak untuk mengucup keningnya. Begitu pun, dia memang rasa sungguh bahagia.

Sepi seketika. Mereka berdua masih duduk di atas sejadah. Zamil merenung wajah isterinya yang dirasakan begitu manis sekali. Dia masih tidak melepaskan tangan Dian malah semakin erat pula.

“Boleh abang cakap sesuatu dengan Dian?” tanyanya.

“Abang nak cakap apa?” Dian tunduk sahaja. Walaupun dirinya sudah mula mengantuk, dia paksa juga untuk mendengar bicara suaminya.

“Sebenarnya abang belum rancang apa-apa pun tentang kita. Lebih tepat abang tak tahu nak buat apa. Hendak bercuti ke mana pun abang tak fikir lagi,” akuinya. Dalam hati hendak tergelak pun ada juga.

“Tak payah pergi ke mana-mana pun tak apa.Bercuti tu, bila-bila pun boleh,” balas Dian pula.

“Tapi abang nak Dian tahu…” Dia berhenti sejenak kemudian menarik nafas dalam-dalam.

“Tahu pasal apa?” tanya Dian sambil memaksa dirinya agar tidak terlentok.

“Abang takkan janji bulan dan bintang dengan Dian. Tetapi abang akan berusaha untuk jadi suami yang baik kepada Dian. Insya-ALLAH abang akan sayang dan jaga isteri abang ini sebaiknya sampai bila-bila,” janjinya. Itulah yang akan dilakukannya selagi hayat dikandung badan.

Dian tunduk sahaja mendengar bicara suaminya. Macam pernah sahaja dia dengar ayat itu, tetapi tidak ingat di mana. Antara sedar dengan tidak, dia tetap dapat rasa kejujuran pada kata-katanya.

“Dian?” panggil Zamil apabila dia diam sahaja.

“Dian pun,” ucapnya. Tiba-tiba rasa mengantuknya sudah tidak tertahan.

Zamil merapatkan wajahnya. Dia tengok mata isterinya memang sudah terpejam. “Apa yang Dian pun?” Sengaja dia menduga isterinya.

“Ngantuk…” jawabnya. Kini dia memang telah tersengguk-sengguk.

Zamil terus tertawa.

Saat itu juga Dian kembali ke alam nyata.“Kenapa?” tanyanya yang turut terpinga-pinga.

“Kalau Dian dah mengantuk sangat, tidurlah. Andai ada apa-apa, esoklah kita bincang,” balas Zamil sambil melepaskan tangan isterinya.

Tanpa membuang masa, Dian terus bangun dan merebahkan dirinya di atas katil.

“Eh! Takkan nak tidur dengan telekung sekali?” tegur Zamil, terkejut.

“Tak apalah, nanti tak payah nak berselimut...” jawabnya.

Zamil menggeleng. Tidak tahu hendak balas apa. Ada juga benarnya kata-kata Dian itu. Malam ini memang terasa dingin walaupun di luar sana tidak hujan. Tidak berapa lama kemudian dia juga turut merebahkan dirinya di atas katil.

“Abang akan sentiasa sayangkan Dian sampai bila-bila,” bisiknya kemudian mengucup kening isterinya sekali lagi.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.