Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,294
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13

“KENAPA nama isteri abang, Dian sahaja?” tanya Zamil yang ingin beramah mesra dengan isterinya.

“Sebab mudah disebut dan senang diingat. Andai terlupa sekalipun, apabila ingat lilin terus ingat nama Dian,” jawabnya sambil tersenyum.

“Hmm… Dian membakar akhirnya jadi abu!” Sengaja dia hendak mengusik isterinya.

“Ooo… kutuk nama Dian dan ayah Dian, ya?” marahnya namun tetap tidak ambil hati.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki dapat anak lelaki, abang nak namakan Umar. Kalau dapat anak perempuan pulak, abang nak namakan Umairah. Ringkas dan mudah disebut seperti nama isteri abang.” Zamil sudah berangan-angan.

“Hmm… suka hati abanglah tapi boleh tak abang janji dengan Dian?” tanyanya.

“Janji apa?” tanya Zamil kemudian merenung wajah manis isterinya.

“Janji yang abang akan sentiasa memaafkan setiap kesalahan Dian,” pintanya sambil memegang tangan suaminya.

“Kenapa itu yang Dian minta?Dian ada buat salah dengan abang, ke?” tanya Zamil. Sedikit pelik dengan permintaan isterinya.

“Tak adalah… saja supaya Dian rasa tenang selalu.Lagipun takkan semua perkara Dian kena cakap dan minta izin daripada abang.”

“Memandangkan Dian memang seorang isteri yang baik, abang akan sentiasa memaafkan Dian,” ucap Zamil kemudian memeluk bahu isterinya.

“Terima kasih,” ucapnya.

Zamil terpana seketika apabila tiba-tiba Dian memberi ciuman mesra di pipinya. Ya, ciuman pertama seorang isteri di pipinya. Ciuman di tangan dia tidak hairan sangat. Budak kecil pun selalu mencium tangannya.

“Amboi… bukan main romantik lagi pengantin baru ini,” usik Ida yang baru balik dari kedai. Tadi dia keluar sebentar membeli majalah dan surat khabar.

“Cemburu ke?” tanya Zamil.

“Tolonglah… tak kuasa,” jawab Ida tetapi tetap tersenyum.

“Hari ini tak keluar ke?” tanya Zamil. Setahunya pada hujung minggu begini, adiknya akan keluar bersama tunangnya.

“Tanya pulak? Takkanlah majalah ni terbang sendiri terus ke rumah? Abang ni memang sah dah tak betul!” usiknya.

Zamil terpaksa memaniskan muka mendengar sindiran adiknya.

“Kak Dian tak rimas ke apabila Abang Zamil asyik nak berkepit sahaja?” soal Ida pula.

“Kalau rimas pun, terpaksa layan jugalah,” jawab Dian, sengaja hendak menduga suaminya.

“Tak baik isteri cakap begitu…” tegur Zamil sambil pandang wajahnya.

“Bagaimana, ya? Boleh pulak Kak Dian melayan Abang Zamil ni, mengalahkan pasangan yang telah lama bercinta.” Ida bertanya. Dia turut gembira melihat wajah ceria abang sulung dan kakak iparnya.

“Entahlah, tak perasan pulak waktu bila keserasian itu boleh wujud,” jawabnya kemudian tersenyum. Apabila Ida bertanya, baru dia perasan tentangnya.

“Tak sangka Abang Zamil ni romantik jugak orangnya, ingatkan keras macam tunggul kayu,” usik Ida.

“Cakap tu baik-baik sikit, nanti ada yang kena dengan abang…”

“Lupa pulak nak bertanya. Hari tu seronok bercuti bulan madu di Port Dickson?” tanya Ida pula. Selepas mereka balik bercuti, dia pulak pergi berkursus. Tidak sempat hendak bertanya.

“Bolehlah,” jawab Dian, pendek.

“Takkan bolehlah? Macam lain saja bunyinya,” soal Ida balik.

“Abang Ida ni asyik nak memerap di dalam bilik sahaja.Apa seronoknya? Kak Dian suka jalan-jalan…” keluhnya.

“Dah nama pun bulan madu, mestilah di dalam bilik. Kalau asyik keluar sahaja, baik tak payah sewa bilik mahal-mahal,” potong Zamil pula.

“Alahai, kesiannya Kak Dian. Sudahnya duduk dalam bilik sajalah?” tanya Ida, terkejut.

“Hmm… kalau tidak diturutkan, monyok pulak abang Ida ni. Adalah sekali tu kita orang keluar, itupun pergi pasar malam aje.”

“Nasiblah Kak Dian… abang ni memang macam tu.”

“Hmm… nak buat macam mana?Sudah nasib badan,” keluhnya lagi.

“Yalah, nanti-nanti abang akan bawa Dian bercuti ke tempat istimewa,” janji Zamil.

“Tunggu sajalah Kak Dian. Entah bilalah agaknya,” perli Ida, mengusik abangnya.

Zamil senyum sahaja mendengarnya.

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bagi Zamil terlebih pula. Belum sempat kenal sudah jatuh cinta sebenarnya. Apabila semakin kenal, lagi merimbun kasihnya malah kini sudah terbentang luas.

Hari demi hari hubungan mereka berdua semakin erat dan mesra. Tanpa sedar mereka begitu serasi meniti hari bersama. Gembira dan bahagia menyulam cinta. ‘Cinta?’ Tersenyum Zamil apabila mengenangkannya.

Mujur akhirnya dia akur juga pada hajat ayah tersayang. Andai dia menolak mentah-mentah, memang seumur hidup dia tidak dapat merasa nikmat bercinta dengan isteri sendiri.

“ANAK ibu sihat?” tanya Puan Anim sebaik Dian mengangkat telefon.

“Alhamdulillah… ibu janganlah risau,” jawab Dian dengan cerianya apabila mendapat panggilan daripada ibunya.

“Dian dan Zamil macam mana?” tanya ibunya lagi.

“Kita orang baik-baik saja,” jawab Dian. ‘Aduhai ibu aku ini, soalan yang sama jugak yang sering diulang,’ detiknya.

“Apabila dah jadi isteri ni, kenalah jadi isteri yang taat dan selalu menyenangkan suami,” nasihat Puan Anim.

“Takkanlah isteri sahaja yang menyenangkan suami?” tanya Dian pula.

“Sama-samalah saling menyenangkan dan memahami antara satu sama lain,” ujar Puan Anim.

“Yalah, Dian akan sentiasa ingat nasihat ibu. Nanti ibu doakan kebahagiaan Dian ya,” pohonnya.

“Andai Dian tak minta pun, ayah dan ibu akan sentiasa mendoakan kebahagiaan anak ibu ini,” balas Puan Anim.

“Hmm… itu yang buat Dian sayang dengan ibu,” ucapnya dengan riang.

“Zamil ni romantik macam ayah jugak ke?” Tiba-tiba Puan Anim ingin tahu pula.

“Alahai… kalah ayah! Tu yang buat anak ibu ni susah,” adunya.

“Kenapa pulak? Dian ni ada-ada saja.”

“Romantik di rumah, tak apa lagi. Ini, tak kira tempat. Segan Dian dibuatnya,” jawabnya kemudian terus tertawa.

“Okeylah tu. Satu lagi Dian kena ingat, seorang isteri kena taat dan hormat kepada suaminya bukan sebab dia suami atau sebab kita sayangkan dia. Kita kena taat sebab itu adalah perintah ALLAH,” nasihat ibunya.

“Baiklah ibu… Dian akan ingat sampai bila-bila,” balasnya walaupun telah berkali-kali ibunya mengingatkan tentang hal itu.

“Jangan sesekali panggil suami dengan panggilan yang dia tak suka. Walaupun perut dia dah boroi, jangan ikut sedap mulut panggil dia Abang Roy. Biarpun usianya dah tua dan ada banyak uban, berdosa kalau panggil dia Abang Ben atau pak cik.”Panjang berjela pula nasihat Puan Anim.

“Kalau dia tak kisah?”Hendak tergelak juga Dian dengan nasihat ibunya.

“Tak kisah bukan bermakna dia suka.Tetap berdosa jugak,” beritahu Puan Anim.

“Yalah, Dian takkan buat macam tu,” janjinya.

“Alamak! Abang Burn sudah baliklah. Kita sembang lain kalilah,” ujar Puan Anim pula.

“Amboi! Ibu boleh pulak panggil ayah, Abang Burn?” usik Dian pula.

“Ibu tak apa sebab ayah sendiri yang mahu ibu panggil dia begitu. Terasa muda katanya,” beritahu Puan Anim kemudian turut tertawa.

“Perasan betullah ayah tu! Sejak bilanya ibu panggil ayah, Abang Burn?” Tidak sangka sungguh dia.

“Entahlah, baru-baru ni aje. Dah buang tabiat kut? Okeylah Dian, ibu nak sambut suami kesayangan ibu tu,” ujar Puan Anim kemudian terus memutuskan talian.

‘Ibu dan ayah ni… kalah orang muda!’ gumamnya.

“Hah, bercakap dengan siapa tu? Sampai jawab telefon di balkoni pulak,” tegur Zamil yang baru masuk bilik.

“Abang ni… buat terkejut Dian aje,” sungutnya.

“Tadi Dian bercakap dengan siapa?” tanya Zamil sambil buat muka serius.

“Takkanlah Dian nak bercakap dengan ibu pun, abang nak cemburu?” jawab Dian sambil tunjuk senarai panggilan masuk kepadanya.

“Ingatkan bercakap dengan bekas teman lelaki,sampai sembunyi-sembunyi jawab di balkoni.”

“Abang sayang… sebaik Dian setuju jadi isteri abang, Dian dah buang semua jejaka yang pernah singgah di hati ini,” ujar Dian sejujurnya.

“Dulu Dian ada banyak pakwe ke?” tanya Zamil.

“Banyaklah jugak, sampai tak terkira,” jawabnya kemudian turut tertawa.

Tiba-tiba Zamil senyap pula.

“Ops sorry… abang marah ke?” tanyanya apabila wajah Zamil sudah berubah. ‘Alahai laki aku ni, macam budak kecil pulak!’ desisnya.

“Dia cintakan abang ke tidak? soal Zamil pula.

“Entahlah! Tak tahu,” jawabnya bersahaja. ‘Apa jugalah suamiku ini?’ desisnya.

“Abang nak Dian tahu yang abang dah lama cintakan isteri abang ini,” beritahu Zamil sambil merenung wajahnya.

“Hmm… masa bilanya abang jatuh cinta dengan Dian?” tanyanya ingin tahu.

“Semasa Dian nak tembak abang,” beritahu Zamil kemudian terus ketawa.

“La… tak adalah lama sangat.Baru nak masuk sebulan,” balas Dian yang turut tersenyum mendengarnya. Bukan dia tidak sedar, sebab itu juga Zamil memberikan keputusan muktamat.

“Lama tak lama, yang penting abang cintakan isteri abang ini. I love you, sayang…” ucap Zamil untuk sekian kalinya.

“Terima kasih,” balasnya sambil memaut lengan suaminya.

“Sama-sama…” ucap Zamil.

Sungguh mudah hidup Dian.Bercinta kemudian kecewa kerana putus cinta. Tidak lama selepas itu bercinta lagi, entah untuk kali yang ke berapa.Kali ini, perasaan yang hadir lebih bermakna kerana dia bercinta dengan orang yang sepatutnya. Dia rasa amat gembira kerana dapat berkongsi perasaan itu bersama dengan suaminya.

Sesungguhnya cinta itu memang suci dan bersih. Ia hanya akan jatuh pada hati yang tulus dan ikhlas. Ia hanya akan mekar di taman yang sering disirami dengan kasih dan sayang. Dian tersenyum mengenangkan apa yang dia alami kini.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.