Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
193,012
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

“ZAMIL tidak akan setuju. Apa nak jadi, jadilah,” jawab Zamil dengan tegasnya. Bagai tiada kompromi langsung. Dia tidak menyangka tujuan ayahnya memanggilnya adalah pasal hal yang dia sendiri tidak pernah fikir pun.

“Janganlah buat ayah macam ni, Zamil.” Pak Karim merayu kepada anaknya yang sudah mula naik angin. Ingatkan kali ini anaknya itu tidak akan membantah, sebaliknya pula yang berlaku.

“Ini tentang masa hadapan Zamil, kenapa ayah pandai-pandai aturkan tanpa berbincang dahulu dengan Zamil?” Nada suaranya telah meninggi bagai terlupa dengan siapa dia berbicara. Dia juga tidak memandang wajah ayahnya.

“Kalau nak tunggu Zamil cari sendiri, sampai bila-bila pun ayah kempunan hendak bermenantu,” jawab Pak Karim pula. Bukan dia tidak kenal perangai anaknya ini. Langsung tidak pernah fikir untuk memiliki keluarga sendiri.

“Ayah ni bercakap macamlah Zamil seorang sahaja anak ayah,” balasnya pula.Tiba-tiba sahaja hatinya jadi panas. Bukan setakat dirinya, orang lain pun pasti akan mengamuk juga.

“Selama ini, ayah tak pernah minta apa-apa pun daripada Zamil. Tapi kali ini ayah merayu sangat, janganlah hampakan harapan ayah,” rayu Pak Karim.

“Ayah ingat senang ke hendak hidup dengan orang yang kita tak pernah kenal? Dengan yang kita kenal pun belum tentu serasi bersama.” Zamil meluahkan perasaan hatinya. ‘Memang kerja gila andai bersetuju dengan rancangan yang tidak masuk akal ini,’ getusnya.

“Pihak perempuan telah bersetuju, semuanya telah diuruskan.Janganlah malukan ayah sekali lagi, Zamil.” Pak Karim cuba memujuknya.

“Sekali lagi?” soal Zamil seakan pelik.

“Tolonglah, kali ini ayah merayu sangat-sangat pada Zamil,” pintanya bersungguh-sungguh.

“Zamil tak pernah suruh ayah melamar mana-mana gadis untuk Zamil. Zamil tidak akan setuju dengan rancangan gila ayah ini,” tegasnya. Dia memang sudah tidak keruan. Panas sungguh hatinya dengan rancangan ayahnya.

“Zamil anak ayah, janganlah cakap begitu, nak. Ini bukan rancangan gila. Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Ayah kenal anak ayah bagaimana, masakan ayah main tangkap muat sahaja,” pujuk Pak Karim lagi.

“Hati Zamil hanya Zamil yang tahu. Sebagai ayah, tidak semestinya tahu semua perkara pasal anaknya,” ujarnya yang masih tidak mahu beralah.

“Percayalah, semua yang ayah lakukan adalah untuk kebaikan Zamil juga. Ayah mana yang mahu melihat anaknya tidak bahagia,” tutur Pak Karim yang sudah kehabisan idea untuk memujuknya.

“Ayah sajalah yang berkahwin dengan perempuan itu. Dah ayah yang nak melamar sangat,” balas Zamil yang masih marah dan geram dengan tindakan ayahnya.

“Astaghfirullahalazim… bukan begitu caranya menyelesaikan masalah, Zamil.” Pak Karim mengucap panjang.

“Ini bukan masalah Zamil, ini masalah yang ayah cari sendiri,” tingkahnya.

“Baiklah. Kalau Zamil rasa ayah ini masih ayah Zamil, ikutlah cakap ayah. Andai Zamil rasa ayah ini tidak layak jadi ayah Zamil, ayah pun tak mahu ada anak seperti Zamil!” ungkap Pak Karim serius.

Kata-kata ayahnya buat Zamil tergamam. Tiada bicara balas yang keluar dari mulutnya. Dia bagai menangis di dalam hati. Sungguh, dia berasa amat sebak apabila mendengar baris ayat yang ayahnya lontarkan.

Dia hanya mampu memandang ayahnya yang kini meninggalkan dirinya sendiri di ruang tamu. Dia tidak pernah mengalami perasaan yang menyerangnya kini. Kata-kata ayahnya terus menyucuk ke sanubarinya. Perasaan hatinya hanya TUHAN sahaja yang tahu.

Dia benar-benar buntu. Apa yang perlu dilakukan? Tidak ada niat pun di hatinya hendak melukakan hati ayahnya. Cuma dia cukup kesal dengan tindakannya yang langsung tidak berbincang terlebih dahulu dengannya. Ini tentang masa hadapannya, bukan boleh suka-suka hendak berkahwin dengan sesiapa sahaja.

Siapalah gadis malang itu? Bagaimana boleh bersetuju menerima lamaran daripada orang yang tidak dikenali?Adakah dia juga seperti dirinya, sama-sama terpaksa mengikut kehendak keluarga?

Dia tidak mahu bertindak kejam dengan menghancurkan kehidupan seorang gadis.Pasti gadis itu juga ada pilihan sendiri dan dirinya ada pilihan sendirikah? Ah! Pening kepalanya memikirkannya.

‘Ayah! Kenapa buat diri ini di dalam dilema,’ keluhnya. Ditelan mati bapak, di luah mati emak. Jalan yang manakah harus dipilih? Perkara ini tidak boleh dibiarkan.Masa kian berlalu dan persiapan pasti telah dan sedang diuruskan. Wajarkah menghancurkan harapan orang yang disayangi? Hati sendiri siapa pula hendak ambil peduli? Boleh demam memikirkannya.

Akhirnya dia membawa diri ke biliknya. Cuba untuk menenangkan jiwanya yang kini bergelora tidak menentu. Dia terus merebahkan dirinya di atas katil.

Dia sendiri tidak pasti kenapa ayahnya beria-ia sangat hendak mengahwinkannya dengan anak kawan karibnya. Dalam agenda kehidupannya, belum ada rancangan hendak mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.

Lebih tepat tiada cadangan untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam tahun ini mahupun tahun hadapan. Tiba-tiba dalam keadaan dia yang tidak bersedia, terpaksa menurut kata ayahnya. Siapa yang tidak marah?

“CIK IDA, tuannya tidak keluar-keluar sejak pagi.Tengah hari juga tidak makan. Diketuk juga tidak berjawab,” beritahu bibik ketika Ida sedang minum petang.

“La… kenapa tak cakap awal-awal?” soalnya.Tiba-tiba dia rasa risau pula. Segera dia naik ke atas menuju ke bilik abangnya. Apabila berkali-kali panggilannya masih tidak berjawab, segera dia mencari kunci pintu bilik abangnya.

Sebaik pintu dibuka, kelihatan abangnya sedang lena di atas katil. Apabila dia menyentuh badan Zamil untuk mengejutkannya, badan abangnya terasa panas sekali. Tiba-tiba dia tertawa menyebabkan abangnya itu tersedar.

Perlahan-lahan Zamil menggosok matanya. “Kenapa Ida ketawa?” Suaranya kedengaran lemah sahaja.

“Saja nak ketawa,” jawabnya selamba.

“Tak pernah-pernah Ida masuk bilik abang, ada apa?” tanyanya sambil bangun dari pembaringan. Namun, dia baring semula apabila terasa kepalanya berat sungguh.

“Abang demam ni…” beritahu Ida.

“Demam?” tanya Zamil pelik. Segera dia meletakkan tangannya ke dahi. Benar seperti kata adiknya, baru perasan badannya terasa panas.

Ida tersenyum memandang abangnya. Geli hatinya melihat keadaan abangnya walaupun turut berasa risau. Selama ini tidak pernah abangnya sakit mahupun demam. Alih-alih abangnya boleh jatuh sakit gara-gara disuruh berkahwin? Itu yang buat dia rasa kelakar sangat.

“Nanti bibik hantarkan makanan, abang makan tau. Lepas tu abang kena pergi klinik,” suruhnya.

“Tak payahlah pergi klinik, demam abang sikit sahaja.” Sengaja dia memberi alasan padahal dia memang sudah rasa semacam.

“Jangan nak mengada-ngada. Kena pergi jugak, Ida akan temankan abang,” suruh Ida.

“Abang bukannya budak kecil lagi,” sungutnya.

“Suhu badan abang panas sangat ni. Kalau melarat, siapa yang susah? Ida jugak…” ujarnya.

“Abang takkan susahkan sesiapa,” balasnya geram.

“Pandailah abang cakap. Kalau dah terlantar, banyak benda yang abang tak larat nak buat sendiri. Lainlah kalau dah ada isteri, bolehlah dia tolong apa yang patut,” tutur Ida sambil tersengih.

“Ida ni ke situ pulak,” tingkahnya dengan muka mencuka. Tahu adiknya sengaja hendak mengenakannya.

“Kahwin ajelah, bang. Ni sebab lawan cakap ayahlah sampai demam-demam begini,” ujar Ida. Dalam hati, sudah tidak tahan menahan ketawa.

“Dahlah, jangan nak tambah runsing di kepala abang,” marahnya.

“Abang janganlah macam ni. Tahulah abang tu gagah perkasa tetapi kesihatan kena jaga.” Dia menasihati abangnya.

“Abang okeylah!” Kali ini dia membulatkan matanya. Bengang dengan adiknya yang masih hendak menyibuk.

“Okey apanya? Lepas asar nanti kita pergi klinik,” cadang Ida.

“Abang kata tak payah, tak payahlah.” Kini suaranya telah meninggi.

“Kenapa abang ni degil sangat?” marah Ida pula.

“Sebelum abang naik angin, baik Ida jangan ganggu abang.Nanti tak pasal-pasal ada yang kena lempang.”

“Suka hatilah. Badan abang, abang tanggunglah sendiri.”Sudahnya terpaksa juga Ida beralah.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.