Jay
melihat jam yang di pakai di pergelangan tangannya. Jam itu sangat comel.
Bersesuaian dengan dirinya yang memang obses dengan barang-barang comel. Sarung
bantal dan cadar miliknya semua bercorakkan kartun comel lagi gedik Pukka. Buku
notanya pula disampul dengan poster yang bertemakan artis dari Korea. Buku nota
Biology disampul dengan poster kumpulan Beast manakala buku nota matematik
dibalut dengan poster FT Island. Buku nota kimia pula dihiasi dengan
pelakon-pelakon Boys Over Flower. Oh, memang cuci mata masa nak baca buku!
Ambil ilham dululah katakan. Hehehe...
Buat
pengetahuan semua, Jay sangat meminati drama dan muzik dari negara tersebut.
Tarikan utama sudah semestinya barisan pelakon dan penyanyi yang comel-comel
belaka. Banyak juga masa dihabiskan untuk menonton drama bersiri Korea selepas
sahaja tamat peperiksaan SPM dahulu. Pelbagai lagu dimuat turun dan disimpan
dalam telefon bimbit untuk dijadikan halwa telinga ketika sedang menjemur kain
dan mengemas rumah. Kumpulan yang paling diminati Jay ialah Beast. Dia sangat
suka melihat pergerakan tarian mereka yang bertenaga dan unik.
“Dah pukul 12.00 tengah hari. Korang
tak nak makan ke?” tanya Jay.
Masing-masing melihat jam. Tidak
kiralah jam di tangan atau di dinding. Setelah menyedari bahawa waktu sudah
menjangkau tengah hari, mereka bangun dari atas katil dan menyarung seluar
untuk pergi ke kafe. Takkan nak pergi kafe dengan hanya berseluar pendek?
Tercabut mata pak cik kafe nanti! Mereka yang masing-masing malas menukar baju
berlengan panjang hanya memakai kardigan untuk menutup lengan. Tudung disarung
menutupi rambut mereka yang sudah sememangnya cantik menawan. Selipar disarung.
Kaki melangkah menuruni tangga.
Mujur bilik mereka hanya berada di aras
kedua di blok itu. Tidaklah terlalu penat kaki menurun atau menaiki
tangga. Mereka menuju ke kafe A. Kafe A tidaklah jauh seperti lokasi kafe B.
Kafe A memang betul-betul berhampiran dengan blok asrama mereka iaitu Blok A1.
Oleh itu, memang mudah jika mereka mahu membeli makanan jika perut berbunyi
minta diisi. Kafe B pula terletak jauh di hujung bangunan Blok B. Penat juga
jika mahu berjalan. Tenaga yang dihasilkan selepas makan akan hilang begitu
sahaja kerana digunakan untuk pulang ke Blok A1. Oleh yang demikian, jalan yang
mudah adalah dengan menikmati makan tengah hari di kafe A sahaja.
Setelah mereka sampai di kafe,
mereka mendapati kawan-kawan searas dengan bilik mereka juga berada di situ.
Patutlah kafe itu bising semacam.
Rakan-rakan
searas dengan bilik mereka mempunyai perangai dan sikap yang lebih kurang sama
dengan mereka iaitu membuat bising tidak kiralah di mana-mana sahaja. Kenakalan
sahaja yang berbeza-beza. Pelajar-pelajar yang tinggal sama tingkat dengan
mereka memang sering menjadi perhatian bukan sahaja kerana kebisingan dan gedik
under control, bahkan mempunyai rupa
paras yang tersendiri.
Aina merupakan ketua aras dan
mempunyai susuk tubuh yang tinggi.
Aten mempunyai bentuk mata yang
bulat dan semakin nampak bulat apabila dipakaikan dengan celak berwarna hitam.
Ree walaupun mempunyai susuk tubuh
yang kecil tetapi nampak comel kerana pipinya yang tembam.
Wawa yang tinggal berhadapan bilik
Jay mempunyai tubuh badan yang langsing dan menarik serta muka ala-ala pelakon
Korea.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah
apabila abang-abang di kafe sering terliur melihat kecantikan mereka.
Aina, Jay, Aten dan Ree mengambil
makanan masing-masing. Setelah mencedok nasi, mereka mengambil lauk pula.
Masing-masing mengambil lauk yang sama iaitu sayur kubis, ayam masak kari dan
telur. Begitu akrab jalinan persahabatan mereka walaupun baru berkenalan selama
beberapa bulan sehinggakan lauk yang diambil sama sahaja.
Setelah membayar makanan
masing-masing di kaunter bayaran, mereka mengambil tempat betul-betul di bawah
kipas. Selalunya tempat mereka menjamu selera ialah di hadapan televisyen.
Namun, memandangkan hari itu ramai pelajar dari blok-blok lain melepak di situ,
mereka terpaksa mencari tempat duduk lain.
Doa makan dibaca tanda rasa syukur
dengan rezeki yang ada di hadapan mata. Tidak sabar rasanya mahu memujuk perut.
Sambil mengunyah, Aina memulakan
bicara, “Aku rasa aku macam nak keluar matrik.”
Ketiga-tiga rakan yang lain tersedak
dan terbatuk di situ juga. Aten mencapai air lalu diminumnya air masak itu. Ree
pula menggosok badan Jay moga-moga dia berhenti batuk.
Aina tahu dia akan menerima reaksi
sedemikian apabila dia mengeluarkan kenyataan mahu berhenti belajar di matrik.
Namun, setelah beberapa bulan berada di situ dan berfikir masak-masak, dia merasakan
belajar di matrik sangat membebankan. Dia tidak rasa kawan-kawan yang berada di
hadapannya kini membosankannya. Kawan-kawannya itulah yang memberi semangat
untuknya agar bertahan untuk berada di situ. Dia benci untuk meninggalkan
mereka. Walau bagaimanapun, masa hadapannya lebih penting. Dia yakin bahawa
masa hadapannya bukan berada di situ.
“Kenapa tiba-tiba kau cakap kau nak
keluar matrik ni?” tanya Jay setelah berhenti daripada batuk.
“Kau kata kau nak stay kat sini je,” celah Aten pula.
Aina pernah mengeluarkan isu untuk
keluar daripada matrik mula-mula mereka berada di KMM. Namun, ibu bapanya
melarang anak gadis mereka berbuat demikian. Mereka mahu Aina menghabiskan masa
setahun di matrik sahaja. Lebih cepat jika dibandingkan dengan diploma yang
memakan masa tiga tahun lamanya. Oleh itu, Aina akur dengan permintaan mereka.
Dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di matrik.
Namun begitu, melihatkan markah
kuiznya yang teruk, dia tahu matrik bukan tempatnya. Sukatan yang diajar juga sangat
laju. Dia terkejar-kejar sedangkan dia tahu kemampuannya tidaklah sehebat
pelajar-pelajar lain. Disuakan kembali isu tersebut kepada ibu bapanya.
Dipujuknya mereka supaya mengubah fikiran demi masa hadapannya. Dia tidak mahu
kecundang hanya mengikut arahan kedua ibu bapanya. Biarlah dia menghabiskan
masa tiga tahun, asalkan tercapai cita-cita.
“Aku tahu dulu aku cakap aku nak
belajar kat sini je tapi apabila fikir-fikir balik, aku tak mampu nak hidup kat
matrik,” jawab Aina. Tidak jadi dia untuk menyuap nasi yang tinggal lagi
separuh pinggan.
“Kenapa pula kau tak mampu?” tanya
Ree pula.
“Aku merasakan aku tinggal kat sini
hidup aku terkejar-kejarkan sesuatu.”
“Memanglah kita mengejar. Kita
mengejar cita-cita,” kata Jay.
“Aku tahu tapi aku tak rasa aku
boleh jadi cemerlang dalam masa satu tahun je. Aku tahu kemampuan aku dan
kemampuan aku mengatakan yang aku tak boleh mengejar sukatan di matrik. I’m more of a slow learner.”
Aten, Ree dan Jay mengangguk.
“Habis tu, parents kau dah tahu pasal ni?” tanya Aten.
Giliran Aina pula yang mengangguk.
Dia tahu kawan-kawannya kini diulit kesedihan dan terkejut dengan keputusannya.
“Apa mereka kata?” tanya Aten lagi.
“Pada mulanya mereka agak terkilan
tapi mereka risaukan masa depan aku. Mereka mahukan yang terbaik untuk aku.
Oleh itu, mereka akur je dengan permintaan aku.”
“Betul kau mahu keluar?” celah Ree.
Mukanya agak serius. Mungkin inginkan kepastian lagi daripada mulut Aina
sendiri. Dia tidak mahu rakannya tersilap langkah dalam percaturan hidup.
Aina memandang ketiga-tiga kawannya
seraya berkata, “Ya.” Kepalanya juga diangguk-anggukkan tanda yakin dengan
jawapannya.
Sudah
banyak kali dia melakukan solat sunat Istikharah. Dimintanya petunjuk ALLAH
agar dia tidak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan yang membabitkan
masa hadapannya. Dia tahu jika dia tersilap langkah dia akan menyesal. Beberapa
kali menghadap ILAHI memberikannya perasaan mahu melanjutkan pelajaran di
peringkat diploma. Banyak kali dia berdoa agar itulah jalan yang terbaik buatnya.
“Kalau itu keputusan kau,
cepat-cepatlah keluar!” kata Jay seolah-olah menghalau Aina.
Aina terkejut dengan reaksi Jay.
Biar betul kawannya itu menghalaunya secepat ini? Memang tidak sayang kawan
betul!
“Hehehe... Aku bergurau jelah,” kata
Jay sambil tersengih menampakkan barisan giginya. “Apa-apa pun keputusan yang
keluar daripada hati dan mulut kau, kami terima dan akan menyokong kau!”
“Betul tu!” kata Aten. “Kami yakin
kau boleh lakukan yang terbaik walau di mana-mana sahaja kau berada.”
Aina tersenyum melihat semangat dan
dorongan yang diberikan oleh kawan-kawannya. Hidupnya kini tidak terasa
bebannya seperti dahulu. Walaupun mereka baru dikenali tidak sampai setahun,
mereka bagaikan adik-beradik. Bergurau senda tidak kira masa. Memberi sokongan
sentiasa.
“Kau nak sambung belajar kat mana
nanti?” tanya Ree kepada Aina. Masing-masing menyambung suapan yang tergendala.
“UiTM. Aku nak ambil jurusan sains.”
“Baguslah kalau macam tu. Kau dah
uruskan semuanya?” tanya Ree lagi.
“Dah. Tandatangan pengarah semua aku
dah ambil. Surat juga aku dah cetak.”
“Kalau dah ada kat sana nanti jangan
lupa kami bertiga tau!” kata Jay.
“Mestilah takkan lupa! Korang kawan
terbaik yang pernah aku ada!” Bersemangat betul Aina berbicara.
“Jangan lupa carikan aku teman lelaki
ya!” kata Aten nakal. Tak habis-habis!
“Ah, sudahlah kau! Kau dah ada teman
lelaki seorang cukuplah tu! Aku ni yang patut Aina carikan boyfriend,” balas Jay kemudiannya.
Aina dan Ree ketawa melihat gelagat
mereka berdua. Jay dan Aten memang suka bergaduh hal yang remeh-temeh. Pasal
teman lelaki, pasal baju, itu dan ini. Namun, mereka tetap akrab. Gaduh-gaduh
manjalah katakan!
“Bercakap mengenai boyfriend, sebenarnya, boyfriend aku pun belajar kat UiTM!”
kata Aina tiba-tiba.
“Amboi, patutlah beria mahu keluar!”
kata Ree sambil mencubit lengan Aina. Perit juga terkena cubitan budak kecil
ni!
“Hehehe...” Aina tersengih.
“Memanglah boyfriend aku pun ada kat
sana tapi aku nak belajar kat situ bukan sebab dia okay!”
“Kami tahulah! Takkanlah kau nak
pergi sana disebabkan boyfriend kau
pulak? Memang tak patut!” kata Ree.
“Bila kau nak pergi?” Muncul juga
soalan itu daripada mulut Jay. Ditahan-tahannya dari tadi soalan itu daripada
ditanya.
Suasana menjadi serius kembali.
“Sebelum larian Mini KAKOM.”
Larian Mini KAKOM merupakan larian
ala-ala rentas desa semasa di sekolah dahulu. Para pelajar akan berlari
beberapa kilometer sebelum pulang ke matrikulasi. Nama sahaja sudah dinaik
taraf menjadi larian Mini KAKOM daripada merentas desa. Barulah terbakar
apabila dengar!
“Jangan risau. Sebelum aku pergi
sana, kita bersenam sama-sama. Baru best!”