“Aduh,
penatnya!” kata Jannah setelah membuka pintu biliknya.
Dilihatnya
ketiga-tiga ahli biliknya yang lain sedang membuat tugasan yang diberikan pensyarah
masing-masing. Aina yang masih berbaju kurung sedang membuat tutorial matematik
manakala Fathin dan Fareeha sedang khusyuk mengulang kaji subjek kimia.
Barangkali ada kuiz keesokan harinya. Patutlah rajin semacam! Kalau tidak,
pasti bantal-bantal mereka penuh dengan peta hasil air liur basi yang mengalir
semasa tidur. Petang-petang begini memang seronok jika dapat memeluk bantal!
Lagi-lagi Fathin atau nama panggilannya Aten. Hobinya bukan memeluk bantal
tetapi memeluk katak!
Eww!!
Katak
dipeluk-peluk? Tak pernah dibuat orang!
Jangan
salah sangka ya! Aten memang suka memeluk katak tetapi yang versi patung. Nasib
baik patung katak miliknya semua comel-comel belaka. Jika katak betul dibuat
peluk, emmm.... faham-faham sendirilah apa rasanya.
Jannah mencabut pin dan membuka
tudung yang membaluti rambutnya yang separas bahu. Dicampaknya tudung tersebut
di atas katil.
‘Lantaklah tudung! Biarlah kau
berkedut! Kelas dah habis pun,’ bisik Jannah dalam hati. Jikalau dia ada kelas
seterusnya, tidak mungkin tudung itu dicampak-campak. Tudungnya itu pasti
disangkut dengan penuh kasih sayang agar tidak munculnya kedutan yang bakal
merosakkan cara pemakaian tudungnya. Mesti susah dipakai tudung tersebut
apabila berkedut. Senget di situ, senget di sini. Baginya pemakaian tudung
mestilah kemas tanpa kedutan. Baginya kedutan bagaikan musuh negara! Tidak
boleh diberi muka!
Jannah melabuhkan punggungya di atas
katilnya yang agak empuk. Walaupun tidak seempuk katil di rumah, namun, dia
bersyukur dengan apa yang ada. Dia bersyukur kerana tidak perlu tidur di atas
lantai yang sejuknya mencengkam tulang. Dia tidak perlu merasai sakit-sakit
badan kerana tidur tidak berlapikkan apa-apa. Dia terima dengan apa yang ada
walaupun kelengkapan di Kolej Matrikulasi Melaka sudah usang dimamah usia.
Satu-satunya kolej matrikulasi di Melaka itu merupakan kolej matrikulasi yang
tertua di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika katil bergoyang dan pintu
lokar yang tidak boleh berkunci.
Jannah atau lebih mesra dengan
panggilan Jay mengeluh penat. Dia baru sahaja pulang daripada kuliah matematik.
Puan Anita, pensyarah matematik, mahu menghabiskan bab kedua pada hari itu
juga. Oleh sebab itu, masing-masing sibuk membawa gula-gula sebagai makanan
tambahan daripada mengelakkan rasa kantuk. Yang bawa nasi bungkus juga ada ke
dalam dewan kuliah. Pelajar lelakilah yang berani berbuat demikian. Pelajar
perempuan bersopan santun. Malulah katakan!
“Kenapa kau balik lambat sangat,
Jay?” soal Fareeha.
“Cikgu Anita buat kuliah tadi. Mana
tak penat! Mengantuk sangat! Pening kepala kami dibuatnya belajar matematik
petang-petang.”
Jay mengeluh. Kini, dia sudah berada
di kolej tersebut selama sebulan lamanya. Sebetulnya, dia tidak suka
melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi. Dia lebih suka jika dia terus
melanjutkan pelajaran di universiti. Walaupun subjek yang diambil tidaklah
sebanyak seperti di sekolah dahulu, namun, subjek yang dipelajari lebih susah
dan mendalam. Penat jangan cerita. Kelas bermula tepat pada pukul 8.00 pagi dan
hanya akan berakhir pada pukul 4.00 petang.
‘Kalau macam ni hari-hari, macam
mana aku nak hidup kat matrikulasi ni? Argh, lagi sembilan bulan pula tu! I’m a dead girl!’ detus hati Jay.
Sesungguhnya, Jay sudah mula
berfikir kepenatan yang harus dihadapinya. Penat menghadiri kelas. Belum lagi
kelas tambahan yang dilakukan oleh pensyarah. Penat untuk membuat tutorial.
Penat untuk membuat tugasan. Oh, tidak!
‘Aku perlu positif! Ada hikmah aku
menyambung pelajaran kat sini!’
Jay mencari azam. Dia dimasukkan ke
matrikulasi kerana dia tidak mempunyai mana-mana tawaran dari mana-mana
universiti. Oleh itu, terpaksalah dia mencari semangat untuk mendapatkan 4.00
agar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor tercapai.
Berlainan pula kisahnya dengan
Fareeha dan Aten. Mereka masing-masing mendapat tawaran untuk menyambung
pelajaran di peringkat universiti tetapi mereka menolak. Mereka hanya ditawarkan
untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma. Tidak sanggup untuk belajar
selama tiga tahun barangkali, oleh sebab itu mereka membuat keputusan untuk
berada di matrik.
“Rajin betul pensyarah kau buat
kelas petang-petang,” kata Aten. Nota kimia diletakkan di atas meja belajar.
Sudah bosan membaca fakta. Kalau mengira tidaklah berasa bosan sangat agaknya.
“Biasalah. Cikgu nak kejar syllabus. Beberapa bulan lagi ada
peperiksaan pertengahan semester,” balas Jay sambil mencapai air botol yang
terletak di bawah meja. Ditonggaknya botol itu. Hilang juga hausnya.
“Ree, kau ada kuiz ke esok?” tanya
Jay kepada Fareeha atau popular dengan gelaran Ree.
“Ya. Sebab tulah aku melekat kat atas kerusi ni. Kalau
tak jangan haraplah,” balas Ree sambil membaca nota. Dibelek-beleknya nota
kimia dengan bersungguh-sungguh. Moga-moga apa-apa yang dibacanya tadi
tersimpan dalam otak.
“Patutlah rajin semacam!” kata Jay.
“Hehehe...”
“Kau memang cemburu kan tengok aku
rajin!” kata Ree lagi.
“Tak kuasa aku nak cemburu dengan
kau. Baik aku cemburu kalau kau rampas boyfriend
aku!”
“Kau boyfriend pun tak ada, nak rampas macam mana?” kata Aten pula.
“Ah, kenapalah soalan ni susah
sangat?” celah Aina yang senyap sedari tadi membuat tutorial matematik.
Kalkulator di atas mejanya diketuk-ketuk tanda tidak puas hati. Kertas di
hadapan mata diconteng-conteng geram kerana masih tidak mendapat jawapan yang
diingini.
“Sabar, Aina!” kata Aten melihat
Aina yang sudah membaling kertas conteng tadi ke atas lantai. Makin bersepah bilik
mereka yang sudah sedia macam tongkang pecah.
“Tak nak sabar lagi. This question is killing me!” kata Aina
mengeluarkan suara nyaringnya. Jika suara nyaring miliknya sudah dikeluarkan,
maka memang bergemalah bilik mereka. Bukan sahaja bilik tidur, malah satu aras
memang akan mendengar suaranya.
“Jom ikut aku main badminton,” ajak
Jay mengambil langkah mengelakkan suara nyaring Aina keluar lagi. Tidak mahu
dia mencari fasal dengan ketua blok yang biliknya hanyalah terletak betul-betul
di tingkat atas.
Aina menolak kerusinya dan membuat
sesi regangan sebentar. Terasa penat menyelubungi tubuh setelah duduk di atas
kerusi sejak pulang dari kuliah tadi. Ree dan Aten juga begitu.
Jay mengeluarkan raket badminton
dari dalam lokarnya. Diambil juga bola tangkis. Dilantun-lantun bola itu
menggunakan raket tadi. Tidak sabar rasanya mahu bermain badminton. Tidak sabar
rasanya mahu menghilangkan tekanan.
Selesai membuat regangan, mereka
semua turun ke bawah. Mereka mahu bermain di hadapan blok. Blok mereka yang
terletak betul-betul di tepi jalan merupakan bangunan yang paling hadapan
berhampiran dengan pondok jaga dan padang ragbi.
Jay menghulurkan raket kepada
rakan-rakannya. Dia dan Aina hanya memakai baju kurung waktu itu. Mereka
langsung tidak menukar baju T-shirt. Memang tidak sesuai langsung!
Ree dan Aten juga begitu. Walaupun
mereka berpakaian T-shirt dan seluar, namun, selipar sahaja yang tersarung di
kaki masing-masing. Tidak mementingkan ciri-ciri keselamatan langsung!
Ah, peduli apa! Apa yang terletak
dalam benak fikiran mereka sekarang ini hanyalah untuk menghilangkan tekanan
dan tidak kurang juga untuk mengurangkan berat badan. Belajar, belajar juga.
Kesihatan perlu dijaga, bak kata pepatah, otak yang cerdas terletak pada tubuh
yang cergas.
Aina memukul bola tangkis dan
disambut oleh Jay. Aina bermain dengan Jay manakala Aten menjadi lawan Ree.
Masing-masing bermain seperti pemain badminton Malaysia. Tidak mahu kalah
langsung! Suara jantan semua terkeluar! Terjerit-jerit apabila menyambut bola.
Belum lagi apabila bola tidak dapat disambut. Angin yang tidak boleh disentuh
ditendang-tendang tanda tidak puas hati. Peluh melekat di dahi. Namun, rasa
mahu bermain lagi.
“Hoi cik adik, lain kali main pakai
telekung pun tak apa!” Tiba-tiba kedengaran suara budak lelaki dari padang
ragbi.
Masing-masing
berbaris di tepi padang menghadap blok mereka. Tidak sangka pula rupanya mereka
sedang diperhatikan oleh budak-budak lelaki. Belum lagi yang lalu-lalang di
tepi jalan sambil berjoging. Semuanya ketawa melihat mereka bermain dengan
hanya berbaju kurung! Tidak kurang juga yang mengambil gambar. Habislah selepas
ini laman sesawang Facebook penuh dengan gambar mereka bermain badminton dengan
hanya berbaju kurung.
Aduh, malunya!
Jay dan Aina sudah berlari naik
blok!