Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
79,865
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 14

Hospital kelihatan lengang. Maklumlah, waktu Subuh baru sahaja menampakkan muka. Jay semalaman berada di hospital untuk menjaga adiknya yang masih lagi ditahan wad. Doktor ingin memastikan perkembangan baik daripada Jef.

Puan Julia masih lagi tidur di atas sofa hujung bilik wad Jef. Mukanya jelas kepenatan. Memang banyak tenaga yang diperlukan untuk menjaga dua orang sakit. Mujur ayah Jay dibenarkan pulang awal memandangkan kecederaan yang dialami tidak begitu serius.

Kini Johari berada di rumah dan mungkin akan bergerak ke pejabat sebentar untuk menyelesaikan beberapa urusan kerja. Selepas itu, dia akan terus berehat di rumah. Kalau duduk di pejabat lama-lama, mahu nanti kena bebel dengan Puan Julia. Dia tahu isterinya sangat mengambil berat orangnya.

Jay mengangkat punggung dan mahu ke tandas untuk mencuci muka. Sudah bertaik betul matanya. Sepanjang malam tadi dia dan Jef bergelak ketawa berbual dan menonton filem. Memang lain sedikit hubungan mereka sejak kebelakangan ini. Kebiasaannya, mereka mahu bertumbuk terajang dan main kejar-kejar. Sejak Jef dimasukkan ke hospital, mereka selalu berbual mesra. Betullah kata orang, air dicincang tidak akan putus. Bergaduh itu perkara biasa dalam ikatan tali kekeluargaan. Itulah yang menguatkan simpulan.

Kaki Jay melangkah ke bilik air dengan muka yang serabai. Baru bangun tidur. Biasalah tu kalau mata jadi sepet akibat susah nak buka. Macam dihempap batu rasanya. Jalannya terhuyung-hayang sedikit sehinggakan dia terasa dia melanggar seseorang.

Sorry...” Itu sahaja yang keluar daripada mulutnya. Macam dengar tak dengar je. Suara baru bangun tidurlah katakan. Serak-serak basah.

Kepalanya dipalingkan untuk melihat tuan punya badan yang dilanggarnya tadi. Terpandang sahaja lelaki yang ringkas memakai t-shirt biru gelap bersama seluar jeans hitam, dia terus terbeliak mata. Mata sepet terus jadi macam mata alien.

Mamat ni!

“Oh, kau rupanya, mamat dua nama,” ujar Jay ringkas. Nampak sangat tanda kebengangannya di situ. Kenapalah pagi-pagi lagi aku dah terserempak dengan kau? Buat spoil mood aku je.

“Maafmu diterima,” ujar Haffiy yang suaranya agak serak-serak memandangkan baru bangun pagi.

“Apa pulak aku yang kena minta maaf? Kau yang langgar aku dulu. Kaulah yang minta maaf,” ujar Jay. Walaupun dia tahu dia yang melanggar Haffiy, dia masih rasa tidak puas hati. Akibat insiden yang terjadi di kafe KMM kelmarin, dia berasa sungguh malu. Malu nak berjumpa dengan Haffiy. Malu juga dengan kawan-kawannya. Tidak pernah Jay dimalukan sedemikian.

Walaupun ada sedikit rasa puas hati sebanyak 1% sebab dapat memandikan Haffiy dengan air sirap bandung hari itu, dia masih sakit hati apabila berdepan dengan lelaki itu hari ini. Ish, kalau boleh aku nak tenyeh-tenyeh je muka dia dengan cili Arab! Baru tau mulut tu kena jaga!

“Cik adik Jannah, pagi lagi ni. Saya nak solat Subuh,” Haffiy bersuara. Malas mahu melayan Jay pagi-pagi subuh macam tu. Gaduh-gaduh nanti habis subuh melepas. Pahala pun melepas. Dosa pula yang dapat.

“Amboi, tahu pulak nama aku! Hari tu, apa yang kau panggil aku?”

Haffiy mendiamkan diri.

“Eh, diam pulak dia! Cakaplah! Hari tu bukan main lagi sibuk mengata orang.”

Eh, apa pasal mamat ni diam je dari tadi? Muka Haffiy tertunduk pula tiba-tiba. Mamat ni insaf nak taubat nasuha ke? Kepala dijengukkan ke bawah untuk melihat muka Haffiy memandangkan dia lebih rendah daripada lelaki itu.

Mamat ni tidur! Kurang asam jawa betul!

“Hei, Haffiy!” Jay jerit sambil menepuk kuat lengan Haffiy. Terkejut beruk jadinya lelaki itu. Nasib baik tak melatah kuat. Buat malu kaum je nanti.

“Kau boleh pulak tidur masa aku tengah cakap?”

“Ya, cik Jannah. Saya panggil awak minah kelas kedua. Puas hati?”

“Ha, ingat pun! Ish, kau ni kan...”

“Okey. Okey. Saya minta maaf, Jannah!”

Ai, ber-saya awak pula dah? Hari tu punyalah kasar dengan aku. Ha, hari ni ambil kau! Baru kau tahu aku ni batu ke nasi.

“Apa? Tak dengarlah.” Jay masih lagi tidak puas hati.

“Ish, malaslah nak layan!” Haffiy putus asa. Dia terus melangkah jalan mahu ke tandas lelaki yang berhadapan juga dengan tandas perempuan.

Memandangkan ruang untuk masuk ke dalam tandas masing-masing agak sempit, Jay dan Haffiy berebut-rebut macam budak kecil. Hei, macam kanak-kanak tadika pun ada!

“Ish, sibuklah! Tepi sikit!” Jay menolak Haffiy yang berbadan sasa itu.

“Awak tu yang tepi sikit. Saya kan dah sampai sini dulu. Awak tu yang terhegeh-hegeh nak kejar saya.”

“Amboi, sedap mulut dia je cakap! Aku bangun tidur dulu. Akulah yang masuk dulu!”

Haffiy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Aduh, pagi-pagi ada masalah!

“Jannah, awak ke tepilah sikit. Awak tu kalau saiz dua tak apalah jugak,” ujar Haffiy lagi masih tidak mahu mengalah.

“Ada aku kisah?”

“ISH!”

Kedua-dua anak remaja itu memenuhi ruang jalan. Masing-masing tidak mahu kalah. Terasa macam ada elektrik yang bakal menghasilkan api bila-bila masa sahaja.

“Adik sekalian, tumpang lalu kejap.”

Er?

Jay dan Haffiy terus pandang ke belakang. Amboi, ramainya yang sedang berbaris! Lupa pula tandas yang mereka mahu masuk itu ramai pengguna sebenarnya.

“Hehehe...sorry!” ucap mereka serentak.

“Aiya, lu berdua laki bini tak payah gaduh-gaduh ma. Lu mahu gaduh di lumah saja loh. Buat apa gaduh di hospital?” sampuk seorang mak cik tua berbangsa Cina.

“Laki?”

“Bini?”

“Sudah, lu olang ke tepi sikit. Aunty nak ke tandas pun susah. Aiya...”

Haffiy dan Jay terus beralih.

“Ni semua kau punya pasal! Tak pasal-pasal aku dapat title tak rasmi jadi bini kau,” kata Jay.

“Cik Jannah, kira untunglah awak jadi bini saya. Saya ni ramai peminat tau. Banyak-banyak perempuan, awak kelas kedua nilah yang jadi bini saya. Tak ke bangga namanya?”

“Huh, ramai peminat? Hello, I’m not one of them!Ke tepilah. Aku nak masuk toilet pun tak boleh.”

Jay terus melangkah masuk ke dalam tandas perempuan.

“Aku jadi bini Haffiy? Mimpi ngeri!”

***

Jay keluar wad sebentar untuk membeli air tin untuk dirinya dan juga Puan Julia. Duit syiling dimasukkan. Air tin Nescafe dipilih.

Gedegang!

Keluar juga sebiji tin. Duit syiling mahu dimasukkan sekali lagi untuk membeli air tin Puan Julia pula tetapi ada lagi jari yang mengada-ngada untuk memasukkan duit syiling juga.

“Hoi, tak nampak ke aku nak beli air ni?” spontan Jay cakap. Suka-suka je nak ambil turn aku. Buta ke apa? Matanya terus melihat tajam si penyibuk.

Hei, mamat ni lagi!

Haffiy dan Jay berebut-rebut untuk memasukkan duit syiling. Bergaduh lagilah jawabnya laki bini tak rasmi ni.

“Apa masalah kau ni, ha? Kat toilet kau nak menyibuk. Kat sini pun kau nak menyemak?” kata Jay geram. Ingatkan tadi cerita tamat kat depan tandas. Rupanya ada lagi penyambung.

“Eei!” Jay geram sambil angkat kaki lantas memijak kaki klon Jaejoong itu.

“Aduh! Ish, ganasnya awak ni!”

Haffiy ditolak ke belakang lalu duit syiling terus dimasukkan. Ha, baru puas hati aku dapat pijak kaki kau!

“Awak ni tak baik tau pijak-pijak kaki orang,” kata Haffiy. Muka diubah ala-ala muka kucing Puss in Boots.

‘Huh, tak comel pun! Kucing tu lagi comel,’ omel Jay dalam hati.

“Haffiy a.k.a. Ryan, kau tahu tak kau dah beruntung hari ni sebab kena pijak dengan aku? Buat pengetahuan kau, ramai peminat tegar kaki aku ni. Banyak-banyak orang, kau yang tak ada kelas nilah yang bertuah sebab dapat rasa penangan kaki aku. Tak ke bangga namanya?”

“Amboi, tiru ayat nampak.”

Jay mencebik. Padan muka! Lepas ni, kalau kau buat hal lagi dengan aku, memang aku tenyeh mulut kau dengan cili Arab betul-betul! Hahaha (ketawa jahat).

Jay terus melangkah pergi. Haffiy yang masih lagi merasa penangan pedihnya kaki Jay, terus berlari terencot-encot.

“Jannah, tunggulah dulu!” Haffiy berlari laju memandangkan gaya Jay berjalan mengalahkan atlet marathon. Berapa besar punya langkah perempuan ni? Cepat betul dia jalan.

Bayangan Jay sudah nampak. Dia yang merupakan atlet lari rumah sukan semasa di sekolah dulu terus mengejar.

Tangan Haffiy terus menggenggam bahu Jay dengan kuat. Tidak sangka pula tenaganya terlebih guna pada Jay sehinggakan dia tertarik gadis itu.

Gedepuk! Jatuh!

“Aduh, sakit punggung aku!” kata Jay sambil memegang pinggang dan juga punggungnya. Jatuh atas lantai mozek pula tu. Keras. Kalau jatuh atas pasir pantai okey lagi kot. Nikmat je sebab pasir halus sangat.

Oopps...sorry, Jannah! Tadi makan biskut Tiger. Terlebih tenaga,” celah Haffiy.

Alahai, mamat ni buat hal lagi. Oh, cili Arab! Menjelmalah kau dengan banyaknya sebab aku nak kongsi nikmat kepedasan kau dengan mamat Jaejoong ni!

Tunggu punya tunggu, cili Arab tak muncul juga. Ingat ni cerita Harry Potter ke nak main seru-seru? Seru cili pulak tu. Kalau seru Harry Potter muncul okey juga rasanya. Boleh minta autograf. Hehehe.

“Jannah? Yuhuu...awak ni tiba-tiba koma ke apa?” Tangan dilambai-lambaikan depan mata Jay. “Takkan jatuh sikit dah koma.”

“Ha? Mana ada.” Cover beb! Cover!

“Habis tu, yang tercongok kat atas lantai tu buat apa?”

“Mana ada aku tercongok. Aku terduduk jelah. Tak nampak ke?”

“Meh sini saya tolong awak bangun.” Haffiy menghulurkan tangan gaya gentleman.

Jannah, jangan nak cair. Baru hulur tangan je. Bukannya dia tolong angkatkan kau pun.

“Tak payahlah. Aku boleh bangun sendiri.” Sedikit-sedikit dia cuba mengangkat punggungnya yang masih lagi sakit itu. Namun, memandangkan lantai mozek hospital itu licin, dia terjatuh sekali lagi.

“Aduh!”

“Orang nak tolong, dia tak nak. Meh sinilah!” Haffiy terus menarik lengan Jay dan mengangkatnya bangun.

Jay membetulkan tudungnya. Seluarnya dibersihkan gara-gara habuk lantai yang melekat.

“Ehem...sama-sama.” Haffiy memerli.

“Em...terima kasih.”

“Kasihmu diterima.”

“Apa hal kau tarik aku sampai jatuh tadi?” tanya Jay lembut. Nadanya tidaklah menunjukkan yang dia marah.

“Tak ada apa-apa pun. Saja je tarik.”

What the...

“Amboi, suka-suka hati dia tarik orang jatuh! Lepas tu, tak nak minta maaf. Aku pulak yang kena ucap terima kasih. Bak sini RM50!”

“Ha, nak buat apa?” Haffiy bingung. Ingat aku ni tol ke apa?

“Kau dah pegang bahu aku! Mana boleh suka-suka hati pegang bahu anak dara orang.”

“Oh, tak boleh ke?”

Eh, mamat ni! Aku hentak juga dengan air tin ni baru tau!

“Mana boleh. Nak ke aku bagi tahu mak aku? Mak aku ada kat hospital ni.”

Let me think about it. Em, tak payahlah bagi tahu mak awak. Cakap dengan ayah awak je terus.”

“Ha?” Sewel ke apa dia ni?

“Boleh saya terus kahwin dengan awak kalau awak cakap dengan dia. Kita kena minta izin daripada orang tua dulukan?”

Memang sewel!

Urgh! Siapa nak kahwin dengan kau?”

“Awaklah.”

“Eww.” Jalan masih diteruskan ke wad Jef. Rasa mahu lari je daripada Haffiy tetapi apa boleh buat. Haffiy tetap mengejarnya sampai depan wad.

“Awak, I need to explain you something,” ujar Haffiy setibanya di depan wad Jeff.

Jay mengeluh lalu berkata, “What now? Nak explain apa? Pasal kejadian kat kafe hari tu? Tak payahlah. Telinga aku ni dah malas nak dengar. Orang muka macam kau ni memang perangai sama je. Depan kita baik je. Depan kawan sendiri, memang macam longkang.”

Jannah, I’m sorry pasal hari tu. Serius saya minta maaf. Sebenarnya...”

“Dahlah. Tak apa. Benda dah lepas.”

Tiba-tiba pintu wad dibuka. Puan Julia yang berada di muka pintu langsung nampak dua anak muda berada di depan wad anaknya. Salah seorang anak muda itu memang dia kenal. Itu anaknya, Nurul. Seorang lagi ni...Haffiy kan?

‘ALLAH...kenapalah mak buka pintu sekarang? Time Haffiy ada pulak tu.’

‘Ni mesti mak Jannah. Boleh tahan lawa macam anaknya. Cun!’

“Lamanya Nurul beli air,” kata Puan Julia memulakan perbualan. “Dekat mesin air minuman tu ramai orang ke?”

“Aah, mak. Ramai orang. Nak masukkan duit syiling pun kena berebut.” Sengaja Jay memerli.

Haffiy tersengih-sengih.

Jay menghulurkan Puan Julia air tin yang dibeli tadi. Kaki melangkah masuk ke dalam wad. Malas mahu dekat-dekat dengan Haffiy penyibuk tu.

“Anak ni, Haffiy ke?” soal Puan Julia.

Haffiy tersenyum manis lalu mengangguk. Depan bakal mak mertua kena tunjuk baik! Hehehe...

“Eh, jemput masuklah dulu. Kita berbual sekali dengan adik Nurul ni.”

Haffiy menggaru-garu kepala. Segan sendiri. Dia mengambil tempat di sebelah Jay yang berada di kaki katil Jef. Jay tidak boleh buat apa-apa. Jeling sahajalah yang dia boleh buat.

“Jef, kenalkan. Inilah Haffiy. Orang yang derma darah pada Jef hari tu,” ucap Puan Julia lembut kepada anak lelakinya.

“Oh, abang nilah Haffiy yang selalu akak sebut tu!”

Tangan Jay menghinggap ke peha Jef. “Ouch! Apa ni cubit-cubit orang? Orang tengah sakit ni. Mak, tengok akak!”

“Hei, bergaduh lagi budak dua orang ni. Pantang melekat, tak habis-habis nak bergaduh. Maaflah, Haffiy. Anak-anak mak cik memang macam ni.”

“Eh, tak apalah. Biasalah, Jannah ni terlebih ‘riang’ orangnya. Selalu je nak ajak gaduh,” ujar Haffiy. Matanya dialihkan ke arah Jannah.

“Aduh, kaki aku!” Haffiy menjerit kesakitan. Hei, kena pijak lagi! Sabarlah kaki eh. Memang nasib kau hari ni.

Puan Julia tergelak melihat telatah dua anak muda di hadapannya. Boleh tahan juga Haffiy ni. Dia lebih handsome bila tengok secara live kalau nak dibandingkan dengan gambar. Kalau aku muda lagi ni, mesti aku cair. Hahaha.

Why do I have the feeling yang Nurul dengan Haffiy ni macam sepadan je?

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina