Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
399,049
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 19

19

Firuz Eidil terjaga dari lenanya. Bunyi desiran dan aroma sambal menusuk ke hidungnya. Matanya terpisat-pisat. Dia menguap besar. Mulutnya segera ditutup dengan tangan. Dia mengambil jam yang terletak di atas meja. Baru pukul 7.30 pagi. Seingatnya tadi sebaik sahaja dia solat subuh dia terus terlena semula. Dia menggeliat malas. Bau aroma sambal terus menusuk ke hidungnya. Dia bingkas bangun.

Sedapnya bau sambal. Siapalah yang masak ni. Mak cik sebelah rumah agaknya. Alangkah bagus kalau L ada di sini. Berapa lama agaknya dia nak protes dengan aku? Rindunya aku pada dia, desis hati Firuz Eidil. Tiba-tiba dia terdengar bunyi dari arah dapur.

“Apa sahajalah yang si Ain itu buat di dapur?” bebel Firuz Eidil sendiri.

Firuz Eidil menuju ke bilik adik-adiknya. Dia melihat Ain Nadia dan Dira Nadia masih nyenyak tidur. Dia terkasima.

Kalau Ain dan Dira masih tidur, siapakah di dapur? Hatinya berdetak bimbang.

Firuz Eidil menuruni anak tangga. Langkah kakinya diatur dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu orang di bawah sedar akan kehadirannya. Manakala ditangannya sudah tersedia kayu hoki. Jika pencuri yang masuk ke dalam rumahnya, dia tidak akan menunggu lama, pasti kepala pencuri itu akan dihentak dengan kayu hoki. Dia menuju ke arah dapur. Kepalanya dijengulkan di sebalik dinding. Dia melihat sesusuk tubuh yang sedang menumis sesuatu. Rasanya dia seperti mengenali susuk tubuh itu.

“L?” desis hatinya.

Dia leka merenung ke arah Elfira yang sedang leka memasak. Aroma itu menusuk ke hidungnya, Firuz Eidil tersedar dari kelekaannya apabila telefon bimbit Elfira berbunyi nyaring. Dia melihat Elfira menuju ke arah ruang makan. Dia terlihat beg galas yang terletak di atas meja. Dia yakin Elfira mahu mengambil telefon bimbit yang sedang nyaring berbunyi.

Firuz Eidil segera berlari anak menuju ke tingkat atas. Dia tidak mahu Elfira sedar akan kehadirannya. Entah mengapa saat ini hatinya kembali berbunga riang. Hidupnya yang terasa suram sejak kebelakangan ini kembali ceria. Dia sendiri tidak pasti kenapa. Tetapi dia tahu dia bahagia tatkala dapat menatap wajah Elfira. Itulah perasaannya kini. Dia sudah tidak sabar untuk bersemuka dengan Elfira. Dia segera naik ke kamarnya. Dia ingin membersihkan dirinya. Dia ingin kelihatan kemas di hadapan Elfira. Kenapa dia berperasaan seperti itu dia sendiri tidak pasti. Ah! Dia tak kisah semua itu asalkan Elfira kembali dalam hidupnya.

“L bagaimana dengan mat singa?” soal Sofea dihujung talian.

“Aku belum jumpa dia lagilah. Aku masuk rumah dia ini pun pakai kunci pendua yang kau bagi pada aku itu. Masih tidur lagi agaknya.”

“Aku rasa mesti dia terkejut beruk lihat kau ada di rumah dia. Tapi jangan dia jumpa dan terus peluk kau sudahlah. Dia tengah rindu dengan kau itu,” usik Sofea.

“Pandainya kau mereka cerita. Yelah aku lupa kau kan baru lepas menuntut dengan nujum Pak Belalang. Sudahlah aku nak sambung masak. Kalau aku layan kau memang tak jadi kerja dibuatnya.”

“Amboi poyo dengan aku nampak? Yelah cik Elfira sayang, pergilah sambung masak untuk kekanda mat singa ya. Nanti kekanda mat singa kempunan pulak nak makan air tangan adinda Elfira.”

Sofea semakin galak mengusik. Ada tawa dihujung talian. Berbulu Elfira mendengarnya.

“Fea, sudah-sudahlah itu menyakat aku. Rimas tahu tak!” sungut Elfira.

“Okey, semoga masin mulut aku. Ingat seminggu kau kena masak.” Sofea masih lagi ingin mengusik.

“Keputusan belum tahu lagi.”

“Jangan bimbang L, ahli nujum Sofea belum buta lagi nak melihat kebenaran di hadapan mata. Selamat meraih cinta, kawan.”

Sofea segera mematikan talian telefon. Sofea ketawa mengekek mengenangkan apa yang bakal berlaku nanti.Elfira terkasima.

“Dia yang telefon aku dia juga yang matikan telefon dulu,” bebel Elfira sendiri.

Elfira menyambung kembali tugasnya. Pagi itu dia memasak nasi lemak, kopi o khas untuk Firuz Eidil atau lebih dikenali sebagai mat singa. Juga tidak ketinggalan untuk Ain Nadia dan Dira Nadia. Dua gadis itu telah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Elfira meletakkan semua hidangan itu di atas meja.

Dia melihat Firuz Eidil sedang menuruni anak tangga. Firuz Eidil pura-pura terkejut. Mereka saling berbalas pandangan. Kelu lidah Elfira untuk menegur lelaki itu.

“Aku ingatkan ada orang itu dah tak nak kerja dengan aku lagi. Manalah tahu kalau ada orang yang masih terasa sebab aku buang mi dia dalam tong sampah. Setakat buang mi pun nak merajuk, macam budak-budak,” sindir Firuz Eidil tanpa memandang ke arah Elfira. Dia membetulkan tali lehernya di hadapan cermin. Dia masih menanti reaksi daripada Elfira.

Elfira buat tidak endah dengan bicara Firuz Eidil. Tangannya semakin lincah menuangkan kopi o ke dalam cawan. Dia meletakkan nasi lemak ke dalam pinggan. Firuz Eidil bingung. Dia hairan kerana Elfira tidak membidas bicaranya seperti selalu. Adakah gadis itu benar-benar terasa hati dengannya.

“Cuti baru dua minggu, takkan terus jadi pekak dan bisu. Dasyat kalau begitu.” Firuz Eidil sengaja membakar hati Elfira namun tiada sebarang reaksi daripada Elfira.

“Saya dah sediakan sarapan pagi untuk Encik Firuz. Kalau Encik Firuz rasa nak makan masakan saya makanlah. Tapi kalau Encik Firuz rasa tak nak makan, buang sahaja nasi lemak tu dalam tong sampah dan kopi o itu dalam sinki okey.”

Firuz Eidil terasa hati dengan kata-kata Elfira. Kali ini dia mengalah. Rugilah dia jika dia menolak rezeki depan mata. Apatah lagi aroma sambal tumis dan nasi lemak menusuk ke rongga hidungnya.

“Marilah makan sekali dengan saya,” pelawa Firuz Eidil. Cuba untuk berlembut dengan Elfira.

“Maaf Encik Firuz. Saya ada kerja di dapur. Encik Firuz makanlah seorang.”

“L, marilah.” Firuz Eidil menarik pergelangan tangan Elfira. Lembut.

“Apa ni Encik Firuz, lepaslah!” Elfira meronta minta dilepaskan tangannya.

“Saya boleh lepaskan awak tapi dengan syarat awak kena sarapan sekali dengan saya.”

“Okey, tapi lepaskan tangan saya dulu.”

Firuz Eidil melepaskan tangan Elfira.

“Jangan harap saya nak makan sekali dengan Encik Firuz. Dan tolong jangan sentuh saya macam itu lagi walaupun pegang tangan saya. Faham!”

Elfira terus berlalu meninggalkan Firuz Eidil. Firuz Eidil geram kerana dia dipermainkan. Dia mendapatkan Elfira dan menarik tangan Elfira lalu terus mendakap Elfira. Elfira kaget. Jantung mereka berdegup kencang. Firuz Eidil dapat rasakan sesuatu di hatinya.

“Saya rindukan awak. Saya tak tahu kenapa? Sejak awak tinggalkan saya, saya rasa hidup saya kosong. Saya tak nak awak pergi dari hidup saya...”

“Hish apa Encik Firuz merepek ni!” Elfira menolak tubuh Firuz Eidil kuat. Namun kudratnya tidak mampu untuk melawan tenaga lelaki itu.

“Awak ni memang brutal la. Lebih baik awak temankan saya sarapan. Kalau tidak saya akan buat lebih daripada ni. Di rumah ni kita tinggal berdua aje...” ugut Firuz Eidil.

Wajah Elfira sudah pucat. Dia bimbang jika Firuz Eidil buat kerja gila.

“Lepaskan saya dulu,” pinta Elfira.

“Tak nak selagi awak tak janji dengan saya.”

“Okey saya janji temankan Encik Firuz Eidil makan. Tapi lepaskanlah saya.”

Firuz Eidil meleraikan pelukan. Satu tamparan singgah di wajah Firuz Eidil.

“Encik Firuz ingat saya ni perempuan murahan ke yang Encik Firuz boleh peluk sesuka hati. Tamparan itu untuk pengajaran agar Encik Firuz tak ulangi lagi! Nak makankan? Jom saya temankan.”

Elfira sudah duduk di kerusi. Firuz Eidil masih terkasima. Dia tidak menyangka Elfira akan menamparnya. Dia sedar dia bersalah dan Elfira layak menamparnya. Firuz Eidil mengambil tempatnya. Elfira menyendukkan nasi lemak lalu dihulurkan kepada Firuz Eidil.

“L, saya minta maaf atas keterlanjuran saya tadi.”

“Saya dah maafkan.”

“Boleh awak suapkan saya?”

“Aik dah tak boleh nak suap sendiri ke lepas kena tampar?”

“Ala, bolehlah suapkan saya. Please. Manalah tahu kalau esok tiba-tiba saya mati tak sempat saya nak rasa suapan awak. Bukan pakai tangan pun tapi pakai sudu. Kalau pakai tangan pun boleh juga.” Firuz Eidil mengenyitkan matanya nakal.

“Kalau tak nak?”

“Kalau tak nak saya akan...” Firuz Eidil sudah merenung Elfira nakal.

“Nak ugutlah tu. Yelah, yelah. Awak ni lahir zaman apa ha? Asyik nak memaksa aje,” rungut Elfira.

Firuz Eidil ketawa mendengar bebelan Elfira. Dia senang melihat mulut comel itu membebel dan marahkannya. Gila dia rasakan!

Dalam keterpaksaan Elfira menyuapkan Firuz Eidil. Guna sudu ya! Muka Elfira sudah masam mencuka. Tetapi Elfira dapat rasakan sesuatu. Jantungnya berdegup kencang. Adakalanya mata mereka bertembung. Hanya mata sahaja yang berbicara. Bibir terus mengunci bicara. Tanpa sedar sudah dua pinggan Firuz Eidil makan. Dia jarang makan sebanyak itu. Firuz Eidil kemudian sendawa dengan kuat.

“Alhamdulillah,” ucap Firuz Eidil.

“Tak senonoh!” laju sahaja Elfira beri komen.

Firuz Eidil buat muka selamba. Dia tak kisah dengan apa yang dikatakan oleh Elfira. Baginya setiap bicara Elfira adalah lagu buatnya.

“Amboi along, kenyang sungguh ya. Almaklumlah dapat suapan kasih sayang dari Kak L,” sergah Dira Nadia.

“Itulah. Ain tengok pun dah naik berbulu. Kak L tak nak suapkan kami ke? Kami pun nak disuapkan juga,” usik Ain Nadia.

“Ain ni sibuklah. Itukan suapan khas untuk along. Nanti along cemburu pulak dengan kita,” tambah Dira Nadia.

“Oh, begitu ya. Hem melepaslah nak minta Kak L suap.”

Ain Nadia buat muka hampa. Firuz Eidil sudah ketawa mendengar luahan hati adik-adiknya. Pipi Elfira kemerahan menahan malu. Namun dalam hatinya dia geram dengan Firuz Eidil sebab gembira ketawakan dirinya.

“Sudahlah itu jangan diusik lagi Kak L itu. Dah merah mukanya,” usik Firuz Eidil.

Elfira bertambah bengang dengan Firuz Eidil.

“Jangan marah ya Kak L. Ain rindu sangat dengan akak.” Ain Nadia mendapatkan Elfira lalu memeluk gadis itu.

“Yelah, sejak Kak L tak ada rasa macam sunyi je rumah ni.” Dira Nadia pula mendapatkan Elfira.

Sementara itu Firuz Eidil senang melihat kemesraan adik-adiknya dengan Elfira. Jauh berbeza hubungan mereka dengan Julia.

“Ain, Dira, Kak L ada buat sarapan tu. Sedap tau. Tadi along rasa macam nak habiskan tapi mengenangkan adik-adik along ni tak jadi along nak habiskan. Takut adik-adik along kempunan nanti,” usik Firuz Eidil.

“Hish sejak bila pulak along jadi tamak? Tak baik buat kami begitu,” sakat Dira Nadia.

“Ala along gurau je,” balas Firuz Eidil.

“Encik Firuz, boleh kita bertolak ke pejabat sekarang? Lewat nanti takut jalan sesak pula. Dengan mana nak hantar surat nak balik rumah mengemas lagi,” beritahu Elfira.

“Mulai hari ini awak dah tak perlu nak hantar surat lagi. Saya dah ada despatch. Awak cuma jadi personal driver saya dan bibik di rumah saya.”

“Along setakat kerja rumah kami pun boleh buat,” bidas Ain Nadia.

“Suka hati alonglah. Along yang bayar gaji.”

“Eleh berlagak!” rungut Dira Nadia.

“Lagi satu L, jangan panggil saya Encik Firuz tapi panggil Firuz. Nak panggil sayang pun boleh juga.”

“Ehem, ehem,” Ain Nadia dan Dira Nadia berdehem serentak.

Firuz Eidil dan Elfira memandang ke arah mereka berdua. Tetapi keduanya tidak membalas pandangan mereka bahkan Ain Nadia dan Dira Nadia khusyuk menikmati nasi lemak.

“Encik Firuz itu bos saya dan selayaknya saya panggil Encik Firuz.”

“Sebagai bos saya tak nak ada perkataan encik di hadapan nama saya. Awak kena panggil saya, Firuz atau awak. Ini arahan dan awak kena patuh pada arahan majikan.”

“Kalau begitu saya pilih atau.” Selamba sahaja jawapan Elfira.

“Pandai awak buat lawak L.”

Firuz Eidil ketawa. Elfira buat muka selamba. Manakala Ain Nadia dan Dira Nadia pura-pura tidak dengar perbualan Firuz Eidil dan Elfira.

“Okey, awak! Mari saya hantar awak ke pejabat sekarang.” Elfira sengaja menekankan perkataan awak. Bengang!

Firuz Eidil ketawa.

“Awak ada penyakit ketawa ke? Sikit-sikit ketawa. Tak penat ke?” bentak Elfira geram.

“Garangnya. Cuba lemah lembut sikit. Ini tidak asyik berkasar aje.”

“Suka hati sayalah!”

“Marah aje. Bulan mengambang ke? Saya tak nak ke pejabat hari ini,” beritahu Firuz Eidil bersahaja.

“Ha? Ah sudah!”

Elfira seakan sukar untuk percaya. Apakah dia tersalah dengar? Bukan setakat Elfira sahaja yang terkejut bahkan Ain Nadia dan Dira Nadia juga terkejut. Suapan mereka terhenti. Mereka memandang ke arah Firuz Eidil.

“Yang Ain dengan Dira tengok along ni kenapa? Tak percayalah tu.”

“Awak, jangan nak bergurau pagi-pagi buta ni boleh tak?”

“Saya seriuslah. Okey kalau awak tak percaya tunggu sekejap.”

Firuz Eidil mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Elfira melihat Firuz Eidil sedang mendail nombor seseorang. Siapa gerangannya dia tidak pasti. Firuz Eidil menatap wajah Elfira. Ingin sekali dia melihat gadis itu berpakaian seperti gadis lain. Agaknya bagaimanalah rupa gadis di hadapannya itu jika Elfira memakai baju kurung atau kebaya?

“Assalamualaikum Sofea.”

“Waalaikumusalam bos,” sahut Sofea dihujung talian.

Sengaja Firuz Eidil membuka pembesar suara. Dia mahu semua mendengar perbualan mereka.

“Sofea hari ini saya tak masuk pejabat. Kalau ada sesiapa cari saya katakan saya cuti dan batalkan semua temujanji saya pada hari ini,” beritahu Firuz Eidil kepada Sofea.

“Okey bos.”

Firuz Eidil mematikan talian.

“Dah percaya sekarang?” soal Firuz Eidil.

Elfira seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi. Lututnya terasa lemah. Dia pasti saat ini, Sofea sedang ketawakannya. Nampaknya tekaan Sofea semalam memang tepat. Ain Nadia dan Dira Nadia berpaling ke arah Firuz Eidil. Lalu Ain Nadia mendekati Firuz Eidil. Dia meletakkan tapak tangannya ke dahi Firuz Eidil.

“Macam mana Ain, normal tak?” tanya Dira Nadia.

“Kalau ikutkan tak panas pun. Normal aje,” jawab Ain Nadia serius.

“Along sihat,” beritahu Firuz Eidil.

“Kau cubit pipi aku,” pinta Ain Nadia kepada Dira Nadia.

Dira Nadia terus sahaja mencubit pipi Ain Nadia.

“Ouchh...sakitlah! Cubitlah perlahan-lahan.”

“Dah kau suruh cubit, aku cubitlah,” jawab Dira Nadia.

“Ya aku tahu. Maknanya aku tak mimpi. Kita di alam realiti.”

“Sudahlah itu kamu berdua ni, along sihat dan kau orang berada di alam realiti.”

“Peliklah along. Setahu kami along workaholic.Tiba-tiba along nak ambil cuti. Itu sesuatu yang ajaib,” laju sahaja Ain Nadia menutur bicara.

“Tak ada yang ajaib. Along ni bukan robot. Sekali-sekala perlukan rehat juga. Betul tak L?”

“Suka hati awak. Yelah awakkan bos,” sela Elfira.

“Tahu tak apa. Ain, Dira tak payah nak tengok along macam tu. Makan aje nasi lemak tu.”

Firuz Eidil terus berlalu ke biliknya.

Elfira menuju ke dapur. Dia mahu membasuh pinggan mangkuk yang kotor. Ain Nadia dan Dira Nadia sambung semula makan. Tidak lama kemudian Firuz Eidil turun semula ke bawah dengan mengenakan T-shirt dan seluar track.

“Along nak pergi jogging ke? Nak ikut,” tanya Dira Nadia.

“Tak. Along nak tolong kau orang kemas rumah.”

“Apa dia along?” tanya Ain Nadia. Dia bimbang jika dia tersalah dengar.

“Sejak bila Ain mengalami masalah pendengaran?” tanya Firuz Eidil.

“Ain nak kepastian. Ain takut salah dengar je.”

“Along cakap along nak tolong kau orang kemas rumah.”

“Kak L!” panggil Dira Nadia.

Elfira yang terdengar namanya dipanggil kelam-kabut menuju ke ruang makan.

“Kenapa Dira?” tanya Elfira cemas.

“Tu...”

Dira Nadia menunjuk ke arah Firuz Eidil. Elfira memandang Firuz Eidil dari atas ke bawah. Firuz Eidil buat gaya macho.

“Awak nak pergi jogging ke?” tanya Elfira selamba.

“Tak. Saya nak kemas rumah,” jawab Firuz Eidil bersahaja.

“Ha? Apa dia?” Elfira tidak yakin dengan apa yang baru didengarinya tadi.

“Awak pun ada masalah pendengaran juga ke?”

“Tak! Tapi saya nak pastikan aje. Mana tahu kalau saya salah dengar.”

“Awak tak salah dengar. Saya memang nak kemas rumah. Jadi, apa yang saya boleh buat?”

Elfira tidak dapat menahan ketawa. Dia terus ketawa terbahak-bahak sehinggakan mengalir air matanya. Dia memang tak percaya Firuz Eidil nak tolong mereka kemas rumah.

“Amboi, seronok sangat gelakkan saya ya. Dah tak payah nak gelak sangat. Cepat beritahu saya nak kena buat apa!” Firuz Eidil meninggikan suaranya. Geram pula dia apabila niat murninya itu diketawakan.

“Janganlah marah.”

Elfira sudah mencebik.

“Marahlah!” beritahu Firuz Eidil jujur.

“Hee menyampahlah! Awakkan bos suka hati awaklah nak kemas apa pun. Rumah awak. Pergilah kemas bilik ke, basuh baju ke? Takkan itu pun nak saya suruh!” Elfira ikut meninggi suara.

Kali ini Ain Nadia dan Dira Nadia pula yang ketawa.

“Kenapa kau orang gelak?” tanya Firuz Eidil dengan Elfira serentak.

“Kelakar tengok along dan Kak L gaduh. Dah macam laki bini bertekak. Along suka Kak L ya?” giat Dira Nadia.

“Along kena ingat, along tu tunang orang, tapikan kalau along suka Kak L pun bagus juga. Kita orang lagi suka kalau Kak L jadi kakak ipar kita orang,” sampuk Ain Nadia.

“Betul, betul, betul. Dira sokong.”

“Dah jangan nak mengarut. Lebih baik kau orang tolong along dan Kak L,” balas Firuz Eidil.

“Kita orang selalu tolong Kak L. Along tu je yang suka buli Kak L.”

Elfira malas melayan kerenah mereka. Lantas dia terus berlalu ke dapur semula. Dalam diam Elfira mula senang dengan sikap Firuz Eidil. Apakah dia mula tertarik dengan Firuz Eidil. Oh tidak!

Ingat L, Firuz tu tunang orang. Jangan cari pasal. Kalau tak niaya hidup kau nanti, bisik hati kecil Elfira.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.