Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
26,265
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 5

DI RUMAH, Salimah tenang menanti kepulangan anaknya bersama jenazah Nek Tijah. Sesekali tangan-nya menyambut salam jiran tetangga yang datang melawat. Seorang wanita sedang sibuk membentang kain kapan di ruang tamu. Sesekali dia bersuara memberi arahan itu dan ini kepada pembantunya.

Sebuah troli mandi jenazah sudah tersedia. Perancangan rapi sudah diatur kemas dengan tirai pengadang dipasang buat sementara. Jenazah perlu terus dimandikan dan dikapankan sebelum maghrib menjelang tiba.

Atas permuafakatan penduduk kampung, aturan ini tidak pernah dibantah oleh tuan rumah atau keluarga si mati. Tiada urusan yang mahu dilengah-lengahkan. Segala yang tidak ada akan diusahakan untuk diadakan. Jika tidak ada di rumah si mati, jiran tetangga pula menawarkan bantuan untuk mengadakannya.

“Jenazah dah sampai.” Kedengaran suara seorang lelaki memaklumkan kepada yang kumpulan wanita di dalam rumah. Berbalam-balam kelihatan sebuah van jenazah merayap masuk ke pekarangan rumah Salimah.

Jam sudah menunjukkan pukul 6.50 petang. Nampaknya urusan perlu disegerakan. Tanpa berlengah jenazah dimandi dan dikapankan. Setelah sempurna, ritual memberikan penghormatan terakhir dilakukan.

Tatkala itu, Luqman muncul sambil berteriak memanggil neneknya. Salimah terkejut. Mahu sahaja ditempelaknya si tempang itu agar berlalu dari situ tetapi hajatnya terbatal apabila dia ternampak Razak turut tercegat di situ. Pantas Salimah memalingkan wajahnya ke arah lain.

“Nek!” jerit Luqman.

Wajah Salimah cemberut. Hatinya memang benci dengan suara itu. Tidak sudi dia hendak menatap wajah Luqman yang terlampau buruk baginya.

“Nenek mana? Lama Man tunggu nenek kat rumah. Tapi nenek tak balik.”

Berdesing telinganya mendengar suara itu. Dia meramas hujung bajunya. Marah memuncak! Salimah berpaling lalu berteriak, “Dia dah mati sebab kau bawa sial!”

Luqman terkesima. Jiran tetangga menganga. Ada pula yang hanya menggeleng-geleng.

“Sabar Salimah, dia tak tahu apa-apa. Jangan marah dia macam tu. Lagipun depan jenazah tak elok cakap kuat-kuat.” Salah seorang jiran bersuara.

Salimah bungkam. Dia bangkit menuju ke dapur. Mungkin mahu mencari ketenangan yang bagaikan tidak bertembung. Entah mengapa marahnya makin membuak dan mahu dilepaskan kesemuanya kepada Luqman, tetapi kerana malu pada jiran tetangga dia cuba melarikan dirinya daripada khalayak ramai.

Luqman didorong oleh Razak agar ke hadapan supaya dia dapat melihat tubuh siapa yang sedang terbujur dan dikerumuni orang ramai. Luqman perlu tahu keadaan sebenarnya nenek kesayangannya.

“Eh, nenek kenapa tidur? Bangun nek, Man lapar. Nek janji nak masak mi bandung Muar hari ni,” ujar Luqman sambil mendapatkan Nek Tijah. Saat itu dia nampak adiknya sedang tunduk menahan esakan.

“Dilaila, kenapa kau nangis? Nenek, kenapa tak bangun-bangun?”

Dilaila mengangkat wajahnya. Dengan mata yang merah dia menarik Luqman agar duduk di sisinya. Tangannya terketar-ketar menyeka air mata sebelum mencium dahi wanita itu. Luqman semakin gelisah.

Kemudian, Dilaila memandang abangnya lalu bersuara, “Nenek dah pergi tinggalkan kita. Kau ciumlah dahi dia.”

Dahi Luqman berkerut. Razak merapatkan bibirnya ke telinga Luqman, “Nenek kau dah meninggal.”

Luqman terdiam. Tubuhnya bergegar.

Dilaila segera mengengsot sedikit untuk memberi laluan kepada Luqman agar memberi kucupan terakhir. Luqman menurut arahan adiknya. Perlahan-lahan dia faham perkara yang sedang berlaku. Air matanya mulai bercucuran. Tetamu yang berada di situ turut tidak mampu menahan air mata. Mereka sepi seribu bahasa hingga yang kedengaran hanyalah esakan yang ditahan-tahan sahaja.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, kita sembahyang maghrib berjemaah kemudian kita solat jenazah. Urusan jenazah ini perlu disegerakan. Tak elok kita lambat-lambatkan.” Suara Imam memecah kebisuan.

Saat jenazah diangkat untuk disembahyangkan, Luqman masih terjelepok. Suaranya tidak kedengaran. Cuma tubuhnya sahaja yang bergegar menahan esakan.

Usai solat maghrib dan solat jenazah, keranda diusung ke dalam van jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Dilaila memapah abangnya untuk menaiki van tetapi ditegah oleh Razak.

“Kamu naik kereta dengan Amer. Biar aku saja naik van.”

Gadis itu akur dan mengekori pemuda itu. Dia dan Luqman duduk di bahagian belakang. Tiada siapa yang berani hendak duduk di sisi pemuda yang belum dikenal rapat itu.

Dilaila lebih banyak tunduk daripada memandang persekitarannya. Dia tidak memandang wajah Amer. Yang dia tahu pemuda itu berkaca mata hitam. Memang pelik bila melihat orang berkaca mata hitam pada waktu malam. Mungkin Amer sakit mata. Tetapi Dilaila terlalu sedih hendak mengambil pusing tentang hal itu. Yang penting dia sampai ke tanah perkuburan.

Kira-kira lima minit kemudian, mereka tiba di tanah perkuburan yang terletak hanya tiga kilometer dari rumah. Terkial-kial Luqman mendaki lereng bukit di kawasan perkuburan kerana liang lahat Nek Tijah telah digali di kawasan yang agak tinggi. Keadaan yang gelap membuatkan perjalanan tambah sukar.

Dilaila memimpin tangan abangnya agar tidak hilang keseimbangan. Amer sudah jauh meninggalkan mereka. Sebaik tiba, jenazah Nek Tijah sudah dikeluarkan dari keranda. Jiran-jiran turut membantu segala yang patut. Razak dan anaknya sudah berada di dalam liang lahat untuk menyambut jenazah. Lampu kalimantang yang dipasang menjadikan tempat itu terang-benderang untuk memudahkan urusan pengebumian.

Air mata Dilaila terhambur lagi. Hiba melihat sekujur tubuh tua yang bersalut kain putih bakal disemadikan hari ini. Namun, di hujung usianya Nek Tijah telah berbakti pada Luqman. Tiada apa yang perlu dikesalkan kerana dia merupakan wanita yang pengasih dan pelindung buat cucunya yang lemah. Dia berhak mendapat tempat yang terbaik di sisi ALLAH S.W.T.

Luqman yang tidak mampu berdiri lagi terus terjelepok. Saat liang lahat dikambus, dia mula meraung. “Nek, kenapa nenek mati? Siapa nak jaga Man? Siapa nak masak mi bandung untuk Man?”

Hancur luluh perasaan Dilaila melihat keadaan abangnya. Dia sendiri tidak tahu nasib Luqman selepas ini. Apakah ibunya sanggup memelihara anak malang itu atau apakah dia akan hidup melarat sendirian di rumah usang tinggalan Nek Tijah?

Suasana sayu menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu tatkala talkin dibacakan. Salimah langsung tidak kelihatan. Dia tidak tega mengiringi jenazah bekas ibu mertuanya di situ. Mungkin dia diselubungi oleh perasaan bersalah atau sebal kerana persengketaan yang berlaku di antara mereka berdua sebelum ini. Atau mungkin memang Salimah tidak selesa berada di tanah perkuburan yang boleh menimbulkan 1001 perasaan yang meresahkan.

“Man nak tabur bunga?” soal salah seorang jiran yang sangat bersimpati terhadap nasib anak muda itu.

Luqman bangkit menyambut bakul bunga yang diunjukkan padanya. Terhincut-hincut dia berjalan merapati pusara Nek Tijah yang sudah menggunung tanahnya. Razak dan Amer yang lencun dibasahi peluh hanya memerhati dengan pandangan sayu.

Bulan yang tadinya bersembunyi kini mulai mencarak langit. Jiran-jiran yang hadir sudah mula bersurai untuk pulang ke rumah masing-masing meninggalkan keluarga si mati di situ. Dalam terang bulan, Luqman menangis lagi.

“Man, mari balik.” Razak memujuk perlahan.

“Man nak duduk sini dengan nenek.” Luqman bersuara sambil menggeleng. Dia sudahpun bersila di atas tanah merah. Kedudukannya pusara itu sangat hampir dengan sebuah liang yang belum digunakan. Dilaila sempat mengerling ke arah liang lahat yang baru digali itu.

“Yang itu untuk Gaban.” Razak pantas memberitahu tanpa dipinta. Mungkin dia faham tanda tanya yang menujah ke benak gadis itu. Dia baru dimaklumkan bahawa Gaban pun telah dijemput ILAHI.

Dilaila mengangguk. Gaban sudah jadi sejarah. Maka tamatlah satu kisah seorangflasher(exhibitionism) atau istilah psikologinya,paraphilias. Ia merujuk kepada kecenderungan individu yang melepaskan nafsu dengan cara menunjukkan alat sulitnya di khalayak umum khususnya gadis dan kanak-kanak perempuan.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh