Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
26,253
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 9

KEENAKAN ikan baung bakar membuatkan Luqman makan dengan lahapnya. Perutnya yang kempis terasa penuh. Badannya berpeluh dek kepedasan sambal belacan buatan Dilaila.

Usai membasuh tangan, Luqman melangkah keluar untuk menyejukkan badan. Lalu tersandar di perdu manggis. Di situ ada pangkin tempat melepaskan lelah selepas penat bekerja atau sekadar ingin lari daripada bahang panas yang terkuap dalam rumah. Di situlah juga menjadi tempat dia sering bermain guli sewaktu kecil.

Batuk Luqman semakin menjadi-jadi. Sekali-sekala perlahan dan sekali-sekala melengking-lengking. Demamnya pun belum kebah. Paru-parunya sesak lebih-lebih lagi jika malam terlalu dingin. Setiap kali batuk pasti lendir cair akan keluar dari mulutnya.

Di dalam bilik, Dilaila sedang bersiap hendak ke rumah Jessila kerana mahu bertemu dengan Jessila yang sudah seminggu pulang ke kampung. Tidak sabar dia hendak ke sana lagi untuk melepaskan rindu yang terbuku.

“Man, aku ke rumah Jess. Kau jangan duduk sini lama sangat. Macam nak hujan ni. Lepas hilang rasa panas, kau mesti masuk rumah. Kau tak boleh kena hujan. Nanti demam dan batuk kau bertambah teruk!” ujar Dilaila separuh menasihati dan separuh mengarah.

Luqman hanya menyeringai. Kemudian mengangguk sambil mengibas-ngibas tubuhnya dengan baju. Tangannya berpeluh dan badannya menggigil. Sesekali dia batuk panjang sebelum mengeluarkan kahak hijau pekat. Dadanya berombak kuat. Kelibat adiknya sudah tidak kelihatan.

“Dah kenyang?” soal Salimah perlahan.

“Dah. Baung bakar cicah kicap... sedap,” balas Luqman sambil menyeringai.

“Kalau dah kenyang, bolehlah kerja lebih sikit. Kau nampak tak rumput-rumput tu dah panjang. Kau ambil sabit ni. Aku nak kau sabit semuanya. Selagi tak habis kau jangan masuk rumah. Faham?”

Luqman mengangguk. Salimah sudah ghaib. Sabit pula terletak di depan Luqman. Sambil merenung ke langit dia meletakkan bajunya di atas pangkin lalu mencapai sabit.

‘Kat mana nak mula ni? Baik dekat dengan pagar sana tu. Rumput dia lebih tinggi,’ getus Luqman dalam hati.

Sambil terhincut-hincut dia berjalan. Sesekali tubuhnya bergegar digoncang batuk yang kuat melengking. Dia takut hendak membantah cakap Salimah. Dia tidak mahu lagi menjadi mangsa kayu api. Kalau dia enggan, tubuhnya akan lebam dan calar-balar apabila digasak dengan kayu api oleh ibu kandungnya sendiri.

Tiba di tepi pagar, dia mencangkung. Lalu mengayunkan sabit itu perlahan-lahan. Pergerakannya terbatas kerana kedua-dua belah tangannya sedikit bengkuk. Jadi, dia tidak boleh memegang sabit dengan kemas. Untuk mengukuhkan pegangannya. Luqman akan memegang sabit dengan kedua-dua belah tangan dan mengayun bersama dalam satu masa.

Sedang galak dia mengayun, rintik-rintik hujan menujah ke wajah dan badannya. ‘Tadi Dilaila suruh masuk dalam rumah kalau hujan. Tapi nanti mak marah. Mak kata sampai semua rumput ni disabit. Macam mana ni? Man nak buat apa ni?’ Lelaki itu menggaru-garu kepalanya.

Dia berpaling dan ternampak Salimah sedang mengintai dari tingkap.

“Hujan sikit saja tu. Jangan berhenti. Rumput basah lagi senang kau nak sabit. Teruskan!”

Mendengar arahan ibunya, Luqman akur. Lalu dia meneruskan lagi kerjanya meskipun batuk semakin berat dan badan semakin lesu. Ada kalanya tangan tidak mampu diangkat. Apatah lagi hendak menebas.

Kilat dan petir semakin galak. Hujan semakin lebat. Luqman berpaling lagi. Dia nampak pintu dan tingkap sudah ditutup. Tiada lagi kelibat ibunya. Dia bangkit tetapi terduduk semula. Dadanya sempit. Tercungap-cungap dia hendak bernafas. Akhirnya dia tewas di laman.

DI RUMAH Jessila, Dilaila dan rakannya itu sibuk bercerita tentang perkembangan hidup masing-masing dan sekali-sekala bergurau senda. Bilik yang sederhana besar menjadi saksi persahabatan mereka yang sudah bermula sejak kecil lagi.

“Kenapa tak bagi tahu aku nenek kau dah meninggal?” soal Jessila dengan nada merajuk.

Dilaila pantas memberikan alasan, “Kalau aku bagi tahu pun kau bukan boleh balik. Kau sibuk kan?”

“Sekurang-kurangnya kau maklumkan. Ini tidak, senyap aje. Terkejut aku bila sampai rumah tadi, mak aku bagi tahu yang Nek Tijah dah tak ada. Kesian Luqman terpaksa tinggal dengan mak kau.”

“Itu yang paling buat aku susah hati. Mak aku tak berubah langsung. Sekarang ni makin menjadi-jadi dia kenakan Luqman. Sedih aku tengok dia terseksa macam tu. Aku tak fahamlah kenapalah mak aku benci sangat dengan dia? Patutnya dia kena lebih simpati pada Luqman yang tak sempurna tu.”

“Nenek kau tak ada cerita ke kenapa mak kau jadi macam tu? Luqman bukan anak kandung mak kau ke?”

“Hish... tak baik tau kau kata macam tu. Luqman abang aku dunia dan akhirat!”

“Maafkan aku. Sebenarnya aku tak sangka yang ada ibu sanggup layan anak kandung sendiri macam tu.”

“Nenek aku ada beri tahu yang mak tak boleh terima Luqman sejak lahir lagi. Dia kena kahwin paksa dan buat perangai. Lepas berlaku perselisihan faham dengan nenek, ayah aku keluar rumah dan tidak pulang sampai sekarang.”

“Bila ayah kau tinggalkan kau sekeluarga? Masa kau kecil?”

“Aku tak pasti. Mungkin dia tinggalkan kami masa mak mengandungkan aku. Bila nenek dah tak ada, cerita tentang ayah aku pun turut sama berkubur sebab mak akan mengamuk kalau aku tanya fasal ayah.”

“Hmm... benci betul dia pada ayah kau. Mungkin sebab tu dia kenakan Luqman. Manalah tahu kalau muka Luqman mirip ayah kau. Semakin kuatlah dendam dia kan?”

“Entahlah tapi mungkin ada kebenarannya juga.”

“Kau tak nak cari ayah kau?”

Dilaila mengangkat bahu. “Untuk apa? Dia pun tak pernah ingat tentang kami.”

Jessila merenung wajah temannya. Kasihan benar dia dengan nasib Dilaila yang terbelenggu dengan masalah keluarga. “Habis tu... macam mana kalau kau nak bernikah nanti? Kau kena cari dia juga.”

Dilaila tergelak kecil. “Gilalah kau ni. Aku baru nak ambil SPM, lagipun belum tentu aku kahwin. Siapalah yang nak aku budak kampung yang selekeh dan miskin ni.”

“Hei, jangan cakap macam tu. Aku pun budak kampung juga. Tapi kau tengok aku ni,” ujar Jessila sambil bangkit dan memusing-musingkan badannya seperti lagak seorang peragawati.

Dilaila tertawa melihat gelagat rakannya. “Wah, pandainya kau bergaya. Benda macam ni ada diajar di universiti ke?”

Gadis berkulit putih gebu itu menggeleng. “Tak ada, tapi di sana kita kena cepat belajar dari persekitaran. Di sana ada macam-macam manusia daripada latar belakang berbeza. Kalau rasa nak jadi macam orang kaya, tengoklah gelagat anak-anak orang kaya. Kalau rasa nak jadi budak pandai, tengoklah gelagat budak-budak pandai.”

Dilaila melongo. Sukar untuk dibayangkan suasana yang dimaksudkan oleh Jessila, tetapi hatinya melonjak hendak berada di tempat yang gah itu. Patutlah universiti diumpamakan sebagai menara gading. Ia merupakan satu tempat yang sangat istimewa dan hanya mampu dihuni oleh orang-orang yang bijak dan bertuah sahaja.

Kemudian, orang-orang inilah nanti akan keluar dan menjadi pemimpin syarikat, organisasi dan dunia. Ah, betapa hebatnya tempat yang bernama universiti itu, bisik hati kecil Dilaila. Dia mula berangan.

“Kau nak tahu tak satu lagi perkara yang paling seronok kat sana,” soal Jessila sambil merebahkan semula tubuhnya ke tilam.

“Apa dia?” balas Dilaila seraya merapatkan tubuhnya ke sisi Jessila.

“Lelaki... di sana ada ramai pelajar lelaki yang tampan dan hebat.”

“Hish... malulah nak cerita fasal lelaki.”

Come on, Dilaila. Zaman sekarang dah berbeza. Perempuan sudah tidak perlu malu berbicara tentang lelaki kerana kita pun boleh memilih lelaki mana yang kita mahu.”

Gadis itu melongo lagi. Air liurnya hampir meleleh, “Wah, boleh pilih?”

“Mestilah, kau tahu tak di sana ramai lelaki yang lebih senang kalau perempuan yang mulakan dulu.”

“Hee... malunya. Tapi ada tak yang rupa macam Korea?”

Jessila tertawa nyaring. Sekalipun UiTM untuk pelajar bumiputera tetapi Shah Alam sendiri menjadi tumpuan warga asing untuk belajar di kolej swasta sekitarnya termasuk University of Madinah yang terletak di Plaza Masalam.

“Dilaila, jangankan Korea, Negro, Nepal, Arab pun ramai,” Jessila tergelak besar sebelum menyambung semula kata-katanya, “Kalau nak berjaya dan dapat apa kita nak, hal malu kena tolak tepi. Kita kena bersaing dalam segala hal. Termasuk soal lelaki.”

“Wah, hebatnya kau.” Dilaila tidak putus-putus menyuarakan kekagumannya kepada perkembangan rakannya yang baru dua tahun berada di universiti, tetapi cara pemikirannya jelas berubah. Daripada gadis yang introvert, dia kini semakin ekstrovert dan berkeyakinan.

Dilaila pantas membuat serkap jarang, “Hmm... dah ada ke calon yang menarik hati kau?”

Terdengar saja soalan Dilaila, mata Jessila terus bersinar-sinar dan dengan senyum yang terukir di bibir dia membuat pengakuan, “Hatiku sudah dimiliki.”

Dilaila tertawa menggelekek. Bagaikan hilang segala kesedihan yang bermukim di hati, “Siapa? Kacak? Kaya? Bijak?”

“Mestilah... kalau tak, takkan aku nak jatuh cinta,” Jessila menjawab sambil mengenyit mata.

“Ceritalah siapa dia?” Dilaila semakin teruja.

Sambil menggentel-gentel bucu bantal, Jessila bercerita, “Dah lama juga aku kenal, tapi tidak mesra. Aku tak tahu apa yang buat aku gila sangat pada dia. Bukan tak ada pelajar lelaki yang cuba pikat aku tapi aku tetap suka dia. Aku ni dah macam gila bayang sebab asyik teringatkan dia.”

“Eee... angaulah ni! Melayu?”

“Melayulah beb. Fuhh kalau kau tengok muka dia, mesti kau pun cair! Yang paling tak boleh lupa bibir dan rambut dia.”

Dilaila berteriak sambil tertawa menggelekek. “Hish... tak kuasalah aku nak syok kat pakwe kau!”

Jessila tersenyum sambil menganguk-angguk mengiakan kata-kata rakannya. “Baiklah, kalau aku cerita pun tak guna. Bila kau tengok sendiri nanti, barulah kau tahu. Yang lebih mengejutkan sebenarnya dia budak kampung ni juga. Tapi aku tak pernah tengok dia. Aku rasa kau pun tak kenal dia.”

“Dia baru pindah kat tanah lot sana kot,” Dilaila pantas memberikan andaian.

Gadis itu mengangguk. “Bapa dia dulu askar. Dah pencen dan baru tinggal di kampung ni sejak beberapa tahun lepas. Dia pula belajar di Maktab Tentera, habis SPM terus masuk UiTM. Sebab tu kita tak pernah nampak dia.”

“Siapa nama ayah dia? Manalah tahu kot aku kenal.”

“Eh... biarlah jadi dulu. Kalau tak jadi nanti malu aje. Aku yakin naik semester depan dia mesti jadi kekasih aku.”

“Yakinlah sangat.” Dilaila sempat menyindir namun, fikirannya terus berlegar pada perkataan ‘askar pencen’ yang disebut oleh Jessila.

“Hidup kena ada keyakinan barulah berjaya! Okey kita berhenti dulu bercerita tentang aku. Nanti kita sambung Episod 2. Sekarang ni cerita kau pula. Kau macam mana? Apa cerita Fitri yang suka kacau kau dulu?”

“Hmm... budak sewel tu? Entah aku malas nak layan. Tapi baru-baru ni ada seseorang yang dah buat hati aku gelabah.”

“Ha? Ya ke siapa? Ada budak Korea ke di kampung kita ni?” perli Jessila sambil tertawa mengekek.

Ada getar dalam hati Dilaila. Dia sendiri cakap tak serupa bikin. Bibir dan hati tidak seiring. Kelibat Amer terbayang di layar matanya. Tiba-tiba dia berasa malu hendak meneruskan.

“Eh, aku acah saja. Tak ada apa-apa yang menarik nak aku kongsi. Jess, fasal budak kampung kita tu, takkan tak ada gambar dia? Mesti kau ada ambil gambar curi.” Dilaila pantas mengalih tumpuan.

Jessila tertawa lagi. Bahagia benar hatinya kini, “Pandailah kau ni. Elok jadi penyiasat persendirian. Kejap ya aku tunjuk gambar dia dalam telefon aku ni.”

Dilaila mengangguk penuh teruja. Dia segera merapatkan kepalanya dengan kepala Jessila.

“Janji tau. Ini rahsia. Hanya kau dan aku saja. Kau jangan cerita dengan sesiapa waima Luqman pun.”

Dilaila segera mengangkat tangan, “Janji, sumpah!”

Jessila tertawa menyeringai. Perlahan-lahan dia segera membuka telefonnya. Kemudian selepas beberapa turutan gambar maka keluarlah gambar sekumpulan pelajar sedang berkumpul. Lalu dihulurkan pada Dilaila.

Senyuman masih terukir di bibir gadis itu. “Ni ada lima orang. Tekalah yang mana satu?”

“Aku tak pandai tekalah.” Suara Dilaila sedikit kendur. Ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.

“Yang pakai Ray-Ban hitam, baju Melayu merah. Ada rambut terjuntai kat dahi.”

Bum! Bagaikan sebiji bom meledak di atas kepalanya. ‘Ah, kenapa yang itu? Kenapa kau pun suka dia?’ getus gadis itu dalam hati. Dilaila terpaku tanpa sebarang reaksi yang mengujakan.

“Kenapa? Kau macam terkejut aje? Kau tak berkenan ke?” soal Jessila yang terkejut melihat reaksi negatif rakannya. Kemudian dia menyambung semula kata-katanya, “Walaupun kau rasa dia tak kacak, tapi pada aku dialah lelaki idaman Malaya.”

“Oh ya ke? Tak kacak mana pun,” balas Dilaila dengan suara bergetar.

“Dengkilah tu, tapi yang penting dia baik sangat. Lebih-lebih lagi bila tahu aku ni junior sekampung. Dia selalu ambil berat pada aku. Sampai kakak senior pun cemburu.”

Dilaila mengeluh, “Aku peninglah. Aku nak balik.”

“Eh, kau belum jawab lagi. Okey ke tidak mamat tu dengan aku?”

“Okey kot.”

“Takkan okey saja? Entah-entah kau pun kenal dia kan?” Saat itu mata Jessila bulat memandang sahabatnya. Dia pelik dengan reaksi kurang memberangsangkan Dilaila terhadap pemuda pujaan hatinya itu.

“Ermm... hujan dah teduh ni. Mak aku marah kalau aku lambat. Aku balik dulu ya,” Dilaila masih berusaha untuk mengelak.

Gadis berambut panjang itu melompat lalu mendepakan tangan dengan niat mahu menahan Dilaila daripada pergi.

Tetapi segera ditepis keras oleh si gadis, “Aku nak balik! Tak faham ke?”

“Adoi!” tempik Jessila sambil berkerut menahan sakit. Tepisan tadi menyebabkan dia hilang keseimbangan dan terdorong ke tepi. Bahunya berlaga dengan bucu almari. Dia menyeringai menahan sakit.

Dilaila sudah tidak peduli apa-apa. Yang penting dia mahu segera ghaib dari situ. Terasa jantungnya pedih bagai ditusuk sembilu.

Jessila berasa pelik melihat perubahan mendadak rakannya itu. Namun, dia tidak kuasa hendak menegah lalu dibiarkan sahaja kehendak Dilaila. Sambil menggosok lengannya yang merah, dia merungut, ‘Buang tabiat agaknya budak ni!’

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh