Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
26,267
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 8

WAJAH Salimah kemerah-merahan menahan malu. Entah mengapa sejak kebelakangan ini, acap kali dia dan keluarganya menyusah-kan-- lelaki itu. Walaupun berstatus saudara tetapi- dia tidak mahu terus-terusan mengharapkan bantuan Razak.

“Minta maaf, Razak. Kalau kau tak ada tadi, entah apa-lah jadi pada anak aku.”

“Tak apalah. Bukan aku yang tolong pun. Mujur Amer baru balik dari masjid. Dia nampak ada orang terbabas masuk longkang. Bila dia cuba tolong, barulah dia tahu yang itu Dilaila.”

“Terima kasih Amer, mak cik terhutang budi pada kau.”

“Perkara kecil saja mak cik. Yang penting Dilaila selamat.”

Salimah mengangguk. Kalau boleh dia mahu mereka segera pulang. Malu dia kalau mereka tahu kenapa anak gadisnya menunggang basikal sendirian dalam keadaan gelap gelita.

“Err... anak kau tu nak ke mana sebenarnya? Kenapa kau biarkan dia menunggang basikal seorang diri? Dia tu anak dara. Kalau jadi perkara buruk pada dia, kau yang menyesal nanti,” soal Razak yang memang mengambil berat terhadap keluarga Salimah.

“Kalau dia tak sedar juga sekejap lagi, kau beritahu aku. Kita kena bawa dia ke hospital. Manalah tahu kalau ada pendarahan dalaman.” Razak bersuara penuh prihatin.

“Ha... yalah. Harap-harap tak ada apa-apa. Nanti aku kejutkan dia. Err... Amer ni cuti panjang ke? Atau dah habis belajar?” Salimah sengaja berbasa-basi dengan sedikit rasa cuak kerana beberapa hari ini kerap dia ternampak pemuda itu lalu lalang di depan rumahnya.

“Oh, belum habis lagi makcik. Sekarang ni saya buat praktikal.”

“Oh, praktikal di mana?”

“Di syarikatOil & Gas di bandar,” balas Amer sambil termalu-malu. Entah kenapa hatinya kembang kuncup bila ditanya begitu oleh Salimah. Debarannya bagaikan sedang disoal siasat oleh bakal mertua.

Kemudian, Razak pula menyampuk. “Praktikal sekejap. Lepas tu sambung belajar balik setahun lagi. Dua bulan lagi habislah praktikalnya.”

“Baguslah kalau macam tu. Nanti dapatlah bantu mak dan ayah ya,” ujar Salimah perlahan. Kalau Luqman sihat tentu dia pun sudah mampu berdikari seperti Amer. Hatinya tergores luka.

Pemuda itu mengangguk perlahan. Dia sendiri belum tahu apakah dia akan cepat mendapat pekerjaan atau tidak. Tapi memang itulah azamnya. Dia mahu membantu bapanya yang sedang bertungkus lumus membesarkan perniagaan memproses tempe.

Yang pasti hatinya pun sudah terbetik sesuatu yang sukar diungkapkan. Dia sudah memasang niat untuk meminang Dilaila apabila dia sudah mendapat pekerjaan tetap kelak.

TERKEBIL-KEBIL mata Dilaila mendengar suara di luar bilik. Dipandangnya sekeliling. Dia berada di dalam biliknya sendiri. Segera dia menyingkap selimut dan bangkit. Dia merapati daun pintu dan menguaknya sedikit. Dari celah pintu dia nampak Razak dan Amer duduk sambil meneguk teh O.

Dilaila terus memasang telinga. Terdengar ibunya menyalahkan dia. Keluhan berat dilepaskan. Bukan dia sengaja. Yang dia ingat dia jatuh ke dalam longkang. Lepas tu dia tidak ingat apa-apa. Hinggalah bila dia sedar tadi, dia sudah berada di katil.

Sebaik tetamunya pulang, barulah dia bangkit. Baru sahaja dia hendak mencapai pintu, ibunya sudah pun tercegat di situ. Terkebil-kebil Dilaila memandang ibunya yang sedang menyinga.

“Ha, dah sedar pun kau. Itulah degil sangat. Sanggup hantar budak bodoh tu ke kebun. Tak fasal-fasal jatuh basikal. Lepas tu ponteng sekolah! Dahlah nak periksa tahun ni. Ingat, Dilaila, kalau kau tak lulus aku kahwinkan kau. Tak kuasa aku nak jaga anak dara degil macam kau ni. Memalukan orang saja!” Salimah terus mengherdik tanpa memberi peluang pada Dilaila menceritakan kejadian yang berlaku.

Gadis itu hanya tunduk tercegat macam patung cendana. Setelah ibunya selesai bersyarah, dia segera melabuhkan punggung di sofa di ruang tamu. Teko dan cawan yang digunakan oleh tetamu tadi masih ada di situ. Dia bangkit lalu mencapai dulang dan menyusun teko serta cawan di atasnya.

Sebaik sahaja menyentuh cawan yang digunakan oleh Amer, senyumannya tiba-tiba terukir. Hilang terus rasa sakit di badan dan hati. Dia mula membayangkan wajah pemuda berhidung mancung dan beralis tebal itu sedang meneguk cawan yang dipegangnya.

“Yang tersengih-sengih macam kerang busuk tu kenapa? Bawa cawan tu ke dapur!” Nyaris terlepas cawan yang dipegangnya bila disergah oleh ibunya yang memerhatikan gelagatnya penuh geram.

Segera Dilaila bangkit dan menuju ke dapur. Tetapi di dapur, dia terus memasang angan-angan tanpa mempedulikan kemarahan ibunya. Biarpun dia mempunyai persepsi negatif terhadap lelaki Melayu sebelum ini, namun jika Amer yang meminangnya, dia mungkin akan terima.

‘Ah, bolehlah dipertimbangkan tapi kalau janji tinggal janji, bagaimana? Amer mungkin takut hendak meminangnya. Andartulah aku kalau tunggu si Amer tu,’ getus hati sambil tersengih.

Sedang asyik berkhayal, barulah dia tersedar yang hari semakin tinggi. Sebentar lagi Luqman akan pulang. Jadi, dia mahu memasak hidangan istimewa untuk Luqman. Pantas dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan ayam.

“Kau nak buat apa dengan ayam tu?” soal ibunya yang tiba-tiba muncul dari belakang.

“Nak goreng kunyit,” balasnya perlahan.

“Goreng seketul saja. Aku tak mahu.”

“Lebih sikit ya mak, nanti Luqman balik lapar. Seketul tak cukup.”

“Seketul untuk kau bukan dia! Untuk dia kau goreng saja ikan kering.”

“Ikan kering tak ada khasiat. Biarlah dia makan ayam. Dah lama dia tak makan ayam. Dulu hari-hari nenek gorengkan dia ayam.”

“Itu dulu. Sekarang ni nenek dia dah tak ada. Aku bukan senang macam nenek dia. Kalau hari-hari makan ayam, orang kaya pun boleh bankrap.”

Mendengarkan kata-katanya ibunya itu, dia melepaskan keluhan sambil menyimpan semula ayam tadi ke dalam peti sejuk. Patah niatnya untuk membuat ayam goreng kunyit. Dicapainya pula ikan kering. Sejak tinggal di situ, itulah hidangan harian Luqman. Kadang-kadang ikan kering pun tak diberikan. Luqman hanya makan nasi dengan sayur sahaja.

Periuk nasi dicapai lalu didekatkan ke hidung. Sudah ada bau yang menyengat. “Mak, masak nasi baru ya, nasi ni dah nak basi.”

“Masak setin saja. Nasi tu kau letak tepi jangan buang,” balas ibunya yang sedang asyik menyapu lantai.

Dia mengangguk. Nasi semalam disenduk keluar kemudian periuk dibersihkan. Tong beras dibuka lalu dimasukkan satu tin beras ke dalam periuk. Dia terhenti sambil mengerling ke arah ibunya, dia segera menambah setengah tin lagi sebelum segera menutup tong dan membasuh beras.

Siap menjerang nasi, dia mencari cili hidup untuk membuat sambal belacan. Buah bacang yang dikutipnya semalam sudah ranum. Enak kalau dicampurkan sekali sebagai ramuan sambal belacan. Senyuman terukir bila dia membayangkan Luqman makan dengan lahapnya.

Siap memasak, dengan berseluar trek dan berkemeja-T, dia melangkah menuju ke reban ayam. Di situ ada joran yang disisip pada bumbung reban. Kemudian dia mencapai cangkul lalu menuju ke tepi longkang.

Berkerut wajahnya menahan tangan yang sakit dia mengobak tanah lembut. Sebaik tanah terkobak, beberapa ekor cacing mengerekot cuba menyembunyikan diri. Dengan pantas dia menarik cacing-cacing itu lalu dimasukkan ke dalam plastik. Puas hati dengan habuan yang diperoleh, dia bangkit lalu bergerak menuju ke baruh.

“Kau nak pergi mana tu?”

Suara melengking di pintu dapur membuatkan dia hampir melompat kerana terkejut. Dia berpaling lalu bertentang mata dengan ibunya yang sedang menyinga dengan penyapu tersisip di celah ketiaknya bagaikan polis pencen dengan selaras senapang patah.

“Nak pergi baruh, cari ikan.”

“Baru aje jatuh basikal dah nak ke baruh pula. Hari dah tinggi. Kau jangan nak cari fasal. Nanti keteguran, aku juga yang susah.”

“Kejap aje. Tengah hari nanti Dilaila balik.” Gadis itu sudah pun berpaling kembali dan tetap meneruskan hasratnya.

Salimah mendengus. Pintu dapur dihempasnya dengan keras. Hatinya panas. Semenjak Luqman ada di rumah mereka, Dilaila semakin berani melawan cakapnya. Setiap kali dia mahu melakukan sesuatu pada Luqman, anaknya itu akan membela abangnya. Itulah yang membuatkan hati Salimah semakin terbakar. Dendam kesumatnya semakin bergelora.

‘Mesti nak cari ikan untuk anak tak guna tu.’ Salimah membuat kesimpulan dalam hati. ‘Kau ingat kau bijak, siaplah kau nanti. Luqman takkan hidup lama!’

LANGKAH dilajukan. Sebelum ini dia tidak pernah pergi ke baruh seorang diri. Biasanya dia akan bersama Jessila atau pun mencuri-curi keluar dengan Luqman kerana dia geli pada cacing. Tetapi pada hari ini, demi mendapatkan ikan baung untuk Luqman dia menguatkan hati untuk memegang cacing.

Musim hujan sudah bermula dan cuaca tidak menentu. Keadaan sungai akan berubah sekelip mata. Kebetulan hari ini air sungai naik ke paras tebing. Biasanya kalau musim begini, saiz ikan akan lebih besar sekali ganda daripada biasa. Walaupun Dilaila hanya membawa cacing sebagai taruhan, dia berharap yang dia tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Gadis itu kenal dengan jenis-jenis ikan sungai yang sememangnya sedap kalau digoreng kunyit atau dibakar begitu sahaja. Ikan-ikan itu ada tabiat umpan yang digemari masing-masing. Misalnya ikan lampam yang nama saintifiknyapuntius schwnenfeldii gemarkan umpan buah sawit. Baung ataumystus nemurus pula gemarkan umpan tapa kemboja (umpan jeruk campuran anak ikan, cacing udang dan sebagainya).

Manakala puyu, haruan dan keli pula gemarkan umpan anak tebuan goreng tanpa minyak. Tapi semua itu memerlukan persiapan rapi. Sedangkan dia tidak ada masa. Jadi, umpan semula jadi ialah pertaruhan terbaik buatnya. Cacing pasti tidak akan mengecewakannya.

Semakin hampir Dilaila dengan sungai, semakin galak hujan menitip di wajahnya. Namun, demi Luqman dia tetap meneruskan langkahnya. Biarlah suluh senduduk melelas lengan hingga timbul garisan merah atau agas mengerumuni luka di lengannya, dia tega meredah belukar.

Tiba di tepi tebing, dia terus meniti batang kelapa tanpa rasa cuak untuk menyeberangi sungai. Selamat meniti, matanya melingas pula mencari lokasi strategik. Akhirnya hati dan akal sepakat untuk memilih perdu pokok petai untuk melabuhkan punggung sementara menanti kail dimakan ikan.

Dia meletakkan pancing di sisinya lalu membuka plastik berisi cacing. Dengan tangan terketar-ketar dia menusuk badan cacing itu ke mata kail. Bila terputus disambung lagi. Menggeletik cacing yang kesakitan akibat dikorbankan demi menewaskan seekor baung. Perasaannya usah ditanya, rasa geli geleman terpaksa ditahan kerana semangatnya begitu membara.

Setengah jam berlalu, akhirnya dia terasa yang pancingnya direntap-rentap keras. Dengan penuh debaran, Dilaila menahan pancing agar ikan yang mengganas tidak terlepas. Akhirnya baung bersaiz lengan budak dapat ditewaskan. Memang rezeki menyebelahinya. Baung tadi ditarik keluar dari mata kail lalu dipasangnya cacing yang baru.

Semangatnya semakin berkobar-kobar. Cukuplah kalau dapat seekor lagi baung, lampam, puyu, haruan atau sebarau dan sememangnya kalau dapat ikan ini bererti hari ini dia dapat rezeki harimau. Malangnya sudah setengah jam berlalu, umpan hanya menjadi makanan ikan kecil. Setiap kali ditarik hanya mata kail sahaja yang kelihatan. Dilaila semakin kecewa.

‘Semua ikan dah kenyang agaknya atau ada orang lain yang pasang umpan lagi sedap?’ Gumam si gadis sendirian sambil menoleh ke sekeliling. Tidak nampak orang lain melainkan dirinya seorang sahaja di situ. Lagipun siapalah yang bodoh sangat nak memancing waktu hujan.

Selepas hujan beransur teduh dan bayang-bayang sudah berada di bawah kaki bererti matahari sedang mencarak langit. Sambil mendongak dengan mata dikedipkan, dia bermonolog, ‘Ah, baik aku pulang. Biarlah walau seekor asalkan Luqman dapat makan daripada dia pulang dan aku pula masih lagi kat sini menunggu pancing yang tidak diragut ikan.’

Sebaik berkemas dia terdengar sesuatu di belakangnya. Pantas bulu romanya meremang. Kejadian subuh tadi segera menular ke benaknya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kenyang. Dengan bunyi ranting patah yang semakin dekat, dia sudah tidak mampu berfikir apa-apa melainkan bangkit dan mengambil langkah seribu menuju ke titi batang kelapa untuk menyeberang semula.

“Tunggu!” Laungan satu suara garau membuatkan jantungnya melonjak dan tatkala itu dia sudah pun berada di tengah-tengah titi. Tanpa dapat berpaut pada apa-apa, dia hilang keseimbangan. Langkahnya tewas dan dia tergelincir lalu berdebur ke dalam sungai yang keruh. Seluruh tubuhnya tenggelam bagaikan anak gajah jatuh ke dalam sungai meninggalkan gelang-gelang air melingkar di atas permukaan.

Satu saat, dua saat, tiga saat... fikirannya kosong. Empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan... tubuhnya ditarik lalu kepalanya keluar dari air dan dia menggelupur untuk bernafas semula. Mujur pinggangnya dipaut erat jika tidak tentu dia akan tenggelam semula.

Dia tidak mampu berpaling untuk melihat siapa di belakangnya yang masih memaut pinggangnya. Ironinya dia tetap memegang pancing dan plastik berisi baung. Ertinya dia tidak melepaskan kedua-dua pegangannya meskipun dia sepatutnya berusaha untuk timbul di permukaan air demi menyambung nyawa!

“Maafkan saya!” ujar suara itu sambil melepaskan pelukannya sebaik Dilaila sudah mampu mengapungkan diri.

Tanpa mempedulikan lelaki itu, dia cuba naik ke tebing dengan meranduk air. Perlahan-lahan Dilaila meredah arus sungai setinggi paras dagunya. Kaki dan tangannya masih menggeletar. Akhirnya dia tiba di tepi tebing dan mencampakkan pancing serta plastik ke atas tebing.

Lelaki tadi hanya memerhati dan berjaga-jaga takut kalau si gadis hilang keseimbangan dan dibawa arus. Dengan berpaut pada akar-akar kayu, Dilaila memanjat tebing itu hingga sampai ke atas. Di situ dia melabuhkan punggung dan terkedu dengan tubuh yang lencun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Lelaki itu memandang ke arahnya. Dilaila pantas menarik bajunya yang melekat dan menonjolkan benda yang tidak sepatutnya dilihat. Apatah lagi dia memakai kemeja-T putih. Pantas tangannya disilangkan ke dada. Amer segera mengalihkan pandangan sambil tersengih nakal.

“Bahaya datang sini seorang diri.” Perlahan lelaki itu berbicara sambil menahan mengah.

“Tak bahaya kalau tak ada yang ganggu!” tempelak Dilaila yang masih marah kerana yakin bahawa Amer merupakan punca dia jatuh.

Jejaka itu tersenyum. Beberapa helai rambut terjuntai-juntai menutupi sebahagian daripada matanya. Tangannya yang sasa pula meraup sisa-sisa air di wajahnya sambil bersuara, “Saya minta maaf. Saya tak berniat nak buat awak terperanjat.”

Dilaila mengerling, “Bodoh! Siapa yang tak terperanjat kalau disergah di tempat sunyi seperti ini? Hari ni hari Isnin, awak tak kerja ke?”

Serta-merta senyumannya hilang. Tidak pernah seumur hidupnya dicerca begitu. Dia tahu memang gadis itu sangat marah. Lalu dia berpatah balik menyeberang sungai sebelum kembali dengan segugus karung plastik di tangannya.

“Maaf ya, saya tahu saya salah. Sebenarnya saya demam tapi bosan duduk rumah, saya pergi menjala. Dari tadi saya nampak awak memancing seorang diri, tapi takut nak tegur. Awak pun tak perasankan saya. Sebenarnya, saya nak beri awak ikan-ikan ni. Tak sangka pula awak terjatuh. Ambillah ni. Ada haruan, baung dan lampam. Cukuplah untuk awak sekeluarga.”

Ah, indahnya saat dia menghulurkan satu karung plastik mengandungi beberapa ekor ikan kepada Dilaila. Bulat mata Dilaila memandang karung itu tanda tergoda. Ini bukan lagi rezeki harimau tapi rezeki gajah! Hatinya berteriak!

Lantas dia menjerit, “Yahuu...Dum spiro, spero!

“Apa? Dumspero?” Giliran lelaki itu pula terkejut.

Dum spiro, spero! Bila aku bernafas, aku berharap!” Pantas Dilaila menarik karung yang dihulur lalu dengan pantas berlari meninggalkan si lelaki itu terpinga-pinga.

Bukan dia tidak mahu berlama-lama tapi dia terlalu malu hendak menatap wajah Amer. Lelaki itu telah membuatkan hatinya gundah gulana dan sering muncul pada waktu yang tidak disangka-sangka.

‘Hai, dahlah tak berterima kasih, dia blah macam tu aje? Memang bodohlah lelaki yang syokkan dia... macam aku,’ Amer merungut sambil tersenyum. Puas menghantar langkah Dilaila dengan renungan matanya, dia segera berpaling untuk mengambil barang-barangnya yang terdampar di tepi tebing sebelah sana.

‘Bila aku bernafas, aku berharap. Hmm... maknanya dia mungkin mengharap ikan yang banyak hari ini,’ getus hati kecil Amer sambil tertawa sendirian. Tatkala itu matanya turut melingas melihat kalau-kalau ada barang Dilaila yang tercicir. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, sekali lagi dia tersenyum bila nampak pancing yang terdampar di sisinya. Ertinya dia masih ada peluang untuk berkeliaran di rumah gadis itu lagi.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh