Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
26,263
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 6

SEMUA jiran tetangga sudah pulang. Dilaila mengemaskan mana-mana barang yang berselerak di depan mata. Salimah pula lebih senang duduk dan termenung. Tidak dihiraukannya siapa yang lalu lalang di depannya.

Melihat ibunya masih termangu, dia segera mengambil wuduk dan bersolat isyak. Dibiarkan sahaja perutnya berkeroncong. Sejak pagi tadi dia belum menjamah makanan dengan sempurna. Cuma tengah hari tadi dia cuba menelan sesuap dua, tetapi gagal. Selera makannya sudah hilang.

Usai solat dia bersimpuh di depan ibunya sambil menyuarakan persoalan yang terbuku sejak siang tadi, “Luqman macam mana? Dia duduk sini ya?”

Si ibu hanya diam. Dilaila serba salah. Dia tidak mahu kelihatan terlalu mendesak kerana bimbang ibunya akan mengamuk. Tetapi secara halusnya dia sudah membuat keputusan. Mahu atau tidak, ibunya perlu menerima Luqman di rumah mereka.

Tanpa memberikan jawapan, wanita itu bangkit lalu meninggalkan Dilaila termangu-mangu di situ. Belum pun sempat dia bangkit, kedengaran enjin kereta di depan rumah dan diikuti dengan suara orang memberi salam.

Dia bingkas ke ruang tamu dan terkejut bila melihat Amer terjengul di situ. Di belakang Amer ada Luqman dengan sebuah beg plastik di tangannya.

“Waalaikumussalam... masuklah,” Dilaila menjawab termalu-malu.

“Terima kasih... mak cik mana?” soal lelaki itu perlahan, masih lagi berkaca mata hitam.

“Err... dah tidur. Dia tak sihat. Terima kasih sebab hantar Luqman. Menyusahkan awak saja.”

“Alah tak susah pun. Luqman ni bagus. Tak sangka dia ni manja dan pandai buat lawak,” ujar Amer sambil tertawa halus dengan suara sedikit garau.

“Luqman cakap terima kasih pada abang ni sebab belanja makan.”

“Alah, tak perlu berterima kasih. Ermm... dalam beg tu ada seluar lama Luqman. Kebetulan masa makan tadi dia kata zip seluar dia dah rosak. Jadi, saya belilah yang baru.”

Dahi luas Dilaila berkerut. ‘Sudahlah makan percuma, dia belikan seluar pula. Kenapa dia ni baik sangat?’ Dilaila merungut di dalam hati sebelum dengan pantas dia bersuara, “Err... berapa ringgit harga seluar tu. Sekejap saya ambil duit.”

“Tak payah bayar. Saya ikhlas.”

“Eh, kami tak boleh terima pemberian orang lain.” Si gadis membalas dengan nada polos.

Amer pula berseloroh, “Maaf saya terlupa nak maklumkan yang saya ni ada bau-bau bacang dengan awak. Jadi kira saya ni bukan orang lainlah ya.”

Amer melemparkan senyuman. Tatkala itu beberapa helai rambutnya jatuh menutupi mata. Bibir merah dan gigi putih bak mutiara terus membiaskan cahaya lampu kalimantang lalu bersinar. Ting! Panahan pesona bintang kejora bagaikan menusuk terus ke jantung Dilaila. Jauh lebih tampan daripada hero Korea kegilaannya. Gadis itu kehilangan kata-kata.

“Ehem!” Luqman sempat berdeham.

Dilaila segera tersedar. Dia termalu sendiri. Bukankah pada waktu itu seharusnya dia bersedih. Apatah lagi dia belum kenal hati budi lelaki Melayu itu. Jadi, kenapa dia perlu begitu teruja pada pemuda itu?

Hatinya senang dengan gaya bersahaja Amer. Tindakan Amer telah berjaya menundukkan keegoannya. Perasaan nakalnya segera dibuang jauh. Pipi si gadis merona merah menahan silu.

Lantas dia tunduk menyembunyikan wajahnya, sambil bersuara, “Terima kasih ya.”

Jejaka itu membalas dengan senyuman yang lebih manis. Lirikan manja si gadis yang masih bengkak matanya itu bagaikan panah ajaib yang menusuk terus ke tangkai hatinya. Belum pernah dia rasakan satu perasaan yang sebegitu indah hingga amat menyakitkan bila tidak diendah.

“Saya minta diri dulu...” Ada lagi ayat yang mahu disambung tetapi kerana hatinya terlalu berdebar dia kehilangan kata-kata. Mungkin ada pertemuan lagi seterusnya. Itulah harapannya sejak bertemu dengan Dilaila di simpang jalan kelmarin.

Biarpun Amer sudah ghaib, Dilaila terus bersidai di ambang pintu merenung bintang dan langit sambil melayan perasaannya sendiri. Seketika kemudian baru dia tersedar yang Luqman sudah tercongok di pangkin luar rumah. Direnungnya sosok tubuh Luqman. Dengan hanya berlengeng dan berseluar paras lutut, Luqman nampak tenang.

Esok lusa tidak pasti bagaimana pula keadaannya. Maklumlah sejak kecil tidak pernah berpisah dengan Nek Tijah. Mampukah Luqman menghadapi ujian ini? Apakah Salimah dapat menerima Luqman seadanya?

Insan tidak berdosa itu tentu mahu menumpang kasih daripada ibu kandung sendiri. Mata Dilaila menyorot ke rimbunan sabut kelapa di perdu manggis. Hatinya mengeluh sambil hatinya terbetik kata bidalan, air yang dicincang tidak akan putus.

DI DALAM bilik, Salimah masih belum dapat melelapkan mata. Berita mengenai kematian Gaban sedikit sebanyak mengusik tangkai hatinya. Sedih bukan, gembira pun bukan. Dia cuba reda terhadap pemergian kekasih dan ibu mertuanya dalam jarak waktu yang hampir serentak.

Kala itu ingatannya bersambung pada Nek Tijah pula. Bukan dia tidak sayangkan perempuan itu tetapi mereka terlalu berbeza dalam banyak hal. Mereka sentiasa berbalah sejak dulu.

Selapis demi selapis memori silam bermain semula di anjung fikirannya. Salimah masih ingat bagaimana ibu mertuanya menyerahkan bayi perempuan yang sangat comel padanya.

Kata Nek Tijah, “Kau nak sangat anak yang sempurna, kau peliharalah budak ni. Luqman biar aku jaga. Tapi kau tetap menantu rumah ini. Aku tak izinkan kau kahwin lagi.”

Tanpa teragak-agak Salimah menyambut bayi yang dihulurkan padanya. Hatinya tidak berbelah bagi tatkala menerima si bayi yang baru berusia tiga hari. Masih merah dan lemah. Bau harum kulit bayi menerjah ke hidung Salimah. Lalu diletakkan di atas lantai lantas ditanggalkan kain bedung. Diperiksa kaki dan tangan si bayi.

Melihat Salimah begitu teruja, Nek Tijah memberitahu, “Budak ni belum didaftarkan. Aku nak letak nama kau sebagai ibu dan Abd. Talib sebagai bapa. Kau setuju?”

Salimah tersenyum sambil mengangkat wajah merenung Nek Tijah. Dia mengangguk tanda setuju. Tetapi sempat dia bertanya, “Sebenarnya dia ni anak siapa?”

“Cucu tiri aku. Anak kandung Sulaiman tapi dia tak tahu fasal budak ni. Dia dah bercerai dengan Siti Aida, isteri dia.”

Salimah akur, baginya siapa anak itu bukan penting lagi. Yang pasti dia sudah memiliki bayi yang cukup sempurna. Sejak itu, kasihnya terus tertumpah pada Dilaila hingga dia langsung tidak menghiraukan Luqman lagi. Bencinya pada Luqman tetap terpasak di hatinya.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh