3,531
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 2

“Nyau….” Suara ku memecah kesunyian bilik besi itu. Perlahan dan tersekat-sekat.

“Seri!!!!!!!” satu jeritan suara yang amat ku kenali.

Sedu sedan yang kudengari amat memilukan dan ia membuatkan aku cuba gagahi badanku untuk bangun daripada pembaringan. Ingin sekali aku mengelap titisan-titisan airmatanya dengan jari-jemariku yang lembut ini agar Irah tenang. Aku tak mahu melihat dia sedih dengan keadaan diriku. Suaraku amat lemah. Aku tak berdaya lagi berdengkur untuknya bagi menenangkan hatinya yang kini berada di dalam keadaan hiba. Aku mendongakkan kepalaku sedikit. Aku menatap wajah kesayanganku. Titisan-titisan yang mengalir di pipinya membuatkan aku rasa hancur hati. Wajah itulah yang menjagaku sejak kecil hingga kini. Wajah itu jugalah yang menyelamatkan ku sewaktu aku di serang sawan dan wajah itu jugalah yang menumpahkan kasih sayang tidak berbelah bagi walaupun aku ini hanyalah kucing jalanan yang dikutip. Tidak mempunyai apa-apa sijil. Tidak menarik. Tidak menepati citarasa sesetengah manusia. Dan wajah ini jugalah yang telah menjagaku sebaik-baiknya. Dia tidak kisah keadaan diriku. Dia tidak peduli pandangan orang kepadanya. Aku merenung kembali wajahnya. Aku cuba senyum.

“Maafkan aku….maafkan aku kerana tidak dapat lagi mendakapmu ketika dirimu di dalam kesedihan. Maafkanku juga kerana selepas ini tiada lagi untuk berkongsi suka duka bersama dirimu. Aku tahu, kamu sayang akan diriku. Akan tetapi takdir kita telah ditentukan begini. Aku redha dan pasrah dengan apa yang aku alami kini. Terima kasih atas segalanya. Segala pengorbanan, kasih sayang darimu yang ku dapat tidak terbalas oleh ku didunia ini. Maafkanku……”

“Doktor…, tak bolehkah Seri diselamatkan?” tanya Irah. Doktor hanya menggelengkan kepala.

“Maafkan saya, Cik. Saya telah cuba sehabis baik saya” jawab doktor sambil memerhati keadaan kucing yang terbaring lemah di atas meja rawatan. Gerakkan ekornya yang lemah menunjukkan keadaan dirinya. Dihayun kiri ke kanan dengan perlahan sambil memerhati dengan pandangan seribu satu makna kepada Irah, penjaganya.

“Banyak kecederaan yang telah dialami di dalam badannya serta kecederaan kaki-kakinya akibat daripada kemalangan itu, ubat yang diberi hanya dapat menahan kesakitan sementara dan ia tidak dapat bertahan lama lagi, awak perlu banyakkan bersabar. Semua ini adalah ketentuan-NYA” jawab doktor itu lagi.

“Badannya cedera akibat daripada kelaran itu, kaki-kakinya terpaksa dipotong akibat kecederaan yang amat teruk yang terkulai akibat tetakkan.” jelas Doktor itu lagi.

“Saya tak mahu kehilangan dia, Doktor. Doktor tolonglah, cuba lagi ye?” pinta Irah sambil mengesat airmata yang laju mengalir. Dia tidak malu berkeadaan begitu di hadapan doktor tersebut kerana ia lahir daripada hati yang amat rapuh dan penuh simpati. Rapuh melihat keadaan Seri, simpati melihat situasi yang sedang dihadapinya kini terhadap Seri. Irah merenung mata doktor penuh berharap namun hanya gelengan yang dilihatnya. Terduduk Irah disisi kucing tersebut. Di usap-usap badan dengan harapan mengunung agar Seri dapat diselamatkan dan diberi rawatan sebaiknya. Irah tidak sabar untuk bermain-main dan bergurau dengan Seri seperti kebiasaannya.

Irah menoleh ke arah Seri. Aku memerhati sahaja perbuatan Irah terhadapku. Aku tidak mampu bergerak lagi. Badan dan kaki-kakiku seperti di gam. Hanya nafasku deras turun naik. Mataku berkaca melihat Irah teresak-esak dan ia menyakitkanku apabila melihat Irah sedang bersedih disebelahku, aku tidak dapat menenangkan hatinya ketika ini. Ingin sekali aku merapati Irah sambil menjilat-jilat pipinya agar tidak menangis lagi. Matanya melihatku begitu sayu. Bibirnya bergetar hiba. Aku hanya melihat tanpa berbuat apa-apa.

Aku terasa ingin lelapkan mata agar tidak lagi dapat melihat kesedihan Irah. Nafasku kembali bergerak laju. Aku tiba-tiba merasa kejang. Suaraku berbunyi kuat akibat kesakitan yang aku alami kini. Mata aku kerdip dengan laju, mencari Irah, manusia yang aku amat sayang. Aku berharap Irah berada disisiku ketika ini. Aku meronta-ronta menghempaskan kepalaku didalam sangkar. Bunyi bising yang aku buat menyentak perbualan doktor dan Irah yang berada di bilik sebelah. Aku perhatikan Irah kelam kabut dan dengan pantas dia mendekati aku.

“Seri! Seri! Kenapa sayang!” Terkebil-kebil mata Seri seperti meminta dan merayu diselamatkan dengan segera. Irah perhatikan keadaan Seri yang amat menyayat hati. Hati siapa tidak sedih apabila menyaksikan sendiri kucing kesayangan meronta kesakitan minta untuk diselamatkan. Meronta-ronta Seri di dalam sangkar tersebut.

“Doktor! Doktor! Tolong Seri Doktor!.... Tolong Doktor!” raung Irah setelah melihat keadaan tubuhku yang kekejangan itu.

“Sawannya menyerang lagi Doktor!!” pekik Irah.

Doktor Fazli membuka sangkar. Irah mengambil kain dan diselimutkan aku agar aku tidak bergerak dengan lebih agresif lagi dan cuba untuk mengekang supaya tidak mencederakan diri serta orang yang berhampiran denganku. Namun kekejangan yang aku alami ini lebih teruk daripada biasa. Buih-buih dimulutku mula kelihatan. Suaraku yang tadinya tidak kedengaran, kini meraung kuat dan kasar. Sakitnya ku rasakan. Ekor ku bergerak pantas ke kiri dan ke kanan.

“Kecederaan di otaknya menyebabkan ia mudah mendapat sawan” terang Doktor Fazil kepada Irah.

“Sebelum ini, Seri kerap juga di serang sawan Doktor. Berulang-ulang. Kesian saya melihatnya. Bila ia diserang sawan saya panik dan tak tahu nak buat apa. Hanya membalutnya dengan kain seperti Doktor buat tadi untuk menyekatnya agar tidak agresif dan mencederakan dirinya. Seri pernah kena langgar tidak berapa lama dulu, Doktor” jelas Irah sambil membelai-belai tubuh Seri yang kini telah tenang kembali.

“Sawan ini memang boleh menyerang tiba-tiba dan antara faktor-faktor serangan sawan ini adalah seperti apa yang Cik Irah beritahu saya tadi, akibat kemalangan. Kemalangan di sini saya pasti melibatkan bahagian kepalanya. Akibat hentakkan yang kuat akibat kemalangan itu boleh menyebabkan gangguan tisu otaknya. Kerana bahagian otak yang tercedera akan terdedah kepada serangan sawan berulang selain faktor kerap memberi makanan yang mentah seperti ikan, ini kerana ikan yang mentah mengandungi thiaminase iaitu sejenis enzim yang memecahkan thaimine (vitamin B). Thiamine diperlukan untuk fungsi sistem saraf yang normal. Kehilangan Thiamine daripada sistem badan kucing akan mengakibatkan sistem sarafnya gagal berfungi dengan baik maka terjadilah serangan sawan. Seeloknya-eloknya makanan tersebut harus dimasak atau direbus terlebih dahulu untuk membunuh kuman. Untuk pengetahuan Cik Irah, keracunan juga menyumbang kepada serangan sawan. Keracunan tahap kronik terutama daripada bahan antibeku atau plumbum yang mudah terdapat pada cat serta racun serangga boleh menyebabkan terjadi serangan sawan dengan tanda-tanda seperti lelehan air liur dan otot bergerak-gerak kejang.” Jelas Doktor Fazli kepada Irah.

Irah seperti orang kebingungan dengan penjelasan Doktor Fazli itu. Doktor Fazli hanya melontarkan pandangan yang sayu kepada Irah dan mengerti akan kesedihan perasaan yang dialaminya.

“Saya harap awak dapat menghadapinya dengan tabah. Kucing yang sakit ini memang memerlukan perhatian lebih daripada kita. Kerana mereka tidak dapat merawat diri mereka sendiri tanpa kehadiran manusia disisi.” Doktor Fazli melangkah masuk semula ke dalam pejabatnya dengan meninggalkan Irah untuk berada disisi kucing kesayangannya, Seri.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.