Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,371
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 21

KenapaMia?” soal Rodhiah apabila terpandang wajah Mia Karmila yang tiba-tiba kelihatan sendu.

“Err... apa, Kak Dee?” soal Mia Karmila terperanjat, bagaikan baru tersedar daripada mimpi.

“Kenapa akak nampak Mia tiba-tiba macam sedih aje? Ada ke apa-apa yang akak atau Ustaz Aiman kata yang telah menyinggung perasaan Mia?” soal Rodhiah cuba menyelami perasaan gadis di sebelahnya itu.

Shahriman yang mendengar kata-kata Rodhiah turut merenung ke arah Mia Karmila dengan kening yang berkerut. Dia turut terkejut dengan apa yang ditanyakan Rodhiah itu kerana sebelum itu Mia Karmila kelihatan begitu riang dan seronok bergurau senda sejak mula mereka melangkah masuk ke dalam restoran itu.

“Eh, tak adalah. Mana ada Mia sedih? Mia cuma terkejut bila terpandang lelaki-lelaki yang baru bangun dari meja kat hujung tu tadi. Salah seorang daripada mereka tu macam Mia pernah kenal. Tetapi mungkin dia tak berapa cam Mia sebab sekarang Mia pakai tudung,” jawab Mia Karmila.

Rodhiah segera mendongak dan memandang ke arahAdrian dan kawan-kawannya yang baru mahu melangkah ke pintu utama restoran. Anak mata Rodhiah tiba-tiba bagaikan terpanah ke arah Rashid yang kebetulan berpaling ke belakang seolah-olah mahu menunggu Adrian yang baru selesai berurusan di kaunter pembayaran.

“Mia, lelaki yang pakai t-shirtwarna biru tua tu ke yang Mia rasa kenal?” soal Rodhiah sambil matanya terus tertumpu ke arah keempat-empat lelaki yang sudah berada di pintu restoran.

Mia Karmila pula yang terkejut lalu segera berpaling memandang ke arah lelaki-lelaki itu kerana seingatnya tadi Adrian berbaju kemeja lengkap dengan bertali leher, iaitu pakaian rasmi ke pejabat dan bukan memakai t-shirtsebagaimana yang dikatakan Rodhiah. Hati Mia Karmila juga jadi teruja tatkala Rodhiah menyebut lelaki bert-shirtbiru itu. Pasti ada sesuatu yang telah menarik perhatian Rodhiah mengenai lelaki yang dimaksudkan itu, bisik hati kecil Mia Karmila.

Shahriman yang baru mahu menyuap lagi makanannya turut terhenti lalu segera mendongak dan memandang ke arah kumpulan lelaki yang dimaksudkan Rodhiah. Dia turut teruja untuk mengetahui apakah yang telah membuatkan Mia Karmila tiba-tiba bertukar emosi sebentar tadi.

Mia Karmila terus memerhatikan lelaki bert-shirtbiru yang kelihatan sedang menepuk-nepuk lembut bahu Adrian sambil tersenyum mesra itu. Cuba mengingati sama ada dia pernah mengenali lelaki itu ataupun tidak. Namun kotak fikirannya bagaikan sudah letih memikirkan dan dia masih tidak dapat mengenali lelaki yang dimaksudkan Rodhiah sehinggalah keempat-empat lelaki itu hilang daripada pandangan.

“Kak Dee, kenapa Kak Dee sangka lelaki yang pakai t-shirtbiru tu yang Mia kenal? Kak Dee kenal dia ke?” soal Mia Karmila ingin tahu.

Rodhiah tergamam. Tidak tahu mengapa hatinya tiba-tiba bergetar dan risau sekiranya Mia Karmila tahu dia mengenali lelaki itu.

“Tak adalah. Tapi tadi Kak Dee nampak macam dia yang berpaling memandang ke sini, jadi Kak Dee sangkakan dia yang Mia kenal,” jawab Rodhiah.

“Oh, iya ke? Tapi sebenarnya bukan dia yang Mia kenal,” ujar Mia Karmila, cuba menceriakan kembali suaranya.

“Jadi mana satu yang Mia kenal kerana mereka tadi ada empat orang, kan?” soal Rodhiah mahu kepastian.

“Hmm... tak apalah, Kak Dee. Tak penting pun. Cuma apa yang Mia risaukan tadi ialah kalau dia benar-benar nampak Mia, sudah pasti dia akan terperanjat besar tengok penampilan Mia sekarang. Itu aje,” balas Mia selamba, tidak mahu lagi membincangkan perihal lelaki-lelaki itu.

Shahriman merenung Mia Karmila dengan kening yang berkerut sebelum melempar senyuman nakal. Hah, nilah peluang aku untuk menasihati gadis ni, bisik hati kecil Shahriman.

Rodhiah yang melihat reaksi Shahriman turut berkerut dahi seolah-olah keliru dengan reaksi lelaki itu.

“Kenapa Ustaz Aiman senyum-senyum ni? Ada apa yang geli hati sangat tu?” dengus Mia Karmila seolah-olah merajuk dengan reaksi Shahriman yang dia tahu sengaja mahu mengusiknya.

“Ha...ha...ha... depan rezeki tak baik marah-marah. Nanti rezeki lari,” usik Shahriman tersenyum nakal.

Sempat Shahriman menyuap makanan yang masih bersisa di dalam pinggan di hadapannya sebagai tanda menghargai rezeki yang ada itu.

“Huh, pandailah Ustaz Aiman nak kenakan Mia. Yang Ustaz Aiman senyum-senyum macam sengaja ejek saya tu kenapa?” soal Mia Karmila lagi dengan mata yang sengaja dibuntangkan.

Shahriman yang mahu menelan makanan yang masih dikunyahnya itu segera mendongak membalas tenungan mata Mia Karmila yang sedang membulat itu dengan senyuman yang semakin nakal sebelum dia meletakkan sudu dan garpu yang dipegang di atas pinggan.

“Saya hanya terfikir, kalaulah lelaki tu nampak Cik Mia tadi, pasti dia bukan aje terkejut besar tetapi dia jugak akan terus jatuh hati,” jawab Shahriman sambil terus tersenyum.

“Jatuh hati pada siapa?”

“Pada Cik Mialah.”

“Kenapa pulak?”

“Sebab lelaki akan lebih menghargai sesuatu yang susah untuk dikongsi dengan orang lain,” ujar Shahriman dengan penuh maksud tersirat.

Serentak Mia Karmila dan Rodhiah merenung Shahriman dengan dahi yang semakin berkerut kerana tidak dapat memahami apa yang dimaksudkan ustaz muda itu.

“Apa maksud Ustaz Aiman?” soal Mia Karmila.

“Dengan penampilan Cik Mia yang sopan begini, saya yakin lelaki itu akan lebih teruja dan akan berasa bangga kalau dapat memikat hati Cik Mia.”

“Mana Ustaz Aiman tahu? Ustaz aje nak perli saya, kan?”

“Kerana saya lelaki. Saya tahulah naluri lelaki,” balas Shahriman.

“Tapi tak semua lelaki sama,” komen Mia Karmila pula dengan nada selamba.

Rodhiah yang senyap sahaja sejak tadi hanya mengangguk-angguk sambil terus memandang ke arah Shahriman.

Shahriman segera menyedut straw minuman, mahu membasahkan tekaknya yang agak serat dengan makanan yang baru ditelan sebentar tadi sebelum menjawab komen Mia Karmila.

“Betul, tak semua lelaki sama tetapi semua lelaki ada ego. Hanya tahap ego mereka aje yang berbeza-beza.”

“Jadi?”

“ALLAH jadikan lelaki dengan satu nafsu dan sembilan akal manakala perempuan pulak satu akal dan sembilan nafsu. Lelaki akan lebih menggunakan akal ketika menangani kehendak nafsu ataupun ego yang sering dipengaruhi nafsu. Dengan kelebihan akal itu lelaki akan lebih berupaya meletakkan egonya di tahap yang betul.” Kata-kata Shahriman terhenti seketika sambil menarik nafas.

“Apa kena-mengenanya dengan kata-kata Ustaz Aiman tentang lelaki yang mungkin mengenali saya tadi?” soal Mia Karmila, masih keliru.

“Di dalam Islam, lelaki mempunyai hak-hak tertentu terhadap perempuan-perempuan yang menjadi tanggungannya, iaitu termasuklah isteri, ibu, anak dan adik-beradik perempuannya. Lelaki yang memahami hak dan tanggungjawab itu, secara tak langsung akan sentiasa meletakkan egonya di tahap yang tinggi di dalam memastikan haknya takkan mudah dikongsi dinikmati oleh orang lain, kerana sekiranya dia membiarkan itu berlaku, maka akan berdosalah dia,” jawab Shahriman.

“Hisy, saya tak fahamlah kata-kata Ustaz Aiman yang berbelit-belit ni,” keluh Mia Karmila.

Rodhiah pula kelihatan mengangguk sambil mula tersenyum mesra seolah-olah sudah dapat memahami apa yang dimaksudkan Shahriman.

“Mia, apa yang Ustaz Aiman cuba sampaikan ialah, lelaki yang mengenali Mia tu pasti akan lebih menghormati dan menghargai diri Mia di dalam penampilan yang sopan begini kerana lelaki lain takkan dapat menikmati atau melihat tubuh dan aurat Mia yang tak sepatutnya dilihat lelaki lain selain suami Mia kelak. Dan dengan itu tak mustahil, mungkin lelaki itu akan lebih teruja untuk memikat Mia kerana hasutan egonya yang tinggi apabila dapat menunjukkan kepada kawan-kawannya bahawa perempuan yang menjadi isterinya adalah haknya seorang. Ini kerana seseorang perempuan yang menjaga maruahnya tak mudah membiarkan tubuhnya dilihat orang lain selain yang hak,” jelas Rodhiah sebelum sempat Shahriman berkata apa-apa. Dia kasihan melihat Mia Karmila yang terus keliru dengan kata-kata Shahriman yang penuh simbolik itu.

Mia Karmila segera merenung Rodhiah dan kemudian beralih ke arah Shahriman dengan pandangan keliru.

“ALLAH telah menjadikan tubuh dan aurat wanita sebagai sesuatu kejadian yang amat indah terutamanya di mata lelaki, sehinggakan syaitan dan iblis akan suka menggunakan keindahan itu untuk menyesatkan lelaki dan perempuan yang tidak beriman. Jadi bagi memastikan keindahan itu terus dihargai dengan nilai yang tinggi dan hanya akan dapat dinikmati orang yang hak, maka Islam telah mewajibkan perempuan menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan,” ujar Shahriman cuba menjelaskan lagi kata-kata Rodhiah tadi.

Mia Karmila mengangkat kening seolah-olah masih mahukan Shahriman atau Rodhiah menerangkan lebih lanjut.

“Saya bersyukur kerana Cik Mia telah mendapat hidayah dan sekarang berusaha mencari keredaan ALLAH! Saya harap Cik Mia akan terus ikhlas untuk mengekalkan penampilan yang menutup aurat begini pada setiap masa dan bukan hanya ketika menghadiri kelas agama aje. Jangan sekali-kali Cik Mia sengaja memperagakan segala kecantikan yang Cik Mia miliki sebagai seorang perempuan kepada orang yang bukan hak seperti sebelum ni,” pesan Shahriman

Entah kenapa hatinya amat gembira apabila Mia Karmila bersungguh-sungguh mahu menukar penampilannya. Namun dia tidak tahu mengapa jauh di sudut hatinya terdetik pula rasa cemburu apabila teringat ada lelaki lain yang pernah mengenali Mia Karmila sebelum ini.

Mia Karmila tergamam mendengar kata-kata Shahriman itu. Hatinya tiba-tiba bergetaran apabila anak matanya bertembung dengan anak mata Shahriman yang bagaikan cuba menjelaskan bahawa mata itu pernah melihat keindahan tubuh Mia Karmila sebelum ini walaupun tanpa dipinta.

Mia Karmila segera menunduk sambil menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan rasa malu pada diri sendiri kerana lelaki yang berada di hadapannya itu mungkin tidak menghargai lagi dirinya kerana pernah melihat apa yang tidak sepatutnya dia lihat daripada tubuhnya sebelum ini. Rasa malu itu lebih memilukan hati Mia Karmila apabila dia terlihat senyuman yang mesra terus terukir di bibir Shahriman walaupun Mia Karmila dapat melihat keikhlasan yang jelas terpancar daripada anak mata lelaki itu.

“Terima kasih, Ustaz Aiman.”

“Terima kasih untuk apa?”

“Kerana telah menyedarkan saya daripada kelalaian. Nasib baik saya terjumpa dengan Ustaz Aiman malam tu, kalau tak saya pun tak tahu apa yang akan jadi pada saya sekarang,” jelas Mia Karmila dengan suara yang lirih.

Rodhiah yang tidak tahu-menahu peristiwa yang membawa kepada perkenalan Mia Karmila dan Shahriman itu segera memandang ke arah Mia Karmila sebelum beralih ke arah Shahriman dengan kening yang berkerut. Dia terus merenung Shahriman yang kebetulan memandang ke arahnya. Anak mata Rodhiah terus terpaku ke anak mata Shahriman dengan tidak berkelip seolah-olah mahukan lelaki itu menjelaskan kepadanya akan hubungan sebenar antara dia dan Mia Karmila.

Tanpa menghiraukan panahan anak mata Rodhiah, Shahriman mengalihkan pandangannya ke arah Mia Karmila sambil terus tersenyum mesra.

“Cik Mia, macam yang umi cakap tadi, semua yang berlaku tu adalah rahmat ALLAH pada Cik Mia kerana ALLAH sayangkan Cik Mia. Jadi, Cik Mia kenalah banyak-banyak bersyukur dan taat kepada perintah-NYA dengan penuh ikhlas,” ujar Shahriman dengan nada yang lembut dan tenang.

“Insya-ALLAH, Mia akan selalu ingat pesan Ustaz Aiman. Sebab itulah...” Tiba-tiba Mia Karmila bagaikan terputus kata-kata.

Shahriman mengangkat kening tanda hairan apabila terlihat mata Mia Karmila yang bersinar-sinar keriangan, jelas membayangkan bahawa gadis itu sedang menahan rasa lucu yang tiba-tiba menerjah di hatinya walaupun dia cuba menyorokkan reaksi itu dengan menutup mulut dengan kedua-dua belah tapak tangan.

“Sebab apa, Mia?” soal Rodhiah yang terlihat reaksi Shahriman itu turut teruja lalu segera bertanya Mia Karmila yang kelihatan cuba menahan gelaknya daripada terhambur.

“Mia geli hati benar bila pertama kali Mia cuba sujud syukur selepas Ustaz Aiman hantar Mia balik malam tu sebab Mia tak tahu macam mana nak buat dan apa nak baca semasa sujud tu,” sambung Mia Karmila sambil tertawa kecil.

“Oh, iya ke? Malam bila tu?” soal Rodhiah mengambil kesempatan untuk merisik perkara yang berlegar-legar di fikirannya sejak tadi.

“Malam pertama kali Mia berjumpa dengan Ustaz Aiman apabila Mia terpaksa naik teksi Ustaz Aiman,” jawab Mia Karmila.

“Oh, macam tu ke? Tapi apa yang membuatkan Ustaz Aiman sampai menyuruh Mia bersujud syukur?” soal Rodhiah ingin tahu.

“Sebab Cik Mia selamat sampai di rumahnya walaupun dia tidak memandu keretanya sendiri pada hari itu. Kan kita memang disarankan bersyukur kepada ALLAH walau apa pun yang terjadi pada kita, tak kiralah perkara baik atau sebaliknya kerana setiap yang berlaku itu adalah atas kehendak-NYA. Sekiranya baik, itu bermakna DIA memberi kita nikmat dan kalau sebaliknya adalah DIA mahu menguji kita.

Sekiranya kita reda dan sabar menerima ujian-NYA maka pasti ALLAH akan memberi kita pahala dengan menaikkan darjat kita di sisi-NYA. Dan sebab itulah kita perlu bersyukur walau dalam apa jua keadaan yang kita tempuhi. Jangan sesekali menyesali apa yang berlaku kerana itu seolah-olah kita mempersoalkan kekuasaan dan keagungan ALLAH yang Maha Adil dan Maha Mengetahui segala apa yang diaturkan-NYA. Itu kufur namanya. Na’uzubillah,” ujar Shahriman.

Mia Karmila tergamam. Hakikatnya Shahriman sudah dapat membaca niat Rodhiah yang seolah-olah sengaja mahu merisik apakah hubungan sebenar antara dia dengan Mia Karmila. Shahriman hairan mengapa Rodhiah bersikap begitu. Shahriman juga jadi amat terusik dengan sifat telus Mia Karmila apabila dilihatnya gadis itu begitu jujur bercerita tadi.

“Hmm... betul apa yang Ustaz Aiman kata tu. Kita perlu bersyukur kepada ALLAH walau dalam apa jua keadaan kerana setiap yang terjadi itu ada hikmah yang kita tidak ketahui. Samalah macam pertemuan kita pada hari ni. Mula-mula tadi akak ingat macam dah nak balik aje bila barang yang akak nak beli tak ada. Tapi siapa sangka akak boleh jumpa Mia dan Ustaz Aiman kat situ dan dapat makan freemakanan sedap pulak,” ujar Rodhiah tersenyum mesra.

“Alhamdulillah, kalau Kak Dee dan Ustaz Aiman seronok makan dengan Mia. Hanya itu ajelah yang mampu Mia lakukan untuk balas jasa baik Ustaz Aiman dan Kak Dee yang telah banyak berkongsi ilmu dengan Mia,” ujar Mia Karmila sambil mengelus lembut lengan Rodhiah sebelum memandang ke arah Shahriman dengan pandangan syahdu.

“Kita sama-sama belajar Cik Mia, kerana tak ada siapa pun yang pandai kat dunia ni melainkan ALLAH. Ilmu ALLAH itu terlalu luas sehingga tiada siapa pun yang dapat menandingi-NYA. Dan sebab tulah kita perlu terus belajar dengan menghadiri majlis-majlis ilmu selagi mana kita mampu menghadirinya. Sesungguhnya ALLAH akan memberi pahala yang besar kepada sesiapa yang menghadiri majlis ilmu,” balas Shahriman.

Mia Karmila dan Rodhiah hanya mengangguk.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.