Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,342
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 16

Aiman?” Bagaikan berbisik, spontan nama itu terlontar daripada bibir Mia Karmila.

Ya ALLAH, sesungguhnya KAU yang Maha Berkuasa dan Maha mengasihani. KAU telah memakbulkan doaku untuk bertemu dengan orang yang sentiasa kurindui ini, bisik hati kecil Mia Karmila. Hatinya bergetaran melihat senyuman Shahriman apabila lelaki itu tersenyum mesra ke arah Hajah Habibah yang juga sedang tersenyum menyambut lelaki itu.

“Assalamualaikum, umi. Eh, ni Cik Mia Karmila, kan?” tegur Shahriman yang sudah berdiri hampir dengan Hajah Habibah baru menyedari ada seorang gadis yang berdiri di belakang uminya, dengan nada terperanjat.

Shahriman langsung tidak menyangka gadis yang bertudung litup dan berbaju kurung itu adalah gadis yang pernah dilihatnya begitu seksi beberapa minggu yang lalu. Hati Shahriman tiba-tiba rasa tersentuh apabila melihat gadis yang dikatakan walidnya sedang belajar mengaji dan tafsir al-Quran serta selok-belok agama daripada uminya adalah Mia Karmila.

Oh, manisnya kamu Mia dengan pakaian yang sopan begitu. Ya ALLAH, adakah KAU sengaja menduga hatiku dengan mempertemukan kami lagi pada hari ini? Aku amat bersyukur kepada-MU kerana telah mengurniakan hidayah-MU kepada gadis manis ini, bisik hati kecil Shahriman.

“Waalaikumussalam. Eh, Aiman dah kenal dengan Mia ke?” soal Hajah Habibah terkejut apabila melihat anak lelakinya itu telah mengenali Mia Karmila sebelum sempat dia memperkenalkan mereka.

“Dia pernah naik teksi Aiman dulu,” balas Shahriman dengan nada ceria sambil menyambut tangan Hajah Habibah dan mencium tangan itu.

Mia Karmila yang tergamam sejak tadi hanya mampu menelan liur dan cuba mengukir senyuman mesra ke arah anak dan ibu itu.

Patutlah Aiman seorang yang warak kerana ibunya adalah seorang guru agama. Bertuahnya ustazah mendapat anak yang soleh seperti Aiman. Bolehkah aku menjadi anak yang solehah? Tapi bagaimana dengan mama dan papaku? Tiba-tiba hati Mia Karmila menjadi sendu tidak keruan memikirkan gaya hidup ibu bapanya yang terang-terangan lalai akan perintah ALLAH.

“Kenapa, Mia? Mia tak nak Aiman yang hantar Mia ke?” soal Hajah Habibah apabila terlihat wajah Mia Karmila yang tiba-tiba kelihatan sedih dan sayu.

Dia menyangka Mia Karmila tidak mahu menaiki teksi yang dipandu Shahriman.

Lidah Mia Karmila bagaikan kelu apabila anak matanya bertembung dengan anak mata Shahriman yang kebetulan sedang memandang ke arahnya dengan pandangan hairan. Akhirnya dengan perlahan-lahan Mia Karmila menggeleng tanpa sebarang suara.

“Kenapa Aiman yang bawak teksi? Mana walid?” soal Hajah Habibah hairan.

“Walid tengah berbincang dengan pegawai dari pejabat zakat yang datang melawat ke pusat tahfiz tu. Jadi dia mintak tolong Aiman bawa teksi tu sekejap sebab kebetulan Aiman tak ada kelas pagi ni,” jawab Shahriman berhati-hati agar Mia Karmila tidak menganggapnya sengaja mahu mengambil kesempatan untuk bertemunya walaupun hakikatnya dia tidak tahu bahawa Mia Karmila yang perlu dihantarnya. Walidnya tidak memberitahu siapakah nama gadis yang perlu dihantarnya itu.

“Err... tak apalah, ustazah. Saya tak kisah kalau Encik Aiman yang hantar saya sebab saya dah pernah naik teksinya. Jadi tak payah lagi saya nak susah-susah tunjukkan jalan sebab Encik Aiman dah tahu rumah saya. Cuma...” ujar Mia Karmila bagaikan hilang kata-kata apabila matanya bertembung lagi dengan mata Shahriman untuk kedua kalinya.

“Cuma apa, Mia?” soal Hajah Habibah.

“Saya tak sangka yang Encik Aiman ni anak ustazah. Beruntung betul Encik Aiman ada ibu yang pandai ilmu agama. Alangkah seronoknya saya kalau mama dan papa saya boleh mengajar sendiri tentang hal ehwal agama ni pada saya dan adik saya,” balas Mia Karmila dengan nada terkilan. Dia tetap cuba melempar senyuman manis kepada lelaki yang berdiri di hadapannya itu.

“Alhamdulillah, kerana ALLAH telah memilih saya untuk menjadi anak ummi dan walid yang telah mendidik saya dengan baik,” ujar Shahriman sambil memaut bahu Hajah Habibah.

“Mia, siapa pun ibu bapa kita, kita wajib bangga dan sayang pada mereka kerana tanpa mereka kita takkan dapat melihat dunia ni. Mia pun apa kurangnya? Ustazah pasti ibu bapa Mia sangat baik orangnya, kalau tak takkanlah mereka benarkan Mia datang sini untuk belajar mengaji dengan ustazah,” ujar Hajah Habibah sambil tersenyum mesra dan mengelus lembut lengan Mia Karmila.

Mia Karmila hanya mengangguk.

“Hmm... jadi Cik Mia nak balik sekarang ke?” tanya Shahriman apabila melihat Mia Karmila sekali lagi hanya mengangguk tanpa suara.

“Err... Encik Aiman nak cepat ke? Tadi Encik Aiman ada sebut pasal kelas, kan? Kelas apa tu? Encik Aiman masih belajar lagi ke? Kalau Encik Aiman nak cepat, eloklah kita bertolak sekarang,” soal Mia Karmila bertalu-talu apabila tiba-tiba teringat kata-kata Shahriman tadi.

Shahriman yang kebetulan sedang memandang ke arah uminya hanya tersenyum nakal seolah-olah seronok membiarkan Mia Karmila terus terteka-teki siapakah dia sebenarnya. Manakala Hajah Habibah pula jadi tersentuh apabila melihat wajah Mia Karmila yang begitu polos dan jelas terbayang keterujaannya di dalam mencari jawapan kepada soalan-soalannya.

“Mia, Aiman ni sebenarnya salah seorang guru al-Quran dan tafsir kat Pusat Tahfiz Darul Hana yang dikendalikan suami ustazah.”

“Habis, teksi tu?” pintas Mia Karmila sebelum sempat Hajah Habibah menjelaskan segalanya.

“Teksi tu kepunyaan walid. Tetapi disebabkan walid selalu sibuk dengan Pusat Tahfiz Darul Hana tu, jadi saya ataupun kawan saya yang jugak guru kat pusat tu yang selalu bawa teksi ni kalau kami tak ada kelas. Buat tambah-tambah duit poket. Boleh jugak bantu-bantu anak-anak yatim yang ada kat pusat tahfiz tu,” jawab Shahriman tersenyum.

Mia Karmila merenung wajah tenang Shahriman dengan penuh kekaguman.

“Oh, iya ke? Kalau begitu memang rezeki sayalah dapat naik teksi yang Encik Aiman bawak malam tu. Kalau tak mungkin saya masih sesat dan tak tahu betapa pentingnya mencari saham akhirat ni,” ujar Mia Karmila.

“Itulah kuasa ALLAH, Cik Mia. ALLAH akan sentiasa menganugerahkan hidayah-NYA kepada sesiapa yang kehendaki dan Cik Mia adalah hamba-NYA yang beruntung kerana telah mendapat hidayah-NYA ketika usia masih remaja,” komen Shahriman pula sambil membalas renungan Mia Karmila dengan senyuman mesra.

“Alhamdulillah, terima kasih jugak pada Encik Aiman yang telah membantu membuka pintu hati saya dengan nasihat-nasihat Encik Aiman tempoh hari. Tak tahulah macam mana saya nak balas segala jasa baik Encik Aiman tu,” balas Mia Karmila sayu sambil menunduk, cuba mengalihkan pandangan daripada terus bertembung dengan anak mata lelaki itu.

Mia Karmila tidak tahu mengapa hatinya bergetar setiap kali mata mereka bertaut. Senyuman yang sentiasa terukir di bibir Shahriman benar-benar menggetarkan jantungnya. Mia Karmila bagaikan lemas menahan debaran yang bergelodak dalam hatinya ketika itu.

“Oh, jadi orang yang Mia kata telah menolong Mia semasa Mia kesusahan dan beri nasihat pada Mia dulu adalah Aiman ya?” sampuk Hajah Habibah sambil turut tersenyum mesra apabila melihat Mia Karmila dan Shahriman membisu seketika.

Shahriman yang bagaikan seronok memerhatikan reaksi Mia Karmila terus tersenyum mesra tanpa sebarang komen. Manakala Mia Karmila yang perasan gelagat Shahriman hanya mampu mengangguk perlahan-lahan. Dia tidak berani memandang Shahriman, takut gelora di hatinya dapat dikesan lelaki itu.

“Macam yang Aiman kata tadi, itulah kekuasaan ALLAH, Mia. DIA yang Maha Mengetahui segala apa yang diaturkan-NYA. Oleh sebab itu kita tak boleh kecewa jika ditimpa musibah kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. Macam kes Mia ni, Mia ditimpa kesusahan dan sebab tu dapat jumpa Aiman. Dengan perjumpaan tu pulak hati Mia telah mendapat hidayah daripada ALLAH. Bukankah itu hikmah namanya?” nasihat Hajah Habibah dengan nada keibuan yang penuh kasih sayang.

“Betul, ustazah. Saya amat bersyukur dapat naik teksi Encik Aiman malam tu. Memang benar kata Encik Aiman, ALLAH masih sayangkan saya, sebab tu DIA pertemukan saya dengan Encik Aiman,” ucap Mia Karmila penuh kesyukuran sambil meramas-ramas jari-jemarinya.

“Alhamdulillah. Hmm... kalau dah tak ada apa-apa lagi, saya rasa eloklah saya hantarkan Cik Mia balik sekarang. Nanti kalau lambat-lambat takut risau pulak ibu bapa Cik Mia nanti,” cadang Shahriman apabila melihat Mia Karmila yang disangkanya sudah agak keletihan itu.

“Hmm... boleh jugak. Kalau begitu saya mintak diri dulu, ustazah. Esok pagi saya datang lagi. Doakan keselamatan saya selalu ya, ustazah. Assalamualaikum,” balas Mia Karmila lalu bersalaman dan mencium tangan Hajah Habibah.

“Aiman pergi dulu, umi. Assalamualaikum,” ucap Shahriman sambil turut menyalami dan mencium tangan uminya sebaik sahaja Mia Karmila melepaskan tangan wanita itu.

“Waalaikumussalam. Pandu baik-baik ya, Aiman,” balas Hajah Habibah sambil melambai tangan pada Mia Karmila sebelum gadis itu memasuki perut teksi.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.