Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,667
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 27

“Kenapa Humairah?” soal Shahriman menjawab soalan Mia Karmila apabila terdengar keluhan gadis itu di hujung talian.

“Kenapa apa?” soal Mia Karmila hairan.

“Saya dengar Humairah mengeluh. Humairah dah letih ke kerana kita berbual dah agak lama ni?” soal Shahriman serba salah.

“Eh, tak adalah. Saya seronok dapat berbual dengan Ustaz. Sekurang-kurangnya ada jugak sedikit ilmu yang saya dapat tadi. Tapi, kalau Ustaz Aiman ada kerja lain tak apalah. Mungkin kita boleh berbual lain kali,” ujar Mia Karmila sedikit terkilan kerana tidak dapat berlama-lama dengan lelaki itu.

“Hmm... saya pun sebenarnya seronok dapat berbual dengan Humairah, tetapi memandangkan hari dah lewat ni, saya rasa eloklah kita berhenti setakat ni dulu. Macam Humairah cakap, mungkin lain kali kita boleh berbual lagi. Tapi...” ujar Shahriman juga seakan-akan kesal kerana terpaksa memberhentikan perbualan walaupun hatinya bagaikan tidak rela berbuat begitu.

“Tapi apa, Ustaz Aiman?” pintas Mia Karmila tidak sabar.

“Saya rasa macam tak adillah pulak,” balas Shahriman, selamba.

“Apa yang tak adil tu?” soal Mia Karmila keliru.

“Humairah suruh saya buang perkataan cik dan panggil Mia atau Humairah aje tetapi Humairah pulak asyiklah ber’ustaz-ustaz’ dengan saya. Kenapa sebelah pihak aje yang kena tukar sedangkan yang sebelah lagi tak. Itu kan tak adil namanya,” protes Shahriman.

“Dah Ustaz Aiman kan memang seorang ustaz, jadi apa salahnya saya panggil dengan panggilan tu?” soal Mia Karmila keliru.

“Apabila Humairah rasa lega kerana menjadi sahabat saya yang takkan mudah dilupai, maka adakah Humairah akan rasa mesra kalau kita terus dengan panggilan yang agak formal tu?” duga Shahriman.

Mia Karmila terkedu seketika. Tidak menjangka lelaki itu akan bertanya begitu.

“Jadi, apa yang Ustaz Aiman nak?” soal Mia Karmila.

“Panggillah apa aje yang Humairah rasa selesa dan mesra,” umpan Shahriman.

“Oh, iya ke? Hmm... semua orang panggil Ustaz Aiman, jadi sebagai sahabat yang tak mudah dilupai, saya tak nak sama macam mereka. Boleh ke kalau saya panggil Eiman aje?” soal Mia Karmila dengan nada nakal tetapi mesra.

“Kalau itu yang Humairah rasa mesra, saya terima dengan senang hati,” balas Shahriman gembira.

“Ada tak perempuan lain panggil Ustaz Aiman macam tu?” soal Mia Karmila ingin tahu.

“Kalau ada, kenapa?” soal Shahriman sengaja menduga.

“Tak adalah, takut kalau-kalau Ustaz Aiman keliru pulak siapa yang panggil nanti kalau ada perempuan lain yang panggil begitu jugak,” jawab Mia Karmila selamba.

“Hmm... pandai Humairah nak uji saya ya.”

“Uji apa pulak? Kan betul apa yang saya kata tu. Katakanlah perempuan tu telefon Ustaz Aiman dan Ustaz Aiman tak sempat tengok siapa pemanggilnya, tentu Ustaz Aiman keliru jika dia pun menyebut Eiman nanti. Tak pasal-pasal nanti Ustaz Aiman pun panggil dia Humairah pulak,” balas Mia Karmila, sengaja memprovokasi.

“Janganlah Humairah risau pasal tu sebab belum ada lagi perempuan lain yang panggil saya dengan nama Eiman. Hanya Humairah yang beri nama tu pada saya. Jadi mulai sekarang, kalau kita berbicara berdua aje, jangan lagi panggil saya ustaz tau. Panggil aje saya Eiman kerana saya suka nama yang Humairah beri tu,” ujar Shahriman seolah-olah memberi amaran.

“Betul Eiman suka nama tu? Kenapa?” soal Mia Karmila cuba merisik.

“Sebab Humairah yang beri,” jawab Shahriman nakal.

“Terima kasihlah kerana ada jugak orang yang menghargai pemberian saya yang tak seberapa ni,” balas Mia Karmila tertawa kecil.

“Alhamdulillah kerana ada jugak orang yang sanggup jadikan saya sahabat yang tak mudah dilupai dan berbual mesra dengan saya walaupun hari dah jauh malam ni. Jadi maafkanlah saya kalau nanti Humairah terlewat tidur pulak,” ucap Shahriman.

“Tak apa. Saya yang sepatutnya mohon maaf kerana telah tersalah tekan nombor Eiman tadi. Bagaimana pun, terima kasih kerana telah sudi melayan saya walaupun panggilan yang tak disengajakan. Harap Eiman takkan serik berbual dengan saya. Assalamualaikum,” ujar Mia Karmila, cuba berbasa-basi.

Hakikatnya Mia Karmila cuba melindungi tindakannya yang sengaja menekan nombor telefon Shahriman tadi kerana hatinya yang tiba-tiba rindu untuk mendengar suara lelaki itu. Mia Karmila tidak mahu Shahriman mengesani resah hatinya itu.

“Waalaikumussalam. Semoga kita dapat berbual lagi di lain masa,” balas Shahriman terpaksa walaupun pada hakikatnya hati Shahriman bagaikan masih belum puas berbual dengan Mia Karmila.

Mia Karmila yang masih lagi merenung telefon yang baru diputuskan taliannya jadi agak terkejut apabila telefon itu berdering. Dia segera melihat nama yang tertera di skrin telefon itu kerana khuatir mungkin Shahriman ada sesuatu yang dia terlupa sebentar tadi. Namun Mia Karmila hanya menarik nafas panjang dan membiarkan telefon itu terus berdering apabila melihat nama Adrian yang terpapar di skrin telefon itu.

Sebaik sahaja deringan telefon itu terhenti, terdengar pula bunyi menandakan ada SMS masuk di telefon itu. Dengan hati yang malas Mia Karmila membaca SMS itu dan ternyata ia hanyalah pesanan yang menyatakan ada tiga missed calls daripada Adrian. Mia Karmila hanya mendengus kecil sambil meletakkan telefon di atas meja di sisi katil.

Namun apabila Mia Karmila baru bersiap-siap untuk tidur, tiba-tiba dia dikejutkan lagi dengan deringan telefon. Mia Karmila tahu, pasti Adrian yang memanggil itu. Mahu tidak mahu terpaksa juga Mia Karmila menjawabnya kerana tidak mahu Adrian terus-terusan mengganggunya malam itu.

“Helo,” ujar Mia Karmila dengan nada malas seolah-olah baru terjaga daripada tidur.

“Helo, Mia,” sahut Adrian teruja.

“Siapa ni?” soal Mia Karmila terus berlagak seolah-olah dia sedang melamun.

“Mia, Andy ni. Mia dah tak kenal suara Andy ke?” Suara Adrian lirih di hujung talian.

“Hmm... Andy. Kenapa?” soal Mia Karmila sambil buat-buat menguap.

“Andy telefon Mia beberapa kali sejak petang tadi, kenapa Mia tak jawab?” tanya Adrian.

“Iya ke? Sorry, Mia tak dengar. Mungkin masa tu Mia kat bawah dan telefon tertinggal dalam bilik. Lepas tu Mia pun tak tengok-tengok telefon sebelum masuk tidur tadi,” jawab Mia Karmila cuba melembutkan suaranya, seolah-olah terkilan.

“Oh, Mia dah tidur ke ni?”

“Ya, Mia tidur awal tadi sebab tak sedap badan. Sekarang pun masih rasa pening lagi ni,” balas Mia Karmila dengan harapan Adrian akan segera menamatkan perbualan.

“Oh, sorry kalau Andy telah ganggu Mia. Tetapi Andy ada perkara mustahak nak bincang dengan Mia. Bila agak-agak Andy boleh jumpa Mia?” soal Adrian mengharap.

“Nantilah Mia fikirkan. Sekarang Mia pening sangat, jadi sorrylah Andy, Mia tak boleh nak fikir apa-apa. Esok kalau Mia dah okey, Mia akan telefon Andy ya. Assalamualaikum,” ujar Mia Karmila sengaja melemahkan nada suaranya seolah-olah sedang mengantuk sangat, mencari helah untuk memutuskan talian segera.

“Waalaikumussalam dan good night.”

Dengan nada yang penuh kekecewaan, mahu tidak mahu Adrian terpaksa menerima hakikat bahawa Mia Karmila tidak mahu lagi berbual panjang dengan.

Perlahan-lahan Adrian menarik nafas dalam-dalam, cuba memujuk hatinya yang terus-terusan resah gelisah itu. Matanya terus merenung telefon di tangan yang sudah pun terputus taliannya.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.