Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,660
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 13

“Ya, bik!.. kenapa?” tanya Mia Karmila sebaik sahaja daun pintu dibuka.

“Mak Kiah udah siapkan makanan yang Cik Mia mahu tadi. Jadi Cik Mia mahu makan di atas atau di bawah sahaja?” soal Bibik Lela.

“Oh, dah siap ke? Tak apalah, saya makan kat bawah. Bibik suruh Mak Kiah hantar makanan tu kat beranda kat taman ya,” arah Mia Karmila sambil terus menutup pintu bilik dan segera berlalu menuruni anak tangga menuju ke taman.

Begitulah Mia Karmila selalunya kalau berseorangan di rumah. Dia lebih suka makan di beranda di taman mini rumah banglo mewah itu terutamanya ketika waktu petang dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang begitu menyegarkan.

“Hmm... sedapnya bau spageti ni, Mak Kiah. Kalau macam ni, macam mana Mia nak diet?” puji Mia Karmila sambil melentokkan kepala dengan manja ke pinggang Mak Kiah yang sedang berdiri di sebelahnya ketika wanita itu meletakkan pinggan yang masih berasap di atas meja.

“Hmm... pandailah Mia nak usik Mak Kiah. Lagipun, nak buat apa Mia berdiet-diet tu? Badan Mia bukannya besar sangat. Silap hari bulan, kena tiup angin pun boleh rebah,” komen Mak Kiah sambil tertawa kecil, seronok dapat mengusik anak dara majikannya yang manja itu.

“Eh Mak Kiah, sampai hati Mak Kiah kata Mia macam tu,” balas Mia Karmila dengan nada sendu sambil memuncungkan mulut, sengaja merajuk manja dengan tukang masaknya itu.

“Alah, merajuk pulak intan payung Mak Kiah ni. Nah, makan ya. Nak Mak Kiah suapkan ke?” Makin seronok Mak Kiah mengusik Mia Karmila sambil menyuakan pinggan yang mengandungi spageti yang sudah digaulkannya rapat ke hadapan Mia Karmila.

“Eemmm... untungnya Mia dapat orang yang sayang Mia macam Mak Kiah ni,” ujar Mia Karmila sambil mengelus lembut lengan Mak Kiah yang masih berdiri di sebelah kerusinya.

“Iyalah tu, macamlah tak ada orang lain yang sayang Mia,” balas Mak Kiah sengaja mahu mengusik Mia Karmila kerana dia tahu benar hubungan rapat antara gadis itu dengan Adrian.

“Memang ada. ALLAH. DIAlah yang sentiasa sayang pada Mia,” jawab Mia Karmila sambil tersenyum mesra penuh maksud tersirat.

Terbayang di tubir mata Mia Karmila, wajah Shahriman yang tenang bagaikan sedang tersenyum padanya. Hati Mia Karmila tiba-tiba bergetaran tidak menentu.

Mak Kiah tergamam sambil membulatkan matanya, memandang tepat ke anak mata Mia Karmila. Dia tidak menyangka, kini anak gadis majikannya itu sudah tahu menilai kasih sayang ALLAH.

“Betul, betul, hanya ALLAH yang akan sentiasa menyayangi setiap makhluk-NYA, tidak kira siapa pun. Wah, tak sangka Mia dah tahu mengakui kebesaran dan keagungan ALLAH sekarang. Alhamdulillah,” ujar Mak Kiah sambil membongkok dan mencium ubun-ubun Mia Karmila dengan penuh kasih sayang.

Mia Karmila mendongak dan kemudian menarik Mak Kiah duduk di sebelahnya.

“Mak Kiah, boleh tak ajar Mia mengaji?” soal Mia Karmila perlahan.

Sekali lagi Mak Kiah tergamam. Benar-benar hairan dengan permintaan anak gadis majikannya yang sebelum ini langsung tidak ambil kisah akan pelajaran agama atau membaca al-Quran walaupun dia dan Pak Manap pernah cuba-cuba menititpkan perkara itu kepada kedua-dua beradik itu semasa mereka masih di bangku sekolah dahulu.

“Mia nak belajar mengaji?” soal Mak Kiah seolah-olah tidak percaya.

“Haah, kenapa? Mak Kiah tak percaya ke Mia nak belajar baca al-Quran?” soal Mia Karmila kembali seolah-olah sengaja mahu menduga perasaan Mak Kiah.

“Alhamdulillah, seronok betul Mak Kiah dengar Mia nak belajar mengaji. Itu tanda hidayah ALLAH dah sampai pada Mia. Semoga ALLAH sentiasa memberkati niat baik Mia tu,” ujar Mak Kiah dengan penuh kesyukuran sambil memeluk lembut bahu Mia Karmila.

“Jadi, Mak Kiah boleh tak ajar Mia?” tanya Mia Karmila, penuh harapan.

“Boleh, tapi Mak Kiah tak pandailah nak mengajar bertaranum atau bertalaqi, sekadar tajwid yang biasa-biasa tu bolehlah,” balas Mak Kiah.

“Apa taranum dan talaqi tu, Mak Kiah?” soal Mia Karmila berkerut dahi.

“Cara pembacaan al-Quran yang betul dengan lagu dan tajwid yang betul. Macam qariah-qariah tilawah al-Quran tu,” jelas Mak Kiah sambil tersenyum mesra melihat anak gadis majikannya yang begitu berminat hendak belajar mengaji.

“Oh, iya ke? Kalau Mia dapat baca sikit-sikit dengan betul pun jadilah dulu. Nanti kalau Mia dah pandai, barulah Mia fikir nak belajar taranum dan talaqi tu,” balas Mia Karmila terus mengharap agar Mak Kiah akan dapat mengajarnya membaca al-Quran.

“Hmm... eloklah kalau begitu. Tapi, Mak Kiah rasa lebih elok kalau Mia terus belajar mengaji dengan ustazah yang betul-betul pandai tajwid dan tadabbur, jadi Mia boleh terus belajar membaca dengan betul secara tartil,” saran Mak Kiah pula.

“Kat mana, Mak Kiah?”

“Nanti Mak Kiah tanya pada Pak Manap. Mungkin dia ada kenal mana-mana ustazah atau ustaz yang boleh ajar Mia.”

“Kalau dapat ustazah yang boleh ajar Mia pasal hukum-hukum agama, lagi bagus. Mia memang nak sangat belajar terutamanya pasal hukum-hukum solat. Tapi...” ujar Mia Karmila bagaikan keberatan untuk meneruskan apa yang ingin dikatakannya.

“Tapi apa, Mia?” soal Mak Kiah teruja.

“Mak Kiah dan Pak Manap jangan cakap dengan mama atau papa pasal hal ni ya,” pinta Mia Karmila.

“Tapi kenapa pulak kalau mereka tahu? Bukan ke itu satu perkara yang baik?” soal Mak Kiah hairan.

“Ya, perkara itu memang baik dan sebab tulah Mia nak belajar. Tetapi Mia tak nak papa dan mama tahu sebab sekarang papa nak Mia bekerja kat syarikat dia. Jadi kalau mereka tahu yang Mia nak belajar mengaji, pasti mereka akan paksa Mia pergi kerja dan kalau Mia dah mula kerja nanti tentu Mia takkan ada masa untuk belajar mengaji,” jawab Mia Karmila dengan nada lirih.

“Tapi, macam mana nak suruh ustaz atau ustazah datang mengajar kat sini Mia kalau Dato’ dan Datin tak tahu?” soal Mak Kiah khuatir.

“Kalau Pak Manap dah dapat ustaz atau ustazah tu, Mia akan pergi ke tempat mereka untuk belajar. Jadi mama dengan papa pasti tak tahu,” balas Mia Karmila sambil tersenyum nakal.

“Tapi Mia...”

“Tapi apa, Mak Kiah?”

“Takut Mia tak dapat keberkatan belajar kalau tanpa restu papa dan mama Mia,” ujar Mak Kiah perlahan.

“Iya ke?” soal Mia Karmila seolah-olah tidak percaya.

Mak Kiah hanya mengangguk sambil terus merenung wajah mulus Mia Karmila dengan penuh simpati.

“Hmm... kalau macam tu, Mak Kiah ajelah ajar Mia mengaji dan solat yang betul. Nanti kalau mama tanya, Mak Kiah beritahulah Mia yang mintak. Jadi kalau dalam rumah sendiri tentu mama dan papa tak kisah rasanya,” cadang Mia Karmila dengan nada sayu.

Sekali lagi Mak Kiah hanya mampu mengangguk lemah tanda bersetuju. Hati Mak Kiah tiba-tiba berdetik sendu apabila melihat Mia Karmila bersungguh-sungguh mahu belajar mengaji al-Quran dan mendalami agama Islam sedangkan Mak Kiah tahu benar yang Dato’ Kamal dan Datin Mariam lalai di dalam melaksanakan hukum-hukum Islam yang sepatutnya dipraktikkan dalam kehidupan harian mereka sekeluarga.

Mak Kiah terasa amat berdosa kerana masih gagal menghalang segala kemungkaran yang dilakukan majikannya itu dan dengan itu dia bertekad untuk membimbing Mia Karmila sebaik-baiknya.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.