Home Novel Keluarga SENYUM SEINDAH MONALISA
SENYUM SEINDAH MONALISA
SITI ROZILAH
28/9/2013 13:16:20
16,365
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

5

Kini: “Tempat jatuh lagi dikenang...”

AKU cuba sedaya upaya untuk berlagak ceria di depan anak-anak walau hakikatnya aku sedih setelah ditempelak papa mereka di telefon seketika tadi.

“Macam mana, ma?” Muhammad Daniel mula melontarkan soalan ke arahku.

“Hmm... papa ada meeting petang ni. Jadi kita pergi bertiga ajelah. Mama ingat nak singgah rumah Aunty Eda di Bangsar dulu.”

“Tak syoklah papa tak ada!” Suara Muhammad Daniel meninggi semula.

“Papa selalu sangat mungkir janji sekarang ni. Pagi tadi dia kata okey aje kan, Danny? Aleh-aleh tak jadi pulak.” Nur Samira menyemarakkan emosi adiknya. Aku lihat Muhammad Daniel menggetap bibir mendengar kata-kata kakaknya.

“Sa, janganlah cakap macam ni. Papa bukannya sengaja. Dah bos dia panggil meeting. Ala, ni hal kecil aje. Mama pun boleh bawa Sa dan Danny keluar.” Aku memujuk anak-anakku yang menarik muka masam.

Sebagai ibu, aku dapat menyelami perasaan anak-anakku terutamanya Muhammad Daniel. Mereka berdua memerlukan perhatian daripada papa mereka yang sentiasa sibuk diekori bebanan kerja. Aku yang pernah menjadi petugas media cuba memahami kondisi suamiku. Jawatannya sebagai Pengurus Penerbitan di sebuah syarikat penerbitan yang sedang meningkat naik memang memerlukan komitmen yang tinggi. Pun begitu, sesibuk manapun dia, Zamarul tidak boleh mengabaikan keluarganya.

Aku dapat rasa Zamarul cuba melepaskan segala urusan rumah tangga dan juga anak-anak kepadaku. Kenapa? Mungkinkah kerana tugas hakikiku sebagai seorang suri rumah maka semua itu perlu dihempukkan ke bahuku? Kini, Zamarul tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke sekolah anak-anaknya baik semasa hari pendaftaran, Hari Sukan, majlis penyampaian hadiah atau sebagainya.

Aku tidak kisah akan semua itu. Tetapi, Nur Samira yang sudah berakal itu sering mempersoalkan kenapa papanya tidak pernah mahu hadir dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan sekolahnya. Dia mula membandingkan papanya dengan papa si anu atau si anu!

Aku malas membebankan fikiranku dengan masalah itu. Kalau dilayan kelak kepala aku yang sakit. Aku segera menghambat anak-anakku masuk ke bilik mereka untuk bersiap. Kami perlu keluar awal untuk sampai ke rumah Waheeda tepat pada masanya.

KAMI sampai di rumah Waheeda memang tepat pada masanya. Waheeda tinggal di sebuah apartmen yang terletak di tingkat dua. Telah hampir dua tahun dia menyewa apartmen itu.

Ternyata Waheeda pandai mengambil hati anak-anakku. Semasa di Kota Tinggi, dia sempat membeli oleh-oleh untuk dihadiahkan kepada Nur Samira dan Muhammad Daniel. Untuk Nur Samira, sebuah anak patung yang amat comel sekali. Kebetulan pula minat Nur Samira ialah menyimpan koleksi anak-anak patung di biliknya. Sementara untuk Muhammad Daniel pula, sebuah kereta mainan. Ternyata hadiah itu berjaya mengubat kelukaan hati anak-anakku yang tidak dapat meluangkan masa dengan papa mereka.

Kami menuju ke Restoran KFC yang paling hampir dengan kediaman Waheeda. Kami memesan empat set snack plate berperisa original. Anak-anakku makan dengan lahapnya seolah-olah orang yang sedang kelaparan. Kadangkala aku melihat mereka seolah-olah sedang berlumba pula; siapa yang pertama berjaya menghabiskan ayam goreng di pinggan. Walaupun aku dan Waheeda menegur kelakuan mereka yang agak kurang sopan itu, namun teguran kami dianggap bagai angin lalu sahaja.

Setelah menghabiskan isi di pinggan mereka, Nur Samira dan Muhammad Daniel menuju ke tempat permainan. Aku dan Waheeda mengambil kesempatan itu untuk berbual-bual.

“Laju aje anak-anak kau makan, Leya.” Komen Waheeda.

“Budak-budak tengah membesar macam tulah, Eda. Bila kau dah ada anak sendiri nanti, kau taulah.”

“Selera makan Muhammad Daniel tu aku tengok boleh tahan juga. Habis licin pinggan dia tu!” Waheeda ketawa kecil.

“Anak lelaki ni aktif, jadi mereka memang kuat makan. Segala makanan yang mereka makan tu akan bertukar menjadi tenaga untuk mereka lebih aktif lagi. Kalau dia dah masuk sekolah menengah nanti, lagilah kuat dia makan.”

“Mana kau tau?”

“Eh, kau ni, Eda. Semasa aku kerja wartawan majalah dulu, akulah yang handle ruangan kesihatan. Boleh dikatakan semua fakta tentang pemakanan untuk kanak-kanak ni berada di celah jari aku.” Aku mendabik dada. Waheeda tergelak kecil.

“Hebat kau ni, ya, Leya. Patutlah Zam terpikat.”

Nama Zamarul yang baru saja meluncur keluar dari bibir Waheeda itu terus mematikan senyumku. Ternyata hatiku masih terasa dengan hirisan kata-kata yang telah dilontarkan suamiku lewat panggilan telefon aku padanya awal petang tadi.

Macamlah aku ini tidak memahami tugasnya keluar mencari rezeki untuk keluarga. Macamlah tugasnya sahaja yang penting, sedangkan tugas aku sebagai pengurus rumah tangganya ini langsung tidak penting... langsung tidak ada makna!

“Leya, kenapa ni? Lain macam aje aku tengok?”

Ternyata aku tidak mampu menyembunyikan rahsia hatiku daripada dihidu Waheeda. Dengan mudah dia dapat membaca diriku setelah melihat perubahan pada air mukaku. Aku menarik nafas panjang sambil menghalakan pandangan ke arah anak-anakku yang sedang bermain di suatu sudut.

“Sebenarnya Sa dan Danny merajuk dengan papanya yang mungkir janji. Pagi tadi semasa menghantar mereka berdua ke sekolah ganti, Zam dah janji dengan budak-budak tu nak bawa mereka ke KFC petang ni, tapi dia kata dia lupa. Aku kesiankan Danny. Dia berharap sangat nak keluar bersama dengan papanya. So,aku telefonlah Zam. Tapi...” Aku terhenti seketika. Menahan sebak.

“Kenapa? Zam marahkan kau?”

Aku angguk. “Aku tak sangka dia explodemacam tu sekali. Kalau dia kemukakan excuse secara baik ataupun minta maaf, aku rasa aku boleh terima. Tapi...”

“Apa Zam cakap?”

“Katanya, dia keluar bukannya untuk suka-suka tapi untuk cari rezeki untuk kami anak beranak...”

Waheeda angguk. “Hmm... betullah tu.”

“Lepas tu dia tanya, aku suka ke tengok dia duduk aje kat rumah macam sesetengah lelaki lain? Kemudian dia cakap, nanti bukan setakat KFC, dapur kita pun tak berasap tau.”

Waheeda menepuk bahuku. “Sabarlah, Leya. Orang lelaki ni kadang-kadang kalau bercakap tu langsung tak sensitif dengan perasaan isteri mereka. Mungkin Zam sedang stres dengan bebanan kerja agaknya.”

“Cuba kau cakap dengan aku, Eda, mana ada kerja yang tak stres? Aku faham dengan kerjanya yang tak menentu masa tu. Tapi, Zam kenalah jugak fikirkan tentang keluarganya. Kalaupun dah malas nak fikirkan tentang aku, dia masih ada anak-anak yang perlu difikirkannya. Sa dan Danny sedang dalam proses membesar sekarang ni. Mereka perlukan perhatian daripada papa mereka.” Aku meluahkan isi hatiku kepada Waheeda.

“Aku faham perasaan kau, Leya. Cuma nasihat yang boleh aku berikan pada kau ialah bersabar ajelah. Dalam pada tu cubalah kau dekati dan selami hati suami kau. Macam yang aku cakap tadi, mungkin dia terlalu tertekan dengan bebanan kerjanya sekarang. Almaklumlah, syarikat tempat dia bekerja tu baru nak menapak naik dan terpaksa pulak bersaing dengan banyak syarikat penerbitan yang dah establish sekarang ni.”

Nasihat Waheeda itu berjaya memujuk hatiku yang berjeruk rasa dengan sikap dan tutur kata suamiku. Iye, mungkin memang benar suamiku itu sedang berdepan dengan tekanan yang maha hebat di tempat kerjanya sekarang.

“Mungkin ada benarnya cakap kau tu, Eda. Terima kasih, kawan. Sekurang-kurangnya reda sikit sakit hati aku ni terhadap Zam.” Getusku sambil menyedut minuman berkarbonat yang masih bersisa dalam gelas kertasku hingga ke titisan yang terakhir.

Waheeda tersenyum. “Hmm... macam tulah! Hidup berumah tangga ni memang banyak dugaannya. Kata arwahyarham P. Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pulak suami isteri.”

“Eda, kau ni memang pandai memujuk hati akulah.” Pujiku. Aku sengih mendengarkan ungkapan yang terkeluar dari bibir Waheeda itu.

“Apa gunanya kawan.” Waheeda mengembangkan hidungnya ke arahku.

Wajahnya yang lucu itu membuatkan aku tergelak. Kami terdiam seketika sambil menudingkan pandangan ke arah Nur Samira dan Muhammad Daniel yang sedang lincah bermain di suatu sudut khas yang sengaja disediakan oleh pihak restoran, bersama teman-teman sebaya mereka.

“Eh, apa cerita engkau dengan Nazim, hah?” Tiba-tiba aku teringatkan Nazim.

“Malam tadi aku terserempak dengan dia yang sedang makan dengan isteri dan dua orang anaknya kat sebuah restoran.” Waheeda membuka cerita perihal pertemuannya dengan Nazim.

“Dia pun dah ada dua orang anak?” Aku teruja mendengar cerita terbaru tentang Nazim. Tak sangka dia juga mempunyai dua orang anak sepertiku.

Waheeda angguk. “Anaknya dua-dua perempuan. Maksudnya, orang rumah Nazim belum boleh ikat peranakan macam kau.”

“Eh, apa yang kau cakap ni? Aku mana ada buat benda tu semua!” Aku terpekik dengan tuduhan Waheeda yang sembarangan itu. Seumur hidupku tidak pernah aku mengamalkan sebarang kaedah perancang keluarga.

Sorry, aku bergurau ajelah. Maksud aku, kau dan Zam dah ada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Maknanya dah lengkaplah rumah tangga kau orang berdua. Kalau kau nak bersara daripada beranak lagi pun, dah tak ada masalah. Tapi si Nazim dan isterinya belum ada anak lelaki lagi. So, orang rumah dia belum boleh bersara lagilah nampaknya.” Waheeda terkekeh sendiri. Aku hanya mampu geleng kepala melihatkan telatahnya.

“Kau ni Eda, kalau menceritakan hal orang... bukan main lagi kau ye. Kau dengan Farid nanti nak berapa orang anak pula?”

“Aku pun nak sepasang juga macam kau. Dah dapat sepasang nanti, aku bersaralah.”

“Kau dah tanya Farid ke dia nak berapa orang anak?”

“Kalau ikutkan tunang aku tu, dia nak tubuhkan satu pasukan bolasepak.” Waheeda ketawa besar. “Tapi, aku nak dua orang aje. Yang penting anak-anak aku tu nanti berkualiti. Kalau beranak ramai-ramai pun tapi tak berkualiti, nak buat apa? Betul tak?”

“Mana kau tau orang yang beranak ramai tu anak-anaknya tak berkualiti? Ada tu... anak berbelas orang, tapi semuanya menjadi.” Aku menyanggah.

“Aku setuju dengan kata-kata kau tu, Leya. Tapi, dalam keadaan ekonomi sekarang ni dan kos sara hidup yang semakin meningkat, pada pendapat aku ada baiknya kalau kita amalkan kaedah merancang keluarga. Lagipun, umur aku ni bukannya muda lagi. Dah 35, tapi masih belum kahwin.”

“Sabarlah, hujung tahun ni kan kau akan menamatkan zaman solo kau!” Aku memujuk. “Eh, isteri Nazim tu macam mana orangnya? Cantik?”

“Boleh tahan juga. Orangnya putih, tinggi lampai. Pandai Nazim cari. Apa Nazim cakap masa dia call kau?”

“Dia ajak kita jumpalah. Aku dengar dia ada sebut pasal nak buat reunion.”

“Bagus juga kalau kita buat reunion kan, Leya? Boleh jumpa kawan-kawan lama. Kau pula boleh jumpa Ilham.”

“Lagi-lagi nama tu yang kau sebut. Entah-entah dia sekarang ni berada di luar negara.” Aku tidak dapat menghalang lidah Waheeda daripada terus-terusan menyebut nama Ilham di depanku. “Nazim ada cerita apa-apa pasal dia ke?”

“Pasal siapa? Ilham?”

Aku mengangguk.

“Aku ingatkan kau dah tak berminat nak tahu tentang Ilham lagi?” Waheeda memulangkan paku buah kerasnya.

“Aku memang tak nak ingat tentang dia lagi. Tapi kau yang selalu ungkit tentang dia, kan? Kau yang mulakan, aku teruskan ajelah.” Aku bersuara, sedikit kasar. “Ada tak Nazim cerita apa-apa tentang Ilham?” Aku semakin ingin tahu tentang jejaka itu.

“Nazim kata, dia memang tak pernah putus hubungan dengan Ilham. Mereka berhubung melalui telefon dan juga facebook. Nazim cakap, Ilham selalu merisik khabar tentang kau daripada dia.”

“Eh, aku kan dah kahwin?”

Waheeda ketawa. “Hai, Leya... tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermanja. Kau kan cinta pertama Ilham. Dah tentulah dia tak dapat lupakan kau sampai bila-bila.”

Kata-kata yang terkeluar dari mulut Waheeda itu kedengaran kurang wajar. Apatah lagi setelah aku kini telah memegang status seorang isteri dengan dua orang anak. Namun, kali ini aku malas hendak bertegang leher dengan Waheeda. Apalah gunanya sebuah penafian kalau apa yang diungkapkan seketika tadi memang sarat dengan kebenaran.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.