Home Novel Keluarga SENYUM SEINDAH MONALISA
SENYUM SEINDAH MONALISA
SITI ROZILAH
28/9/2013 13:16:20
16,366
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

1

Kini: “Idea – di manakah kau bersembunyi?”

SEKSA! Ya, cukup terseksa rasanya. Setiap kali hendak mengusahakan sesebuah naskhah, setiap kali itulah juga aku akan diserang oleh penyeksaan ini. Kadang-kadang aku sering tertanya-tanya sendiri apakah petua yang diamalkan oleh beberapa orang teman-teman penulisku yang lain, yang mampu menyudahkan naskhah mereka dalam masa tiga atau empat bulan sahaja? Sedangkan aku kadangkala terpaksa mengambil masa bertahun untuk menyempurnakan sesebuah naskhahku?

Kenapakah idea mereka mengalir laju bagaikan aliran sungai melompati batu-batu licin nun di rimba yang terpencil? Sedangkan idea bagiku alirannya terlalu lesu; selesu arus Sungai Klang yang merentasi ibu kota, yang rona airnya menyamai kepekatan teh susu itu? Idea bagiku bagaikan biskut; sekejap ada sekejap tiada. Terkadangkala ia seolah-olah sengaja mempermainkan aku dengan menyembunyikan dirinya entah di mana.

Apakah aku sedang berdepan dengan sindrom ketandusan idea? Kolam fikirku kering kontang sebagaimana kontang dan gersangnya Gurun Sahara yang setiap hari dipanah terik mentari.

Wahai idea, kenapakah kau bersembunyi tatkala dicari?

Apabila aku mengadukan hal ini kepada teman baikku, Waheeda, diriku sering pula ditertawakannya. Temanku itu kini sedang bercuti selama tiga hari di rumah keluarganya di Kota Tinggi, Johor.

Kata Waheeda, “...apalah kau ni, Leya! Agaknya kau yang tak fokus kot? Apa kata kalau kau cuba buat jadual waktu. Cuba kau bahagi-bahagikan masa yang tertentu untuk menulis dan melakukan urusan rumah tangga. Sebelum tu kau kena pastikan bila masanya kau paling produktif menulis, barulah senang.”

“Aku faham tugas sebagai suri rumah ni memang tak pernahnya habis. Ada-ada aje yang nak diperbuat. Tapi aku rasa kalau kau pandai membahagi-bahagikan masa, kau akan jumpa ruang untuk terus berkarya.”

Waheeda memang begitu. Dia akan sentiasa muncul dengan idea bernasnya setiap kali kupinta. Namun begitu, ada juga idea-ideanya yang hanya sesuai untuk dijadikan santapan telinga sahaja.

Selama lebih kurang 10 tahun bergelar penulis, aku telah berjaya menghasilkan enam buah novel dewasa dan dua buah novel remaja selain turut aktif menghantar cerpen ke beberapa buah majalah.

Novel aku yang keenam sudah beberapa bulan berada di pasaran. Menurut Rasyidah, editor yang telah menyelaraskan penerbitan lima buah daripada enam novel-novelku, sambutan yang diberikan khalayak terhadap novel keenamku memang memberansangkan.

Semasa menghubungiku melalui telefon tiga minggu lalu, Rasyidah sempat bertanya bilakah aku akan menghantar manuskrip yang seterusnya. Perbualan kami pada pagi Jumaat itu masih aku ingat dengan jelas.

Kata Rasyidah, “...feedbackyang kami terima melalui facebook tentang novel ‘Cinta Pertama’ memang hebat. Malah peminat-peminat akak dah mula bertanya bilakah novel terbaru kakak akan diterbitkan.”

“Hai, entahlah Syidah. In fact akak belum pun fikir apa-apa lagi untuk manuskrip terbaru kakak. Otak kakak sekarang ni tengah blank... kosong! Asyik sibuk dengan urusan anak-anak dan rumah tangga aje. Silap hari bulan mungkin novel Cinta Pertama itu akan menjadi novel cinta terakhir kakak.” Aku menjawab.

“Eeiii... ruginya kak! Nama akak sekarang ni sebaris dengan penulis-penulis top seperti Aisya Sofea, Haiza Najwa, Aina Emir dan Norhayati Berahim. Janganlah gantung pen sekarang, kak.”

“Ah, engkau ni Syidah! Memandai-mandai aje kau samakan kakak dengan penulis-penulis tersohor tu. Kakak ni penulis tersahur aje. Kata orang, penulis suam-suam kuku.” Aku menjawab pantas dan telingaku mendengar Rasyidah mengelekek di hujung talian.

Mungkin Rasyidah sengaja berkata begitu untuk menaikkan semangatku. Atau, Rasyidah sendiri yang telah menjadi peminat setiaku setelah ditugaskan untuk mengedit dan memperkemaskan lima buah daripada enam naskhahku yang dihantar ke syarikat Penerbitan Sinar Kejora, tempat dia bekerja itu.

“Kak Leya yang terlalu merendah diri. Saya serius ni, kak. Bukannya saya sengaja reka-reka cerita. Novel Cinta Pertama sekarang ni berada dalam senarai Top Ten novel-novel terlaris di Popular Bookstore. Akak... pleaselah, teruskan berkarya. Janganlah gantung pen dulu.”

Aku tersengih sendiri ketika teringatkan rayuan Rasyidah itu. Dia memang bersungguh-sungguh cuba menaikkan semangatku yang sering terjuntai layu bagaikan bunga kembang pagi yang telah dicabut akarnya. Dan, Dijentik dek rayuannya itulah maka aku terus tertonggok di meja kayu rona coklat tua ini; mengadap laptop yang terasa menjemukan serta beberapa helai kertas kajang dan sebuah buku nota kecil yang masih kosong daripada sebarang contengan.

OTAKKU masih beku. Laptop langsung tidak kubuka. Kertas kajang dan buku notaku masih kosong daripada sebarang contengan. Kutoleh jam bulat yang tergantung di dinding. Jarum jam itu menunjukkan tepat ke pukul 5.30 petang. Aku segera menyusun kertas-kertas kajang dan memperkemaskan meja tulisku sebelum melangkah keluar dari bilik kerjaku itu. Beberapa minit lagi anak-anakku, Nur Samira dan Muhammad Daniel akan pulang dari sekolah agama.

Sementara menunggu mereka sampai, aku sempat menyiram tiga pasu pokok bunga ros dan dua pasu besar pokok bunga kertas yang sedang galak berbunga di depan rumah. Hatiku menjadi tenang melihat pokok-pokok bungaku itu.

Sebaik sahaja terlihatkan kelibat kereta jiranku, Kak Zaiton, aku segera membuka pintu pagar. Aku tersenyum lebar menyambut kepulangan anak-anakku. Setelah mengucapkan terima kasih kepada jiranku itu, aku menghambat anak-anakku masuk.

“Sa, mama ada buat bubur kacang. Ada atas meja makan.” Aku memaklumkan hal itu kepada anak gadisku, Nur Samira, yang berusia sepuluh tahun. Nur Samira sangat suka makan bubur kacang, sama seperti papanya.

Cuma Muhammad Daniel yang berumur lapan tahun itu sahaja yang kurang gemar makan bubur ataupun pengat. Selera Muhammad Daniel lain. Kalau aku sediakan bubur ataupun pengat sebagai hidangan petang, sesudu pun tidak disentuhnya. Kuih-muih pun dia memilih. Dia hanya suka makan donut, kuih keria dan karipap. Selain daripada itu, jarang disentuhnya.

“Iye ke, ma. Sayang mama!” Nur Samira berteriak gembira. Dia sempat mencium pipi kananku sebelum berlari ke dapur untuk mengambil mangkuk dan sudu.

Aku menoleh pula ke arah Muhammad Daniel yang sudah terperonyok di kusyen. Mungkin keletihan. Siapa kata dunia seorang pelajar sekolah rendah tidak meletihkan? Jadual mereka sentiasa terisi. Bayangkan, jam enam pagi sudah terpaksa bangun dari tidur dan kemudian bersiap-siap hendak ke sekolah. Mulai jam tujuh setengah hinggalah ke pukul satu tengah hari mereka terpaksa berdepan dengan buku-buku, guru-guru dan kerenah teman sebaya.

Kemudian pulang ke rumah seketika untuk makan dan menukar pakaian sebelum menuju pula ke sekolah agama hinggalah ke pukul enam petang. Di malam harinya pula mereka terpaksa mengadap kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru.

“Danny letih ke?” Aku menyoal. Danny adalah gelaran manja kami sekeluarga untuk anak itu.

“Hmm...” Itu sahaja yang meluncur keluar dari mulutnya... hmm...

“Tak nak rasa bubur kacang?” Aku sekadar bertanya walaupun aku tahu hakikatnya Muhammad Daniel memang tidak suka makan bubur kacang. Aku tergelak kecil melihat dia menjuihkan bibirnya. “Kalau macam tu pergilah mandi. Dah mandi nanti senang.”

“Letihlah, ma.” Dia menyahut.

“Mama tahu. Nanti dah mandi segarlah sikit badan tu.” Aku terus memujuknya. Muhammad Daniel tidak membantah. Dia segera mendaki tangga menuju ke biliknya.

Mataku kemudiannya beralih pula ke arah Nur Samira yang kelihatan khusyuk menyudu bubur kacang ke mulutnya. Betapa aku menyayangi kedua-dua orang permata hatiku itu. Sebagai seorang ibu, aku sanggup berkorban apa sahaja untuk mereka berdua. Hatta berkorban nyawa sekalipun!

Petang semakin larut. Waktu dirasakan berlalu dengan pantas. Seketika nanti senja akan menyerkup. Aku segera mengunci pintu utama sebelum ke belakang pula. Gril dan pintu belakang kukunci rapat. Hidup di kota sentiasa harus berwaspada.

Selepas itu aku segera mendaki tangga menuju ke bilikku. Aku mahu membersihkan diri sebelum mengadap Ilahi di tikar sembahyang.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.