Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
109,492
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 04
| 04 |


SEPERTI biasa, sementara menunggu Shakir membeli segala manik yang dipesan oleh Pak Saad, Syahirah duduk melepak sendirian di sebuah kerusi kayu yang ada di dalam pusat membeli-belah itu.

Dia mahu memilih manik? Itu bukan jiwanya. Dia bimbang jika dia yang disuruh beli manik, bukan manik yang akan dibelinya. Benda lain pula yang akan dibelinya nanti. Lebih baik dia menyerahkan tugas itu kepada Shakir. Shakir pakar dengan semua itu. Memang bidang dia.

Demi menghilangkan bosan, dia main permainan Candy Crush di telefon pintarnya sementara menunggu Shakir selesai membeli manik.

“Syah!”

Panggilan itu merencatkan fokusnya. Dia memandang ke arah suara itu.

“Eh Fariq, kau buat apa kat sini? Kau tak kerja ke?” tanya Syahirah.

Dia memberi ruang pada kawan baik sekampungnya itu duduk di sebelahnya.

Fariq tidak terus menjawab.

“Aku lari sekejap. Lagipun, tak banyak kerja kat bengkel. Ada masa sikit ni, aku pergi gunting rambut kat salun depan tu,” jawab Fariq.

Dia mengemaskan rambutnya yang sudah dipotong di bahagian tepi kiri dan kanan dengan hujung jari.

“Fulamak! Gunting rambut kat salun. Dah naik pangkat ke? Biasa kau gunting rambut kat kedai mamak aje?”

Fariq duduk di sebelah Syahirah.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>

“Sesekali kenalah ubah selera. Aku dah bosan dengan mamak tu. Gunting rambut aku tak pernah nak ubah gaya. Dari aku tingkatan satu sampailah sekarang, macam tu jugak gayanya. Gunting rambut kat salun tu best sikit. Amoi cantik yang gunting rambut aku tadi,” ujar Fariq sambil tersengih-sengih.

“Aku dah agak dah. Tak adanya tiba-tiba kau tergerak hati nak gunting rambut kat salun tu. Mesti sebab amoi kat kedai tu cun melecun.”

“Normallah bro, aku lelaki. Pasangannya perempuan. Aku bukan dua alam macam kau.”

“Woi,” jerit Syahirah, tidak boleh terima tuduhan Fariq itu.

“Cakap tu baik-baik sikit. Kan ada yang kunyah kasut busuk saiz tujuh aku ni,” sambung Syahirah.

Fariq tergelak.

“Huii... garangnya. Salah ke aku cakap? Kau bukan suka perempuan ke?”

“Eh, cakap tu baik sikit ya. Aku tahulah aku ni kasar. Tapi jiwa aku tetap perempuan bro.”

“Ya ke?”

Fariq mencebik tidak percaya.

“Macam susah aje aku nak percaya. Apa bukti kau perempuan?” sambung Fariq sambil menggaru-garu dagu dan memandang Syahirah dari atas ke bawah berulang kali.

“Kau tengok apa?”

Syahirah menutup tubuhnya.

“Kau jangan cari fasal. Aku tumbuk muka kau nanti,” ujar Syahirah sambil menunjuk penumbuk di hadapan muka Fariq.

Fariq tergelak.

“Aku cari bukti yang kau tu perempuan,” jawab Fariq dengan wajah selamba.

“Nanti aku tunjuk betul-betul, 40 hari kau makan guna straw.”

“Eh, boleh ke? Nak tengok?” tanya Fariq sambil buat muka teruja.

“Gatal punya jantan,” sindir Syahirah sambil menolak perlahan wajah Fariq.

Fariq tergelak besar.

“Tahu pun takut. Yang kau ni duduk sini sorang-sorang buat apa? Tak tolong bapak kau kat kedai jahit dia ke?”

“Aku tengah tunggu Shak ni.”

“Shak? Budak sotong tu?” soal Fariq, mahu kepastian.

“Hisy kau ni, tak baiklah cakap dia macam tu,” bela Syahirah.

Dia kembali menghadap skrin telefon pintarnya. Sekadar mahu menyemak akaun Facebook jika ada notification terbaru.

“Eh, betul apa aku cakap? Dia tu lembut, kan?” soal Fariq lagi.

“Lembut tak semestinya sotong,” jawab Syahirah, masih membela.

“Okey, faham.”

Fariq malas mahu mengulas lanjut. Dia takut ada yang tersentap nanti.

Suasana menjadi diam seketika.

“Kau dengan Shak tu ada apa-apa ke?” tanya Fariq, menukar topik perbualan.

“Hisy, mana ada.”

“Tak adalah, aku tengok kau dengan dia sejak dari sekolah rendah lagi asyik berdua aje. Apa-apa berlaku pada dia, mesti kau yang akan bela. Aku tengok kau dengan dia dah macam terbalik. Dia tu awek, kau pulak pakwe. Macam mana tu?”

“Kau ni, macamlah tak kenal dia macam mana, kan? Dia kan lembut sikit. Dah dia dilahirkan macam tu, nak buat macam mana, kan? Apa yang pasti aku dengan dia best friend aje, okey?”

“Okey. Cuma aku tengok kau dengan dia, macam tertukar personaliti. Cuba kau dengan dia lari laju-laju rempuh antara satu sama lain. Manalah tahu kau dengan dia boleh tertukar personaliti yang sepatutnya,” cadang Fariq.

Syahirah tergelak.

“Kau ni, bab mengarut memang terbaik. Boleh pulak kau duduk lama-lama kat sini. Bos kau tak marah?”

“Eh, haahlah.”

Fariq baru teringat. Jam tangan dipandang sekilas.

“Aku kena blah dulu. Kalau kau ada masa nak lepak karaoke ke? Main boling ke? Calllah aku okey?”

“Okey,” akur Syahirah.

Fariq melangkah pergi meninggalkan Syahirah sendirian di kerusi kayu itu.

“Manalah Shak ni? Dia beli manik ke buat manik? Ke dia beli tauke manik? Lambat sungguh!” rungut Syahirah, sudah bosan menunggu.

Dia kembali menatap skrin telefon pintarnya. Tanpa disedari mereka, perbualan mereka berdua tadi telah didengari oleh Shakir yang berada tidak jauh dari mereka.



SELESAI Shakir membeli manik, mereka berdua terus ke restoran makanan segera KFC di aras yang paling bawah di pusat membeli-belah ini untuk mengisi perut masing-masing yang sudah terasa lapar. Alang-alang sudah tengah hari, apa salahnya mereka makan tengah hari terlebih dahulu sebelum balik ke butik.

“Kau ni, macam ada masalah aje. Sejak kau keluar dari kedai manik tu, muka kau terus ketat semacam. Apa hal?” tanya Syahirah sambil meletak dulang di atas meja.

Jika sudah di KFC, pastinya ayam goreng tepung menjadi menu pilihan mereka ketika ini.

“Tak ada apalah,” jawab Shakir malas sambil meletak straw ke dalam gelas kertas yang ada.

Makanan di atas dulang mula dihidang. Selesai sahaja menghidang, roti dicapai mereka lalu dikuak menjadi dua bahagian. Sudu kecil dicapai lalu mashed potatoes dicalit sedikit kemudian disapu di permukaan dalam roti.

“Ya ke?”

Syahirah tidak percaya. Mulutnya mula mengunyah roti rakus.

“Yalah,” dalih Shakir.

Dia mencarik sedikit kulit ayam goreng tepung lalu diletak di atas permukaan roti yang sudah disapu rata dengan sedikit mashed potatoes tadi. Roti kembali disatunya lalu dikunyah. Jadilah burger kulit ayam goreng tepung, katanya.

“Okey.”

Syahirah malas mahu bertanya lagi. Bimbang kawan baiknya itu rimas dengan soalan-soalan cepumasnya. Rotinya sudah habis masuk ke mulut. Giliran untuk menyuap coslow ke dalam mulutnya pula.

Diam seketika. Masing-masing enak menjamah makanan.

“So, macam mana? Kau dah fikir masak-masak?” tanya Shakir sambil menyuap mashed potatoes ke dalam mulut.

Berkerut dahi Syahirah. Laju sungguh dia makan. Bab makan, dia memang laju. Yang anehnya, banyak mana pun dia makan, badannya tetap kurus. Macam ada bela saka.

“Fikir nak masak apa? Sejak bila aku pandai masak?” soal Syahirah hairan.

Tidak pasti sama ada Syahirah mahu loyar buruk atau memang dia tidak faham apa yang Shakir maksudkan.

Shakir buat muka toya.

“Kau dah fikir masak-masak ke, sama ada kau nak cari suami sendiri atau terima cadangan papa kau tu?”

“Oh... ingatkan apalah tadi. Aduh kau ni, spoilkan mood aku nak mencekik ayam KFC ajelah,” keluh Syahirah, tidak senang dengan topik yang Shakir bangkitkan.

Dalam tidak ada mood, tangan dia tetap laju mencarik daging ayam goreng tepung lalu disumbat ke dalam mulut. Gaya macam sudah tidak makan seminggu. Kalau ada mood nak makan, mahu dengan tulang-tulang sekali dia telan.

“Eleh, spoilkan mood konon. Paha ayam tu dah tinggal tulang kau baham,” sindir Shakir sambil mencebik.

Syahirah tersengih.

“Sebenarnya, aku ni jarang tak ada mood nak makan. Kalau bab makan tetap pelahap beb.”

“Tu aku tahu dari dulu dah,” balas Shakir dengan muka bosan.

Ayam goreng tepung dikunyah lagi.

“So, macam mana?” soal Shakir lagi, kembali ke topik asal.

“Macam mana apa pulak ni? Macam-macam hallah kau hari ni. Pening aku.”

“Fasal papa kau nak menantu tulah. Kalau tak silap aku, lagi lima bulan birthday papa kau yang ke 50 tahun. Kau rasa kau sempat ke cari suami dalam tempoh lima bulan?”

Syahirah mengeluh berat. Namun, ayam goreng tepung di tangan tetap juga laju masuk ke dalam mulutnya.

“Aku dah main tawar-menawar semalam dengan papa aku. Tapi papa aku tetap berkeras nak menantu. Dia ingat, cari menantu untuk dia tu macam cari sayur kailan kat pasar agaknya. Aku tak naklah disebabkan ugutan dia tu, aku yang menderita. Cari suami segera ni, ikut untung nasib aje beb.”

Kasihan pula Shakir melihat kawan baiknya itu. Ikutkan hati, dia sanggup menjadi suami segera kepada kawan baiknya itu. Dia ikhlas terima Syahirah sebagai isterinya andai memang jodohnya dengan wanita itu. Tetapi, apabila kata-kata Syahirah semasa berbual dengan Fariq tadi kembali bermain di dalam kepalanya membuatkan dia pendam sahaja perasaannya itu.

“Kalau untung, aku bahagia dengan suami segera aku tu sampai mati. Kalau tak untung, aku bercerai-berai. Yang menderitanya nanti aku jugak,” sambung Syahirah.

“Dah tu, kau ada cakap macam tu kat papa kau?”

“Dah.”

Sekarang, baru nampak Syahirah seperti hilang selera untuk menjamah sisa makanannya.

“Papa kau cakap apa?” soal Shakir lagi.

“Dia tetap berkeras nak menantu sebelum atau ketika umur dia masuk 50 tahun. Dia kata aku hanya akan berubah kalau aku ada suami.”

“Mungkin betul jugak kata papa kau tu. Bila kau dah kahwin nanti, mungkin kau akan berubah jadi wanita sejati. Yang betul-betul ayu dan sopan. Siapa tahu, kan?”

“Pergh! Kau kutuk aku, kan?”

Hanya luaran Syahirah sahaja nampak keras. Apabila kena perli sedikit sudah sentap. Jika sudah perempuan, tetap jua perempuan. Jangan nak rock sangatlah.

“Hisy, mana ada. Biasanya apa yang orang tua cakap tu, betul tau. Dia orang kan, dah lama makan garam dari kita.”

“Hisy, tak naklah macam tu.”

Syahirah sambung makan sisa ayam goreng tepungnya.

“Aku ni kalau boleh, nak lelaki yang boleh terima aku seadanya. Sanggup terima aku yang kasar ni. Kau ingat tak penat, nak jadi lemah gemalai? Tu bukan diri aku. Aku tak suka hipokrit.”

Shakir mengeluh halus. Buntu terus fikirannya. Tidak tahu bagaimana mahu menolong Syahirah.

“Kalau macam tu, kau kenalah cari lelaki yang boleh terima kau seadanya,” ujar Shakir.

Dia hanya mampu beri kata-kata perangsang kepada kawan baiknya itu ketika ini. Kalaulah kau tahu yang aku boleh terima kau seadanya, detik hati Shakir sambil mencuri pandang pada Syahirah.

“Serius, aku dah tak tahu macam mana nak realisasikan impian mengarut papa aku tu. Nasib dia papa aku. Kalau papa orang lain, memang dah lama aku bom. Stres aku!”

Shakir diam seketika memikirkan idea bernas untuk membantu kawan baiknya itu. Mungkin dia perlu melupakan perasaannya ketika ini terhadap Syahirah. Mungkin dia akan lebih gembira andai dia mampu buat Syahirah bahagia. Siapa tahu, kan?

“Haa... apa kata kau cari bakal suami kau tu kat Facebook? Kan berlambak-lambak lelaki dalam tu?”

Syahirah memandang lama Shakir sambil otaknya ligat menimbang cadangan Shakir itu.

“Haahlah, kenapalah aku tak terfikir semua tu selama ni. Bengonglah aku ni. Thanks Shak. Kaulah sahabat sejati aku. Aku sayang kau.”

Disebabkan terlalu teruja, dia mencubit manja hidung Shakir.

“Hisy, apa ni? Berminyaklah,” ujar Shakir sambil mengelap hidung dengan kertas tisu.

“He...he...he...” Syahirah hanya tersengih sumbing lalu menyambung makannya.

Shakir tersipu malu. Dalam hatinya dia terasa bahagia apabila Syahirah mencubit hidungnya tadi. Manisnya!


Previous: BAB 03
Next: BAB 05

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.