Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
109,510
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 19
| 19 |


“ILA, kau tolong upload video ni kat akaun You Tube studio kita,” suruh Nazrin.

Dia kemudian bangkit berdiri. Jaket denimnya yang tersangkut di belakang kerusi dicapai.

Nabila yang sedang mengedit gambar seorang pelanggan mereka di meja sebelah menoleh memandang abangnya itu.

“Eh, abang nak pergi mana?”

“Aku ada appointment dengan klien sekejap lagi,” jawab Nazrin sambil memakai jaket.

“Abang dah mintak kebenaran dari pengantin? Nanti tak fasal-fasal kena saman pulak sebab upload video tu kat You Tube tanpa kebenaran,” ujar Nabila.

Dia sekadar ingin memastikan. Zaman sekarang semuanya perlu ada persetujuan. Jika tidak, jangan terkejut andai ada surat saman sampai di atas meja.

“Dah. Kalau tak, aku takkan suruh kau upload kat You Tube. Jangan lupa tau. Lepas tu kau update video tu kat page Facebook studio kita jugak,” suruh Nazrin lagi sambil mencapai kamera kesayangan di atas meja.

“Yalah.”

“Jangan lupa pulak.”

“Ya, abang.”

Tertekan pula Nabila dengan abangnya itu. Dia menggeleng-geleng.




Nabila kembali menghadap skrin komputer. Kerja yang tergendala disambung kembali. Apa yang disuruh abangnya tadi diabaikan dahulu. Dia perlu siapkan kerjanya terlebih dahulu. Kerja yang melibatkan idea kreatif, memerlukan konsentrasi dan mood yang betul. Barulah hasilnya menyerlah. Jika buat dalam keadaan tertekan dan terdesak, hasilnya mungkin sekadar bagai melepaskan batuk di tangga sahaja.

“Ila! Kawan kau datang!”

Tiba-tiba kedengaran suara abangnya dari arah depan.

Berkerut dahi Nabila kehairanan. Jam di pergelangan tangannya dipandang.

Kawan? Siapa pulak yang nak jumpa aku petang-petang macam ni? Gumam Nabila.

Dia bangkit berdiri lalu melangkah ke ruang depan yang lebih kepada ruang perbincangan dan santai untuk pelanggan-pelanggan mereka berbincang konsep, pakej dan harga yang ditawarkan untuk sesi fotografi yang disediakan di studio ini.

Dia hairan apabila melihat Syahirah sedang duduk sendirian di ruangan itu sambil menatap telefon pintarnya.

“Eh, Syah,” tegur Syahirah sambil memandang ke luar studio.

Hanya kelihatan abangnya sahaja yang sedang melangkah menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari studio itu. Dia mencari kelibat Shakir kerana kebiasaannya Syahirah akan muncul bersama Shakir.

“Eh, Ila, sorrylah kalau aku mengganggu kau,” balas Syahirah sambil tersengih.

Dia bangkit berdiri lalu melangkah menghampiri Nabila.

“Mana Syak?” soal Nabila, ingin tahu.

Dia masih mencari kelibat Shakir di luar studio itu.

Syahirah nampak serba tidak kena.

“Dia tak ada. Aku seorang. Dia banyak kerja kat butik,” jawab Syahirah dengan teragak-agak.

Hakikatnya, dia tidak mengajak Shakir pun kerana kawan baiknya itu tiba-tiba sahaja cuba menjauhinya. Dia pun malas hendak ambil tahu. Malah dia mahu buktikan yang dia boleh uruskan halnya sendiri tanpa Shakir.

“Oh ya ke? Jadi, ada apa kau ke sini?”

Syahirah tersengih.

“Macam biasalah, aku nak mintak tolong kau...”

Syahirah tidak menghabiskan kata-katanya. Sebaliknya dia memegang wajahnya sambil buat muka comel.

“Lagi?” soal Nabila, terkejut.

Dia faham maksud dari isyarat bukan lisan yang dibuat Syahirah itu.

Syahirah mengangguk laju sambil tersengih lebar.

“Kau tak serik lagi ke, Syah? Malam kelmarin, kau dah jumpa lelaki hidung belang, siap tawarkan kau jadi perempuan simpanan dia lagi. Hari ni dah ada date dengan lelaki lain pulak. Dah macam playgirl pulak kau ni,” luah Nabila.

Dia terkejut kerana Syahirah tidak kenal erti serik.

“Aku dah cerita pada kau sebabnya, kan?”

Nabila mengangguk. Sebenarnya dia lebih awal tahu punca Syahirah beria-ia mencari bakal suaminya. Saja dia buat-buat tidak tahu semasa Syahirah menceritakan semula apa yang Shakir sudah ceritakan padanya sehari sebelum Syahirah menceritakan rahsianya.

“Ya, aku tahu, tapi takkan terdesak sampai macam ni sekali. Macam tak ada rehat. Baru kelmarin kau kenal Dato’ Z, hari ni kau dah jumpa lelaki lain.”

Syahirah tidak terus menjawab. Dia mengeluh berat. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi yang didudukinya tadi. Nabila turut duduk di sebelah. Sesungguhnya Nabila risau melihat situasi terdesak Syahirah ketika ini.




“Kau pun tahu perangai papa aku tu, kan? Aku tak nak kahwin dengan Pak Mat jual tempe tu. Yalah, walaupun dia masih kacak, menurut papa akulah, bukan aku yang kata. Tapi aku tak suka dia. Sebab tu aku beria-ia cari suami yang boleh aku cinta sekarang ni.”

Perbualan mereka berubah serius. Seperti menjadi sesi luahan perasaan pula.

“Kau tak cuba slow talk dengan papa kau fasal hal ni? Mana boleh dia main paksa-paksa macam ni. Kau pun ada hak nak tentukan hala tuju hidup kau. Orang yang dah bercinta bertahun-tahun pun boleh putus, inikan pulak kau, nak cari bakal suami dalam masa lima bulan. Susah beb.”

“Slow talk, fast talk, bergaduh, semuanya dah. Papa aku tetap dengan pendirian dia. Dia kata dia dah risik Pak Mat tu untuk aku. Kau rasa gila tak?”

“Serius?” soal Nabila dengan mata terbuntang.

“Papa aku cakap macam tu.”

“Dia sengaja cakap macam tu kut. Padahal dia tak pergi pun merisik Pak Mat tu.”

“Yang tu lantak dialah. Apa-apa pun aku memang tak boleh terima Pak Mat tu jadi suami aku.”

Nabila menggeleng-geleng sambil tersenyum nipis. Sungguh berat masalah yang sedang melanda hidup kawan baiknya itu.

“Kau datang ni, nak mintak tolong aku mekapkan kaulah ya? Hari ni ke?”

Syahirah tersengih lebar.

“Tolong ya? Aku ada date petang ni.”

Nabila mengeluh halus. Masih ada yang menghairankannya ketika ini.

“Shak tahu tak kau ada date petang ni? Tak fasal-fasal dia risau pulak,” tanya Nabila lagi, ingin memastikan sesuatu.

“Entah, lantak dialah. Yang nak kahwin nanti aku, bukan dia.”

Berkerut dahi Nabila memandang wajah kawan baiknya itu.

“Kau orang berdua bergaduh ke?”

“Eh, mana ada. Kau boleh tolong ke tak ni?” ujar Syahirah, cuba melencongkan topik.

“Boleh, tapi kau nak cepat ke?”

Syahirah memandang jam tangannya.

“Date aku pukul 5.00 nanti. Kau rasa sempat tak?”

“Sekarang baru 2.30 setengah. Lebih dari sempat. Tapi kau kena tunggu sekejap, sebab aku ada kerja sikit. Boleh tak?”

“Okey beb. Aku tak kisah,” akur Syahirah.

Dia lalu mengeluarkan telefon pintarnya.

“Kau nak lepak sini atau kat dalam?”

Syahirah berfikir sejenak.

“Aku rasa aku lepak kat sini ajelah. Aku tak nak kacau kau buat kerja kat dalam tu. Nanti kau dah siapkan kerja, panggillah aku kat sini.”

“Okey, tunggu sekejap ya,” pinta Nabila.

Dia kemudian kembali ke dalam studio. Dia hanya seorang diri di studio ketika ini. Pembantu abangnya ada janji temu di luar sejak tengah hari tadi.

Sampai di meja kerjanya, Nabila diam sejenak sambil berfikir. Ada yang memusykilkannya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena antara Shakir dan Syahirah. Seketika kemudian, dia mengabaikan rasa itu demi mengelak dia tersalah tafsir. Dia menyambung kerjanya yang tergendala tadi.


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.