Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
109,777
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 08
| 08 |

ATAS bantuan Nabila, akhirnya abang kepada Nabila, Nazrin sudi membantu Syahirah tanpa sebarang bayaran. Hampir sejam berhias dan bersolek, kini Syahirah sedang menjalani sesi mini fotografi di studio milik Nazrin.

Nabila yang cantik lagi comel bertudung itu memandang Shakir di hadapannya yang begitu ralit melihat Syahirah yang cantik bermekap dan berbaju yang lebih kewanitaan. Walaupun memakai baju gaya K-Pop dan tidak mengenakan baju kurung atau kebaya, gadis itu kelihatan begitu cantik dengan imejnya sekarang. Dengan tubuh Syahirah yang tinggi lampai itu, sekilas seperti model terkenal pula.

“Kenapa Syah tiba-tiba nak bergambar dengan gaya macam tu?” soal Nabila selepas hampir 15 minit berdiam.

Apabila melihat Shakir begitu teruja melihat Syahirah tidak jauh dari mereka, membuatkan dia memendam soalan itu sejak tadi. Baru sekarang dia berani bertanya.

“Ha?” Shakir tersentak kecil seolah-olah rohnya yang melayang jauh sebelum ini, kembali semula ke jasadnya. Nabila dipandang dengan wajah terpinga-pinga.

Nabila tertawa kecil sambil membetulkan duduknya. Mereka berdua duduk di ruang menunggu di suatu sudut tepi studio itu.

“Aku tanya, kenapa tiba-tiba Syah nak bergambar dengan gaya macam tu?” soal Nabila lagi.

“Erm...”




Shakir menggelabah seketika. Dia sudah menjangka soalan itu akan ditanya. Dia sudah berjanji pada Syahirah untuk merahsiakan perihal Pak Saad mahu menantu.

Nabila merupakan salah seorang kawan baiknya semasa di sekolah menengah dahulu. Cuma, selepas tamat tingkatan lima, hubungan mereka mula renggang selepas masing-masing mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Walaupun duduk sekampung, mereka jarang bertemu disebabkan tugas dan tanggungjawab. Selepas tamat pengajian, Nabila yang mengambil jurusan rekaan grafik dan seni fotografi terus bekerja dengan abangnya yang mempunyai studio penggambaran sendiri di bandar ini.

“Dia nak buat folio,” dalih Shakir.

Walaupun dia tahu jawapannya begitu aneh dan bakal mengundang syak wasangka pada Nabila, dia tetap memberi jawapan itu. Dia tahu, bab folio pastinya Nabila lebih arif.

“Folio? Untuk apa? Dia nak jadi model ke?” soal Nabila, ingin kepastian.

“Err...” Sekali lagi Shakir hilang kata-kata.

Nabila dapat merasakan lelaki di hadapannya itu sedang menyembunyikan sesuatu.

“Cuba berterus terang aje,” pinta Nabila.

“Erm...”

Shakir masih kebingungan. Dia memandang Syahirah yang sedang diajar cara bergaya oleh Nazrin. Kasihan pula dia melihat kawan baiknya itu terpaksa menggayakan pelbagai gaya yang tidak pernah dia buat seumur hidupnya.

Maafkan aku Syah, sebab terpaksa pecahkan rahsia kau pada Ila, getus hati Shakir dengan perasaan serba salah. Dia kembali memandang Nabila di hadapannya.

“Kalau aku cakap, kau boleh simpan rahsia, tak?” soal Shakir.

Dia inginkan jaminan. Kalau Syahirah tahu dia telah membocorkan rahsianya pada Nabila, habis hidupnya selepas ini. Pasti dia bakal dibenci oleh Syahirah. Dia tidak mahu hal itu berlaku.

Berkerut dahi Nabila memandang Shakir. Macam berat sahaja apa yang sedang dirahsiakan lelaki itu ketika ini.

“Rahsia? Macam serius aje bunyinya?”

“Kalau kau boleh janji dengan aku yang kau akan rahsiakan hal ni, baru aku boleh beritahu kau sebab apa Syah tiba-tiba nak bergambar dengan gaya macam tu.”

Nabila diam seketika sambil memandang lama pada Shakir. Dia berfikir sejenak.

“Okey, aku janji aku takkan beritahu sesiapa.”

Disebabkan dia benar-benar ingin tahu rahsia yang sedang Shakir dan Syahirah simpan, dia akur dengan perjanjian itu.

“Sebenarnya, dia nak letak gambar dia kat Facebook.”

Nabila tergelak kecil. Berkali-kali dia melihat Shakir sambil memandang tidak percaya.

“Sebab itu aje? Kenapa sampai nak kena berahsia pulak? Syah nak menyamar jadi orang lain ke?”

“Bukan macam tu, sebenarnya...”

Shakir cuba berbisik dengan Nabila.

Nabila yang melihat perlakuan Shakir itu mula mendekatkan telinganya. Dengan rasa bersalah yang menggunung, Shakir menceritakan rahsianya bersama Syahirah.

“Serius, Pak Saad ugut dia sampai macam tu sekali?” tanya Nabila selepas Shakir selesai menceritakan hal yang sebenar.

Shakir mengangguk lemah lalu kembali menjauhkan tubuhnya dari Nabila. Dia terasa dirinya begitu berdosa kerana telah melanggar janji dan mengkhianati Syahirah. Tetapi dia terpaksa menceritakan juga kepada Nabila.

“Aku harap kau tak beritahu sesiapa tentang hal ni. Termasuk Abang Nazrin,” ujar Shakir, memberi peringatan.

“Yalah, aku tahu. Aku kan dah berjanji dengan kau. Kau ni, macam tak percayakan aku aje.”

“Percaya, cuma aku nak ingatkan.”

Nabila masih tergelak. Macam susah dia hendak hadam apa yang baru saja Shakir ceritakan sebentar tadi. Dengar macam tidak relevan hal itu berlaku pada zaman sedia canggih lagi maju kini.

“Tak sangka, masih ada lagi seorang bapa yang nak menantu dengan cara tu, kan?” luah Nabila dengan rasa musykil.

“Kau macam tak kenal dengan Pak Saad tu. Dah memang perangai dia macam tu.”

“Tapi, takkanlah sampai ugut macam tu sekali. Macam terdesak pulak nak menantu. Siap bagi tempoh masa bagai. Dah macam dalam drama TV pulak.”

Shakir tersengih nipis. Dia juga sebelum ini sukar untuk percaya akan hal sebegitu. Tetapi, apabila hal itu berlaku betul-betul di hadapan matanya, tiada apa yang boleh disangkal lagi.

“Yang tak boleh blah, Pak Saad nak jodohkan Syah dengan Pak Mat jual tempe tu. Kalau Pak Saad jodohkan Syah dengan abang aku tu, boleh jugak aku terima. Abang aku tu masih bujang, muda. Ni, Pak Mat? Orang tua tu dah berpuluh cucu kut.”

“Nak buat macam mana Ila, dah tu pilihan Pak Saad untuk Syah kalau Syah tak dapat cari menantu untuk dia.”

“Gila betul Pak Saad ni. Memang betul-betul kuat pengaruh drama TV pada dia tu. Sah, memang Pak Saad kuat tengok TV.”

Shakir hanya tersengih hambar. Tiada apa yang boleh dinafikan. Semuanya benar belaka. Di hatinya terus dilanda rasa bersalah kerana telah mengkhianati Syahirah.

“Jadi, dia nak letak gambar-gambar yang tengah shooting ni kat Facebook untuk cari menantu untuk papa dialah ya?”

Shakir mengangguk berat. Tiada riak wajah gembira yang terukir di wajahnya ketika ini walaupun dia sudah berjaya membantu Syahirah merealisasikan impiannya.

Shakir kembali memandang Syahirah yang masih menggayakan aksi tidak jauh dari mereka. Cantik sungguh Syahirah ketika ini. Namun, dia lebih suka Syahirah yang asal. Tanpa mekap, kasar dan selamba. Dari gaya Syahirah itu, dia dapat melihat ada keterpaksaan di sebalik senyumannya setiap kali Nazrin memaksa gadis itu mengukir senyuman.

Nabila hairan dengan riak wajah Shakir ketika ini.

“Kau macam tak suka aje. Kenapa?”

“Ha? Aku tak suka?” soal Shakir balik lalu memandang Nabila.

“Bila masa pulak aku cakap aku tak suka?” sambung Shakir lagi.

Nabila semakin berkerut apabila melihat reaksi menggelabah Shakir itu.

“Memanglah kau tak ada cakap kau tak suka. Tapi, aku perasan sejak tadi, kau macam senyum tak ikhlas. Lepas tu aku perasan jugak, kau macam gelisah tak tentu fasal. Tiba-tiba kau akan mengeluh. Macam ada sesuatu yang kau khuatirkan. Kenapa ya?”

“Ha? Mana ada, aku biasa ajelah,” nafi Shakir.

Buat masa ini dia belum bisa berkongsi tentang perasaannya dengan sesiapa. Biarlah dia pendam sahaja. Itu lebih baik untuk dirinya ketika ini.

“Ya ke?”

Susah Nabila hendak percaya dengan jawapan Shakir itu. Dia yakin ada sesuatu yang dipendam dalam hati lelaki di hadapannya itu.

“Yalah, buat apa aku nak menipu, kan?”

Nabila mencebik.

“Kau boleh menipu aku, tapi kau tak boleh tipu hati kau, Shakir. Kau ni, sebenarnya... suka kat Syah, kan?”

“Eh, mana ada,” nafi Shakir cepat-cepat.

Dia tidak mahu ada sesiapa tahu tentang perasaannya buat masa ini. Lagipun, dia merasakan seperti mustahil perasaannya itu akan menjadi realiti.

Belum sempat Nabila mahu menyoal Shakir lagi, tiba-tiba abangnya muncul bersama Syahirah di ruangan itu. Kedua-duanya sedang melangkah menuju ke meja abangnya yang berada tidak berapa jauh dari tempat mereka duduk.

“Okey Syah, kau masuk bilik belakang tu. Nanti ada seorang lelaki tak berapa nak jadi tolong cuci mekap kau. Aku nak edit gambar-gambar kau ni sekejap, sebelum aku burn dalam CD,” ujar Nazrin.

“Okey. Thanks bang, sebab sudi tolong saya,” ucap Syahirah.

“Tak apa. Kau tu bukan orang lain pun. Orang kampung aku jugak. Merangkap kawan baik adik aku. Kalau orang lain, memang aku dah caj 500 ringgit,” balas Nazrin sambil mengimbas kembali gambar-gambar Syahirah yang diambil tadi di komputer.

Syahirah hanya tersengih. Sengih malu sebenarnya apabila Nazrin berkata begitu. Terasa dirinya seperti cuba mengambil kesempatan pada lelaki itu pula.

“Saya ke bilik belakang dulu,” pamit Syahirah.

Dia melangkah ke bilik yang dimaksudkan untuk mencuci mekap dan menukar pakaian asalnya. Sempat dia menyapa Shakir dan Nabila di ruang menunggu.

Apabila kelibat Syahirah semakin menjauh, Nabila mengajak Shakir menuju ke meja kerja abangnya untuk melihat hasil fotografi abangnya sebentar tadi.

“Pergh! Cantik gila si Syah ni bila dalam gambar. Fotogenik betul. Dah macam model,” puji Nazrin apabila dia perasan Nabila dan Shakir sudah berada di belakangnya.

Shakir terpana dan terkesima melihat gambar-gambar Syahirah di skrin komputer bersaiz 21 inci itu. Sungguh berbeza sekali. Cantik dan menawan. Tidak nampak langsung imej keras Syahirah. Yang kelihatan ketika ini, Syahirah yang cantik, jelita dan anggun. Namun, hal itu tidak membuat hatinya berasa lega atau senang kerana gambar-gambar itu akan digunakan untuk menarik perhatian lelaki. Dia tidak suka akan hal itu.

“Haahlah bang, cantik gila Syah dalam gambar ni. Abang cuba edit sikit. Kasi diffuse glow sikit,” cadang Nabila.

“Okey,” akur Nazrin.

Selesai diedit, semakin cantik gambar Syahirah.

“Shakir, aku buat dua folder dalam CD nanti. Kat folder ‘Small’ tu, aku letak gambar Syah yang dah aku resize resolusinya. Nak upload kat Facebook ambil dalam folder ‘Small’ tu. Yang folder ‘Large’ pulak untuk koleksi sendiri. Kau jangan upload gambar yang kat folder ‘Large’ pulak. Berjam-jam nanti nak tunggu siap upload sebab saiz gambar tu besar. Okey?” pesan Nazrin.

“Baik bang, nanti saya beritahu pada Syah,” akur Shakir.

“Cantik siot Syah ni. Sekali aku edit gambar-gambar dia, terus marvelous muka dia. Ni kalau aku hantar gambar-gambar dia ke agensi model, gerenti ada yang berkenan ni,” ujar Nazrin sekadar berbasa-basi.

Shakir tersengih buat-buat. Nabila mencuri pandang ke arah Shakir. Dia dapat rasa yang Shakir tidak suka akan setiap pujian abangnya pada Syahirah. Dia yakin, ada sesuatu di kalbu lelaki itu yang melibatkan Syahirah.


Previous: BAB 07
Next: BAB 09

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.