Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
202,579
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
bab 10

Kereta yang dipandu Irene berhenti di belakang kereta Audi A6 yang sedang diparkir di tepi lebuh raya.

” Thanks Irene, nasib baik you ada,” kata Rayyan yang keluar dari kereta Irene Natasya. Kemudian matanya tertumpu kepada petugas penyelamat yang sedang menyelamat mangsa kemalangan jalan raya yang berada hampir sepuluh meter daripada keretanya. Daripada agakan Rayyan, mangsa kemalangan itu mengalami kecederaan serius apabila melihat dari keadaan kereta yang remuk teruk.

” Lain kali bawa kereta tengok meter minyak. You ni memang cuailah. Nasib baik kita konvoi sama-sama tadi. Bolehlah I bawa you pergi ke stesen minyak,” tegur Irene Natasya yang tidak memperdulikan keadaan kecoh di tempat kemalangan.

” Baiklah tuan puteri ku sayang,” kata Rayyan sambil menekan remote keretanya. Dia menarik pintu kereta tetapi berkunci. Dia tekan lagi sekali remote keretanya dan sekali lagi membuka pintu kereta.

Irene Natasya yang melihat hanya menggelengkan kepalanya.

You tak kunci kereta tadi? Nasib baik kereta you tak hilang. Rayyan..Rayyan...kenapalah hari ini you careless sangat?”

Rayyan hanya ketawa mendengarkan rungutan kekasih hatinya itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu cuai pada hari ini.

” Entahlah, I gabra kot jumpa you,” kata Rayyan sambil ketawa.

DARI dalam kereta Hannah meninjau ke luar. Dia sekarang berada di halaman rumah pemilik kereta yang ditumpanginya ini. Hannah cukup bersyukur kerana pemilik kereta ini langsung tidak menyedari kehadiran Hannah di dalam keretanya.

Hannah membuka pintu kereta. Dia mahu keluar dan pulang ke rumah Mak Cik Norsiah. Dia yakin dia sudah selamat dari sidiket pelacuran itu.

Tanpa di duga, sebaik sahaja pintu di buka penggera kereta berbunyi nyaring membuatkan Hannah mengelabah tidak menentu. Hannah segera berlari sebelum dirinya dijumpai oleh sesiapa.

” Woi!!! Kau nak curi kereta aku ke?” Jerit Rayyan.

Hannah semakin kalut. Tanpa memperdulikan jeritan Rayyan, dia terus mempercepatkan lariannya. Rayyan semakin tercabar. Apatah lagi pencuri tersebut adalah perempuan. Segera Rayyan mengejar. Dengan kepantasan Rayyan berlari, akhirnya pencuri keretanya dapat juga ditangkap dengan mudah.

” Lepaskan aku! Lepaskan aku!” Jerit Hannah sambil meronta.

” Jangan haraplah. Aku akan bawa kau ke balai polis. Tak sangka aku zaman sekarang ini, perempuan pun dah tahu buat kerja jahat,” kata Rayyan berang.

” Aku tak mencuri kereta kaulah. Aku tumpang sahaja,” kata Hannah cuba memberi penerangan.

” Tumpang? Oh pandai betul kau nak kelentong.”

” Aku tak kelentong. Betul aku tumpang kereta kau tadi,” kata Hannah cuba menyakinkan Rayyan.

Rayyan mendenggus kuat. Dia tahu Hannah berbuat begitu untuk melepaskan dirinya. Dia tidak akan mudah percaya dengan tipu daya Hannah itu.

” Aku tak nak dengar explaination kau. Kalau kau nak terang juga, kau teranglah kepada polis kejap lagi,” kata Rayyan. Dia terus menolak tubuh Hannah ke dalam kereta. Hannah meronta-ronta tidak mahu masuk. Mulutnya pula tidak henti-henti menjerit agar Rayyan melepaskan dirinya.

” Apa yang kecoh-kecoh ni?” Tanya Puan Hajjah Salamah yang keluar dari dalam rumah. Perempuan yang berada bersama Rayyan di pandangnya dengan pelik.

” Mak cik, tolong saya mak cik. Saya tak mencuri. Tolong percayakan saya,” kata Hannah cuba meraih simpati kepada Puan Hajjah Salamah.

” Eh kan aku dah cakap, kalau kau nak explain, explain kat polis nanti. Dah sekarang masuk dalam kereta. Kita ke balai polis,” kata Rayyan sambil membuntangkan matanya.

Hannah menggeleng panik. Kenapalah dia sentiasa ditimpa nasib malang?

” Betul mak cik, saya tak bohong. Percayalah saya. Saya hanya menumpang kereta ini,” kata Hannah yang sudah mengalirkan airmatanya.

” Ah..sudahlah,” tengking Rayyan sambil memaksa Hannah masuk ke dalam kereta.

” Allah...Allah..” kata Hannah tatkala tubuhnya ditolak oleh Rayyan. Hanya Dia pengharapan yang satu untuk menyelamatkannya dari segala malapetaka yang datang.

Mendengarkan kalimah agung tersebut membuatkan hati Puan Hajjah Salamah berdetik. Entah kenapa timbul pula rasa kasihan di hatinya.

” Rayyan, bawa perempuan itu masuk ke dalam rumah,” kata Puan Hajjah Salamah.

Nyata Rayyan begitu terkejut dengan bicara ibunya itu. Dia mengerutkan dahinya sambil matanya tepat memandang kepada Puan Hajjah Salamah.

” Ibu, tak kan ibu nak bawa masuk pencuri ke dalam rumah kita,” kata Rayyan.

” Ibu suruh masuk, masuklah,” kata Puan Hajjah Salamah sebelum berlalu.

Dengan perasaan berdebar, Hannah melabuhkan punggungnya di sofa.

” ANAK ni siapa nama?” Tanya Puan Hajjah Salamah.

Rayyan berdehem panjang apabila melihatkan layanan mesra ibunya kepada pencuri di hadapannya. Daripada pemerhatian Rayyan wanita di hadapannya adalah wanita yang tidak baik. Lihat sahaja daripada pemakaiannya yang tidak ubah seperti seorang pelacur kelas atasan. Jadi tidak hairanlah jika wanita ini ditangkap kerana mahu mencuri keretanya.

” Hannah, Hannah Sofia,” kata Hannah sambil bermain dengan jari jemarinya. Dadanya berdebar. Janganlah dirinya diperapakan oleh keluarga ini.

” Nama mak cik, Hajjah Salamah dan ini anak tunggal mak cik, Rayyan. Mak cik dan Rayyan tinggal di sini bersama dengan datuk Rayyan, Tan Sri Ghazali dan sepupu Rayyan, Hanif. Suami mak cik iaitu bapa Rayyan sudah lama meninggal dunia,” terang Puan Hajjah Salamah panjang lebar.

” Ibu, apa yang ibu buat ni? Ini pencurilah ibu, kenapa ibu nak menceritakan salah silah keluarga kita kepada pencuri yang mahu mencuri kereta Rayyan?” Tanya Rayyan yang cukup tidak berpuas hati dengan layanan baik yang diberikan oleh Puan Hajjah Salamah kepada Hannah.

Puan Hajjah Salamah memandang dengan wajah yang serius kepada anak tunggalnya itu.

” Rayyan, jaga mulut Rayyan tu. Selagi tidak terbukti yang Hannah mencuri selagi itulah Rayyan tidak boleh menuduhnya mencuri. Itu adalah hukum agama. Rayyan kena faham semua itu!” Nasihat Puan Hajjah Salamah kepada Rayyan.

Hannah menarik nafas lega dengan bicara Puan Hajjah Salamah itu. Dia amat berharap yang Puan Hajjah Salamah dapat membantunya menyelesaikan masalah yang baru timbul ini kerana dia yakin Puan Hajjah Salamah mempunyai hati nurani yang bersih. Ya, Allah sedang membantunya tatkala ini, bisik Hannah yakin sekali.

” Ya Allah, ibu, bukti dah ada di depan mata. Rayyan yang nampak dia keluar dari kereta Rayyan. Nak cari bukti apa lagi?”

Puan Hajjah Salamah hanya menjeling dengan bicara anaknya itu. Kemudian dia memandang kepada Hannah dengan senyuman manis.

” Hannah, mak cik tak tahu apa niat sebenar Hannah datang ke rumah mak cik. Kalaulah niat sebenar Hannah datang ke sini untuk mencuri kereta anak mak cik, mak cik rasa sungguh kecewa sekali,” kata Puan Hajjah Salamah.

Hannah menggeleng dengan panik. Dia tidak mahu Puan Hajjah Salamah mahu pun Rayyan tersalah anggap dengan dirinya.

” Sumpah mak cik, Hannah tak pernah ada niat nak mencuri kereta anak mak cik,” kata Hannah sambil mengangkat sumpah.

” Habis tu apa? Kau saja nak datang tengok kereta aku?” Cepat sahaja Rayyan menuduh.

” Rayyan...” tegur Puan Hajjah Salamah dengan tegas.

Rayyan hanya mendengus kasar. Dia berasa geram dengan Puan Hajjah Salamah yang tidak mahu menyebelahinya.

” Habis tu kenapa Hannah datang ke sini?” Tanya Puan Hajjah Salamah.

Hannah di rundung sebak dengan tiba-tiba. Perasaannya menjadi sayu. Namun dia tetap bersyukur kerana terselamat daripada kemelut yang cukup memilukan ini.

” Panjang ceritanya,” kata Hannah lemah. Wajahnya tertunduk. Tidak mahu sama ada Rayyan mahupun ibunya membaca gejolak hatinya tatkala ini.

” Ceritalah. Mak cik sedia mendengarnya,” kata Puan Hajjah Salamah.

Dengan tersedu-sedu Hannah bercerita diselang-seli dengan esak tangisnya.Dia tahu dia perlu berkata benar, kalau tidak dia akan terus-terusan di tuduh sebagai pencuri oleh keluarga Rayyan.

” Sejak dari kecil lagi hidup Hannah penuh dengan derita. Ibu yang melahirkan Hannah tidak pernah menerima Hannah sebagai anaknya. Malah Hannah ditinggalkan ibu ketika Hannah masih bayi lagi. Papa yang menjaga Hannah pula membenci Hannah. Hannah sendiri tidak tahu kenapa kedua ibu bapa Hannah tidak mahu menerima Hannah. Hannah sering di dera sehinggalah pada suatu hari polis datang ke rumah Hannah. Tatkala itu papa sedang mendera Hannah. Rupa-rupanya ibu telah datang bersama polis tersebut kerana menuduh papa telah mencederakan ibu. Apabila melihat muka Hannah yang lebam akibat pukulan papa, ibu menambah tuduhan mendera ke atas papa. Hannah ingat selepas papa masuk penjara, ibu akan menjaga Hannah sebaliknya ibu sedikit pun tidak mahu memandang Hannah yang ketika itu kesakitan akibat di dera oleh papa. Sakit hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Hingga kini Hannah tertanya-tertanya kenapa kedua-dua orang tua Hannah tidak mahu menerima Hannah sebagai anaknya,” cerita Hannah panjang lebar.

Rayyan mendengus kasar.

” Ha ha sebiji macam sinetron Indonesia. Kau ingat kami akan simpati dengan sinetron kau ini?” Tanya Rayyan sinis sekali.

” Rayyan...” tegur Puan Hajjah Salamah sambil membuntangkan mata kepada Rayyan. Kemudian dia memandang Hannah yang tertunduk sambil bermain dengan jemarinya. Sesekali dia menyeka airmata yang mengalir di pipinya.

” Habis tu Hannah tinggal dengan siapa selepas papa Hannah di penjara?” Tanya Puan Hajjah Salamah yang masih berminat dengan cerita Hannah.

” Hannah tinggal dengan jiran Hannah. Dialah yang membela Hannah dan semenjak papa dipenjarakan, Hannah tidak pernah berjumpa dengan papa Hannah lagi. Sehinggalah pada minggu lepas papa datang ke rumah mak dan membawa Hannah ke sini. Rupa-rupanya papa sudah ada rancangan sendiri,” kata Hannah. Dia sudah menggogoi kesedihan. Walaupun perkara itu sudah pun berlalu namun hatinya masih lagi pilu.

” Sinetron..sinetron...” perli Rayyan sambil memicit dahinya.

” Apa rancangan papa Hannah?” Puan Hajjah Salamah bertanya.

” Rupa-rupanya ibu sudah meninggal dan mewariskan harta-hartanya kepada Hannah dan papa membawa Hannah berjumpa lawyer ibu supaya ke semua harta-harta yang diwasiatkan kepada Hannah diberikan kepadanya.”

” Dan Hannah beri?”

Hannah mengangguk.

” Hannah sebenarnya tidak pernah inginkan harta-harta tersebut. Harta itu semua berpunca dari sumber haram yang ibu lakukan. Ibu adalah seorang pelacur dan sebab itu Hannah memberikan ke semua harta ibu kepada papa,” kata Hannah. Dia sungguh malu untuk memberitahu pekerjaan ibunya itu.

” Jadi bagaimana pula Hannah boleh berada di sini?”

” Selepas segala urusan permindahan harta selesai, papa telah menjual Hannah kepada sindiket pelacuran.”

” Masyaalah..” kata Puan Hajjah Salamah sambil mengurut dada. Manakala Rayyan mencebik. Dari pakaiannya sahaja Rayyan sudah dapat menduga apakah pekerjaan sebenar wanita di hadapannya ini. Oleh sebab itu Rayyan tidak terkejut dengan pengakuan yang diberikan oleh Hannah.

” Dan baru Hannah tahu kenapa ibu dan papa tidak mahukan Hannah. Rupa-rupanya ibu sendiri tidak tahu siapakah bapa sebenar Hannah. Hannah ini anak haram. Hannah ini anak harammmm... dan tujuan papa menjual Hannah supaya Hannah mewarisi pekerjaan ibu. Dengan cara itu barulah dendamnya terbalas,” kata Hannah dengan tangisan yang menggila. Hannah menekup mukanya. Hatinya berasa sakit dengan tiba-tiba.

Puan Hajjah Salamah yang bersimpati terus sahaja mendapatkan Hannah lalu memeluknya dengan erat.

” Ibu, tak kan ibu percaya cakap dia. Ibu ni memang mudah simpatilah!” Bangkang Rayyan yang tidak bersetuju dengan sikap ibunya itu.

Puan Hajjah Salamah sedikit pun tidak memperdulikan bicara Rayyan itu. Dia terus mendakap dan menenangkan Hannah yang jauh melayan perasaan laranya.

” Hannah takut mak cik. Hannah takut sangat berada di situ. Hannah takut maruah Hannah tergadai di situ. Hannah tak sanggup. Aghhh..Hannah ngeri untuk membayangkan semua itu,” tangis Hannah dalam pelukan Puan Hajjah Salamah.

”Bagaimana Hannah boleh berada di sini?” Tanya Puan Hajjah Salamah buat kali ke dua.

” Hari ini adalah tugasan pertama Hannah sebagai seorang pelacur. Hannah di bawa ke hotel kerana ada seorang lelaki inggeris yang melanggan Hannah selama sebulan. Hannah begitu takut sekali. Di sepanjang perjalanan hanya nama Allah sahaja yang meniti di bibir Hannah. Hannah mengharapkan Allah dapat menyelamatkan maruah Hannah dan alhamdulilah ianya termakbul apabila kereta yang Hannah naiki mengalami kemalangan. Hannah terselamat dan Hannah segera keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri ketika orang yang membawa Hannah itu pengsan. Hannah terjumpa sebuah kereta yang tersadai di tepi highway. Tanpa berfikir panjang Hannah terus masuk ke dalam kereta tersebut dan bersembunyi di situ. Dan akhirnya Hannah berada di sini.”

Puan Hajjah Salamah memandang Rayyan.

” Kau tak perasan yang dia ada di dalam kereta kau tadi?” Tanya Puan Hajjah Salamah kepada Rayyan pula.

Rayyan mengaru dahinya. Dia cukup tidak menyangka kecuaiannya itu telah mengundang tragedi yang cukup tidak di sangkanya.

” Tah, Rayyan tak perasan langsung pun. Sampailah Rayyan jumpa dia tadi. Kau sengaja nak mereka cerita ke?” Tanya Rayyan.

” Terpulanglah sama ada abang nak percaya atau tak. Tetapi apa gunanya untuk saya berbohong ketika ini,” kata Hannah yang sudah melepaskan pelukannya.

” Habis tu apa rancangan Hannah selepas ini?” Tanya Puan Hajjah Salamah sambil memandang penuh simpati kepada Hannah.

Hannah hanya menjungkit bahu.

” Entahlah mak cik. Hannah buntu,” kata Hannah melepaskan nafas sesaknya.

Puan Hajjah Salamah memegang telapak tangan Hannah. Dia yang mudah simpati tidak akan berasa sedap hati jika dia tidak menghulurkan bantuan kepada gadis malang ini. Lagi pun keselamatan gadis malang ini masih di ancam. Pastinya sindiket pelacuran sedang mencarinya.

” Buat masa ini Hannah tinggal di sini dahulu. Hah di sini memerlukan pembantu rumah. Apa kata Hannah bekerja di sini dahulu dan selepas semuanya kembali reda, Hannah bolehlah keluar mencari pekerjaan di luar,” cadang Puan Hajjah Salamah.

Buntang biji mata Rayyan mendengarkan cadangan yang tidak di duganya itu.

” Ibu...Rayyan tak setuju,” kata Rayyan keras sekali.

” Kejap lagi mak cik bawa Hannah buat laporan polis,” kata Puan Hajjah Salamah tanpa memperdulikan bangkangan anaknya itu.

” Ibu...”

” Dan demi keselamatan Hannah, hanya kita bertiga sahaja yang tahu perkara ini.”

” Ibu..”

Previous: bab 9
Next: bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.