Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
67,072
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 14

Amir masih termanggu di atas batu besar tempat dia melabuhkan punggung sebelum Maisarah menjerit meminta tolong. Hati kecilnya berasa bersalah kerana memarahi dua orang gadis itu. Dia mengaku, memang dia berasa marah dan geram dengan mereka berdua kerana bertindak sesuka hati. Tetapi pada masa yang sama, dia berasa takut. Dia takut ada perkara yang tidak diingini terjadi kepada dua orang sahabat itu.

Kawasan air terjun ini, bukan kawasan sebarangan. Dikawasan inilah Rayyan di dapati hilang tanpa jejak. Dan bermula di sinilah juga kehidupan dia dan Zahlia berubah. Tempat ini banyak menyimpan cerita suka duka keluarganya dan juga orang kampung.

Sebelum ini, Air Terjun Manikam memang menjadi tempat tumpuan masyarakat kampung ini untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti riadah, berkelah, mencari hasil hutan dan juga memancing. Tetapi, lebih kurang 10 tahun kebelakangan ini, pelbagai peristiwa aneh dan misteri berlaku.

Sungai yang selama ini tenang mula menelan mangsa. Padahal sungai ini tidak sedalam mana. Orang kampung yang masuk ke dalam hutan untuk mencari rotan atau pun akar kayu pula mula hilang, seorang demi seorang. Cuma tempoh kehilangan mereka tidak lama. Paling lama pun hilang dalam masa seminggu sebelum dijumpai terbaring tidak bermaya di tebing sungai.

Bila ditanya apa yang berlaku? Di mana mereka selama ini? Semua mangsa tidak dapat memberi jawapan. Memori mereka seolah-olah hilang. Mereka cuma ingat yang mereka sekadar masuk ke dalam hutan. Peristiwa berikutnya, hilang, kosong, tiada dalam ingatan.

Kejadian yang menimpa Zahlia dan Amir pula menguatkan lagi andaian orang kampung bahawa kawasan Air Terjun Manikam berpuaka. Orang kampung mula berhenti datang ke kawasan ini. Mereka tidak mahu ada pula anggota keluarga mereka yang 'gila' seperti Zahlia dan hilang tanpa jejak seperti Rayyan.

Amir juga mula berhenti datang ke tempat ini. Walaupun ini merupakan tempat kesukaannya. Dia berhenti datang bukan kerana dia percaya tempat ini berpuaka. Dia berhenti datang ke sini kerana janjinya pada Zahlia. Dan juga kerana dia sendiri tidak kuat apabila kenangan bersama arwah ayahnya sering menjengah memori setiap kali dia datang ke sini.

Amir menghembuskan nafas berat. Dia meneroka kawasan yang redup dan hijau itu dengan matanya. Dia sayangkan tempat ini. Entah apa sebenarnya yang tidak kena dengan tempat ini. Kalau diperhatikan, tiada apa pun yang nampak menyeramkan atau misteri di sini. Semuanya nampak normal. Tetapi dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Pasti apa penyebab di atas kehilangan orang kampung yang dikatakan 'disorok' makhluk halus itu.

Kalau boleh, dia ingin sekali menyiasat tentang tempat ini, tetapi dia tahu dia tidak mampu melakukannya seorang diri. Lagipun kalaulah Zahlia tahu, pasti kakaknya itu akan menentang berhabis-habisan. Kedatangannya di sini pun akan dirahsiakan serapi mungkin. Walaupun arwah ibu suka berleter, tetapi leteran Zahlia boleh membuatkan telinga berdarah 3 hari 3 malam.

"Alamak! Dah pukul 12! Aku janji nak tolong belikan mee goreng mamak Pak Atan. Mampuslah aku kalau mee tu habis nanti..." Amir segera bangun lalu mengibas-ngibas seluar yang hampir kering. Baju yang ditanggalkan untuk dikeringkan segera disarung kembali ke tubuh. Dia bergegas beredar dari kawasan semulajadi itu. Langkah kaki dilajukan ke Warung Pak Atan. Tanpa Amir sedari, ada sesuatu yang bersinar-sinar di balik air terjun.

"AMIR, KAMI BERDUA NAK MINTA MAAF PASAL KELMARIN." Maisarah meletakkan dulang yang berisi jus oren dan juga cucur ikan bilis di pondok tempat Amir melepaskan lelah. Sengaja dia menawarkan dirinya untuk menghantar hidangan itu kepada Amir. Mujurlah mama tidak syak apa-apa. Takut juga kalau mama ingat dia sengaja nak menggatal dengan anak teruna orang.

"Hurm..." Jawab Amir pendek. Amir meneguk air lemon yang dibawanya dari rumah. Air oren yang dihidangkan kepadanya masih belum disentuh. Tetapi Maisarah tidak berkecil hati. Jika air itu dihidangkan sendiri oleh mama pun, Amir pasti akan meneguk bekal airnya sendiri sebelum membasahkan tekak dengan air yang dibancuh mama. Maisarah pun hairan kenapa.

"Aku pun nak ucapkan terima kasih sebab kau dah selamatkan nyawa aku. Kalau kau tak ada mungkin aku dah arwah. Terima kasih Mer..." Aina menyampuk setelah melihat Amir hanya sekadar tunduk tanpa memandang wajah mereka.

"Marah lagi ke?" Bisik hati Aina.

"Amir, kau jangan la diam je. Takkan marah lagi. Patut kami pun marah kau jugak tau sebab kau tinggi suara dengan kami si gadis-gadis yang berhati lembut ni." Maisarah mencubit lengan sahabatnya yang memakai blouse bercorak bunga-bunga itu. Kalau boleh dia tidak mahu bermusuhan lagi dengan lelaki di hadapannya itu. Niatnya sekarang dia ingin bersahabat dengan lelaki itu. Kata-kata Aina semalam melembutkan hatinya.

"Aku rasa Amir tu baik, tapi mungkin dia kasar macam tu sebab orang kampung selalu pandang serong dekat keluarga dia. Kau tahu tak? Semalam masa aku nak turun minum air dekat bawah, aku dengar mama dengan papa kau bersembang. Mama kau cakap orang mak cik-mak cik bawang dekat kampung ni suruh mak kau hati-hati dengan Amir. Orang kampung cakap kakak Amir tu bawak sial. Siapa yang baik dengan dia akan kena musibah. Takut nanti badi kakak Amir tu berjangkit dekat family kau. Jahatkan?"

"Phui! Berhati lembut konon. Lempang orang tak ingat dunia berhati lembut..." Getus Amir di dalam hati.

"Alah... Amir... Janganlah diam je, kami tahulah kami salah. Kami dah minta maafkan. Janganlah keras hati sangat cik abang." Kesabaran Maisarah makin menipis. Dia dah susah-susah tebalkan muka untuk meminta maaf, tetapi lelaki di hadapannya ini buat muka kering pula.

"Aku diam sebab aku tak mampu nak cakap. Air ni masam sangat. Kakak aku pandai-pandai perah lemon dalam air ni. Entah berapa biji lemon dia perah dalam ni. Aku suruh dia hiris lepas tu letak hirisan tu dalam air ni aje. Dia ni pulak terlebih pandai pergi perah jus sekali. Tak pasal-pasal masam air aku." Amir menunjukkan botol air lut sinarnya yang berisi hirisan lemon.

"Aku pun nak minta maaf jugak dekat kau berdua sebab aku marah kau berdua semalam. Tapi aku marah bukan saja-saja. Kawasan Air Terjun Manikam tu bahaya. Bukan tempat main-main. Dah banyak makan nyawa orang." Terang Amir. Dia bukan sengaja nak menakutkan dua orang gadis sunti itu, tetapi dia merasakan dia bertanggungjawab untuk memberi amaran kepada mereka. Lagipun rumah agam ini paling hampir dengan kawasan yang dikatakan berpuaka itu.

"Makan nyawa orang? Kenapa semalam kau tak cakap?" Tanya Aina tidak berpuas hati.

"Hurm... Aku bukan tak nak cakap. Aku ingat kawasan tu dah okey. Lagipun aku tak tahu pulak kau nak mandi dekat situ sebab kau pakai dress. Aku ingatkan kau nak rendam kaki aje." Lelaki itu cuba mempertahankan dirinya.

"Dah okey? Apa maksud kau?" Sampuk Maisarah. Amir hanya membisu membiarkan soalan itu tidak berjawab.

"Kalau kau nak tahu, aku memang nak rendam kaki aje. Kami rendam main dekat kawasan cetek. Cetek sangat, dalam separas betis je. Tiba-tiba banyak ikan kelah berkumpul dekat kaki aku sampai aku terjatuh. Bila aku nak bangun aku rasa ada benda yang tarik kaki aku ke tengah sungai. Sedar-sedar je aku dah ada dekat tebing basah kuyup." Cerita Aina bersungguh-sungguh. Cucur ikan bilis yang sepatutnya dihidangkan untuk Amir disuap ke dalam mulut.

"Aku rasa elok kau berdua jauhkan diri dari tempat tu. Tempat tu 'keras' sikit."

"Maksud kau?" Tanya Maisarah. Dia tidak berpuas hati. Dia mahu tahu lebih lagi.

"Keras la... hantu...takkan tu pun tak faham?" Amir malas hendak menjelaskan panjang lebar tentang kisah sebenar Air Terjun Manikam.

"Okey, kalau kau tak nak cerita, esok pagi aku dengan Maisarah pergi siasat sendiri kawasan air terjun tu." Kata Aina sambil menyuap sebiji lagi cucur ikan bilis ke dalam mulut.

"Kau berdua ni memang degilkan? Lantaklah. Jadi apa-apa jangan salahkan aku pun. Jangan cakap aku tak bagi tahu."

"Tak apa. Kalau jadi apa-apa, kami cakap je dekat mama dan papa Maisarah ni kau yang ajak kami pergi sana. Kau cakap dekat sana ada orkid liar yang cantik. Jadi, kami sebagai gadis yang innocent ni pun pergilah tanpa perasaan curiga." Aina cuba menggugut. Muka Amir ketika itu merah padam menahan marah. Entah kenapa namanya pula yang seharusnya dikaitkan.

"Kau jangan nak pandai-pandai fitnah aku pulak. Kau berdua yang nak sangat ke sana."

"Tapi kau yang bertanggungjawab jadi pemandu arah a.k.a bodyguard kami hari tu. Bila sekali kau dah jadi bodyguard kami, mama Maisarah akan anggap selamanya kau tu pengawal peribadi kita orang. Jadi, kalau kami minta izin nak ke sana lagi, mama Maisarah akan assume yang kaulah yang akan bertanggungjawab menjaga kami. Lagipun kami kan tak kenal siapa-siapa pun dekat kampung ni, kecuali kau seorang." Amir mendengus kasar.

"Kau tahu tak tempat tu bahaya? Aku bukan main-main! Kakak aku sendiri pernah hilang dalam kawasan hutan tu. Bila dah jumpa, orang kata kakak aku gila. Untuk pengetahuan kau berdua, kawan baik kakak aku yang pernah tinggal dalam rumah ni pun dan tak dijumpai sampai sekarang kau tahu tak?" Maisarah dan Aina tersentak apabila mendengar lelaki itu mula meninggikan suara.

"Lelaki yang tinggal dalam rumah ni? Maksud kau?" Maisarah mengerutkan kening. Jadi ada di kalangan ahli saudaranya yang hilang semasa tinggal di sini?

"Abang Rayyan. Dia kawan baik kakak aku. Dia hilang dekat kawasan air terjun tu waktu nak cari herba-herba liar untuk bahan kajian katanya. Abang Rayyan memang minat dengan tumbuh-tumbuhan liar. Lepas abang Rayyan hilang, kakak aku selalu meracau-racau, cakap yang bukan-bukan. Merata ibu dan ayah aku pergi untuk berubat. Alhamdulillah sekarang dia dah okey. Cuma sayang, abang Rayyan belum jumpa-jumpa lagi."

"Amir, kami minta maaf okey? Kami tak tahu. Tapi kami ada sebab untuk ke sana. Ada benda yang kami nak siasat. Aku pasti yang kau pun tentu nak tahu apa yang tak kena dengan kawasan tu kan?" Aina cuba berlembut. Dia dan Aina memang memerlukan pertolongan Amir. Hanya Amir sahaja yang mahir dengan selok-belok di kampung itu. Kalau Aina dan Maisarah sahaja yang ke sana, pasti agak bahaya.

"Kau berdua baru saja masuk kampung ni. Si Maisarah pindah ke sini kurang sebulan, yang kau pun Minah Celup, tak sampai seminggu stay sini. Apa yang kau berdua nak tahu sangat ni, hah?" Pelik, dia sendiri sebagai anak jati kampung ini tidak berminat untuk mengambil tahu tentang kawasan air terjun itu.

Maisarah dan Aina berpandangan sesama sendiri. Maisarah menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya kembali.

"Aku tak tahu sama ada kau akan percaya ataupun tak dengan cerita aku ni. Tapi aku syak ada benda yang tak kena dengan kawasan air terjun tu. Waktu aku mula-mula sampai sini, aku ada jumpa sebuah buku..."

Pranggg!

Kedengaran bunyi seperti kaca jatuh berderai di dalam rumah. Aina dan Maisarah berpandangan sesama sendiri. Kemudian mata mereka meliar melihat ke kawasan laman.

"Kau berdua cari apa?" Tanya Amir sambil matanya turut meliar melihat sekeliling. Turut cuba mencari entah apa yang dia sendiri pun tidak pasti.

"Aku cari kereta papa, mama dengan papa tak ada dekat rumah. Dia orang pergi rumah tok iman. Papa nak minta izin tok imam untuk buat kenduri tahlil di surau malam jumaat ni." Amir turut mencari kereta Mikael. Kereta lelaki bermata biru itu tiada di halaman. Jadi siapa yang sedang berada di dalam rumah ketika itu? Mereka bertiga saling bertukar pandangan.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.