Home Novel Cinta STAY
STAY
RUMIÈ AL-HADI
19/2/2020 02:19:01
162,398
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

“... dan ada ketikanya senyumku adalah segala yang runtuh di kalbu” – Alya



MENJADI seorang perempuan yang bekerja di kalangan lelaki bukan satu situasi yang mudah dan indah. Seperti hari ini, tengah hari tadi, ketika menikmati makan tengah hari, Alya terpaksa melayan kerenah kaum Adam ini yang rata-ratanya secara dasar sebenarnya ingin lebih daripada hanya sekadar makan tengah hari. Mungkin selepas ini, minum petang dan menyusul makan malam. Berlanjutan kepada pertemuan hujung minggu, menonton wayang atau bersantai di kopitiam hingga larut malam. Kemudiannya mungkin lebih lagi, merangkak ke rumah dan seterusnya ke katil. Alya sudah terlalu masak dengan telatah yang sebegitu. Perempuan bagi mereka cuma sekadar baju. Lusuh diganti baru.

Dia cuma mengikut rentak perlakuan mereka, sementara masih baru di sini. Dia cuba menerima pelawaan itu dan menganggapnya sekadar pelawaan biasa daripada teman sekerja. Tidak lebih dan tidak kurang. Pulang ke pejabat dan kembali sendiri di bilik sepi ini, fikiran Alya kembali menerawang tentang hati dan perasaan. Tentang luka dan kecewa. Tentang jiwa robek yang dibawa lari menjauh daripada segalanya. Sesekali lamunannya terhenti oleh panggilan telefon. Sesekali fikirannya diterjah oleh setiausaha yang sibuk keluar masuk menyusun rangka kerja samada yang baru atau yang sudah lama tertunggak. Segalanya perlu diuruskan dalam satu masa.

Dia lebih selesa begini. Menyendiri di dalam pejabat dan menguruskan segala kerja sehingga selesai. Bukan Alya tidak sedar bahawa semua itu adalah alasan untuk dirinya lari jauh daripada kenangan. Lari sejauh mungkin walau hanya seketika daripada cengkaman memori yang mengecewakan. Ketika masa berganjak ke angka 9.00 malam, ketukan di pintu mengejutkan Alya. Dia baru menyedari bahawa pejabat ini sudah lama sunyi dan malam sudah lama berlabuh.

“Assalamualaikum, cik... kami datang buat rondaan, tengok lampu masih terpasang. Selalunya kalau ada yang mahu bekerja lebih dari pukul 8.00 malam, perlu laporkan ke bilik pengawal terlebih dulu.”

“Wa’alaikumussalam. Oh, maaf... saya baru di sini jadi tak tahu tetang procedure tu. Tak mengapa saya berkemas sekarang, kalau encik boleh tunggu sekejap.”

“Boleh, tak jadi masalah. Biasalah cik... orang baru selalunya tak tahu.”

Alya hanya senyum sambil mengangguk dan segera mengemas komputer riba ke dalam beg dan beberapa fail yang ingin dibawa pulang. Jika mereka tidak datang membuat rondaan pastinya dia masih di sini. Entah sampai ke pukul berapa. Tenggelam dalam tugasan yang adakalanya boleh di tangguhkan. Tidak lama kemudian Alya menutup suis lampu dan beriringan keluar bersama pengawal yang sudi menemankannya hingga ke tempat letak kenderaan dan menunggu hinggalah dia beredar.

Dalam perjalanan, diperhati suasana malam di Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur. Kenderaan masih berdedaian. Kehidupan siang berganti dengan kehidupan malam. Semuanya masih bingit dan hati Alya masih terasa mahu menjerit, entah untuk siapa dan mengapa. Tiba di hadapan rumah, dia masih termangu di dalam kereta. Melihat kekosongan hidup daripada luar pintu. Segalanya sudah berubah kini.

“Alya... Alya... What have you done to yourself? You have everything life could bring but... you chose this. Alone... running... avoiding. When are you going to heal and move on?” dia bersuara sendiri.

Alya cuma mampu mengeluh berat lantas keluar dari kereta. Beg komputer riba dan fail segera dibawa masuk ke dalam rumah. Gelap dan sunyi. Segera dinyalakan lampu, diletakkan barangan ke meja lalu ke dapur mengambil minuman. Dilabuhkan punggung ke sofa empuk di tengah ruang tamu dan termenung di situ seperti selalu. Dia mahukan permulaan yang baharu di sini. Permulaan yang memungkinkan jiwanya terubat. Permulaan yang memungkin jiwa halusnya meneruskan kelangsungan hidup tanpa dibelenggu kenangan dan kesedihan. Satu permulaan yang seringkali dicubanya dan seringkali juga gagal. Entah di mana silapnya. Di sini, harapnya menjadi destinasi terakhir dalam dia mencari secebis ketenangan. Airmata Alya gugur perlahan. Luluh dalam pencarian.

“You’re still waiting for that useless guy? Why not me?” bentak Izra kembali bermain di benaknya.

“Kau sahabat aku Izra. Aku tak pernah anggap kau lebih daripada itu. Aku hormat apa pun pilihan hidup kau tapi apa yang kau tagih daripada aku kali ni bukan pilihan hidup yang aku mahu,” tegasnya agar gadis itu faham.

“Tapi aku yang sentiasa ada dengan kau... aku ni yang rawat segala kekecewaan kau setiap kali engkau sedih, setiap kali kau kecewa. Kau rasa aku tak kecewa? Setiap kali kau sedih aku lebih sedih. Setiap kali kau dikecewakan aku ini yang lebih parah perasaan,” bentak Izra lagi.

“Izra... please. Aku sayang kau sebagai sahabat tidak lebih daripada itu,” kata-kata itu kembali membingit di jiwa Alya dan masih jelas di ingatannya bagaimana Izra menolaknya ke dinding dan cuba mengucup bibirnya. Malam hitam itu yang sering menjadi sebahagian daripada mimpi ngeri malam harinya hingga kini.

Walaupun dia mengelak namun kudratnya tidak dapat mengatasi kudrat Izra sendiri dan perbuatan Izra itu masih jelas terbayang. Segala jalinan persahabatan yang dihulurkannya diragut begitu sahaja hanya kerana cinta. Ya, hanya kerana cinta. Cinta daripada lelaki yang ditagih Alya tidak pernah endah untuk menghargai dirinya. Cinta songsang daripada sahabat yang menagih dirinya tidak mungkin mampu diterimanya.

Seringkali Alya menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal memahami perhatian yang diberikan oleh Izra selama ini walaupun dia tahu Izra telah lama memilih kehidupan songsang sebegitu. Dia masih tetap menghormati pilihan sahabat yang seorang itu. Dia tiada hak untuk menghalang pilihan hidup orang lain. Dia gagal memahami lenggok bahasa dan keprihatinan yang diberikan Izra selama ini. Dia gagal mengerti rasa cemburu yang dipamerkan oleh Izra. Ya, dia gagal.

Malam itu mereka bertengkar teruk dan ketika tangannya hinggap ke pipi Izra selepas berjaya mengelak perbuatan gadis itu daripada menjadi lebih parah, Alya mengambil keputusan nekad, dia harus pergi daripada semua ini. Dia nekad untuk pulang ke Malaysia setelah sekian lama menetap di Greece. Dia nekad walaupun dihalang mama dan adiknya. Dia nekad untuk kembali ke rumah peninggalan baba.

Baba sudah dua belas tahun meninggalkan Alya, mama dan adiknya, Adra. Pergi yang tidak mungkin kembali lagi. Selepas mama mengambil keputusan untuk berhijrah ke Nafplio, Greece, hampir separuh hidup Alya membesar di sana. Dia mengenali Izra ketika melanjutkan pengajian di Wanganui School of Design, New Zealand dan berlanjutan bila Izra juga turut berhijrah ke Greece dan di pusat pengajian itu jugalah dia mengenali lelaki bernama Sean Buwonoe, lelaki Cina yang berasal dari Jakarta, Indonesia.

Tamat pengajian, mereka mengikat tali pertunangan dan berhasrat menoktahkannya ke jinjang pelamin selepas kehidupan dan kerjaya masing-masing bertambah stabil. Alya pulang ke Greece dan Sean kembali ke Jakarta meneruskan kerjaya masing-masing. Sean berkerja di bidang penyiaran dan dia di bidang pengiklanan.

Segalanya seperti memihak kepada mereka berdua. Sesekali bertemu di Jakarta atau Greece sekiranya ada kelapangan masa yang panjang adalah perkara biasa bagi mereka sepanjang dua tahun dalam ikatan pertunangan tersebut. Hinggalah ke saat Alya menerima satu emel daripada seseorang yang tidak dikenali. Emel yang hanya tertera ayat, “Alya, I believe that a lady like you would have understand my situation. I’m Sean’s wife. We have been married for almost seven months. I am currently pregnant with his child. I know the one that should be blame is me because I still chose to be in the relationship eventhough I knew he had you. I am so sorry for what I did. But I love him... I really do. I beg you to let him go, please. I know I have no right when I am the one who took him away from you. I chose to still be in the relationship when I knew he’d already engaged with you but I have no choice... this baby, still need a father. I don’t have a heart to abort a life when the mistakes are all mine. Please understand my situation. I am really sorry. Sean doesn’t know about this email. I just hope you do understand. Not for me but for this baby.” segalanya berubah 360 darjah bermula dari saat itu.

Apa yang dibaca berselang dengan lampiran gambar pernikahan Sean bersama seorang wanita menjadikan diri Alya hampir pitam kala itu. Seluruh jiwanya bagaikan hilang entah ke mana. Dunianya dirasakan gelap. Kecewa belum cukup menggambarkan segala rasa, dan kerana dia seorang perempuan, dia nekad untuk tidak menyakiti hati seorang perempuan lain yang bakal bergelar ibu. Dia nekad membawa diri dan memutuskan tali pertunangan sebulan selepas mendapat emel berkenaan. Terubatkan hati? Tidak. Dia sedar hatinya masih retak seribu. Tiada ubat untuk punahnya perasaan melainkan masa. Ya, biar saja masa yang menentukan.


Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI