Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 4

“Betul ke tak nak masuk dulu?” Zalida sekadar berbasa-basi. Kalau boleh, dia memang tidak mahu Harris ada dengannya. Tanpa Harris, semua pasti akan berjalan dengan lancar. Walaupun mungkin akan ada halangan kecil, itu lumrah sebelum mengecapi kejayaan. Dia atau sesiapa sahaja harus mengakui hakikat itu.

“Tak apalah mummy. Ris dah lambat sangat ni. Kirim salam kat uncle dengan aunty,” ujar Harris.

“Yalah. Hati-hati,”pesan Zalida sebelum menutup pintu kereta. Setelah itu, Harris terus memecut laju keretanya meninggalkan perkarangan rumah mewah milik Tan Sri Salleh itu.

“Ris tak singgah dulu?” Tanya Puan Sri Aisyah.

Teguran yang datang tiba-tiba itu membuatkan Zalida terkejut. Cepat-cepat dia berpaling ke belakang. “Awak rupanya Aisyah. Terkejut saya.”

Puan Sri Aisyah tersenyum. “Maaflah buat Ida terkejut. Ingatkan Ida perasan saya ada kat luar tadi.”

“Tak. Saya tak perasan. Aisyah dah lama ke kat luar?”

“Baru je. Lama saya tunggu Ida kat dalam. Tu yang saya tunggu kat luar pula,” jawab Puan Sri Aisyah.

“Lah ya ke? Kesian Aisyah. Ris lambat ambil saya kat rumah. Sebab tu tadi dia tak singgah. Dah lambat nak pergi pejabat. Ni, Salleh ada kat dalam?” Tanya Zalida. Dia cuma mahu memastikan bahawa Tan Sri Salleh bukanlah halangan kecil itu.

“Ada. Saya tak bagi dia keluar. Ida kan nak datang. Kebetulan, dia memang tak masuk pejabat hari ni.”

“Dia tak sihat ke?”

“Sengaja buat tak sihat. Ida tahulah abang Salleh tu. Kalau dah rindu dengan budak-budak berdua tu, macam-macam penyakit datang.”

Zalida tergelak. Dari dulu, Tan Sri Salleh memang pantang berpisah dengan anak-anaknya. Biarpun sekejap, ia bagaikan bertahun buat sahabat arwah suaminya itu.

“Eh, jomlah kita masuk,” ajak Pun Sri Aisyah. Zalida sekadar mengangguk sebelum mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Dan apabila mereka mahu melangkah ke ruang tamu, muncul Tan Sri Salleh dari dalam perut lif.

“Naik lif lagi Salleh?” Perli Zalida.

Tan Sri Salleh tersengih. “Cepat sampai,” jawabnya. Seketika, dia tertinjau-tinjau ke belakang. “Ris tak ikut sekali?”

“Hari ni kan kerja. Salleh dah lupa ke?”

Tan Sri Salleh ketawa. Ya, memang hari ini hari bekerja. Dia sahaja yang cuti.

“Ris kirim salam kat Salleh dengan Aisyah,” beritahu Zalida kala mereka menuju ke ruang tamu.

“Waalaikumsalam” jawab Tan Sri Salleh dan Puan Sri Aisyah serentak.

Setibanya di ruang tamu, Puan Sri Aisyah terus meminta diri untuk ke dapur. Tan Sri Salleh pula hanya memerhati sahaja kelibat isterinya itu. Kalau ada pembantu rumah, tidak perlulah susah-susah ke dapur. Duduk sahaja melayan tetamu. Tapi isterinya itu tamakkan gelaran! Semuanya mahu di sapu. Orang gaji, isteri, ibu, sahabat dan macam-macam lagi. Di sebabkan pakej yang lengkap itu maka khidmat orang gaji langsung tidak di perlukan. Tidak lama, dia berkalih pandang pula ke arah Zalida.

“Dah lama saya tak jumpa Ris,” ujarnya.

“Dua-dua sibuk. Macam mana nak jumpa?” balas Zalida.

Tan Sri Salleh mengiyakan. “Nanti senang-senang saya pergi jumpa Ris. Rindu pula dengan dia”

“Yalah. Dia pun rindu dengan Salleh tu agaknya.”

“Tak kanlah dia rindu saya? Reena kan ada. Asyik berkepit je berdua. Jadi bapa Reena ni, mana dia ingat dah.”

Zalida tersenyum. Pantas bayang Harris dan Reena terlayar di ruang matanya. “Suka saya tengok dia orang berdua tu.”

“Ya ke? Samalah kita. Kalau dia orang kahwin, mesti dapat anak yang handsome dan cantik. Cucu kita juga,” seloroh Tan Sri Salleh sambil ketawa besar.

Kahwin? Hati Zalida tiba-tiba melonjak girang. Bukankah itu satu petanda yang baik? “Jadi Salleh setujulah kalau kita jodohkan Ris dengan Reena?”

Tan Sri Salleh mengerutkan dahi sebelum dia membetulkan posisi duduknya. “Eh, saya bergurau je. Tak payahlah ambil serius.”

Baru Zalida mahu menyambung kata, datang Puan Sri Aisyah kembali ke ruang tamu bersama dulang di tangan. Air teh di dalam teko di tuang ke dalam cawan bercorak bunga-bunga kecil. Turut di hidang sepinggan kuih karipap yang masih panas.

“Minum Ida, abang,” pelawa Puan Sri Aisyah.

“Sebenarnya saya datang sini memang nak bincang tentang tu Salleh.” Zalida kembali menyatakan hajatnya.

Puan Sri Aisyah memandang suaminya dan Zalida silih ganti. “Bincang tentang apa?”

Zalida menghela nafas sebelum menghembusnya. “Saya berhajat nak jodohkan Ris dengan Reena.”

“Tapi saya bergurau je tadi tu Ida. Saya…”

Zalida memandang wajah Tan Sri Salleh. “Tapi saya tak bergurau. Saya datang sini memang nak bincang tentang tu. Saya nak dapatkan persetujuan Salleh dan Aisyah.”

“Betul ke ni Ida?” Soal Puan Sri Aisyah yang baru pulih dari kejutan. Ternyata pengakuan Zalida di luar jangkaannya.

Kini wajah Puan Sri Aisyah pula yang di pandang. “Betul Aisyah. Saya memang maksudkan apa yang saya cakap.”

“Tapi soal jodoh anak-anak ni saya tak nak masuk campur,” ujar Tan Sri Salleh. Puan Sri Aisyah pula mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata suaminya.

“Saya tahu Salleh. Saya sendiri pun tak kisah siapa pilihan Ris. Tapi saya betul-betul berkenan dengan Reena. Saya nak dia orang berdua tu kahwin. Lagipun Ris tak ada sesiapa sekarang. Saya risau. Takut kalau saya biarkan, sampai tua dia tak kahwin.”

Tersenyum Puan Sri Aisyah mendengar pengakuan Zalida itu. Setahunya, Harris memang tidak ada kekasih. Malah tidak pernah ada langsung. Tapi selagi nyawa belum bercerai dari jasad, selagi itu jodoh tetap ada. Maka usaha itu adalah jalan yang terbaik. Selebihnya, biar ALLAH yang menentukan.

“Tapi kenapa tiba-tiba?” Tanya Tan Sri Salleh.

“Saya dah lama terfikir tentang ni. Tapi tu lah, susah nak cari masa yang sesuai. Sebagai seorang ibu, saya nak yang terbaik untuk Harris. Dia satu-satunya anak yang saya ada. Dan saya yakin, Reenalah pilihan terbaik tu. Lagipun saya nak Ris bantu Salleh sebab rasanya cuma ini cara yang kami mampu untuk balas jasa Salleh pada kami sekeluarga,” kata zalida

“Saya tak pernah berkira Ida. Arwah Musa sahabat saya. Memang saya berharap yang Ris akan setuju untuk gantikan tempat saya sementara tunggu Reena bersedia. Tapi saya tak paksa dia untuk terima.”

Zalida menggigit bibir. Memang susah bercakap dengan Tan Sri Salleh. Bukankah senang kalau terus berkata ya sahaja? “Saya tahu. Tapi saya minta tolong sangat supaya Salleh dan Aisyah pertimbangkan permintaan saya ni.”

Tan Sri Salleh tergeleng-geleng. “Saya tak boleh bagi keputusan sekarang. Soal kahwin ni bukan boleh buat main.”

Puan Sri Aisyah hanya bertindak sebagai pendengar. Apa yang baik bagi Tan Sri Salleh, maka baik jugalah untuknya. Tapi kalau tidak, pasti tidak juga jawapannya.

“Salleh ni bercakap macam tak suka dengan cadangan saya.”

“Bukan tak suka. Cuma saya tak nak gadaikan kebahagiaan Ris dengan Reena semata-mata untuk penuhi kemahuan kita.”

“Saya setuju apa yang abang Salleh cakap tu Ida. Lagipun Ris dan Reena berhak untuk pilih dengan siapa mereka nak hidup bersama.” Puan Sri Aisyah akhirnya bersuara.

Zalida terdiam. Makin sakit kepalanya apabila puan sri aisyah bersuara. Tapi dia tidak akan menyerah. Halangan begini baginya masih boleh di atasi. Yang penting usahanya mesti lebih. Barulah kejayaan akan datang. “Saya tak minta kita paksa budak-budak berdua tu. Buat masa sekarang saya cuma nak minta persetujuan Salleh dengan Aisyah je.”

Tan Sri Salleh tidak terus menyahut. Dan tidak lama, dia akhirnya memberikan jawapan yang sangat melegakan Zalida. “Yalah, kami setuju. Tapi kalau Reena tak setuju dengan cadangan ni, kami tak kan paksa dia.”

Pantas Zalida tersenyum lebar. Tidak sia-sia dia menebalkan wajah hari ini. lepas sudah satu halangan. Kini halangan baru pula muncul. Harris! Bagaimana pula mahu memujuk anaknya itu? Tan Sri Salleh dan Puan Sri Aisyah senanglah. Reena itu tidak perlu di pujuk rayu. Baru di tanya sama ada setuju atau tidak, mungkin gadis itu sudah mahu menempah baju pengantin.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman