Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
182,507
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

        “Encik, tolong bagi saya keluar,” pintanya dengan suara cuak. Matanya yang kuyu kelihatan bulat sekarang. Wajahnya yang polos nampak lebih pucat dan risau. Ben tersenyum gelihati.

“Tidak. Biar saya hantar awak balik rumah,” ujar Ben bersahaja.

“Tapi Encik. Encik tak kenal saya. Tak perlulah hantar saya balik,” balas gadis itu.

“Tak apa, saya nak hantar juga,” ujar Ben berdegil. Bagi Ben dia mahu hantar gadis itu untuk pastikan gadis itu benar-benar selamat.

Bella ingin mengatakan sesuatu. Tiba-tiba telefon Ben berbunyi. Tertera nama Kadir. Ben mengangkat tangan pada Bella supaya menunggu seketika sebelum dia menjawab panggilan itu.

“Hah, apa?” soal Ben kepada Kadir di hujung talian.

“Mimi tak ada di sini boss. Dia dah balik dengan Jeff,” ujar Kadir di hujung talian. 

“Apa?” soal Ben hampir terjerit. Wajahnya serius. Geram kerana dia terpaksa ke Zouk sedangkan Mimi tiada di situ. Bella yang berada di sebelah makin cuak mendengar nada kasar lelaki itu.

“Mereka semua dah balik ke banglo tu,” ujar Kadir lagi.

“Kenapa kamu tak periksa betul-betul Kadir? Kau dah bazirkan masa semua orang tahu tak?,” marah Ben. Berkerut wajahnya. Nampak sangat dia bengang.

“Sorry boss. Informer saya pun tersilap bos,” ujar Kadir dengan nada kesal. Ben mendengus. Namun dia tahu Kadir pun tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Marahnya kian kendur.

“Hah tak apalah.  Nak buat macamana dah tersilap. Penat kita datang sini rupanya dah balik. Kalau macam tu aku balik dulu,” ujar Ben dengan nada sedikit rendah. Walaupun dia geram mereka tersilap tetapi dalam hati Ben sedikit lega yang Mimi telah pulang ke banglo itu. Kalau tidak jenuh juga bergaduh dengan teman lelaki Mimi itu tadi kalau Mimi masih bersama lelaki berusia itu di Zouk. 

Kemudian mata Ben beralih kepada gadis yang berada dalam keretanya. Sejak tadi gadis itu senyap dan mendengar perbualan telefonnya. Dia memerhatikan gadis itu seketika. Wajah polos tanpa mekap. Nampak sangat muda. Entah berapa umurnya. Melihat kepada bajunya dan seluar jeansnya yang lusuh, Ben serta-merta tahu gadis itu anak kota yang berasal dari kawasan miskin. Gadis kota dari kalangan berpendapatan rendah ini kadang-kadang terjebak dengan masalah sosial disebabkan oleh kemiskinan. Contohnya gadis itu mengaku dia ditawarkan pekerjaan oleh sepupunya di Zouk. Rupa-rupanya sepupu gadis itu ada udang di sebalik batu. Kalaulah gadis itu ditangkap oleh lelaki-lelaki tadi entah apalah yang jadi. Silap hari jadi GRO atau jadi yang lebih teruk dari itu iaitu seorang pelacur. Terutama kalau tiada pelajaran. Sedikit sebanyak Ben rasa simpati terutama bila melihat wajah naif gadis itu.

“Awak duduk di mana? Biar saya hantarkan,” ujar Ben pada gadis itu yang kini kelihatan sangat cuak. Mahu tak cuak. Dia sekarang berada dalam kereta mewah itu dan pintu kereta mewah itu telah dikunci oleh pemandunya. Dia juga jadi saksi betapa kasar dan garangnya lelaki itu bila bercakap. Tadi bila dia marah kepada seseorang di dalam talian, perut gadis itu terus kecut. Kalau dia kena jerit dan dimarahi seperti itu pasti dia boleh menggigil satu badan. 

“Biar saya balik sendiri,” pinta gadis itu cuba berdiplomasi.

“Jangan degil. Biar saya hantarkan,” ujarnya dengan muka garang. Gadis itu mula kecut perut. 

“Tapi, saya tak mahu susahkan Encik,” kata Bella berbasa-basi.

“Tak susah mana. Bukan saya yang drive kereta ini. Pemandu saya boleh hantar ke mana sahaja. Awak cuma sebut sahaja,” ujar Ben. Matanya lekat pada wajah gadis itu. Gadis itu dan pipi gebunya. Tadi bila dia tarik dagu dan pegang pipi gadis itu dia dapat merasa gebunya pipi gadis itu. 

“Susah nak cari rumah saya,” kata gadis itu masih memberikan alasan supaya Ben tidak menghantarnya. Ben buat muka hairan. 

“Waze ada. Lagipun Radhi expert dengan semua jalan di KL ini. Jangan risau. Siapa nama awak?” tanya Ben dengan suara garaunya. Garang kedengaran.

“Saya...Bell.. Bella,” jawab gadis itu tergagap sedikit. Bella? Comel juga nama itu, desis hati Ben. Secomel tuannya yang berpipi gebu.

“Baiklah Bella, tunjukkan saya jalan ke rumah awak. Awak jangan nak main-main atau tipu saya ye,” ujar Ben tegas. Matanya melirik seketika kepada wajah cuak gadis berwajah polos itu. Elok bertudung litup. Wajahnya pula nampak naif. Memang tidak sesuai untuk gadis seperti itu berada di Zouk mencari kerja. Apakah sebabnya sepupu gadis itu mengkhianati dia begitu? Mungkin kerana wang atau sakit hati? Perempuan kalau berdendam boleh jadi lain macam, desis hati Ben. Ben ingin mengatakan sesuatu tetapi terbantut.

Tiba-tiba telefon Ben berbunyi lagi. Ben mengangkatnya.

“Assalamualaikum Ben, ni ayah ni,” ujar Prof Idris, bapa Ben di hujung talian.

“Waalaikumsalam. Ye ayah. Kenapa?” soal Ben. Wajahnya nampak sedikit tertekan.

“Ayah perlukan kamu kat sini. Ada perkara nak bincang,” ujar Prof Idris.

“Datang sana? Tapi Mimi dah balik,” ujar Ben memberi alasan.

“Ye dia dah balik. Tapi ayah nak jumpa kamu,” luah Prof Idris.

“Nak jumpa? Saya sibuklah ayah,” alasan lagi.

“Benjamin!” jerit Prof Idris di hujung talian. Hampir pekak Ben bila bapanya menjerit begitu di dalam telefon, “Jangan buat ayah paksa kamu. Datang sini segera. Ayah tak kisah kamu sibuk atau tidak, kamu kena juga datang. Kamu jangan nak jadi anak derhaka pulak.  Faham?!!” herdik ayahnya dari hujung talian. Ben mendengus. 

“Hmm...kalau tak paksa memang tak boleh ye? Baiklah. Saya datang. Saya tak mahu jadi anak derhaka pulak,” ujar Ben sinis sebelum menekan punat memutuskan panggilan itu. Dia melirik kepada pemandunya.

“Bawa saya ke banglo ayah saya,” arah Ben. Pemandu Ben mengangguk. Tak lama kemudian kereta mewah itu kembali ke jalanraya menuju ke destinasi yang dikatakan itu.

“Tapi, biar saya balik sendiri dahulu,” pinta Bella. Ben merenung Bella seketika. Betul juga. Pelik pula kalau dia ke rumah bapanya sambil membawa Bella. Silap hari mereka ingat dia bawa teman wanita pula. Ah, merepek. Gadis itu nampak terlalu muda untuknya. Entah berapa umurnya? 20 tahun 22 tahun? Dia nampak muda dengan badannya yang kurus lampai dan wajahnya yang polos. Lagi satu, gadis itu bukan citarasanya. Tiada apa yang dia nampak istimewa tentang gadis itu padanya. Sikit pun tidak. Namun ada sesuatu tentang wajah itu. Gadis itu mirip seseorang. Ben mengeleng sendiri. Apa yang dia fikirkan? Perhatian Ben kembali kepada Bella. Matanya ternampak sebuah pondok bas di hujung jalan yang mereka lalui. Dia meminta pemandunya berhenti. 

“Baiklah. Kami tinggalkan awak di sini,” ujar Ben menunjuk ke arah pondok menunggu bas atau teksi itu. Bella mengangguk pantas. 

“Elok sangat. Saya boleh naik bas untuk balik. Terima kasih encik,” ujar Bella mengucapkan terima kasih. Satu senyuman diberikan kepada lelaki kacak itu.

“Sama-sama, Bella,” jawab Ben. Ben merenung Bella seketika sebelum membalas senyuman gadis itu. Sesungguhnya dia tidak terfikir hendak kata apa-apa lagi. Mungkin itu kali terakhir dia akan berjumpa gadis itu. Matanya masih pada gadis itu yang kini keluar dari kereta dan kemudian duduk di pondok bas itu. Ben mengeleng-ngeleng. Gadis pelik. Kalau orang lain pasti teruja kalau dia hantar ke rumah tapi gadis itu lebih suka pulang sendiri. Gadis itu memang satu dalam seribu. Cuma Ben akan cuba ingat. Namanya Bella. 

Bella rasa sungguh lega apabila keluar dari kereta itu. Bella masih rasa sangsi walaupun lelaki itu telah menyelamatkannya, nampak baik dan juga kacak.  Sukar bagi Bella untuk mempercayai mana-mana lelaki. Apa sahaja boleh berlaku. Dalam hidupnya Bella sudah seringkali bertemu dengan lelaki yang tidak boleh dipercayai. Itulah sebabnya secepat mungkin Bella mahu keluar dari kereta itu.

Bila Bella keluar dari kereta itu dan kereta membelah jalanraya ke destinasi seterusnya, Ben terus terlupakan gadis itu. Di saat itu Ben hanya memikirkan tentang apa yang akan dia hadapi nanti di banglo ayahnya itu. Pasti sesuatu yang akan menjengkelkan sedang menanti dia. Beratnya rasa untuk ke banglo ayahnya itu. Dia tidak pernah betah berada di sana kerana ia mengingatkan Ben kepada arwah ibunya yang dikhianati. Namun, Ben pun tidak faham mengapa dia masih menghormati bapanya dan masih merasa seperti seorang anak yang bertanggungjawab. Itu yang dia sendiri tidak faham. Hubungannya sentiasa dingin dengan ayahnya tapi dia akan akur bila ayahnya memerlukan bantuannya. 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.