Home Novel Cinta Pandang Hanya Aku, Okay?
Pandang Hanya Aku, Okay?
F.Ain.K
23/7/2019 03:28:10
26,766
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
7.0

Bunyi pukulan ombak melanggar batu pantai memenuhi kesunyian. Angin yang bertiup lembut dan matahari yang hangat menerbitkan senyuman di wajah yang memandang. Tidak ramai yang berkunjung ke pantai ini pada hari biasa. Namun entah mengapa hati Alessa diburu rasa rindu untuk menatap pantai ini. 


Pantai Merdeka. Seperti lagu yang didengarinya ketika masih bersekolah, menjadikan pantai ini seolah bukti cinta pasangan yang penuh dengan janji. 


Bagi Alessa pantai ini tak lebih hanya sebuah tempat untuk membenamkan rindu. Bertahun dia menunggu, biarpun usianya makin meningkat, dia tetap setia menunggu. 


Alessa masih ingat kali terakhir perbualan mereka. Desiran angin membawanya kembali menerjah kenangan.


“Awat Abang habaq lagu ni? Abang tak mau balik sini dah ka?” soalan bertubi dari Alessa menerpa wajah tegang Muhammad.


“Buat masa ni Abang perlukan masa untuk berfikir. Bukan Abang marahkan Ibu Cahaya atau Tok Ayah. Abang rasa eloklah Abang sambung pelajaran sampai habis. Sampai masa nanti Abang akan balik dan tunaikan janji Tok Ayah pada keluarga Alessa,” jelas Muhammad yang nyata telah hilang loghat Kedahnya kerana dari kecil membesar di Kuala Lumpur. 


Alessa terdiam. Dia tahu janji yang dituntut oleh Abahnya semalam pada keluarga Muhammad agak mengejut. Tambahan pula Muhammad masih baru di tahun dua dalam pengajiannya. Alessa sendiri tidak menyangka kenapa tiba-tiba isu itu dibangkitkan. Dan Alessa tahu perkara itu sepatutnya dirahsiakan dari pengetahuan Muhammad hinggalah dia habis pengajiannya, seperti yang dikehendaki oleh Tok Ayah. Namun berita kematian Tok Ayah yang mendadak diterima minggu lepas membuatkan perkara tidak terkawal seperti ini.  


“Abang bencikan Alessa?” soalan sayu itu terkeluar akhirnya dari mulut Alessa.


Keluhan berat kedengaran dilepaskan Muhammad. Perlahan Muhammad berjalan mendekati Alessa lalu berdiri menatap wajah gadis itu. Gadis yang dia kenali dari zaman kecilnya, namun kerana penceraian Ibu Cahaya dan Ayahnya, Muhammad terpaksa mengikut Ayahnya menetap di Kuala Lumpur. Gadis yang hanya dapat ditemuinya setahun sekali itu tidak disangka olehnya adalah calon isteri yang ditentukan Tok Ayah untuk dirinya. 


“Abang tak bencikan Alessa. Abang sayang Alessa. Tapi Abang tak pasti jika sayang Abang pada Alessa seperti yang keluarga Alessa mahukan. Selama ni Abang anggap Alessa macam kawan rapat, macam adik. Bila benda jadi macam ni, Abang tak tahu apa yang patut Abang fikir.”


Baris perkataan yang keluar dari mulut Muhammad untuk Alessa 6 tahun dahulu ternyata menjadi hadiah terakhir yang disimpan Alessa. Tiada lagi berita dari Muhammad selepas itu. Seolah-olah Muhammad menenggelamkan dirinya dalam sibuk pelajaran dan pekerjaannya. Namun Alessa masih memegang kata-kata janji Muhammad yang akan kembali bila sampai masanya. 


Entah bagaimana sebenarnya untuk Alessa menyatakan pada Muhammad tentang apa yang dirasanya. Sudah lama dia menyimpan rasa cinta pada Muhammad, cuma keadaan dirinya sebagai seorang perempuan menghalang Alessa dari berterus-terang. Dia tidak mahu menjadi seperti perigi mencari timba. Dan dia mahu Muhammad untuk menerima dirinya atas dasar cinta, bukan kerana janji pada keluarga semata-mata. 


Jika dilihat dirinya, bukannya tidak laku. Mael Ikan masih setiap minggu cuba mengambil hatinya, Ikhwan Saufi juga masih cuba merisik tentang dirinya melalui orang tuanya. Cuma hati Alessa tidak terbuka untuk orang lain. Nyata cinta pertama itu memeritkan. Andai dia tidak jatuh cinta pada Muhammad lebih dahulu, pasti dia tidak perlu menunggu seperti ini. 


Alessa mengerling jam di tangan. Hari sudah agak lewat. Dia perlu pulang dan mengemas barang apa yang patut. Cuti semester sudah sampai ke hujungnya. Esok basnya akan bertolak pada pukul 2:00 petang menghala Kuala Lumpur. Sudah dua tahun Alessa menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Teknologi Maklumat. 


Walaupun niat asal Alessa ke Kuala Lumpur pada awalnya adalah untuk mencari Muhammad, namun takdirnya untuk bertemu Muhammad masih belum sampai. Tapi perkataan putus asa tak pernah wujud dalam dirinya. Cinta pertama itu akan terus dijejaknya. 


Lebar senyuman Alessa untuk pantai yang penuh kenangan ini.


“Tunggu cheq no Pantai Merdeka! Cheq bawak balik boypreng nanti tunjuk kat hang!”


Previous: 6.0
Next: 8.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.