Home Cerpen Kisah Hidup Hikayat Alam : Melur Ku
Hikayat Alam : Melur Ku
F.Ain.K
29/5/2019 15:40:31
4,556
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

Suatu masa dahulu di sebuah kampung di daerah terpencil, terdapat tiga orang sahabat baik. Mereka sentiasa bersama dari kecil hinggalah dewasa. Bersama ketika ketawa, juga ketika menitiskan air mata. Alan, Melur, dan Anggerik. Mereka hidup dengan aman dan gembira.

Hinggalah pada suatu hari tercetusnya amaran perang dari daerah berdekatan. Bagi sebuah kampung kecil, apalah yang dapat dilakukan oleh penduduk kampung selain dari hanya bersembunyi di dalam rumah masing-masing. Mereka hanya mampu berdoa agar segalanya kembali aman.

Tapi ternyata agenda alam tidak semudah harapan. Perang merebak hingga ke kampung kecil mereka. 3 buah rumah dilihat marak dengan api. Jeritan kanak-kanak kecil menangis mengisi pendengaran. Perkataan ‘tolong’ berlagu di setiap sudut kampung. Air mata menjadi saksi betapa rapuhnya manusia pada petang itu.

Di dalam sebuah kedai usang kelihatan 3 orang sahabat sedang bersembunyi dari dilihat musuh.

“Apa yang perlu kita lakukan? Aku takut,” bersama esakan kecil Anggerik bertanya.

“Buat masa sekarang kita sembunyi dulu disini. Mungkin musuh akan pergi tak lama lagi. Kampung kita tiada hasil apa. Mustahil musuh akan berlama disini,” balas Alan cuba menenangkan keadaan.

Sunyi mengisi ruang. Sejenak kemudian firasat Melur terganggu.

“Kita perlu pergi dari sini. Musuh menghampiri. Alan, kau bawa Anggerik keluar dari pintu belakang dan terus menghala ke kawasan sungai. Jangan berhenti walau apa pun yang terjadi. Sampai di sungai nanti pastikan kau menuju ke rumah Tok Majid. Dia pasti bantu kita,” arah Melur sambil bersedia untuk bergerak ke pintu hadapan kedai.

Pantas Alan memegang pergelangan tangan Melur, menghalang Melur dari terus menuju ke pintu hadapan.

“Apa yang kau cuba lakukan? Kita perlu keluar dari pintu belakang, kenapa kau menuju ke pintu hadapan?”

Melur merenung Alan sejenak. Lalu beralih kepada Anggerik. Segaris senyuman diberikan. Perlahan Melur menunduk memandang lantai.

“Terima kasih menjadi sahabat aku. Susah dan senang kita bersama. Andai diberikan waktu lagi, aku ingin kita bertiga bersama semula. Tapi untuk masa ini, biarlah nyawa ku jadi galang gantinya.”

Tergamam dengan apa yang diperkatakan Melur, pergelangan tangan Melur terlepas dari pegangan Alan. Alan cukup tahu. Melur adalah salah seorang srikandi kampung mereka. Ini adalah sebahagian dari tugas Melur sebagai anak ketua kampung untuk mempertahankan kampung mereka. Tapi entah mengapa hari ini hati Alan cukup berat untuk melepaskan Melur pergi. Seakan-akan hatinya tahu bahawa ini adalah kali terakhir bagi mereka.

Saat yang berlalu terasa sunyi. Alan seolah tenggelam dalam fikiran. Anggerik yang melihat dari tepi perbualan Alan dan Melur hanya mampu memandang langkah kaki Melur meninggalkan mereka.

Saat yang berlalu terasa sunyi.

“Alan, kita perlu pergi. Hanya kita yang mampu meminta pertolongan dari Tok Majid. Kita perlu cepat dan kembali semula untuk membantu Melur,” pantas Anggerik bersuara untuk menyedarkan Alan.

Namun ternyata hari itu menyaksikan sejarah kesakitan bermula. Berpuluh-puluh mayat bergelimpangan di setiap sudut kampung. Rumah-rumah hangus dijilat api, yang tinggal hanyalah abunya. Kanak-kanak kehilangan ibu bapa, isteri kehilangan suami, keluarga berpecah belah. Sungguh peperangan yang dikatakan untuk mendapatkan keamanan hanya berakhir dengan keperitan.

Dan hikayat mereka pun berakhir. Tiada lagi tiga sahabat. Yang tinggal hanyalah mereka berdua. Melur telah jatuh kebumi mempertahankan segalanya. Apabila Alan dan bantuan dari Tok Majid sampai ke kampung, mereka sudah terlambat. Melihat keadaan mayat Melur, Alan hanya mampu meratap kesedihan.

Alan lahir kebumi sebagai yatim piatu. Tidak berasal usul. Melur lah yang meminta supaya ketua kampung memberikan perlindungan kepada Alan, kerana menurut Melur, Alan juga layak untuk hidup bahagia. Melur lah yang memberikan hidup kepada dirinya suatu masa dulu. Kini Melur juga mengorbankan dirinya pula untuk memberikan hidup kepada Alan.

“Hingga ke akhirnya, tiada apa yang mampu aku berikan kepada kau. Maafkan aku,” perlahan Alan menuturkan bait kata tersebut bersama titisan air mata.


Bertahun masa berlalu. Kini sudah dua tahun Alan dan Anggerik berkahwin. Masing-masing sudah mencapai umur 28 tahun. Peristiwa pahit yang berlaku 10 tahun dahulu sudah tidak diperkatakan orang kampung. Tapi ternyata peritnya masih singgah dalam diri Alan dan Anggerik.

Pada awalnya Alan membantah apabila ketua kampung ingin menikahkan dirinya dengan Anggerik. Bagi Alan Anggerik umpama adik. Mustahil untuk dirinya menyimpan rasa atau menyentuh Anggerik. Hinggalah ketua kampung menyatakan apa yang terbuku di hasratnya.

“Ayah Man tahu Alan masih fikirkan Melur. Tapi 8 tahun telah berlalu. Yang pergi takkan pernah kembali. Ayah Man sudah tua. Mak Esah juga. Mungkin esok atau lusa kami bertemu tanah semula. Ayah Man tahu Alan kehilangan Melur, tapi Ayah Man juga kehilangan satu-satunya anak yang ada. Alan dan Anggerik merupakan tanggungjawab yang ditinggalkan Melur. Alan pernah terfikir tak jika Ayah Man tiada, siapa yang akan menjaga Anggerik? Anggerik sudah tiada keluarga selain kita.”

“Alan akan jaga Anggerik sebagai adik. Alan tak akan tinggalkan Anggerik. Ayah Man tak perlu risau,” balas Alan membantah. Sungguhnya Alan tak faham kenapa perlu untuk dia menikah dengan Anggerik sedangkan selama ini Anggerik sudah dianggap adik. Seluruh penduduk kampung juga tahu.

“Tak. Alan tak faham apa yang Ayah Man cuba sampaikan. Cuba jelaskan apa hubungan Alan dengan Anggerik? Kamu berdua bukan adik beradik kandung. Kamu tidak berkongsi darah. Apa orang akan perkatakan jika seorang lelaki dan wanita duduk sebumbung tanpa pertalian darah? Boleh kah kamu dengan yakin berkata bahawa kamu adik beradik? Apa buktinya? Seluruh kampung tahu asal usul kamu. Kamu mahu terus palit arang di wajah Anggerik?”

Alan terpampam dengan apa yang diperkatakan ketua kampung. Akhirnya Alan sedar. Pandangan dirinya dan pandangan orang kampung berbeza. Jika ketua kampung sudah tiada, Anggerik akan keseorangan tanpa ada siapa yang membela.

Lalu akhirnya Alan bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan dengan Anggerik. Kini walaupun dua tahun telah berlalu, Alan masih tak mampu untuk membiasakan dirinya menganggap Anggerik sebagai isteri. Tak pernah sekali pun dia menyentuh Anggerik. Suasana antara mereka juga berubah. Lebih banyak diam dari berkata-kata. Seolah-olah masing-masing menyimpan rasa.


Hinggalah pada suatu hari, lewat petang itu Alan pulang ke rumah mendukung seorang wanita di bahunya. Anggerik yang sedang memasak di dapur terkejut melihat keadaan itu. Wanita tersebut berlumuran darah, kesan tikaman di kawasan perut. Apa yang lebih mengejutkan bagi Anggerik adalah wajah wanita itu persis wajah Melur. Irasnya cukup hampir.

Alan dan Anggerik menjaga wanita itu dengan teliti hinggalah pada hari ke enam wanita tersebut terjaga dari pengsannya. Wanita tersebut cuba untuk duduk, lalu dibantu oleh Anggerik.

Alan dan Anggerik menanti apa yang akan diperkatakan wanita berkenaan namun ternyata dia hanya membisu.

“Siapa nama kamu? Alan jumpa kamu berdekatan sungai pengsan kerana ditikam. Apa yang terjadi?”

Kerana tidak sabar menunggu Anggerik mula bertanya soalan kepada wanita tersebut, namun wanita tersebut hanya memandang ke arah Anggerik dan Alan kosong.


Kehidupan mereka diteruskan seperti biasa. Pada waktu makan mereka akan makan bersama. Wanita tersebut akan membantu Anggerik di dapur. Alan akan pergi menangkap ikan juga berkebun pada siangnya. Namun wanita tersebut masih tidak bersuara walau sepatah pun. Hanya senyuman mengisi ruang wajahnya.

Setenang-tenang air, pasti ada kocaknya. Pada suatu hari Anggerik dapat mengesan perubahan pada diri Alan. Semenjak kehilangan Melur, tak pernah sekali pun Alan memetik bunga melur lagi. Sedangkan dahulunya hampir setiap hari Alan akan membuat jambangan bunga melur untuk diberikan kepada Melur. Tapi jambangan bunga melur yang dilihat Anggerik di dalam bilik Alan pagi itu ternyata merobek emosi Anggerik.

“Alan. Aku tahu, walau berapa lama pun masa berlalu, Melur tetap akan menjadi sebahagian dirimu. Tapi Melur sudah tiada. Dan hanya aku yang berada di sisi kau kini. Sampai bila perlu aku menunggu kau membuka hatimu? Kau perlu sedar. Wajah mereka mungkin mirip, tapi perempuan itu bukan Melur, Kita sendiri yang kebumikan ma..”

“Aku tahu. Aku cuma menyelamatkan orang yang perlukan bantuan. Itu sahaja,” pantas Alan membantah apa yang diperkatakan Anggerik dan berlalu ke luar rumah.


13 hari berlalu namun masih tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut wanita tersebut. Ini membuatkan Alan resah. Resah Alan kerana wajah wanita tersebut, juga kerana kecederaannya. Alan risau akan keselamatan wanita tersebut jika dia masih diburu penjahat. Namun lebih nyata, resah Alan kerana rindunya kepada Melur.

Angin petang itu nyaman menyentuh ubun-ubun Alan. Aliran air sungai mententeramkan dirinya. Ingatannya kembali pada kenangan. Andai masa itu dia tidak melepaskan Melur pergi, mungkinkah Melur masih ada disini? Persoalan andai yang sentiasa bermain di fikiran Alan sungguh membebankan. Alan tahu dia tidak boleh melawan takdir, namun jauh di sudut hatinya persoalan andai itu seolah membawa harapan kepadanya.

Tiba-tiba Alan menyedari bahawa dia tidak berseorangan di tepi sungai kala itu. Pantas Alan menoleh ke belakang. Dilihatnya wanita tersebut berdiri di belakangnya.

“Perlukan apa-apa?” tanya Alan cuba mengawal debaran hatinya yang tiba-tiba hadir.

Wanita tersebut hanya tersenyum pada Alan.

Sungguh Alan rindu senyuman itu.

‘Wanita ini bukan Melur,’ perlahan akal waras Alan berbisik pada dirinya.

“Hari hampir senja, eloklah kita pulang,” ucap Alan ringkas lalu melangkah pergi.

Langkahan Alan terhenti apabila Alan mendengar wanita itu berkata tiba-tiba.

“Senja ini mungkin senja terakhir kita bertemu.”

Alan pantas berpaling memandang ke arah wanita itu. Debaran hati Alan meronta-ronta. Akal warasnya seolah dicarik-carik.

“Masanya telah sampai untuk aku pergi. Akan aku simpan masa dan ingatan ini. Ini jambangan bunga melur untuk kau. Bukankah ini bunga kesukaanmu? Baunya seperti kenangan,” perlahan wanita itu berkata lalu menghulurkan jambangan itu kepada Alan.

Alan mencapai jambangan bunga melur itu. Namun fikirannya menerawang jauh. Warasnya sudah hilang. Bagaimana wanita ini tahu sesuatu yang hanya dia, Melur dan Anggerik yang tahu? Jambangan bunga melur ini persis seperti apa yang selalu dia hadiahkan kepada Melur. Mungkinkah wanita ini Melur?

Tersedar dari lamunannya Alan melihat sekeliling. Wanita itu sudah hilang dari pandangan. Alan pantas berlari ke rumah untuk mencari wanita berkenaan. Ternyata segalanya hampa.

3 hari berlalu semenjak wanita itu menghilangkan diri. Alan seolah-olah hilang punca. Alan tahu Melur sudah tiada, dia sendiri yang mengebumikan jenazah Melur. Tapi hatinya meronta-ronta mengatakan bahawa wanita itu dan Melur adalah orang yang sama.

Seminggu berlalu. Alan putus harapan. Walau bagaimana dia berusaha, wanita itu tak dapat dijumpai. Alan tidak tahu satu apa pun mengenai wanita itu, ini menyukarkan Alan untuk menjejak. Dan akhirnya Alan sedar. Wanita tersebut telah pergi meninggalkan dirinya. Sama seperti Melur.

“Mengapa kau mempermainkan aku begini? Dulu atau sekarang, aku takkan pernah dapat memiliki dirimu. Mengapa kau datang sekadar untuk sejambak melur? Sungguh masa dan ingatan ini menghancurkan aku.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.