Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
14,726
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
14-3
Tajuk : Kopi Yang Sunyi (Bahagian Tiga)



Susunan buku yang terletak rapi di rak-rak buku aku pandang satu persatu. Bergelora indah jiwaku dikelilingi buku. Memang sejak azali cinta aku kepada buku tak mampu dipadam. Makan berteman buku, sebelum tidur wajib membaca, menunggu juga aku membaca. 


Kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka menonton televisyen di kala senggang. Namun bagi aku, sudah bertahun aku tidak menonton rancangan televisyen. Peti televisyen juga sudah aku buang dari rumah. Bagi aku, kebanyakan rancangan televisyen masa kini lebih merosakkan minda dari mengembangkan. 



Perlahan langkahan aku buka, menuju ke bahagian thriller. Novel berkonsep seram dan pembunuhan sememangnya kegemaran utama aku. Dua buah novel baru yang menarik aku capai dan gendong menuju bahagian rak motivasi. 


Galak mata aku melihat satu persatu susun atur kata-kata motivasi yang terpapar. Perhatian aku laju menghala ke arah sebuah buku yang bertajuk "Self Healing & Self Love". Entah kenapa perasaan sayu tiba-tiba menjalar dalam diri aku. Sejujurnya aku rasakan aku perlu merawat trauma yang menghuni diri aku. 


Tahukah kamu aku takut ditinggalkan? Kerana itu aku selalu melakukan segalanya sendiri tanpa perlu bergantung kepada sesiapa. Pengalaman mengajar aku bahawa bergantung pada orang lain sangat menyakitkan. 


Tahukah kamu aku takut untuk menyatakan apa yang aku rasa, kerana setiap kali aku cuba berkata, 'mereka' selalu endah tak endah. Hingga aku merasakan kata-kata aku tidak punya nilai, lalu nilai diri aku jatuh berkecai di lantai. Tak mampu dibentuk semula. 


Akibat trauma yang menghantui ini, aku telah terbentuk menjadi seorang penurut. 'Mereka' lukakan aku, aku hanya berdiam diri. 'Mereka' lemparkan kata-kata nista, aku hanya tersenyum. 'Mereka' memaksa aku memberikan segala hak aku kepada 'mereka', dan aku hanya menurut. Kerana aku takut. Sifat survival aku mengajar aku untuk tidak melawan jika aku tidak mahu dilukai lebih teruk secara fizikal. Dan aku perlu untuk terus berdiam diri, hanya kerana aku masih ingin melihat matahari esok. 


Siapakah 'mereka' yang aku maksudkan? Kamu akan faham. Cukup aku katakan "some of the most poisonous people come disguised as friends and family". 



Seusai membayar harga buku, aku putuskan untuk menuju ke kafe yang selalu aku kunjungi. Perut aku yang bergendang halus meminta diisi. Terbayang-bayang nasi goreng kampung pedas dan telur mata kegemaran aku di minda. 


Tepat 8.24 malam aku sampai di hadapan pintu kafe. Melilau mata melihat sekeliling kafe. Di kaunter cuma ada ada seorang pekerja lelaki dan seorang pekerja wanita. Aku sangkakan mungkin aku dapat berbual dengan Paie malam ini kerana aku masih perlukan jawapan atas fahaman apa perang dingin kami terjadi. Namun Paie tak kelihatan. 


Hanya ada dua buah meja dihuni pelanggan. Segera aku duduk di meja yang selalu aku duduk. Setelah siap memesan makanan, aku memulakan proses pembacaan buku-buku baru aku. Perasaan teruja membuatkan aku tidak mampu menunggu hingga tiba ke rumah. 


Terlampau asyik dengan bacaan hingga aku tidak sedar ada seseorang sedang berdiri di sebelah aku. Batuk kecil yang tiba-tiba kedengaran di belah kiri membuatkan aku terkejut lantas memandang ke kiri. Perkataan latah yang terkeluar nyata membuatkan manusia di sebelah kiri aku itu tersenyum kecil. 


Dua saat kami saling memandang. Aduh, sungguh aku cair melihat senyuman yang belum pernah aku lihat sebelum ini. 


Lelaki misteri itu sedang berdiri di kiri aku, memandang aku, tersenyum kepada aku. 


Mimpikah aku? 



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.