Sue melihat jam tangannya sekali lagi. Sudah hampir
10 minit dia menunggu. Jus epal hijau sudah hampir separuh disedutnya. Perutnya
pula berkeroncong minta diisi. Dia memanjangkan leher memerhati orang yang
lalu-lalang di tempat terbuka di hadapan Restoran Sri Sembilan di Habour City.
Dia lebih suka duduk di luar restoran berbanding dalam.
Sue berharap wajah temannya
di antara mereka yang lalu-lalang itu. Mariah tidak pernah terlambat setiap
kali mereka berjanji untuk makan tengah hari bersama-sama. Jika
terlambat pun, kelewatannya pasti tidak melebihi
lima minit. Dia yakin, Mariah tidak
mungkin terlupa.
Sekali lagi Sue
memanjangkan leher, memerhati setiap orang yang melintas di hadapan restoran
itu. Hampir 15 minit, matanya menangkap kelibat gadis yang ditunggutunggunya. Mariah
datang dengan langkah tergesa-gesa. Sue
tersenyum. Pasti sahabatnya itu berjalan sepantas yang termampu. Kasihan. Sue
tersenyum kian lebar tatkala Mariah semakin hampir.
“Assalamualaikum Mariah.”
Sue memberi salam sejurus Mariah tiba di hadapan meja. Pipi gadis itu kemerahan
dan berpeluh.
Mariah segera membalas
salam lantas menghulur tangan. “Sue,
maafkan aku. Aku tak sengaja datang lambat,” ujarnya dengan rasa bersalah. Dia
tahu Sue sudah lama menunggu.
“Tak apa Mariah, aku tau
kau buat kerja penting. Pasti kali iniurgentlagi, kan?” Sue tertawa
perlahan.
“Ha’ah, Sue. Macam nak
patah jari-jari aku ni taip dokumen tu. Semua nak cepat.” Mariah mengeluh.
Terbayang semula bagaimana bergegas dia tadi. Tambahan pula perutnya yang
sedang rancak berdendang. Sejak pagi hanya secawan kopi dan sekeping roti saja
yang masuk ke perutnya.
“Aku kesian pada kau
tapi... lupakanlah pasal kerja tu, ya. Kita
pesan makanan dulu. Berlagu benar perut aku ni.”
“Maaf Sue!” Redup mata
Mariah menatap wajah Sue. Dia rasa bersalah sangat.
Sue tersengih. Tidak
sedikit pun dia terasa hati kerana menunggu. Kelewatan temannya bukan
disengajakan. Dia faham tanggungjawab Mariah malah dia amat bersimpati. Dia tahu,
masa rehat bagi Mariah sering menjadi begitu singkat kerana timbunan kerja yang
perlu segera disiapkan.
“Sue, aku rasa macam nak
cari kerja tempat lainlah.” Mariah memulakan bicara selepas pesanan makanan
dibuat.
“Hei kawan, kerja kau
sekarang pun tak tertanggung, ada hati pulak kau nak cari kerja lain? Badan kau
tu satu saja, Mariah. Kecik pula tu!” Sue ketawa.
“Sue, aku cakap apa tadi?”
tanya Mariah. Tercengang melihat Sue tergelak.
“Hmm, tadi kau cakap nak cari kerja tempat
lain, kan?” Sue mengulangi pertanyaan Mariah.
“Ha’ah... betullah tu.
Maksud aku, aku nak berhenti kerja, aku nak cari kerja tempat lain,” jelas
Mariah bersungguh.
“Tapi kau kata kerja kat
situ seronok kenapa nak berhenti pulak?” tanya Sue. Besar matanya menatap wajah
manis Mariah.
“Seronok selagi dapat gaji
tapi...” Mariah memandang wajah Sue sebelum meneruskan bicara.
“Aku...tertekan sebenarnya,
Sue.” Mariah menarik nafas lebih dalam.
“Hmm, aku faham.” Sue
terangguk-angguk.
“Sue, kadang-kadang aku tak
tahu bila masa kerja dan bila masa rehat. Dahlah tu... asyik kejar masa pula.
Semakin hari kerja aku semakin bertimbun. Aku bukannya robot... tahu letih
juga, Sue.” Mariah mengeluh di hujung
bicaranya.
Sebenarnya banyak lagi yang
ingin diluahkannya. Sesungguhnya bukan kerja yang bertimbun itu membuatnya tertekan. Dia minat dengan kerjanya. Namun
dia tidak mampu mengharapkan semuanya mulus belaka.
Sue terangguk-angguk lagi.
Hatinya dibalut rasa simpati yang kian menebal. Sejak kecil dia berkawan dengan
Mariah dan dia tahu latar belakang temannya itu. Namun tidak pula Mariah pernah
mengeluh seperti itu ketika mereka berada di kampung. Mariah yang dikenalinya adalah
seorang yang lasak, cergas dan cekal.
Di kampung, gadis remaja
seusia mereka tidak seorang pun yang mampu melakukan kerja-kerja menoreh getah secekap
Mariah. Mariah mampu melakukan kerja itu dengan sempurna. Masih jelas dalam
ingatan Sue, ibunya sering memuji Mariah. Mariah yang rajin, Mariah yang
pandai, Mariah begitu, Mariah begini dan bermacam-macam pujian lagi. Sue hanya
melopong, menadah telinga. Ibunya sendiri memuji sahabatnya. Shimrul juga
pernah mengakui tidak mampu melakukan kerja-kerja seperti yang dilakukan Mariah
dan melambung pujian teman lelakinya itu terhadap Mariah.
Bagaimana hati tidak diasak
rasa iri hati? Sungguh bohong jika
hatinya tidak pernah berasa iri namun disingkirnya perasaan itu kerana Mariah
gadis yang terlalu baik. Jika bukan kerana Mariah yang banyak membantunya
setiap kali menghadapi masalah dalam memahami beberapa mata pelajaran mungkin
tidak mampu lulus dalam peperiksaan SPM. Walau tidak cemerlang namun dia
sungguh bersyukur sebab dia tidak terkandas. Dia memang agak lemah dalam
pembelajaran.
“Mariah, aku faham perasaan
kau. Nanti kita usaha cari kerja di tempat lain, ya?” pujuk Sue dengan lembut.
“Tapi mana lagi tempat nak
cari kerja? Bukan senang.” Mariah
bimbang.
“Rezeki ada di mana-mana,
Mariah. Nanti aku tanyakan kawan-kawan manalah tahu dia orang tahu ada
kekosongan kat tempat lain. Jangan risau sangat, okey...” pujuk Sue penuh
pengertian.
“Terima kasih, Sue.” Mariah
tersenyum. Hatinya berbunga. Masih mengharap ada peluang lagi untuknya.
Kecur air liur masing-masing tatkala makanan pesanan mereka
dihidangkan. Sejurus membaca doa, Mariah dan Sue segera memulakan suapan.
Kedua-dua gadis itu terlalu asyik menikmati makanan tanpa menyedari ada
sepasang mata tajam ralit memerhati mereka. Wajah Mariah yang masih tersisa
kemerahan menambahkan lagi keayuan wajah gadis itu. Sepasang mata memandang itu
tidak berkedip, menumpukan perhatian.
Asam pedas ikan tenggiri,
ayam masak merah, ulam rumpai laut dan bendi rebus dengan sambal belacan tampak
sangat menyelerakan. Suapan demi suapan ke mulut hingga licin nasi di pinggan
masing-masing.
“Mariah, kau belum kenyang
ke?” tanya Sue. Sue menatap wajah Mariah
yang masih menghirup kuah asam pedas dengan penuh nikmat.
“Hah? Oh, Kenyang! Saja nak
hirup kuah ni... sedap!” Mariah
tersengih.
“Kita boleh tambah lagi,”
cadang Sue.
Mariah pantas menggeleng. “Tak
payahlah Sue. Sebenarnya aku dah kenyang
sangat. Alhamdulillah...” ucap Mariah lalu meletakkan sudunya di tepi pinggan.
“Mariah, hujung minggu ni
Shimrul ajak aku balik kampung. Jom kita balik sekali.”
“Err... aku kan baru balik
minggu lepas. Kalau balik lagi minggu ni bajet aku lari untuk tambang bas
pulak,” beritahu Mariah tanpa berselindung.
“Alah, pasal tu kau jangan
risau. Kita tumpang kereta Shimrullah bukan naik bas.” Sue tersenyum penuh
makna. Sahabatnya itu memang sangat
berjimat sebenarnya.
“Eh, kalau macam tu aku
naklah. Terima kasih, Sue.” Mariah
tersenyum. Rindu pada keluarga tidak pernah surut.
“Sue, sejak berhenti
sekolah aku tak pernah jumpa Cikgu Roslini. Aku selalu teringat kat dia.”
“Balik kampung nanti kau
pergilah jumpa dia, Mariah. Cikgu
Roslini tu baik sangat kat kau, kan?”
“Ha’ah Sue. Aku memang nak
jumpa dia. Cikgu Roslini ada pesan kat Atina, dia suruh aku jumpa dia kalau aku
balik kampung sebab dia nak bagi aku sesuatu.”
Minda Mariah membayangkan
wajah lembut Cikgu Roslini. Cikgu yang banyak membantu dan memberi perangsang
kepadanya sewaktu dia masih belajar di sekolah.
“Cikgu Roslini nak bagi apa
pada kau, ya?”
Mariah menjongketkan
bahunya. “Entahlah Sue. Aku pun tak tahu. Balik kampung hujung minggu nanti aku
nak jumpa dia. Kau nak ikut tak?” tanya Mariah.
Sue tersenyum. “Nak juga
kalau kau pelawa aku sekali.”
Mariah ketawa. “Aku pelawalah ni, Sue. Tak lama
lagi peperiksaan STPM,” kata Mariah.
“Ha’ah... tinggal dua bulan
lagi. Kenapa, Mariah?”
“Aku jarang buat ulang
kaji. Aku risau, Sue.”
Sue terdiam sejenak. Mereka
berdua tinggal bersama dan berkongsi sebuah bilik sewa. Apa jua aktiviti Mariah
sudah tentu diketahuinya. Semenjak mereka sepakat berhijrah ke bandar raya Kota
Kinabalu untuk mencari pekerjaan enam bulan lalu, Sue hampir lupa sahabatnya
itu masih ada tanggungjawab untuk menduduki peperiksaan STPM walaupun
sahabatnya itu sudah meninggalkan alam persekolahannya.
“Mariah, maaflah... aku tak
dapat bantu kau dalam soal ini. Kau pun tahu aku takat lulus SPM aje.” Sue
tersengih.
“Tak mengapa Sue. Sebelum
peperiksaan nanti aku cuba minta cuti lebih awal. Kalau boleh aku nak tumpukan perhatian
pada pelajaran sebelum peperiksaan nanti.”
Semenjak di bangku sekolah
rendah dia menanam cita-cita. Semangatnya untuk melanjutkan pelajaran belum luntur
lagi. Meskipun dia tahu entah bila masa keadaan akan menyebelahinya, Mariah
tetap tidak ingin melenyapkan impiannya atau mungkin itu hanya angan-angannya!
Sue hanya
mengangguk-angguk. Adakalanya dia berasa hairan dengan pendirian sahabatnya.
Mengapa Mariah tidak pernah berputus asa? Berhenti sekolah kerana terpaksa memberi
laluan kepada adik-adiknya, disebabkan kesempitan hidup namun Mariah tetap mahu
menduduki peperiksaan STPM. Walhal kini gadis itu sudah bekerja dan mempunyai wang
gaji sendiri, tidak perlu lagi bergantung pada orang tua. Apa lagi yang hendak Mariah kejar sebenarnya?
Ah, Mariah yang bercita-cita dan gigih mengejar impian!
“Sue... elok kita beransur sekarang. Lagipun
dah hampir masa masuk pejabat ni,” ajak Mariah. Dia bimbang jika terlewat masuk
ke pejabat. Tidak betah telinganya menadah
sindiran gadis bernama Helen di pejabat itu.
“Ha’ahlah...” Sue melambaikan
tangan lalu seorang pelayan segera menghampiri mereka.
Sejurus kedua-dua gadis itu
berlalu, lelaki muda yang sejak tadi ralit memerhati dengan sebuah kamera
canggih di lengannya mengeluarkan telefon bimbit dari saku jaketnya.
Kedengaran suara tawanya ketika dia sedang
bercakap melalui telefon bimbitnya. Usai bertelefon dia, melambaikan tangan kepada
salah seorang pelayan restoran itu. Dipesannya sebiji kelapa muda dan beberapa
jenis hidangan. Selepas membuat pesanan,
sekali lagi dia membuat panggilan.
“Assalamualaikum... sayang.
Abang tak balik makan tengah hari ini.” Dia
senyap seketika sambil bibirnya menyungging senyuman.
“Hmm, abang ada urusan
penting dengan Izan.” Beberapa detik
kemudian, dia membalas salam sebelum menamatkan perbualannya.
Hampir 15 minit kemudian
seorang lelaki muda datang menghampirinya. Mereka bersalaman lalu lelaki itu
duduk di meja yang sama. Tidak lama kemudian makanan dihidangkan di meja
mereka. Namun mereka tidak segera makan
sebaliknya asyik pada kamera, melihat pada rakaman gambar yang dilakukan oleh
lelaki itu sebentar tadi. Wajah kedua-duanya tampak serius, sesekali
terangguk-angguk.